Sembuh Tanpa Ubat

Sudah acap kali kawan-kawan minta saya beri ulasan tentang poster program SEMBUH KENCING MANIS / KANSER TANPA UBAT.

Tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, saya suka berikan nasihat agar menjauhkan diri dari terjebak dalam program tersebut.

Apa yang saya perhatikan bahawa, melalui iklan itu seolah-olah pihak berkenaan menghina reputasi profesion perubatan. Secara tersirat, mereka menuduh rawatan moden adalah tidak betul dan terhasil dari konspirasi bigpharma! Begitu negatifnya tuduhan itu. Semacam doktor-doktor yang berdaftar seluruh negara tidak bercakap benar, menyembunyikan fakta dan menipu dalam merawat pesakit. Sedangkan doktor-doktor mempunyai kod etika professional perubatan dan garis panduan amalan baik perubatan.

Perkara kedua, program itu dengan sengaja atau tidak telah membuat pengiklanan, atau berkempen dengan mendakwa kaedah alternatif yang mereka gunakan (walau tanpa ubat) boleh menyembuhkan penyakit kencing manis atau kanser dan sebagainya. Sedangkan jelas dalam akta pengiklanan Iklan produk kesihatan dan kecantikan dilarang sama sekali membuat tuntutan perubatan untuk tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis bagi 20 jenis penyakit yang telah disenaraikan di dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, iaitu penyakit atau kecacatan buah pinggang/ginjal, penyakit atau kecacatan jantung, diabetes (kencing manis), epilepsi atau sawan, lumpuh, tuberkulosis, astma, kusta, kanser/barah, dan banyak lagi. Tersenarai 20 jenis kesemuanya.

Ketiga, andaikata benar dakwaan kaedah (protokol perubatan) yang dipelopori oleh mereka itu mempunyai tuntutan merawat atau menyembuhkan, bawalah bukti-bukti melalui kenyataan berwasit ke KKM. Jika sahih, KKM boleh mengisytiharkan kaedah tersebut masuk ke arus perdana perubatan. Doktor-doktor yang berdaftar dalam Malaysia pun boleh menggunakannya tanpa igauan. Kenapa hanya terbatas kepada kumpulan mereka sahaja jika benar-benar berkesan? Bertindaklah secara profesional.

Testimoni bukannya satu alasan kukuh untuk disebarkan kepada masyarakat. Ini kerana akan menimbulkan banyak kekeliruan.

Terdapat beberapa implikasi jika penjual atau pempromosi produk terdiri dari orang yang berstatus tinggi dalam masyarakat:

1) Orang awam akan beralih dari berubat melalui kaedah arus perdana kepada produk yang tidak berkesan kerana terpengaruh dengan kehebatan tokoh. Mereka lebih teruja dengan testimoni yang diberikan kerana persepsi umum bahawa golongan yang berstatus seperti ahli agama atau profesional perubatan tidak akan bercakap bohong. Walau pada hakikatnya mereka berbohong atas nama agama atau sains.

2) Keterujaan orang awam dalam “perangai pencarian merawat” (health seeking behaviour) melalui lorong yang betul dan tepat akan semakin terpesong. Ini kerana tokoh-tokoh berkenaan menjadi penghalang, mengelabui fakta sebenar mengenai kesihatan dan penyakit. Malah mereka bercakap diluar bidang mereka. Ilmu perubatan yang cuba disampaikan itu pun tidak tepat. Proses kejadian berlaku sesuatu penyakit pun diterangkan secara tidak tepat semasa kuliah yang disampaikan.

Sekian.

Fb.com/Suhazeli.abdullah

suhazeli.com

21.9.2019

Bangsar

Etika Perubatan

Dapat berita seorang doktor yang ditangkap kerana membuka premis klinik tetapi tiada lesen amalan tahunan. Doktor itu bukan calang-calang juga masyhur di kalangan masyarakat setempat. Maka timbul persoalan di sini, adakah ilmu doktor itu salah sehinggakan kena tangkap dek kerana tiada sijil amalan atau sijil membuka premis?

Cuba kita bayangkan analogi sebegini, macam saya laksanakan solat, puasa dan lain-lain fardhu ain, sekali sekala saya juga baca kitab dan ajar fardu ain kepada ahli jemaah surau, tetapi saya ditangkap kerana tidak ada tauliah mengajar…maksud saya, adakah ilmu fardhu ain yang saya amalkan itu salah atau saya sendiri salah kerana tidak ada tauliah (lesen)?”

Sebenarnya isu lesen bagi doktor perubatan ini termaktub dalam akta perubatan 1971 lagi. Setiap doktor di Malaysia wajib berdaftar di bawah peruntukan akta ini bagi mengawal selia amalan yang baik di kalangan profesional perubatan.

Perlu diingatkan juga dalam perubatan, terdapat etika berubat yang perlu dipatuhi. Jika seseorang doktor itu pakar yang khusus dalam bidang kulit, secara etikanya beliau tidak dibenarkan menjalankan premis dan merawat ibu hamil & sakit puan. Kecualilah beliau mempunyai sijil kepakaran kedua-duanya. Begitu juga pakar tulang, tidak boleh membedah otak pesakit yang mengalami ketumbuhan. Hanya pakar bedah otak (neuro surgeon) sahaja layak untuk membedah. Pakar Perubatan Keluarga pula berkemahiran dengan perawatan di klinik kesihatan atau klinik swasta, juga tidak layak untuk membedah ibu yang nak bersalin. Tugasan dan batasan peranan masing-masing sudah ada.

Akta Perubatan 1971 amat menitikberatkan amalan seseorang doktor bertauliah supaya tidak lari dari garis panduan yang disepakati bersama oleh para pakar. Garis panduan itu sudah pasti amalan yang paling menepati kajian-kajian berwasit dan terkini. Garis panduan bukan juga kitab suci, ianya boleh berubah dengan perubahan zaman dan teknologi. Jika terdapat bukti baharu yang lebih tinggi mutu pembuktian, maka garis panduan itu juga akan terubah oleh para pakar yang mengkaji dasar. Ianya juga perlu disesuaikan dengan suasana negara dan kemudahcapaian sesuatu kaedah berubat itu.

Masalah besar akan timbul jika terdapat individu yang tiada kena mengena dengan perubatan tetapi mendakwa beliau juga boleh berubat. Kononnya dapat ilmu dari ilham dan mimpi. Walaupun mungkin terdapat kesan penyembuhan akibat dari kaedah pengubatan yang diamalkan, tetapi pihak berwajib perlu menjalankan pemantauan supaya tiada unsur-unsur penipuan ataupun melampaui batas akal, adat serta syarak.

Oleh yang demikian pihak berwajib telah wujudkan satu akta khusus Perubatan Tradisional & Komplimentari tahun 2016 (Akta 775). Akta ini bertujuan mengawal-selia pengamal perubatan komplimentari. Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PPTK) yang mendakwa mereka boleh mencegah, merawat dan mengurus penyakit manusia atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu. Ianya termasuk amalan seperti:

(1) Perubatan tradisional Melayu,

(2) Perubatan tradisional Cina,

(3) Perubatan tradisional India,

(4) Pengubatan Islam,

(5) Homeopati, dan

(6) Terapi komplementari,

Akta ini seolah-olah menyamai akta Perubatan 1971 yang mengawal selia doktor bertauliah.

Justeru, mana-mana individu yang tidak belajar perubatan moden pun, atau setaraf dengannya, tapi menjalankan kaedah perubatan yang langsung beliau tidak belajar mengenainya dari pihak yang diiktiraf, dengan sendiri tertolak amalan mereka tanpa mendapat tauliah seperti yang diperuntukkan dalam akta perubatan 1971 atau akta 775 berkenaan.

Dua bentuk amalan perubatan di atas adalah jelas!

Jika ada perawat yang hanya belajar melalui YouTube atau Doktor Google, sama sekali mereka tidak boleh diiktiraf dan sijil yang mereka perolehi itu sama taraf dengan sijil-sijil beli dari universiti scam sijil.

Cuma masyarakat akan menjadi keliru apabila terdapat individu yang menggunakan kaedah merawat yang kononnya moden, tetapi tiada termaktub dalam amalan yang sah dari badan- adan berwajib. Mereka menggunakan kaedah berubat secara cuba jaya sendiri, malah tiada sandaran hujah kajian yang dilakukan, hanya ujikaji sendirian dan testimoni. Lebih malang lagi mengambil teori karut, membuat protokol sendiri dan membahayakan pesakit sehingga menyebabkan kematian. Beliau sebenarnya sudah tidak beretika dalam mengamalkan perawatan. Ya, ilmunya ada tetapi sudah lari dari amalan yang diiktiraf. Maka wajarlah dikenakan tindakan dan dinilai semula pemberian sijil amalan mereka.

Sudah pasti setiap negara yang ingin menjamin mutu perkhidmatan perawatan terhadap rakyatnya mempunyai klausa undang-undang berkaitan dengan itu. Tujuan akta dan undang-undang adalah bagi memantau salah laku, salah etika, salah amalan yang akhirnya memberikan kesan buruk kepada sistem perawatan pesakit.

Analogi pemberian tauliah untuk ajar fardu ain ini mungkin terpakai jika ilmu dan ajaran dibawa oleh mereka sudah terpesong dari ajaran sebenar.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

9.6.2019

Ketengah Jaya

4 Kesan Negatif Pemakanan Kebulur

“Berat Mak Aji turun 10 kilo dalam 2 bulan? Apa yang dah berlaku ni?” Soalku dalam satu sesi konsultasi klinik Kencing Manis.

“Saya amalkan pantang diet ketat doktor.”, jawab Mak Cik berumur separuh abad itu jujur.

“Saya ubah pemakanan. Banyak makanan yang biasa saya makan saya tinggalkan. Seperti nasi putih, air manis, dari gula putih, tepung putih, makanan segera dan banyak lagi.” Jawabnya dengan yakin.

.

“Saya hanya makan ‘real food’. Banyakkan makan sayur-sayuran. Buah-buahan saya pilih yang rendah glisemik indek seperti jambu batu, oren dan apel hijau.” Tambah beliau lagi macam beri kuliah pemakanan. Fuh, pandai juga sebut GI makanan.

“Satu lagi petua adalah Mak Cik tukar hidangan berat sepanjang 2 bulan ini dengan makanan berasaskan barli. Doktor tau ke, barli adalah makanan sunnah? Ia merupakan antara makanan kegemaran Rasulullah s.a.w.” Ujarnya lagi.

[Selawat atas Nabi]

“Pendek kata selama 2 bulan ini juga saya menjalani sajian 100% vegetarian. Tanpa protin haiwan, tanpa lemak, air kosong dari produk xxxx 4 liter sehari, tanpa susu. Sebab tu kencing manis saya boleh sembuh dan berat badan menyusut banyak. Saya juga berpuasa setiap hari.” Hujahannya saya biarkan diluahkan. Rawatan stres juga tu.

‘Sudah lama beliau menghidapi kencing manis, baru berubah hati nak ikut segala nasihat pakar pemakanan (Dietitian) yang saya rujuk beberapa bulan lepas. Cuma saya kesian kerana beliau mula terpengaruh dengan dakyah penjual produk yang beri nasihat terlampau semata-mata mencari keuntungan.’

~~~~~~~~~~~

Sayang sekali, pesakit yang ingin mengubah gaya pemakanan tidak dipandu dengan betul. Apa yang dianjurkan oleh pakar pemakanan tidak pun diambil sepenuhnya sehingga boleh menyiksakan diri.

Kenapa saya kata menyiksakan diri?

Kaedah pengambilan makanan secara ketat atau ekstrim (Very Low Calorie Diet) boleh mendatangkan bahaya kepada sistem perkembangan tubuh badan kita.

Perlu kita ingat bahawa badan kita memerlukan sumber tenaga minima bagi menjadikan setiap organ berfungsi dengan sempurna. Sumber tenaga minima ini diberi nama Kadar Asas Metabolik (BMR – Basal Metabolic Rate). Kiraan BMR setiap individu bergantung kepada tinggi, berat, umur dan jantina seseorang.

Contohnya seorang lelaki, berumur 30 tahun, berat 70 kg dan tinggi 1.7 meter, BMR beliau adalah 1671 kcal. Ini bermakna kalori makanan seharian beliau paling minima perlu diambil adalah sebanyak 1671 kcal itu, baharulah badannya boleh berfungsi dengan sempurna seperti bernafas, peraliran darah, gerakan jantung, perkumuhan dan aktiviti fisiologi asas lain lagi [1]. Dengan kata lain, jika beliau hanya duduk sahaja tanpa buat apa-apa aktiviti, BMR asas sebanyak itulah diperlukan. Jika beliau ingin berkerja yang menggunakan tenaga seperti kerja pejabat, naik basikal, bersenam dan lain-lain lagi, beliau wajib mengambil kalori yang berlebihan dari BMR tadi. Sekurang-kurangnya tambahan sebanyak 20% lagi.

Andaikata seseorang itu mengambil pemakanan yang kurang dari BMR, secara automatik badan akan membakar sumber lain dari dalam badan kita sendiri. Lemak yang disimpan di peha, perut, pinggul dan beberapa tempat lain lagi akan digunakan sebagai sumber tukaran tenaga. Pun begitu, bakaran tenaga dari sumber lain ini perlu diatur dengan betul supaya fungsi badan kita diseimbangkan mengikut sela waktu tertentu.

Bagi orang gemuk, boleh lah menggunakan kaedah mengambil kalori makanan kurang 5-10% dari BMR. Dengan ini tukaran tenaga dari lemak badan yang berlebihan akan membantu beliau kembali ke berat badan unggul. Jika badan anda sudah kurus melidi, tiada keperluan mendesak untuk mengambil kalori makanan berkurangan dari BMR.

Contohnya jika berat anda 90 kg (BMR untuk lelaki umur 30 tahun adalah 1945 kcal). Letak sasaran untuk turunkan berat badan sebanyak 9 kg (10%) selama 6 bulan. Objektifnya supaya penurunan 0.5 – 1.0 kg dalam seminggu. Penurunan secara sihat untuk 0.5 kg – 1.0 kg selalunya sejumlah 1500-1800 kcal per hari jika disertakan juga dengan senaman untuk lelaki, dan 1200-1500 kcal per hari untuk wanita.

Anda jangan terlalu drastik untuk mengurangkan berat badan. Penurunan 10 kg selama 2 bulan seperti Mak Aji di atas itu adalah keterlaluan, walaupun beliau sanggup melakukannya. Tetapi kesian.

Jangan pula terlalu nak berdiet dengan ambil terlalu sikit kalori sehari, kurang 1000 kcal sehari, akan menyebabkan “muscle wasting” bukannya pembakaran lemak. Jangan hanya fokus kepada “weight loss” sahaja tetapi yang lebih penting adalah “inch loss”.

Terdapat ajaran yang menyuruh pesakit mengambil pemakanan ketat sehingga 600-800 kcal sehari. 600 kcal ini bersamaan 2 biji roti canai kosong. Bayangkan, adakah sanggup setiap kita hanya memakan 2 keping roti canai sehari? Kebulurlah gayanya. Biasanya ‘starvation food’ (VLCD- Very Low Calorie Diet) ini dalam rawatan perubatan hanya dikhususkan kepada pesakit yang akan menjalani pembedahan perut (Bariatric) [2]. Itu pun rawatan VLCD untuk pembedahan perut perlu dipantau rapi oleh doktor pakar.

Walaupun terdapat jurujual yang menjual suplemen untuk menggantikan kalori, tetapi sebanyak mana suplemen tersebut perlu dimakan? Tambahan pula suplemen bukan ‘tidak mahal’ harganya. Lebih baik mengambil makanan asas mengikut panduan yang ditetapkan. Kajian mendapati pesakit tidak berterusan mengamalkan suplemen sebagai pemakanan tambahan bagi pengurusan berat badan. Majoriti dikalangan mereka akan mengambil semula diet normal, maka terjadilah kegemukan kembali secara berganda-ganda (rebound). Kenapa tidak istiqomah? Sebab harga suplemen mahal. Hanya orang betul-betul berada sahaja mampu beli.

Kesan kaedah pemakanan kebulur (VLCD) ini kepada kesihatan tubuh badan adalah:

1- Metabolisma dan keseimbangan badan akan tergangu.

Kajian menyatakan 23% otot-otot akan menyusut. Akhirnya tubuh tak bermaya, tenaga untuk melakukan aktiviti terbantut. Tidak semua pesakit boleh bertahan dengan keadaan pemakanan kebulur seperti ini [3]. Kajian dari National Institute of Health US mendapati pesakit yang pada awal mencuba kaedah pemakanan kebulur, 80% dari mereka akan kembali gemuk dan penyakit tidak dapat dirawat kerana tidak tahan dengan nafsu pemakanan sedemikian [4].

2- Letih lsu dan zat makanan yang berkurangan.

Pengambilan pemakana kebulur ini akan menyebabkan banyak zat-zat pemakanan tidak diambil dengan seimbang. Zat besi, folate, vitamin B12 untuk pembinaan sel darah dan sel otot akan terbantut. Menyebabkan pesakit akan mengalami episod letih lesu sepanjang hari. Zat-zat ini boleh diperolehi dari pemakanan seimbang termasuk karbohidrat dan protein. Jika sayur-sayuran semata-mata, tidak mencukupi jizi zat nutrien sehari-hari. Kekurangan pengambilan protin juga akan menyebabkan sel otot akan menyusut, rambut menjadi nipis dan kuku menjadi lembik. Pembinaan otot, rambut dan kuku bergantung besar kepada pengambilan protin dalam makanan kita. Begitu juga dengan kalsium, magnesium, vitamin A dan vitamin-vitamin lain lagi, terdapat dalam pemakanan lengkap yang terdiri dari karbohidrat, protein, dan sayur-sayuran. Pembinaan dan kesimbangan hormon-hormon badan pula amat memerlukan lemak yang secukupnya.

3- Kesuburan dan sistem imuniti berkurang.

Hormon kesuburan memerlukan lemak asas seperti kolesterol. Walaupun 80% kolesterol dibina sendiri oleh hati, tetapi kelesterol dari makanan juga diperlukan dalam kadar tertentu.

4- Senang berlaku kerapuhan tulang.

Mineral asas seperti kalsium, natrium, potassium dan lain-lain lagi diperlukan untuk keseimbangan struktur tulang-temulang. Justeru, pengambilan kalori ekstrim akan merencat pengukuhan tulang.

Kesimpulannya, pesakit tidak boleh membuat pelan pemakanan tersendiri tanpa panduan dari pakar pemakanan kerana pemakanan yang ekstrim itu akan memunahkan badan kita dalam jangkamasa singkat atau lambat. Jangan takut untuk berhubung dengan pakar pemakanan (dietitan) yang terdapat di seluruh klinik kesihatan dalam negara kita. Bayaran pun percuma.

Apabila melihat kes Mak Aji yang saya jumpa tadi, saya yakin paras gula beliau akan menurun, tetapi tidak bermakna kencing manis beliau sembuh. Cuma saya kesian, beliau mendapat nasihat yang tidak tepat dari jurujual produk. Penjual kaya raya, beliau merana. Saya lihat lemah longlai beliau tadi semasa keluar dari bilik konsultasi. Sehinggakan nak buka daun pintu bilik pun tak bermaya.

“Kesian Mak Aji, nak buka pintu pun dok rok. Mai saya tolong.”

“Gelitik ni doktor!” Ucapnya lemah.

Dalam bab berpuasa setiap hari pun saya berikan nasihat ini supaya mengikut kemampuan kita sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Di antaranya berdasarkan hadis riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Majah dari al-Bahili, dia berkata;

أَتَيْت رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم فَقُلْت يا رَسُولَ اللَّهِ أنا الرَّجُلُ الذي أَتَيْتُك عَامَ الْأَوَّلِ قال فما لي أَرَى جِسْمَك نَاحِلًا قال يا رَسُولَ اللَّهِ ما أَكَلْت طَعَامًا بِالنَّهَارِ ما أَكَلْته إلَّا بِاللَّيْلِ قال من أَمَرَك أَنْ تُعَذِّبَ نَفْسَك قُلْت يا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي أَقْوَى قال صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ بَعْدَهُ وَصُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ من الحرم وَاتْرُكْ وقال بِأُصْبُعِهِ الثَّلَاثِ يَضُمُّهَا ثُمَّ يُرْسِلُهَا

Maksudnya: “Aku mendatangi Rasulullah Saw, kemudian aku berkata, ‘Ya Rasulullah, aku adalah laki-laki yang mendatangimu di tahun yang lalu.’ Rasul menjawab, ‘Aku lihat badanmu semakin kurus.’ Ia menjawab, ‘Ya Rasul, aku tidak makan di siang hari, aku makan hanya di malam hari.’ Rasul berkata, ‘Siapa yang memerintahmu untuk menyiksa dirimu?’ Aku berkata, ‘Ya Rasul sesungguhnya aku kuat (berpuasa).’ Rasul berkata, ‘Berpuasalah di bulan sabar dan tiga hari setelahnya, berpuasalah di bulan-bulan mulia dan tinggalkanlah dari bulan haram, berpuasalah dari bulan haram dan tinggalkanlah darinya.’ Nabi Saw dengan memberi isyarat dengan ketiga jarinya seraya mengumpulkan dan melepaskannya.”[5]

Janganlah kita terlalu ektrim dalam menjalani kehidupan ini, kerana padahnya kita juga akan menanggungnya dikemudian hari. Maka bersederhanalah.

Sekian nasihat dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

2.5.2019

Jerangau

Pautan:

[1] Kiraan BMR. http://www.bmi-calculator.net/bmr-calculator/metric-bmr-calculator.php

[2] Guideline for Bariatric Surgery. https://www.ucsfhealth.org/education/dietary_guidelines_after_gastric_bypass/

[3] Makanan rendah kalori. https://www.healthline.com/nutrition/calorie-restriction-risks#section3

[4] Kajian dari NIH atas pemakanan kebulur.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3673773/

[5] Kuliah Ustaz Shamsuri Ahmad Hadis Al Bahili. https://www.youtube.com/watch?v=fBydRy2OB5E

Bahaya Kulit Ayam Goreng?

Saya kira persoalan ini tak perlu dijawab panjang, anak saya yang kecil pun dah tahu kulit ayam rangup dari pasar malam tu banyak bahaya kepada kesihatan kita.

Saya sempat baca kajian yang dijalankan oleh Havard University berkaitan dengan kulit ayam sepertimana yang dilapurkan dalam akhbar tempatan tempoh hari. Suka dinyatakan bahawa penulisan dalam akhbar itu agak mengelirukan dan maklumat yang diberikan kesimpulan lengkap seperti saranan dari pengkaji Havard tersebut.

Kulit ayam memang mempunyai lemak tepu yang tinggi mengikut peratusan zatnya. Lemak tepu itu adalah lemak yang likat dan jika masuk dalam badan kita agak sukar untuk diuraikan menjadi zat dan akhirnya digunakan sebagai pembinaan badan serta tenaga. Justeru, lemak tepu itu akan berkumpul di dinding-dinding salur darah yang menyebabkan penyumbatan. Akhirnya, telalu banyak lemak yang tidak baik ini menjadikan setiap kita berisiko tinggi menghidapi serangan jantung, darah tinggi, strok dan pelbgai lagi.

Cumanya, pengkaji dari Havard itu menyatakan kulit ayam yang terdapat bersama dengan satu sajian ayam itu tidaklah mendatangkan pengambilan yang melebihi dari keperluan seharian lemak seseorang. Setiap dari kita memerlukan sejumlah kalori lemak untuk pembinaan sel-sel badan, pembinaan sel otak dan fungsinya. Lemak perlu, tetapi ambillah secara sederhana.

Persatuan Jantung Amerika (AHA) mencadangkan pengambilan lemak tepu hanya 5-6% sahaja dari jumlah kalori seharian. Seketul paha ayam yang bersalut kulit atau bahagian dada ayam berkulit masih lagi memenuhi kriteria pengambilan lemak seharian. Itu sahaja yang cuba disampaikan oleh artikel berkenaan. Masalah bagi kita adalah sajian kulit ayam yang tidak menepati resipi sihat. Andai kata kita makan kulit ayam sahaja sepinggan seperti yang dijual di pasar-pasar malam itu, jumlah lemak sudah melebihi keperluan. Apa yang berlebih itu akan akhirnya menjadi mudarat kepada badan.

Oleh demikian, penyajian makanan amat penting. Lemak-lemak tepu seperti kulit ayam, lemak lembu, kambing dan lain-lain lebih murni disajikan secara bakar, panggang atau masakan sup, tanpa gorengan. Ini kerana minyak masak (sawit) dari hasil goreng itu juga dikira lemak yang boleh meningkatkan lagi jumlah keperluan lemak seharian.

Semoga pencerahan dari suhazeli.com ini boleh membantu anda meningkatkan penjagaan kesihatan diri.

fb.com/drsuhazeli

29.4.2019

Putrajaya

Pautan:

[1] Makan kulit ayam bagus. https://www.scmp.com/lifestyle/health-beauty/article/1893758/doctors-got-it-wrong-eating-chicken-skin-now-and-again-good

[2] Kajian Kulit ayam. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/2012/06/21/ask-the-expert-healthy-fats/

[3] Keperluan lemak seharian. https://foodandnutritionresearch.net/index.php/fnr/article/view/758

[4] Lemak Omega 3 dan 6. https://www.healthline.com/nutrition/omega-3-6-9-overview#section1

[5] Saranan lemak dari AHA. https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-eating/eat-smart/fats/saturated-fats

Neuro Death kerana Handphone?

#TegurJam5

Lain kali kalau nak share pun buat dalam bentuk pertanyaan. Menunjukkan kita sendiri tidak yakin dengan penyakit yang ditunjukkan dalam video tersebut. Ni tidak, lepas share konfiden je kutuk-kutuk ibubapa yang berikan anak mereka main telefon.

Lepas bapa budak tu beri penjelasan baru sentap!

Tak ada pun diagnosa dalam perubatan Neuro Death. Kalau Brain Death tu ada. Tapi brain death tu pesakit nak mati dah. Selembek atas katil tak bergerak.

Pertumbuhan sel otak tidak dipengaruhi oleh gelombang yang dibawa oleh telefon bimbit. Walaupun terdapat tulisan yang menulis sedemikian, tetapi tiada keputusan konklusif dari kajian sahih dan berwibawa.

Namun, telefon bimbit secara subjektif boleh mempengaruhi perkembangan psikologi, mental dan sosial kepada manusia secara am. Antaranya:

* Risiko berlaku kemalangan apabila menggunakan telefon ketika memandu, berjalan kaki dan berbasikal. Sesetengah syarikat melarang pekerja menggunakan telefon bimbit semasa mengendalikan mesin/jentera kilang, kerana risiko kecederaan boleh berlaku.

* Kesan kepada perangai dan sifat anak-anak. Tidak memberikan tumpuan kepada pendidikan kerana ketagih menggunakan telefon bimbit.

* Risiko melihat laman-laman lucah dan menakutkan lagi melakukan aksi porno seperti yang lihat oleh mereka.

* Mengganggu tidur manusia kerana bermain telefon hingga lewat malam. Gangguan boleh boleh menjejaskan fikiran, mood dan tingkahlaku.

* Membentuk budaya baru dalam keluarga. Tidak menghiraukan sekeliling dan ahli keluarga yang lain. Fenomena ini tidak sihat dari sudut sosial manusia.

Sekian #DoneTegur dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

29.1.2019

Ketengah Jaya

https://www.albany.edu/news/82329.php

Tepuk-tepuk Sembuh Merawat Roh

Selalu sahaja tersebar promosi perubatan yang ajaib dan menakjubkan. Kami bukan nak merendah-rendahkan mereka, tetapi paling tidak keajaiban mereka merawat pesakit itu (jika benar berjaya), kembangkan lagi diseluruh negara.

Contohnya seorang ahli pengubatan Islam yang siarkan dalam TV boleh mengubati pesakit yang lama lumpuh sehingga boleh berjalan. Memang menakjubkan, dengan beberapa kali tepuk dan gosok pesakit sudah baik. Promosi yang dibuat pun mempamerkan kaedah Islam yang menggunakan ayat Al Quran dan merawat roh pesakit.

Contoh lain, sebaran viral “Perubatan secara asyifa oleh Ustaz Pak Habib Omar dengan cara aling telor ayam pada kedua-dua jari kaki untuk mengeluarkan segala penyakit dalam badan dengan izin Allah subhanahu wa ta’ala. Rawatan bertempat di bla..bla…bla.” Memang ajaib.

Saya berseloroh, sepatutnya KKM gajikan orang-orang hebat di alam melayu ini untuk merawat pesakit-pesakit di hospital. Sepatutnya juga mereka kembangkan lagi ilmu mereka dengan mendidik orang lain agar dapat juga menjalankan aktiviti yang sama. Bukan hanya untuk diri sendiri.

Untuk pengurusan yang lebih teratur agar semua kaedah perubatan komplimentari ini bergerak seiring dengan kemajuan dunia, Malaysia telah pun meluluskan satu akta yang khas. Akta ini dibentuk untuk menyerupai Akta Perubatan 1971 ke atas semua pengamal perubatan seluruh negara.

Pentingnya Akta 775 ini akan terpakai kepada Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PPTK) yang mendakwa mereka mencegah, merawat dan mengurus penyakit manusia atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu. Ianya termasuk amalan seperti:

(1) Perubatan tradisional Melayu,

(2) Perubatan tradisional Cina,

(3) Perubatan tradisional India,

(4) Pengubatan Islam,

(5) Homeopati, dan

(6) Terapi komplementari

Semua pengamal pengubatan yang disebut di atas dikehendaki mendaftar bagi memudahkan pengurusan pihak kementerian. Jika ianya benar-benar memenuhi syarat yang melayakkan untuk beramal maka pengamal perubatan yang tersebut itu wajib mendaftarkan diri melalui mana-mana Badan Pengamal yang diiktiraf dan dilantik oleh KKM.

Apa yang penting juga adalah, kesemua kaedah untuk berubat itu mesti memenuhi keperluan fizikal dan syariat seperti yang selalu disarankan oleh JAKIM bagi mereka yang mengaku kaedah perubatan Islam. Pesanan kami agar melihat balik kepada garis panduan yang pernah dikeluarkan oleh JAKIM berkaitan isu bedah batin atau seumpamanya yang pernah viral satu ketika dahulu.

Amalan perbomohan dalam perubatan tradisional sering kali digunakan oleh Masyarakat Islam Malaysia. Berikut adalah contoh amalan perubatan tradisional yang tidak mengikut syariat Islam:

1. Pengamal menggunakan pertolongan jin (termasuk jin Islam) dalam rawatan perubatan.

2. Pengamal menggunakan sihir, ilmu hitam, silap mata, tukang nujum atau ramalan tapak tangan.

3. Pengamal mengaitkan suatu pengeras dengan suatu akibat.

4. Pengamal melakukan perkara syirik seperti sembelih binatang, sembah pantai, buang ancak dan lain-lain.

5. Pengamal menggunakan bacaan jampi yang tidak difahami.

6. Penggunakan menggunakan tangkal dan azimat yang berupa rajah atau bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.

7. Pengamal membaca ayat Al-Quran secara terbalik.

8. Pengamal memberikan syarat yang bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam. (contoh: pesakit wanita perlu bersendirian dengan pengamal)

9. Pengamal mengaitkan amalan perubatannya bersumberkan daripada Rasulullah dan Al-Quran tetapi tidak boleh membuktikannya.

Fakta sebenar

1. Tiada bukti dalam Al-Quran dan Hadis bahawa amalan pembedahan batin ini mengikut syariat Islam.

2. Amalan ini HARAM dilakukan kerana pengamal mungkin menggunakan ilmu hitam, silap mata, perantaraan jin atau syaitan atau sihir semasa merawat.

3. Pengguna ditipu dengan janji manis keberkesanan rawatan ini di samping bayaran yang tidak munasabah.

4. Mukjizat adalah suatu perkara yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah untuk para nabi dan rasulNya, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu yang tertentu,ia yang mesti ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka

5. Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang soleh yang dikasihi Allah, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu tertentu secara mendadak semasa hidupnya, tetapi tidak boleh diprogramkan dan dipertontonkan kepada orang lain dan ianya khusus sebagai tanda kemuliaan yang diberikan kepada golongan yang taat kepadaNya.

6. Maunah ialah suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu itu dengan tujuan untuk menambahkan lagi keyakinannya kepada Allah dan tidak wajar diperhebahkan.

7. Kasyaf ialah penyingkapan rahsia-rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Ia termasuk karamah yang mencarik adat yang dikurniakan kepada wali Allah SWT dan mestilah tidak bercanggah dengan kaedah agama dan hukum syarak yang telah disepakati.

Sesetengah keadaan kaedah perubatan komplimentari ini bukannya melibatkan batin atau roh, tetapi lebih kepada motivasi psikologi pesakit. Sudah sekian lama pesakit tidak disentuh dan dibelai sedemikian rupa, akhirnya bersemangat utuk gagahkan diri bangun. Ianya adalah bersifat sementara, kemudian kembali pada sakit asal setelah beberapa ketika.

Sebaliknya, jika benar-benar berhasil, daftarkan khidmat pengubatan tersebut agar ramai lagi pesakit yang memperolehi manfaat. Apa salahnya?

Pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

16.1.2019

Jerangau

[Sumber dari http://www.myhealth.gov.my/amalan-perubatan-yang-bercanggah-dengan-islam/]

Buang Asid dalam Badan atau Bersedia untuk Mati???

Saya syorkan orang ramai tidak sebarkan info salah berkaitan “bahaya makanan berasid” dalam group sosial masing-masing. Ianya ditulis oleh seorang yang banyak menimbul kekeliruan dan menakut-nakutkan orang ramai. Sebelum ini beliau pernah menulis berkaitan minum air sejuk dipagi hari boleh rosakkan buah pinggang, bahaya ultrasound bayi dan beberapa isu lagi. Teguran oleh pakar telah pun dibuat melalui Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Asid amino yang terbentuk hasil dari pencernaan protein, bukannya asid yang boleh mempengaruhi PH badan. Ianya struktur asas protein setelah dicerna dalam perut, bukan asid pun. Seberapa banyak kita makan ayam, telur, daging, ikan sekalipun, Asid amino ini tidak sesekali akan menjadikan darah kita berasid sehinggakan mengganggu keseimbangan darah. Nama aisd amnio diberikan secara khas kerana komponen molekulnya terbentuk dengan gabungan protein dan hidrogen serta Carboxylic Acid. Walaupun ianya mempunyai gabungan berkenaan, tetapi asid amino bersifat amphoteric. Apa makna amphoteric? Sebatian yang boleh bersifat samada asid atau alkali dalam masa yang sama. Namun ianya tidak mempengaruhi PH darah. Lagipun darah kita sudah dijadikan Tuhan mempunyai sistem penimbal (buffer). PH darah akan senantiasa kekal jika kita sihat, kecuali kita mempunyai penyakit tertentu seperti rosak buah pinggang, rosak paru-paru dan pelbagai lagi. Dalam keadaan sedemikian sekalipun sistem badan kita akan senantiasa diimbal sebaik mungkin.

Kalau susah nak faham, analogi dia begini, siput babi itu adalah siput bukannya babi. Nama khas diletakkan sedemikian mungkin kerana wajahnya, tetapi ia sebenarnya siput. Harap boleh faham. Kalau tak faham lagi kena masuk kelas sains semula lah.

Nasihat saya, makanlahlah ikut menu makanan yang disyorkan. Suku suku separuh yang pernah dipromosikan oleh KKM perlu diamalkan oleh kita semua. Cukup lengkap jizi makanan tersebut yang terdiri dari suku karbohidrat, suku protein dan separuhnya adalah fiber/sayur-sayuran.

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

7/1/2019

Ketengah Jaya

Waktu Asid Perut Keluar

Saya membaca satu artikel ringkas “Ingatan Mesra dari Pakar Perunding HKL” berkaitan dengan tiga waktu perut mengeluarkan asid. Saya bertanya kepada rakan-rakan rapat dari HKL adakah benar pakar dari HKL keluarkan ingatan mesra tersebut? Semua tidak mengecam siapa pakar perunding yang dinyatakan itu sebab tidak dinyatakan secara spesifik pakar perunding apa. Penamaan pakar dalam hospital memang khusus. Perlu dinyatakan pakar perunding mana satu samada pakar perunding perubatan, pakar perunding kanak-kanak, pakar perunding tulang dan seumpamanya. Kalau klinik kesihatan pula ada Pakar Perubatan Keluarga.

Kedua, perlu saya buat ingatan mesra juga yang ditulis itu adalah tidak tepat. Perut senantiasa mengeluarkan asid tanpa mengira waktu. Dianggarkan 2 hingga 3 liter sehari asid hidroklorik perut dirembeskan oleh kelenjar dinding perut. Keasidannya akan semakin berasid dari pH 4.0 ke pH 2.0-3.0 apabila makanan masuk ke dalam perut.[1]

Asid Hidroklorik ini penting untuk menyediakan suasana perut yang optima bagi enzim pepsin bertindakbalas dalam menghadamkan makanan yang ditelan. Justeru asid HCL ini akan senantiasa wujud dalam perut manusia tanpa mengira julat masa tertentu seperti waktu kerja pekerja pejabat.

,Adakah dinding perut kita akan rosak akibat asid HCL ini? Tidak, Tuhan jadikan dinding perut kita dibina dengan jenis sel-sel yang sesuai ketahanan dalam suasana sedemikian. Cuma dalam kes-kes penyakit tertentu, dinding perut kita akan ‘menipis’ sehingga terjadinya sakit. Keadaan ini biasanya kita beri nama penyakit gastrik/gastritis. Ianya berlaku akibat dari banyak faktor. Penyakit gastik ini juga boleh terjadi akibat dari asid HCL berpatah balik ke organ esofagus (refluks).

Berikut adalah beberapa nasihat yang berguna oleh Puan Ruqayyah, Pegawai Pemakanan (Dietitian) HUSM bagi mengelak dan merawat penyakit gastritis.

(i) Jika berlebihan berat badan, turunkan berat badan sekurangnya 5-10% berat sekarang. Perubahan struktur badan kita akan membantu proses penghadaman dan kedudukan perut.

(ii) Makan sikit tetapi kerap. Perut yang penuh akan memudahkan asid HCL ini berpatah balik ke ruang esofagus.

(iii) Elak makan dalam jumlah yang banyak kerana mudah refluks

(iv) Elak makanan terlampau berminyak, pedas, berherba dan berempah kerana makanan tersebut memudahkan lagi berlaku refluks, akhirnya radang di bahagian esofagus.

(v) Elakkan minuman berkafein, coklat, berangin (mint).

(vi) Berhenti merokok kerana air liur perokok bertindak meneutralkan asid HCL. Merokok juga boleh mengurangkan air liur sebagai penimbal asid HCL ini. Merokok juga mengurangkan tekanan di otot sfinkter dan menyebabkan batuk yang boleh merangsang refluks.

(vii) Elak makan bersulam air. Dinasihatkan ambil air setengah jam selepas makan, iaitu setelah makanan kita dihadam sepenuhnya.

(viii) Elak baring selepas makan. Tindakan graviti ini akan juga memudahkan asid HCL berpatah balik.

(ix) Banyakkan buah-buahan, sayuran dalam hidangan. Sayuran ini mengandungi banyak serat, yang membantu menahan asid HCL tidak berpatah balik.

(x) Elak makan lewat malam dan makan banyak. Kebiasaannya makan malam terlalu dekat dengan waktu tidur, tidak sempat perut kita menghadam makanan sepenuhnya. Jika makan malam lewat, tidur

lah dengan bantal yang lebih tinggi.

(xi) Ambil ‘chewing gum’ kerana ia membantu merangsang penghasilan air liur.

Sekian pesanan mesra dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

17.12.2018

Ketengah Jaya

Pautan:

[1] Sistem perut dan asid HCL. https://owlcation.com/stem/Hydrochloric-Acid-in-the-Stomach-and-Digestive-Problems

Mitos Bulan Tawaf Kaabah Setiap 1000 Tahun

Mesej viral ini mula tersebar sejak wujudnya aplikasi facebook dan wasap. Suka diingatkan mesej sebegini adalah seperti surat berantai yang tiada faedahnya.

Malah dibimbangi boleh menjatuhkan diri ke lembah dosa.

1] Tiada hadis yang menyebutkan sedemikian. Walaupun ianya bukan dipetik dari Nabi tetapi bentuk ayatnya seperti saranan yang Nabi selalu sebut.

2] Mana mungkin bulan mengelilingi kaabah? Bulan ada paksinya yang tersendiri. Jika bulan keluar dari paksinya, kiamatlah dunia.

3] Jam 3.25 pagi tanpa tarikh dan lokasi mana juga tidak dinyatakan. Ini adalah satu pernyataan umum yang boleh mengelirukan. Tidak dinafikan bahawa waktu mustajab doa adalah dua pertiga malam, tetapi tidaklah diberi waktu yang tepat seperti itu.

Nasihat berhentilah sebar mesej yang tidak ketahui usal pangkal seperti ini. Boleh merugikan masa, silap-silap boleh menambah saham dosa

Nasihat dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

27.11.2018

Jakarta

Rawatan Slip Disc dengan Ketuk Tukul

Begitu ramai yang mengaku boleh ubati sakit tulang belakang seperti rawatan betulkan slip disc yang disebarkan meluas melalui media sosial. Testimoni yang ditunjukkan itu menakjubkan dan ajaib sungguh. Dengan hanya gosok atau ketuk dan seumpamanya, kesakitan hilang ibarat mencabut semaian padi.

Saya tidak pasti apa mekanism yang berlaku sehingga begitu mujarab sekali! Kami di hospital berlainan kaedahnya. Doktor akan meneliti secara terperinci jika seseorang itu mempunyai masalah tulang belakang. Selain dari xray, mungkin ct-scan dan MRI akan digunakan untuk mengetahui punca penyakit serta menilai keparahan penyakit. Kemudian, barulah kami memberikan cadangan rawatan samada ubatan, fisioterapi atau pembedahan.

Maksudnya penelitian kami para doktor bukan hanya lima atau sepuluh minit! Tiada yang ajaib dan menakjubkan. Perawatan tulang belakang ini adalah lebih kepada rawatan mekanikal yang berlaku ke atas tulang belakang atau pelapik antara tulang belakang (disc). Jika berlaku tekanan, kerosakan pergerakan, disc tersembur keluar dan sebagainya, rawatan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati. Rawatan pun berbeza mengikut jenis penyakit. Pakar tulang akan menilai secara terperinci sebelum sesuatu prosedur dijalankan. Bukannya terus menghentak atau memotong tanpa melihat kepada anatomi (Struktur dan kedudukan) tulang belakang itu. Anatomi sesuatu tulang yang rosak itu tidak boleh dibuat andaian atau agak-agak walaupun kita boleh merasai lokasinya. Ini kerana di antara celah-celah tulang belakang itu tersirat saraf tunjang dan saraf yang menggerakkan tangan serta kaki manusia. Tersalah tekan boleh memparahkan lagi keadaan. Apatah lagi dengan menggunakan hentaman kuat seperti tukul, kayu blok dan sebagainya.

Mungkin telahan saya, ke’ajaib’an yang berlaku terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan dari bomoh tulang tradisional itu adalah bersifat sementara. Terasa lega setelah ditekan atau diketuk dan bernasib baik tidak mematahkan tulang temulang. Namun punca dan penyakit sebenar pesakit masih lagi berlegar di situ tanpa rawatan yang khusus. Sakitnya akan menjengah kembali pada satu tempoh yang tertentu.

Kebimbangan kami di sini adalah, andai ketukan itu kuat dan boleh mecederakan tisu sekeliling, meretakkan tulang dan menghimpit saraf, pesakit akan merana sepanjang hidup. Kemungkinan boleh berlaku lumpuh adalah satu risiko yang agak tinggi.

Namun terdapat para penyokong tegar perubatan tradisional ini memperli dan memperlekeh nasihat kami, dengan mengatakan ilmu doktor tidak sama dengan ilmu yang diperolehi oleh bomoh tradisional berkenaan. Ya, saya akui ilmu Allah itu luas dan apa salahnya penerangan yang jitu diberikan. Kita tidak mahu ianya bersifat mistik sehingga tidak boleh diberi penjelasan tuntas mengikut ilmu akal manusia. Andai kata jika ianya benar-benar ajaib dan hebat, sepatutnya mereka:

1) Bergabung “kepakaran” itu dengan pakar ortopedik (tulang) supaya masyarakat lebih ramai mendapat manfaat.

2) Membuka kelas-kelas ilmu resetting tulang kaedah Melayu ini kepada orang ramai atau doktor. Penting penyebaran ilmu ini kerana semakin ramai yang pandai, maka semakin ramai orang dapat manfaat. Bukan setakat sekitar kampung bomoh itu menginap sahaja tetapi ianya perlu dimanfaatkan keseluruh Malaysia. Tidak perlu lokek dengan ilmu. Saya terbuka dalam bab mencari ilmu ini.

Saya kira dua cadangan di atas hanya fatamorgana. Jika hanya pandai lukis atas belakang dan ketuk-ketuk tanpa mengetahui diagnosa sebenar penyakit samada tulang retak, disc terkeluar, disc menipis, saraf tersepit dan banyak lagi, memang mudah melakarkan lukisan. Zaman sekarang ini anatomi boleh dilayar dalam youtube mahupun google sahaja. Tetapi punca dan nama penyakit harus dibuat pemeriksaan teliti oleh pakar dan dibantu oleh alat-alatan terkini seperti xray, CT Scan atau MRI. Tiada keajaiaban yang boleh digunakan untuk mengetahui perkara sebenar, kecuali menggunakan ilmu-ilmu ghaib.

Seruan saya, jangan mudah terpedaya dengan testimoni yang menakjubkan. Fikir dalam-dalam dan berbincanglah dengan ahli yang pakar dalam bab ini. Keputusan silap anda boleh menyebabkan sengsara sepanjang hidup dan banyak wang melayang nanti.

Sekian nasihat tanpa bayaran dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

29.8.2018

Kuala Dungun

Guna Smartphones Penyebab Kanser?

Dengan nada bergurau seorang pesakit radang mata (conjuntivitis) memuat naik foto mata merah beliau dan menulis bahawa beliau sudah terkena kanser mata kerana bermain telefon pintar dalam gelap sebelum tidur.

Tulisan sinis beliau menjadi viral serius setelah disebar-luaskan oleh beberapa laman maya. Semua menyalahkan punca berlaku kerosakan mata termasuk kanser mata itu akibat dari penggunaan telefon pintar selama 30 minit di dalam gelap sebelum tidur. Amaran amalan berbahaya itu pula disandarkan kepada Profesor Li Li, pakar ofthalmologi dari Singapura yang kononnya tabiat buruk bermain telefon bimbit sebelum tidur boleh menyebabkan degenerasi makula (kerosakan saraf mata) dan ‘contract’ maculopathy – kanser mata (ejaan contract merujuk kepada kanser pun salah).

Isu tersebut mula tersebar tahun 2016 lagi dalam bahasa Cina dan English. Kemudian diterjemah kepada bahasa Indonesia dan Melayu.

Merah mata seperti yang disebarkan itu bukannya berpunca dari kanser mata atau degenerasi makula. Kemerahan seperti itu biasanya adalah radang mata (conjunctivitis). Puncanya pelbagai, termasuk jangkitan virus dan bakteria. Radang seperti itu akan pulih dalam tempoh 72 jam sahaja dan tidak mendatangkan komplikasi besar seperti buta atau kanser.

Bermain telefon dalam gelap tidaklah boleh memudaratkan sehingga terjadinya kanser. Dakwaan yang diviralkan itu adalah sengaja menakut-nakutkan orang ramai di zaman yang serba canggih ini.

Namun perlu juga diingatkan bahawa mata kita perlu rehat. Bila sampai waktu tidur, jangan dipaksa mata itu bersengkang dek kerana terlalu ghairah bermain dengan telefon pintar. Berilah peluang untuk tidur tanpa gangguan yang berlebihan.

Terdapat beberapa kes dilaporkan bahawa pengguna yang terlalu lama mengadap telefon pintar yang tinggi silau cahaya boleh menyebabkan kebutaan sementara (Transient Smartphone Blindness – TSB). Siri kejadian kes telah dicatat dalam beberapa jurnal seperti Canadian Journal of Ophthalmology [1], New England Medical Jurnal [2] dan PubMed National Library [3].

Silau TSB ini bersifat sementara dan tidak juga mendatangkan mudarat besar seperti macula degenerasi mahupun kanser mata. TSB ini seolah-olah kita memandang langsung matahari, pemandangan kita akan menjadi kelam seketika dan pulih semula dalam waktu yang tertentu. Jika anda juga mengalami keadaan ini, silalah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Sekian penjelasan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

26.8.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] Case series. https://www.canadianjournalofophthalmology.ca/article/S0008-4182(16)30801-8/pdf

[2] Nejm. https://www.nejm.org/doi/10.1056/NEJMc1514294?url_ver=Z39.88-2003&rfr_id=ori:rid:crossref.org&rfr_dat=cr_pub%3dwww.ncbi.nlm.nih.gov

[3] TSB. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5741272/

Rawat Kencing Manis dengan Diet Ketat

Sahabat bertanya, adakah benar kenyataan seperti berikut: kombinasi sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menjadi alternatif menggantikan ubat. Kami dibidang perubatan senantisa dilatih agar mendapatkan sumber sahih sesuatu berita yang meragukan seperti itu. Ini kerana ianya tidak disandarkan kepada mana-mana sumber yang autentik. ia mungkin pengalaman pihak tertentu yang tidak boleh digeneralisasikan kepada umum.

Sebagaimana yang kita ketahui bersama bahawa kencing manis adalah satu penyakit yang kronik. Buat ketika ini tiada satu pun ubat yang meyembuhkan kencing manis sepenuhnya. Segala ubatan yang diberikan di premis perubatan moden adalah bertindak sebagai pengawal kepada kandungan gula dalam darah agar tidak meningkat. Ubat kencing manis atau insulin hanya boleh mengawal supaya gula tidak naik. Tiada ubat setakat ini boleh sembuhkan kencing manis. Mungkin hasil teknologi dan kepesatan perubatan pada masa depan dijumpai ubat untuk sembuhkan kencing manis.

Peranan ubat tersebut boleh berlaku dalam pelbagai mekanisma:

1) Jenis cucuk Insulin: Ianya Bertindak secara terus menggantikan insulin semulajadi yang sudah tiada dalam badan. Bagi individu normal, insuin akan dirembeskan oleh kelenjar pankreas. Kelenjar ini bertindak sebagai kilang pengeluaran insulin. Apabila paras gula dalam badan meningkat, pankreas akan merembeskan insulin bagi tindakbalas untuk mengurangkan gula. Justeru insulin luaran yang dicucuk akan mengambil fungsi yang sama dengan insulin yang dirembeskan oleh pankreas. Terdapat sebaran dari pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh insulin yang berada dalam pasaran negara kita adalah dari kinzir. Suka saya tegaskan di sini bahawa insulin adalah bebas dari sumber kinzir. Kaedah pembuatan secara teknologi kini sudah tidak melibatkan penggunaan unsur kinzir dalam pemprosesannya.

2. Tablet Metformin/gliclazide: Meningkatkan rembesan glukokortikoid, sejenis hormon alternatif bagi insulin untuk mengurangkan paras gula. Ubat metformin ini adalah paling banyak digunakan oleh seluruh doktor yang merawat pesakit kencing manis. Ia adalah ubat utama yang digunakan kerana berbentuk biji dan sesuai kepada semua peringkat manusia.

3. Tablet Acarbose: Menghalang serapan gula dalam salur usus. Mekanisma ubatan jenis ini sesuai kepada individu pesakit yang tertentu sahaja.

4. Tablet DP4 inhibitor: Merencat pencernaan glukosa dalam darah melalui tindakan hormon. Ubat terbaharu jenis ini adalah hasil dari kajian dan perkembangan teknologi.

Terdapat dikalangan pesakit saya yang mempersoalkan kenapa para doktor tidak mengkaji makanan untuk menggantikan ubat-ubatan. Kita lupa sebenaranya perubatan moden ini juga adalah hasil kajian dari herba serta unsur semulajadi yang berada disekeliling kita. Ubat Metformin yang saya sebutkan di atas tadi, adalah asalnya dari sejenis tumbuhan bernama Galega Officinalis. Setelah mendapati orang zaman dahulu mengambil tumbuhan ini bagi mengubati penyakit kencing manis mereka, maka para doktor terus melakukan kajian dan mengekstrak bahan aktif yang terdapat dalam tumbuhan tersebut untuk dijadikan pil. Lebih dari 52% ubat-ubatan dalam senarai ubatan perubatan moden di dunia adalah berasal dari herba. Kajian yang mengikut kaedah dilakukan terhadap tumbuhan tersebut, akhirnya terbentuk ubat yang dijenamakan sebagai ubat moden.

Bagaimana pula dengan pesakit yang hanya ingin mengawal makanan sahaja untuk menyembuhkan kencing manis? Ya, makanan berzat dan baik boleh membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Tetapi ianya bukan kaedah yang khusus. Pengawalan makanan ini juga senantiasa dinasihatkan oleh doktor setiap kali sesi rawatan di klinik.

Mungkin sesetengah orang yang mempu menggunakan kaedah paling esktrim pemakanan. Iaitu dengan hadkan mengambil makan sebanyak 600 kcal sehari. Memang paras gula akan berkurangan tanpa mangambil ubat hospital. Tetapi ingat! Tahu tak anda berapa saiz makanan seumpama 600 kcal itu? Anggarannya sebanyak 2 keping roti canai sehari. Boleh tahan tak kita makan roti canai sepanjang hidup sebanyak 2 keping sehari? Pesakit kencing manis dalam negara setakat ini seramai 4.38 juta orang, adakah mereka semua setuju untuk amalkan diet yang ketat? Memang terlalu sukar. Mereka yang menjaga pemakanan ektrim ini boleh mengawal gula tetapi tidak boleh menyembuhkan kencing manis sepenuhnya. Malah kajian terbaharu melarang pemakanan yang ekstrim kerana mudarat lain pula akan timbul.

Bagaimana pula dengan Pemakanan Sunnah? Tidak nafi bahawa makanan sunnah (jika terma itu boleh digunapakai) mempunyai khasiat tertentu seperti antioksida dan sebagainya. Tetapi sehingga kini tiada lagi bukti pemakanan sunnah itu secara spesifik bertindak sepertimana ubatan yang saya sebutkan di atas. Pemakanan yang halal serta baik itu boleh membantu secara umum dan doktor sendiri mengesyorkan. Namun ianya bukan gantian kepada ubatan yang sedia ada.

Ada sesetengah pihak yang mendakwa jus sunnah mereka boleh sembuhkan kencing manis dengan beberapa testimoni tertentu.

Saya pernah mengesyorkan kepada mereka yang membuat dakwaan itu agar buat kumpulan data. Senang sahaja. Hasil dari jualan yang mereka buat itu, kumpulkan 100 orang contohnya yang diberi jus dan buat kiraan statistik ringkas. Berapa % yang berjaya menurunkan kandungan gula dalam tempoh tertentu. Kaedah kajian ini agak terkeluar dari etika kajian saintifik, tetapi setidak-tidaknya kita mempunyai data sokongan yang boleh mendakwa bahawa jus tersebut berkesan, berkualiti dan tiada kesan sampingan (selamat).

Peru diingat rawatan kencing manis ini bukan setakat paras gula semata-mata, tetapi beberapa indikator lain yang perlu diambil seperti paras HBA1c, paras kolesterol, tekanan darah dan pengesanan komplikasi samada serangan jantung, buah pinggang, saraf dan banyak lagi. Tidak semudah kita melihat satu bacaan gula cantik dipagi hari, terus mendakwa bahawa kencing manis sudah sembuh.

Kencing manis adalah penyakit yang progresif. Keseriusan dan keterukan akan berkadar dengan masa. Semakin lama kencing manis, penurunan fungsi badan juga akan berkurangan. Lambat laun komplikasi akan menjegah jua. Samada cepat atau lambat itu bergantung kepada kawalan paras gula kita setiap jam.

sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

16.8.18

Jerangau

Probiotik Punca Kanser?

Biasanya isu tular yang melibatkan jenama tertentu atau makanan tertentu cepat merebak dikalangan masyarakat kita. Terkini, timbul kembali isu meminum minuman probiotik (seperti Vitagen, Yakult dan lain²) punca kepada penyakit kanser. Mesej yang ditularkan kembali itu sebenarnya telah berlegar sejak dari tahun 2015 lagi. Mesej berkenaan memaparkan cerita seorang pelawat hospital yang mengunjungi waris mereka terkejut setelah diberitakan punca penyakit kanser darah (leukaemia) akibat meminum jus probiotik tertentu. Terdapat juga tulisan tular yang berversi agak serupa yang menuduh minuman jus probiotik itu punca kepada kanser perut.

Mereka menyandarkan kepada kata² doktor yang melarang pesakit kanser berkenaan mengambil makanan atau minuman yang mengandungi bakteria baik (makna umum bagi probiotik kerana mengandungi bakteria seperti laktobasilus). Laktobasilus ini mempunyai khasiat penting dalam membantu pencernaan dan penguraian makanan yang di makan.[1] Kajian kes kawalan mendapati probiotik boleh mengurangkan keterukan cirit-birit akibat kuman.[2]

Isu yang geger di media maya itu sudah pun dijawab oleh beberapa orang pakar dan pihak berautoriti termasuk Menteri Kesihatan.[3] Apa yang berlaku adalah, salah kefahaman tentang konsep pesakit kanser tidak dibenarkan mengambil bahan tertentu kerana sistem pertahanan badan mereka ditahap minima.

Apabila immuniti/pertahanan badan lemah, jangkitan bakteria yang tidak merbahaya seperti laktobasilus senang merebak dengan individu normal. Apa sahaja termasuk makanan yang diproses melalui kultur bakteria, vaksin kategori yang dilemahkan (live attenuated vaccine) adalah dinasihatkan tidak diberi kepada pesakit² yang rendah sistem imun. Pesakit yang rendah imuniti seperti:

1- Pesakit kanser yang sedang dalam rawatan kimoterapi,

2- Pesakit HIV,

3- Pesakit yang baru lepas pemindahan organ,

4- Pesakit dalam rawatan dialisis (cuci buah pinggang).

5- Pesakit sedang menjalani rawatan steroid yang berpanjangan seperti pesakit SLE.

6- Bayi pramatang

Jika pesakit minum juga, kesan yang akan diperolehi adalah tidak serius. Kajian kes menunjukkan terlalu jarang berlaku seperti jangkitan kuman dalam darah (sepsis), jangkitan kuman ke jantung (Endocarditis) dan beberapa kesan lagi.[2] Atas asas inilah doktor memberi nasihat agar pesakit yang kurang sistem pertahanan badan tidak mengambil minuman berprobiotik. Beringat sebelum kena, pilihan minuman lain masih banyak untuk diambil.

Minuman probiotik bukan penyebab kepada berlakunya kanser darah atau usus. Ianya juga tidak sama sekali menjadi punca sel kanser merebak atau membiak. Kefahaman minuman kultur tersebut sebagai punca kanser adalah tidak benar.

Semoga penerangan ringkas ini boleh memberi pencerahan kepada masyarakat.

Sekian dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

25.7.2018

Sungai Petani, Kedah

~Baru lepas pekena laksa Kedah. Mungkin ada probiotik.

Pautan

[1] SP Borriello, WP Hammes, W Holzapfel, P Marteau, J Schrezenmeir, M Vaara, Ville Valtonen. Safety of probiotics that contain lactobacilli or bifidobacteria. Clinical infectious diseases 36 (6), 775-780, 2003

[2] Robert J Boyle, Roy M Robins-Browne, Mimi LK Tang; Probiotic use in clinical practice: what are the risks?, The American Journal of Clinical Nutrition, Volume 83, Issue 6, 1 June 2006, Pages 1256–1264, https://doi.org/10.1093/ajcn/83.6.1256

[3] Tiada bukti Vitagen Penyebab Kanser. http://english.astroawani.com/malaysia-news/no-evidence-vitagen-causing-stomach-cancer-health-ministry-11315

Mandi Pagi Hilang Kolesterol?

Paling kurang tiga rakan sakat (tag) nama saya dalam facebook bertanyakan kebenaran video berkaitan mandi pagi boleh hilang kolesterol.

Terdapat juga sebaran tular artikel yang kononnya menyebut sesiapa yang bangun di awal pagi dan solat sunnat tahajjud boleh terhindar dari penyakit. Katanya, saat sujud di pagi hari darah akan mengalir ke dalam salur darah halus otak. Waktu kebiasaan salur darah tersebut tidak dimasuki darah! Ada juga tulisan tular yang menyebut di waktu dini sedemikian, udara sekeliling terdapat banyak O3 atau ozone. Di mana, ozone ini memepunyai banyak manfaat kesihatan.

Adakah benar khasiat² yang diceramahkan itu?

Hasil penelitian saya, tiada hadis yang jelas mengenai anjuran mandi sebelum subuh. Apa yang disebut oleh Rasulullah saw adalah fadilat solat sunat sebelum subuh dan keberkatan bangun makan sahur. Sebagaimana hadis² berikut:

Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu anhuma berkata,

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ عَلَى شَيْئٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ تَعَاهُداً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ

“Nabi tidak pernah menjaga shalat sunnat melebihi perhatian beliau terhadap dua rakaat sebelum Subuh.”[1]

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مَنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيْهَا

“Dua rakaat (sebelum) Subuh lebih baik daripada dunia seisinya.”[2]

Atau aktiviti sebelum subuh adalah makan sahur. Dari Ibnu Umar dan A’isyah radhiallahu ‘anhum,

أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ

Bahawa Bilal biasanya berazan di malam hari. Lalu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Makan dan minumlah kalian, sampai Ibnu Ummi Maktum berazan, kerana tidaklah dia mengumandangkan azan kecuali setelah terbit fajar.” [3]

Ilmu perubatan tidak akan menafikan manfaat kesihatan jika berlaku kepada individu tertentu dalam melakukan apa sahaja amalan sunnah. Cuma, ilmu perubatan mesti bersandarkan bukti yang tepat sesuatu perbuatan itu boleh menghindarkan penyakit mahupun menyembuhkannya.[4] Selagi tiada disebut secara khusus oleh baginda Rasulullah saw bahawa mandi sebelum fajar itu boleh mengubati penyakit atau secara spesifiknya menghapuskan kolesterol darah, mengubati kulit, merawat nyanyuk dan seumpamanya, maka pandangan para agamawan hanya bersifat andaian semata². Ianya tidak boleh dijadikan hujah malah kurang manis dijadikan bahan kuliah. Tambahan pula beliau membuat pengesyoran agar berhenti makan ubatan yang sudah terbukti (secara sainsnya mampu merawat) demi mengukuhkan pandangan beliau itu. Nasihat yang sedemikian menyanggahi disiplin ilmu yang sepatutnya.

Kolesterol terbentuk dalam badan kita samada melalui kaedah luaran atau dalaman. Memakan makanan yang tinggi kandungan lemak boleh mempungaruhi paras kolesterol. Begitu juga badan sistem badan kita sendiri memproses kolesterol dan komponennya untuk kegunaan tenaga secara dalaman. Satu proses yang agak unik untuk dibincangkan.[5]

Sehingga kini, tiada satu pun kajian yang membenarkan kenyataan mandi sebelum subuh itu boleh merawat kolesterol, mencantikkan kulit, melancarkan peredaran darah, tingkatkan kesuburan, meningkatkan sistem imun dan sebagainya.

Sujud yang lama di waktu subuh juga tidak dibuktikan boleh menghindarkan penyakit nyanyuk. Bahkan salur darah halus dalam otak semuanya disaliri oleh darah sepanjang ketika samada waktu berdiri, baring atau sujud. Mekanisma badan kita dijadikan unik untuk itu. Jika terdapat salur darah yang tidak mengalir darah ke sesatu kawasan otak, bermakna kita sudah ditimpa penyakit strok (angin ahmar).

Udara diwaktu dini hari memang segar, kerana tiada aktiviti manusia yang boleh mencemarkannya (bergantung kepada kawasan juga). Tetapi teori yang mengatakan waktu dinihari itu banyak ozone adalah tidak benar. Ozone dalam bersekitaran boleh meningkat dengan peningkatan suhu. Ozone baik untuk menghalang kemasukan cahaya ultra lembayung ke muka bumi. Sebaliknya Ozone yang tinggi dalam persekitaran boleh menjadi risiko kepada penyakit seperti asma dan lain-lain penyakit paru².[6]

Sekian penjelasan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

17.7.2018

Kuala Terengganu

Pautan

[1] Muttafaqun ‘alaih

[2] HR. Muslim

[3] HR. Bukhari, no. 1919 dan Muslim, no.1092

[4] Mandi sebelum subuh. https://muslimafiyah.com/sunnah-mandi-sebelum-subuh-syariat-dan-medis.html

[5] Metabolisma Kolesterol. https://www.medscape.com/viewarticle/451762_5

[6] Ozone Facts. https://www.airnow.gov/index.cfm?action=ozone_facts.index

Bahaya Minyak Kitar / Panaskan Semula?

“Bahaya tak doktor kita guna minyak masak berulang² kali seperti menggoreng pisang, cekodok, keropok lekor dan sebagainya?” Satu soalan yang terpacul oleh seorang pesakit semasa sesi klinik.
Tersebar juga tulisan yang kononnya memanaskan semula makanan/lauk yang berminyak menyebabkan kanser kerana minyak tersebut akan bertukar menjadi Hydrogen Peroxide. Hydrogen Peroxide ini adalah sejenis bahan kimia terbitan setelah minyak bertindakbalas dengan hidrogen akibat pemanasan yang berulang². Betul ke? Bahasa yang berbentuk saintifik sebegini menyebabkan masyarakat awam mudah terpengaruh kerana mereka tiada asas dalam sains. Tambahan lagi, tindakbalas kimia yang berlaku apabila makanan bercampur dengan minyak dan haba yang panas, tidak pun dipelajari secara mendalam dikalangan masyarakat. Akhirnya mereka akan menerima bulat² tulisan sebegitu tanpa menyelidik lebih mendalam.
Cerita² sebegini memang sensasi dan seronok disebarkan sehingga menimbulkan rasa takut dalam masyarakat. Negara barat telah lama menanamkan ketakutan kepada rakyat mereka bahawa bahaya penggunaan minyak sawit. Dakwaan mereka bahawa minyak sawit itu mengandungi banyak lemak kolesterol berbanding dengan minyak bijirin lain seperti minyak jagung, minyak Bunga Matahari dan lain². Mereka juga membuat penambahan bahawa pemanasan yang lama serta berulang kali penggunaannya boleh mendatangkan bahaya kepada badan.
Terdapat beberapa kajian tikus makmal yang mengaitkan kemerbahayaan menggunakan minyak yang dikitar semula atau pemanasan berulang² itu. Jumlah kejadian penyakit² seperti serangan jantung, darah tinggi, sakit buah pinggang, hati dan lain² boleh berlaku setelah tikus² makmal berkenaan diberi makan minyak yang dikitar semula dalam tempoh tertentu.[1] Had minyak yang digunakan dalam kajian tersebut adalah melebihi 10 kali kitar semula. Kajian ke atas manusia belum dibuat lagi. Kajian yang berisiko seperti ini tidak perlu dilanjutkan ke atas manusia, kerana manusia mana yang sanggup jadi subjek kajian seperti tikus makmal itu?
Namun kajian dalam bentuk epidemiologi sudah banyak dijalankan. Kajian ini memerhati polar pemakanan sesuatu negara dan dipadukan dengan jumlah kejadian kes² seperti kegemukan, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan seumpamanya. Secara tidak langsung pemakanan yang mengandungi lemak tepu mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia.[2] Namun, adakah kita terus membuang minyak masak yang digunakan sehari²? Atau terus menukar semua menu masakan kita kepada minyak bijirin yang kurang lemak tepu?
Untuk kefahaman lanjut bagi orang awam, minyak kegunaan seharian kita boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama.
1. Lemak Tepu (SF – Saturated Fat) bermaksud komposisi rangkaian panjang Asid Lemak (long chain fatty acid). Contoh: Minyak sawit, santan, minyak kelapa dara.
2. Manakala Lemak Tidak Tepu (USF – unsaturated fat) adalah rangkaian Asid Lemak yang pendek. Terdapat dua jenis
i) Monounsatured (MUFA). Contoh: Minyak zaitun, avocado, kacang.
ii) Polyunsaturated (PUFA). Lemak Omega 3 & Omega 6 adalah dari jenis PUFA. Kedua-duanya adalah Asid Lemak Asas (Essential Fatty Acid). Lemak Omega ini membantu kurangkan risiko sakit jantung. Contoh: Ikan laut dalam, minyak jagung, Minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak bijirin. Omega 3: Ikan laut dalam.
3. Transfat adalah lemak terbitan (setelah diproses). Maksudnya lemak yg terhasil selepas proses pengoksidaan. Contohnya minyak sayuran + hydrogen (hydrogenation process) ➡ Transfat (pejal). Kesan transfat dalam darah kita adalah meningkatkan lemak jahat (LDL), menurunkan lemak baik (HDL). Tetapi transfat ni rasanya sedap, sebab tu banyak digunakan. Sejak 2013, Badan Penguasa Pemakanan (FDA) mengistiharkan transfat sebagai tidak Secara Umumnya Selamat (GRAS- Generally Recognized as Safe). Contoh: Marjerin, Pastri, dan makanan proses, makanan segera.[3]
Makanan yang mengandungi MUFA dan PUFA adalah paling baik. Jadi banyakkan ambil jenis MUFA dan PUFA. Manakala makanan yang mengandungi SF dinasihatkan diambil dalam jumlah yang sedikit. Walaubagaimanapun dalam piramid makanan, pengambilan lemak adalah portion yang paling sikit. Mengambil lemak harus berpada-pada.
Baik, berbalik kepada isu panas semula makanan berminyak. Boleh ke? Secara umumnya memanaskan semula makanan di dapur rumah anda adalah selamat. Makanan tersebut tidak akan bertukar menjadi Hydrogen Peroxide seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Walaupun terdapat kajian yang menyentuh hal tersebut, tetapi kehadiran Hydrogen Peroxide adalah terlalu sedikit dan selamat dimakan.[4]
Sepatutnya apa yang lebih merungsingkan kita adalah mengkitar semula minyak dan memanaskan kembali melebihi had. Lebih dari 5 kali kitaran penggunaan adalah tidak digalakkan. Jika di rumah kita, mungkin senang untuk dikawal penggunaannya, tetapi jika di kedai² makan, siapa yang kawal? Pembakaran minyak masak berkali² ini akan menyebabkan minyak teroksida dan melepaskan sejenis kimia radikal bebas. Radikal bebas ini boleh mendatangkan risiko kepada tubuh badan. Pembakaran berulang² itu juga akan menghasilkan karbon. Karbon itu juga boleh memberikan risiko negatif kesihatan.[5] Oleh yang demikian kita akan melihat minyak masak berubah warna hitam setelah berkali² digunakan. Jika lihat dalam kuali pekedai minyaknya sama warna dengan kuali, batalkan lah hasrat nak beli. Cari kedai lain.
Sekian
13.7.2018
Gombak
[1] K Ku, S & S Muhamad Ruhaifi, M & S Fatin, S & Saffana, M & Kamarudin, Taty & Das, Srijit & Jaarin, Kamsiah. (2014). The harmful effects of consumption of repeatedly heated edible oils: A short review. La Clinica terapeutica. 165. 217-221. 10.7417/CT.20I4.1737. Online https://www.researchgate.net/profile/Kamsiah_Jaarin/publication/265473746_The_harmful_effects_of_consumption_of_repeatedly_heated_edible_oils_A_short_review/links/544dd7b40cf2d6347f45cfe6/The-harmful-effects-of-consumption-of-repeatedly-heated-edible-oils-A-short-review.pdf
[2] Beth Meertens and Garry Jennings. Sorting Fat From Fiction. 2018. https://www.heartfoundation.org.au/news/sorting-fat-from-fiction
[3] American Heart Association. Transfat. https://healthyforgood.heart.org/eat-smart/articles/trans-fat
[4] Hydrogen peroxide in edible oil danger. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/pdf/10.1002/jsfa.2740400410
[5] Effect of repeatedly heat edible oil. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2582674/

Pokok Tembakau dari Kencing Iblis?

Tersebar hadis palsu mengenai haramnya rokok. Harap berhati² agar kita bukan menjadi agen penyebaran hadis palsu ini. Walaupun niat baik untuk mengukuhkan hujah bahawa rokok adalah haram, tetapi menggunakan hujah yang bukan sahih dari Rasulullah saw adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Sedikit ulasan saya mengenai hadis tersebut.

1- hadis iblis terkencing itu tidak tahu riwayat mana, muslim atau bukhari atau dll. Malah tiada pun ditemui matan (sebutan arab) hadis.

2-Jika iblis kencing, kat mana air kencing dia tu? Di tanah Syurga atau tanah bumi?

3- Tembakau sudah wujud ke masa zaman Nabi Adam mahupun zaman Nabi Muhammad saw? Pokok Tembakau cuma ditemui oleh penjajah sepanyol ketika mendarat di latin amerika sekitar abad ke 16M. kaum latin amerika yg pertama kali menanam tembakau.

4- Hadis ini adalah palsu. Ia tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab hadis, yang sahihnya atau yang dha`ifnya. Ia adalah satu pembohongan yang keji atas nama Nabi. Haram menyebarkannya.

5- Jika wujud hadith yg spefisik dan sahih dalam bab merokok, maka mudahlah Majlis Fatwa kebangsaan memfatwakan haramnya merokok. Pengharaman yang dibuat oleh MFK pada 25 Mac 1995 itu adalah berdasarkan kepada dalil ayat al Quran surah al Baqorah 196 dan diqiaskan atas pembuktian sains klinikal perubatan bahawa merokok banyak mendatangkan mudarat.

Wallahuaklam

Suhazeli.Com

30.6.2018

Masjid Butut Kuala Berang

Orang Ramai diminta Jangan Keliru

Saya pohon jurujual produk pemakanan tambahan yang buat kempen melalui maya buatlah sikit kerja rumah (homework) sebelum post maklumat produk. Atau mungkin ‘Penasihat Perubatan’ semak dahulu maklumat yang ditulis oleh para agen supaya fakta yang diberikan itu benar dan tepat.

Jika tidak, maklumat yang diberikan itu boleh menjadi kekeliruan kepada masyarakat. Bagi pembaca yang mempunyai asas perubatan, mungkin mereka tahu maklumat yang dituliskan itu tidak tepat. Namun bagi orang awam yang tiada asas sains akan percaya bulat-bulat kepada tulisan itu. Sedangkan ianya tidak betul dari segi istilah dan penggunaan ayat. Malah khasiat perubatan dan tuntutan menyembuhkan penyakit yang dipaparkan itupun tidak ada pembuktian secara klinikal yang absah ke atas manusia.

Saya ambil contoh satu produk yang mendakwa bahan aktif yang terdapat dalam produk mereka mengandungi enzim tertentu. Di mana enzim-enzim itu akan memberikan khasiat kesihatan dan perubatan khusus kepada penyakit-penyakit. Bahan-bahan yang dimasyhurkan oleh agen produk sebagai istimewa itu seperti Phenylethylamine, Phycocyanin, Polysaccharide dan L-Selectin Ligan sebagai ENZIM. Hakikatnya penggunaan perkataaan enzim kepada bahan tersebut adalah tidak tepat. Enzim menurut definisi perubatan adalah kompleks protein yang dikeluarkan oleh sel hidup dan bertindakbalas bagi menguraikan sebatian kimia dalam badan manusia [1,2]. Sedangkan Phenylethylamine, Phycocyanin, Polysaccharide dan L-Selectin Ligan itu adalah bahan BUKAN ENZIM. Mungkin sudut penulisan sebegitu memberikan tanggapan yang berbeza kepada orang awam. Bagi para doktor, mereka memahami apakah erti enzim tersebut.

Mari kita hurai satu persatu apakah bahan-bahan tersebut. Pada tulisan kali ini saya tidak tumpukan kepada keberkesanan produk yang mengandungi bahan-bahan berkenaan, ianya memerlukan satu kajian yang mendetail dari jurnal-jurnal yang berwibawa. Saya hanya ingin perbetulkan penggunaan bahasa yang boleh mengundang kekeliruan orang ramai.

1) Phenylethylamine (PEA)

Menurut Pusat Informasi Bioteknologi Kebangsaan, PEA adalah sejenis aroma asid amino digunakan untuk perisa sesuatu bahan makanan. Ianya boleh berbentuk cecair atau hablur garam bergantung kepada bahan kimia lain samada bergabung dengan oksigen atau klorida. Baunya hanyir seperti ikan [3]. Boleh terdapat dalam rumpai (algae), buah-buahan, penguraian bakteria dan secara semulajadi dalam tubuh manusia. PEA boleh bertindak sebagai perangsang dan penghubung saraf (neurotransmitter) samada dalam jumlah yang sedikit atau banyak dan akhirnya memberikan kesan tertentu kepada saraf manusia. Kajian mendapati pesakit yang hiperaktif mempunyai PEA yang rendah [4]. Manakala pesakit Skizofrenia (gila) didapati mengandungi paras PEA yang tinggi dalam ujian air kencing mereka. Secara umumnya PEA secara semulajadi adalah selamat untuk dimakan tetapi ianya tidak mendatangkan kesan perubatan yang memberangsangkan kepada manusia.

2) Phycocyanin

Sesuai dengan nama yang diberikan Phyco- alga, Cyanin- warna cyan (gabungan biru-hijau). Majoriti ekstrak dari alga seperti spirulina ini digunakan untuk pewarna kepada makanan dan kosmetik [5]. Ianya sejenis protein dan juga kombinasi mineral, vitamin dan asid lemak asas. Ianya bukan enzim. Phycocyanin ini mempunyai kelebihan sebagai anti-oksida dan anti-radang, namun kajian lanjut bagi merawat penyakit manusia perlu diteliti lanjut sebelum digunakan secara meluas sebagai sumber berubat [6].

3) Polysaccharide

Polisakarida ini adalah perkataan gabungan kepada monosakarida [7]. Sakarida adalah gula, tidak ada definisi tepat lain boleh digunakan. Tidak perlu dihuraikan lanjut apakah fungsi gula kepada manusia, ada baik dan ada buruknya. Gula adalah sumber tenaga, bukannya enzim seperti yang diwar-warkan itu.

4) L-Selectin Ligan

LSL inipun bukannya enzim. Ianya adalah sejenis protin berfungsi sebagai reseptor dalam interaksi sel darah putih (Limfosit).

Saya bukan menidakkan beberapa khasiat yang mungkin diperolehi dari produk tersebut. Ianya mungkin sejenis makanan yang boleh dimakan sama dengan pemakanan yang lain. Cuma menjadi kebimbangan saya sebagai pegawai perubatan adalah dakwaan yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Apabila ianya dalam bentuk dakwaan, maka pembuktian secara klinikal amat diperlukan. Jika ada, tiada masalah bagi kami.

Masyarakat awam perlu diperbetulkan kefahaman mereka mengenai perbezaan antara produk makanan dan produk perubatan. Jika ianya makanan, apa sahaja boleh diambil selagi tidak mendatangkan mudarat kepada tubuh. Jika ianya produk perubatan, wajib diluluskan oleh pihak berkuasa ubat-ubatan dalam negara. Kita mempunyai akta khusus dalam bab mengistiharkan produk kesihatan dan perubatan ini.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

22.6.2018

Kuala Berang

Pautan:

[1] Merriam Webster Dictionary. Enzyme definition. Access Online; https://www.merriam-webster.com/dictionary/enzyme

[2] Royal Society of Chemistry. Enzymes, Function and structure. Access online; http://www.rsc.org/Education/Teachers/Resources/cfb/enzymes.htm

[3] National Center for Biotechnology Information. Compound Summary for CID 1001; Phenylethylamine (PEA). Access online; https://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/1001?

[4] Irsfeld, M., Spadafore, M., & Prüß, B. M. (2013). β-phenylethylamine, a small molecule with a large impact. WebmedCentral, 4(9), 4409. Online; https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3904499/#

[5] Oilgaae. Phycocyanin from Algae and Applications. Access onine; http://www.oilgae.com/non_fuel_products/algae_phycocyanin.html

[6] Romay, C., Armesto, J., Remirez, D. et al. Inflamm. res. (1998) 47: 36. https://doi.org/10.1007/s000110050256

[7] Biology Dictionary. Polysaccharide. https://biologydictionary.net/polysaccharide/

Bahaya Bakar Ikan Dalam Pembalut Aluminium

Ada satu video petua kehidupan yang menayangkan penggunaan pembalut aluminiun semasa membakar ikan atau ayam mendatangkan bahaya kesihatan. Antara dakwaan mereka adalah zat aluminium tersebut boleh terurai sehinggakan penyebab kepada penyakit nyanyuk (Alzheimer’s Disease) dan beberapa penyakit lain. Tularan video dan tulisan tersebut sudah beredar sejak sekian lama.

Adakah benar dakwaan tersebut?

Satu kajian telah dijalankan oleh Ghada Bassioni dan rakan-rakan mengenai penilaian penggunaan pembalut aluminium dalam sajian makanan.[1] Mereka mendapati penggunaan suhu memasak yang tinggi melebihi 150 C boleh menyebabkan logam aluminium mudah terurai. Penguraian itu lebih cepat dengan hadirnya pengaruh dari beberapa faktor seperti bahan makanan dicampur dengan asam/asid/masin, makanan pedas dan tempoh memasak yang lama melebihi 1-3 jam. Kandungan aluminium yang mugkin diambil oleh seseorang yang memasak menggunakan kaedah ini telah melebihi kadar yang dibenarkan oleh FDA iaitu tidak lebih dari 1 mg/kilogram berat badan/sehari.

Namun perdebatan berlaku sejak berabad lamanya dikalangan para pengkaji samada jumlah yang sedemikian itu boleh menyebabkan penyakit Alzheimer (AD) atau penyebab kepada penyakit badan atau tidak?[2] Beberapa hujahan mereka yang berdebat dalam isu ini dengan memberikan info kajian yang menyatakan kes-kes yang berlaku dalam seberapa banyak lokaliti mendapati kes AD ini banyak berlaku dikawasan yang terdapat kandungan aluminium tinggi dalam sisitem air minuman mereka. Tetapi hujah ini disangkalkan oleh kumpulan yang menentang “Aluminium Teori” ini dengan menyatakan bahawa kenapa menyalahkan aluminium semata-mata?[3] Sedangkan dalam sistem air minuman, bukan sahaja air itu mengandungi logam aluminium. Malah patut dipersalahkan juga logam-logam lain yang menganggu sistem saraf otak (jika berlaku) sehingga menyebabkan AD seperti logam Zink, Plumbum, Besi dan lain-lain.

Terdapat juga kajian ke atas tikus yang menyatakan bahawa kandungan aluminium tinggi penyebab kepada kerosakan otak tikus makmal. Sekali lagi, kajian tersebut telah dipatahkan dengan kajian semula ke atas manusia, di mana sifat sel akibat aluminuim dalam tikus berbeza dengan sifat sel otak yang terdapat dalam manusia. Bahkan kajian-kajian tersebut juga mempunyai ketidakseragaman dari sudut pemilihan sampel dan bias yang tersendiri.

Buat masa ini perbahasan mengenai kandungan aluminium ini masih menjadi khilaf, samada boleh menjadi faktor risiko kepada penyakit-penyakit terutama AD atau tidak. Persatuan Alzheimer Kanada dan Kesatuan Alzheimer Antarabangsa telah membuat kenyataan rasmi bahawa aluminium BUKAN faktor risiko kepada penyakit-penyakit yang dibincangkan.[4] Malah pada tahun 2008 Pusat Kawalan Penyakit (CDC), unit toksikologi melaporkan beberapa kenyataan seperti berikut:

1) Walaupun terdapat pelaporan kemungkinan hubungkait antara aluminium dan penyakit sejak 40 tahun lalu, tetapi isu ini masih lagi menjadi tandatanya dan kontroversi dikalangan pakar-pakar berdasarkan bukti-bukti kajian terkini.

2) Terdapat sebilangan kecil kajian yang mengaitkan sejumlah masyarakat yang tinggal dikawasan yang tinggi kandungan aluminium dalam sistem air mereka, tetapi kajian tersebut adalah lemah. Bahkan terdapat juga kajian yang tiada signifikan prevalens penyakit AD dengan aluminium.

3) Ia dikuatkan lagi dengan kajian bahawa tiada kaitan signifikan berlakunya kes AD dikalangan penggemar air teh dan pesakit yang memakan ubat gastirk (antacid). Walupun diketahui umum bahawa air teh dan antasid mengandungi kandungan aluminium yang lebih tinggi berbanding dengan air minuman biasa.

Jika dilihat kembali penggunaan pembalut aluminium dalam penyediaan ikan bakar dan sebagainya, peratusan aluminium yang masih dalam bentuk logam itu terlalu sedikit dan tidak mendatangkan mudarat besar. Dengan syarat pembakaran menggunakan pembalut aluminium itu dimasak dalam tempoh yang sekejap (tidak melebihi 1 jam), suhu tidak melebihi 150 C, tidak dicampur garam/asam berasid semasa membakar, dan tidak dicampur ramuan pedas. Pembalut aluminium boleh digunakan untuk penyimpanan bahan makanan dalam peti atau pemerapan.

Sekian ulasan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

9.4.2018

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Risk Assessment Using Aluminium Foil. 2012. http://www.electrochemsci.org/papers/vol7/7054498.pdf

[2] Dangerous cooking with aluminium foil. https://www.foodnetwork.com/healthyeats/2017/02/myth-or-fact-cooking-with-aluminum-foil-is-dangerous

[3] Link between Aluminum and the Pathogenesis of Alzheimer’s Disease.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3056430/#__ffn_sectitle

[4] Does Cooking with Aluminum Foil Put You at Risk for Alzheimer’s?

https://www.snopes.com/fact-check/cooking-with-aluminum-foil-puts-you-at-risk-for-alzheimers/

Campuran Susu dengan Asam, Ikan Bahaya?

Lewat petang tadi tersebar tulisan yang melarang orang ramai mencampurkan susu dengan buah-buahan masam seperti oren, limau, nanas dan sebagainya. Katanya gabungan susu dengan bahan masam bukan satu makanan sihat dan boleh menyebabkan mudarat kesihatan. Maklumat yang disampaikan itu tiada rujukan jelas dan memberi nasihat bersahaja agar orang ramai tidak makan gabungan tersebut.

Sedikit carian dan bacaan saya buat berkaitan susu yang dicampurkan dengan bahan masam ini. Antara makanan yang agak popular adalah yogurt dan keju. Pembuatan yogurt dan keju ini adalah melalui gabungan susu dan asam seperti perahan limau atau cuka. Protein asas yang terdapat dalam suus bernama kasein akan terbentuk gumpalan (curdle) apabila terdapat asid yang dicampurkan. Kaedah inilah yang menjadikan yogurt dan keju itu unik dan sedap di makan.[1]

Proses yang sama juga dilakukan dalam pembuatan susu masam. Masyarakat arab amat suka meminum susu masam ini (laban). Menurut mereka, meminum susu masam lebih menyenangkan semasa membuang air besar nanti. Petua ringkas orang Arab, minum susu masam akan melembutkan najis dan memudahkan berak, terutamanya sesuai bagi pesakit buasir. Memang pun, bagi pesakit buasir, doktor akan nasihatkan beliau lebih memakan serat supaya najis lembut. Jika dengan kaedah meminum susu masam ini boleh mencairkan najis yang keras, maka ianya tidak mendatangkan mudarat besar untuk di minum.

Begitu juga dengan pembuatan susu yang berasaskan tindakbalas bakteria baik bernama laktobasilus seperti air vitagen dan sebagainya. Kesemua minuman ini mempunyai khasiat tertentu yang saya tidak huraikan secara terperinci di sini.

Sebagai maklumat tambahan, terdapat juga sebaran maya yang menuduh penyakit kulit seperti sopak akan timbul jika susu dicampurkan dengan ikan. Fakta ini adalah tidak benar. Tidak ada kesahihan kajian yang mengaitkan memakan ikan dicicah atau digaul dengan susu akan menyebabkan sopak.[2] Sebaran fakta palsu ini telah menular dalam alam maya dan perbualan dari mulut ke mulut. Sedangkan mereka tidak dapat mengesahkan kesahihan berita itu.

Semoga sebaran tidak benar seperti ini dihentikan dengan segera agar masyarakat tidak sasau-minda (panic).

Sekian jawapan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

6.4.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] How to Make Yogurt. https://www.foodnetwork.com/how-to/photos/how-to-make-yogurt-a-step-by-step-guide

[2] Is Fish & Milk A Dangerous Food Combination That Can Cause White Spots? https://thehealthorange.com/stay-nourished/healthy-food/will-get-white-spots-consume-fish-milk-together/

Bedah Batin

Sebut sahaja jika ada perawat yang mahir untuk merawat penyakit batu karang, pesakit akan berbondong-bondong pergi mendapatkan rawatan. Kemahiran mengeluarkan batu karang tanpa pembedahan seperti yang dilakukan oleh sesetengah bomoh, biasanya akan menjadi buah mulut ramai termasuk menjadi video viral dalam media sosial. Pendek kata, masyarakat yang masih jahil dalam urusan perubatan batu karang ini, akan sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga untuk mendapatkan rawatan bedah batin yang dianggap pelik dan hebat.

Pernah satu seminar fiqh medik yang saya hadiri, seorang pegawai JAKIM membentangkan isu beberapa rawatan yang dianggap syirik. Antara kes yang beliau bentangkan adalah bedah batin. Beliau mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan terhadap pengamal perubatan bedah batin di satu negeri dalam Malaysia. Pengamal perubatan tradisional tersebut telah menggunakan jin bagi tujuan merawat. Perbuatan ini adalah salah satu dari kaedah rawatan syirik, yang menggunakan khadam jin sebagai perantara. Amat menyedihkan juga menurut beliau, pengamal perubatan tradisional berkenaan berselindung atas nama ustaz dan membaca bacaan zikir/mentera yang tidak lekang di mulut.

Konklusi yang boleh diambil dari kaedah pengamalan perubatan sebegini biasanya:

1- Mereka meyakinkan anda bahawa rawatan pembedahan batin ini berupaya menggantikan pembedahan moden bagi penyakit kronik seperti masalah jantung, kanser, batu karang, strok dan lain-lain penyakit.

2- Mereka berupaya meyakinkan orang ramai bahawa kaedah pembedahan ini tidak menyakitkan tanpa ubat, malah pembedahan hidup yang dilakukan tiada ubat bius serta penahan kesakitan.

3- Tempoh masa untuk sembuh adalah sekelip mata. Selepas bedah sahaja tiada bekas luka dan pesakit tidak terkesima setelah melihat ‘hasil’ pembedahan. Batu karang yang dikeluarkan memang sahih dan boleh dibawa balik.

3- Mereka seolah-olah diberi mukjizat untuk menjalankan pembedahan batin, atau mereka tergolong dalam golongan orang yang menerima keistemewaan (karamah, maunah atau kasyaf).

4- Pesakit secara psikologinya berasa segar bugar kerana puas hati hasil pembedahan. Kemudian bahan hasil bedah itu dibawa kepada doktor hospital, doktor pakar pun boleh terkejut. Keterkejutan doktor pakar ini dimasukkan penulisan para pesakit ke media sosial. Akhirnya menjadi tular. Hakikatnya pesakit terus merosot status kesihatan mereka setelah tempoh yang tertentu. Batu karang masih terbungkam di dalam ginjal atau pundi kencing.

Jika diperhatikan, kaedah perubatan seumpama ini sebenarnya bahawa tiada bukti dalam Al-Quran dan Hadis yang membolehkan menjadi dalil kepada amalan pembedahan batin ini mengikut syariat Islam. Ulama juga menetapkan bahawa amalan seumpama ini adalah HARAM dilakukan kerana pengamal mungkin menggunakan ilmu hitam, silap mata, perantaraan jin atau syaitan atau sihir semasa merawat. Pesakit juga ditipu dengan janji manis keberkesanan rawatan ini di samping bayaran yang tidak munasabah. Walaupun mereka tidak menetapkan kos, tetapi kebanyakan pesakit akan meletakkan duit dalam tabung dengan jumlah yang banyak, kerana terkesima dengan kebolehan perawat tersebut.

Amalan berkenaan bukannya mukjizat, karamah, maunah kasyaf atau seumpamanya. Sebagaimana yang diketahui, Mukjizat adalah suatu perkara yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah untuk para nabi dan rasulNya, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu yang tertentu, ia yang mesti ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka. Begitu juga Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang soleh yang dikasihi Allah, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu tertentu secara mendadak semasa hidupnya, tetapi tidak boleh diprogramkan dan dipertontonkan kepada orang lain dan ianya khusus sebagai tanda kemuliaan yang diberikan kepada golongan yang taat kepadaNya. Begitu juga Maunah, ialah suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu itu dengan tujuan untuk menambahkan lagi keyakinannya kepada Allah dan tidak wajar diperhebahkan. Kasyaf pula ialah penyingkapan rahsia-rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Ia termasuk karamah yang mencarik adat yang dikurniakan kepada wali Allah SWT dan mestilah tidak bercanggah dengan kaedah agama dan hukum syarak yang telah disepakati.

Terdapat segolongan dari kita yang menyandarkan kaedah perubatan sedemikian adalah salah satu dari ilmu Allah yang luas. Memang benar Allah yang maha tinggi Ilmu serta jajahan taklukNya berkuasa menjadikan sesuatu itu berlaku walaupun luar dari pemikiran adat serta akal manusia. Namun ini termasuk dalam mustahil adat, walaupun harus pada akal. Hukum adat boleh berubah dengan sebab, sebagaimana contoh yang berlegar di sekitar perbahasan wahyu seperti kisah Nabi Ibrāhīm dibakar api, Nabi ‘Īsā lahir tanpa ayah dan selainnya. Keduanya-duanya “melanggar” hukum adat dengan sebab mukjizat. Tapi dalam isu pembedahan batin ini disahkan oleh pihak berkuasa ianya sihir atau silap mata. Tujuan utama adalah mendapatkan laba dari kejahilan manusia.

Semoga masyarakat kita tidak terus ditipu dengan amalan perubatan sebegini.

Sekian pesanan dari suhazeli.com.

Fb.Com/drsuhazeli

1.4.2018

Kuala Dungun