,

Darah dan Lendir Sebelum Bersalin

Darah yang keluar sebaik sahaja sebelum bersalin adalah hasil reaksi bukaan pangkal rahim. Di mana, persediaan bersalin, pangkal rahim akan menjadi lembut. Sesuai kepada kepala/anggota bayi yang berada di bahagian bawah senang untuk keluar. Ini adalah mekanisma yang unik bagi setiap ibu semasa proses kelahiran bayi. Bahasa perubatan disebut “show” samada ianya lendir atau darah atau kedua-duanya. Terdapat juga ibu yang hampir bersalin akan keluar air ketuban sahaja tanpa darah atau lendir.

~Timbul persoalan, apakah hukum darah atau lendir tersebut? Adakah ianya darah penyakit atau darah nifas? Apa pula hukum air ketuban?~

Perbezaan Pandangan Ulama

Mengenai *darah* yang keluar sebelum bersalin, terdapat tiga perbahasan ulama [1]:

(1) Darah tersebut adalah darah fasad (darah rusak), hukumnya sama dengan hukum darah istihadhah, yaitu darah kotor yang keluar bukan pada waktu haidh atau nifas. Wanita tersebut tetap boleh solat dan puasa. Pandangan ini dari Mazhab Hanafi dan Syafi’i. Dalam Al Hidayah disebutkan,

والدم الذي تراه الحامل ابتداء أوحال ولادتها قبل خروج الولد استحاضة

“Darah yang dilihat oleh wanita hamil di awal-awal atau saat melahirkan sebelum keluarnya bayi, dianggap darah istihadhah.”

(2) Darah tersebut adalah darah nifas. Perbahasan ini menjadi pendapat dalam Mazhab Hambali. Dinyatakan dalam Kasyaful Qona’ disebutkan,

النفاس دم ترخيه الرحم مع ولادة وقبلها بيومين أو ثلاثة مع أمارة

“Nifas adalah darah yang keluar dari rahim bersama, atau dua atau tiga hari sebelum melahirkan di mana darah tersebut tanda akan lahir.”

(3) Darah sebelum bersalin adalah dihukumkan sebagai darah haid. Pandangan ini dari ulama Mazhab Malikiyah. Al ‘Adawi dalam Hasyiyah-nya berkata,

النفاس: الدم الخارج لأجل الولادة، بعدها على الأصح، ومعها على قول الأكثر، وقبلها على قول مرجوح. والراجح أنه حيض

“Nifas adalah darah yang keluar kerana sebab bersalin, keluar setelah melahirkan menurut pendapat yang lebih kuat, atau pendapat kebanyakan ulama adalah bersama dengan melahirkan itu. Ada pula yang berpendapat darah nifas itu sebelum melahirkan, namun itu pendapat yang lemah. Yang tepat darah sebelum melahirkan dianggap haid.”

Begitu juga pandangan dari Mazhab Syafie yang menyatakan bahawa itu adalah darah haid. Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya:-

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Ertinya : _”Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain:_

_”Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID”._ ( Al-Majmu’, 1/412) [2]

Ketiga-tiga perbahasan ini berlaku kerana perbezaan ulama mendefinisikan darah nifas.

~ Ulama Hanafiyah dan Syafi’iyah berpandangan bahwa darah nifas adalah darah yang keluar setelah melahirkan. Adapun darah yang keluar sebelum melahirkan digolongkan darah fasad (darah istihadhah). Wanita dalam keadaan semacam itu masih dianggap suci.

~ terdapat juga ulama Syafi’iyah mengecualikan jika darah tersebut bersambung dengan haidnya, maka dianggap sebagai darah haidh karena ulama Syafi’iyah menganggap wanita hamil bisa saja mengalami haidh.

~ Sedangkan ulama Hambali berpendapat bahwa darah nifas adalah darah yang keluar kerana sebab bersalin.

~ Adapun ulama Malikiyah berpendapat bahwa darah nifas adalah darah yang keluar saat melahirkan atau sesudahnya. Adapun sebelumnya dianggap sebagai dari haid menurut pendapat terkuat di kalangan ulama Malikiyah. (Diambil dari IslamWeb).

Pendapat Terpilih

Darah nifas adalah darah yang keluar setelah bersalin. Inilah darah yang keluar sebelum melahirkan seperti pada pembukaan rahim, maka dihukumi sebagai darah fasad (darah rusak) yang masih tetap harus solat dan puasa. Jika memang ia tidak mampu mengerjakan saat proses melahirkan seperti itu, maka ia mesti mengqodho shalat atau puasanya setelah nanti suci dari nifas.

Pendapat yang dipilih ini lebih cenderung pada pendapat ulama Syafi’iyah. Karena secara bahasa nifas itu berarti wiladah (melahirkan). Jadinya nifas adalah darah yang keluar dari kemaluan wanita *setelah melahirkan*. Lihat Tadribul Mubtadi wa Tahdzibul Muntahi karya Al Balqini dan Al Iqna’ karya Syamsuddin bin Muhammad Al Khotib. Pendapat inilah yang lebih hati-hati (wara’), sebagaimana kata Syaikh Kholid Mushlih.

Pandangan Saya

Melihat kepada kandungan darah dan mendapat manfaat teknologi masa kini, tiada beza antara darah selepas bersalin dengan darah sebaik sahaja sebelum bersalin. Hal yang sama juga dalam isu ibu keguguran seperti yang dihurai dalam tulisan sebelum ini. Merujuk kepada definisi nifas oleh Syeikh Shahabudeen rhm, saya lebih mengambil pendapat bahawa darah sebelum bersalin atau gugur juga dihukumi sebagai darah nifas. Maka segala urusan ibadah adalah disandarkan kepada hukum wanita yang bernifas. Sama dengan pandangan nombor 2 di atas.

P/S: Wanita hamil tidak sesekali akan didatangi haid kerana secara fisiologinya darah haid dan darah nifas itu berbeza. Boleh lihat beberapa pandangan dari doktor berkait isu ini [rujuk link 3 & 4]. Namun saya tidak menolak pandangan dari Mazhab Syafei dan Maliki tersebut. Mungkin kedangkalan ilmu saya yang agak terbatas ini. Semoga Allah merahmati mereka dan merahmati kita semua.

Bagi ibu-ibu yang sukar mendapat khidmat ultrasound, pandangan untuk menentukan samada gugur atau saat bersalin dari zhan yang kuat oleh ahli dalam bidang tersebut boleh di ambil kira berdasarkan pengalaman mereka.

Sekian

Semoga bermanfaat.

Fb.Com/drsuhazeli

Suhazeli.Com

Hamba yang Faqir

Sumber:

[1] Darah sebelum bersalin. https://rumaysho.com/6388-hukum-darah-sebelum-melahirkan.html

[2] Status Darah sebelum bersalin. http://zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/708-status-darah-sebelum-bersalin.html

[3] Hamil tetap mengalami haid? http://drzubaidi.com/blog/hamil-tetapi-mengalami-haids/

[4] Keluar Haid Semasa Hamil? http://suhazeli.com/wp/?p=1248

, ,

Meruang dan Korek Najis

Minggu lepas hangat dikalangan warga netizen berbincang isu meruang. Bagi mereka yang menyokong meruang ini, memberikan dalil riwayat sahabat Nabi SAW yang bahawa pernah satu ketika Saidina Abu Bakar ditegur oleh seekor ular yang melingkari mayat. Ular berkenaan memberi sebab kenapa mayat tersebut digigitnya, antaranya tidak membersihkan kemaluan dengan sempurna. Kemudian mereka menganjurkan teknik meruang bagi membersihkan kotoran faraj. Anjuran teknik meruang ini diselitkan dengan penggunaan bahan pencuci tambahan seperti jamu agar saluran vagina semakin ketat, tidak keputihan dan menghilangkan bau. Teknik yang mereka berikan agak terperinci. Siap dengan gambar yang berkaitan, yang menunjukkan wanita wajib mengorek dan membersihkan vagina bagi membuang sisa-sisa kekotoran terutama selepas haid.

.

Golongan yang menentang pula berhujah, teknik ini tidak perlu, malah ianya boleh mendatangkan mudarat pula kepada iklim vagina. Bakteria baik akan terhapus dan berisiko peningkatan kes kanser pangkal rahim jika menggunakan alatan seperti paip getah. Malah doktor pakar sendiri pernah mencatatkan berlaku jangkitan kuman yang teruk ke salur peranakan akibat dari meruang ini.[1] Begitu juga dengan kajian-kajian perubatan yang dijalankan, boleh mendatangkan banyak mudarat dari manfaat. [2]

.

Dalam satu perbincangan lain, masyarakat dinasihatkan agar semasa membasuh air besar (berak) dengan mengorek lubang najis (anus). Nasihat mereka; sangat penting untuk memasukkan satu jari ke dalam dubur bagi tujuan membersihkan saki baki najis. Putarkan beberapa kali supaya najis keluar dari dinding dubur, sambil siram dengan air hingga terasa najis benar-benar telah hilang dan bersih. Begitu juga khas kepada wanita mereka menasihati agar semasa membasuh kencing mengorek faraj mereka bagi mengeluarkan kotoran yang tersisa.

.

Adakah Islam menganjurkan teknik-teknik sedemikian? Korek najis di dubur menggunakan jari serta memutar-mutarkannya? Begitu juga korek saluran faraj dengan jari dan menyembur air supaya kotoran terkeluar?

.

Definisi meruang yang setepatnya adalah seperti yang disebut dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka; definisi meruang ini adalah mengorek, atau membersihkan najis dalam perut mayat semasa memandikan mayat. Terdapat kaedah khusus bagi pemandi mayat yang perlu dipatuhi bagi meruang mayat ini. 

.

Istilah perubatan pula meruang disebut sebagai ‘vaginal douching’. Meruang (vaginal douching) ini hanya digunapakai dalam salah satu kaedah pencegahan kehamilan. Kaedah ini kurang berkesan tetapi terdapat catatan dalam ilmu perubatan kaedah yang berkenaan. Selain itu vaginal douching tidak digalakkan. 

.

BASUH BERAK

.

Bersuci adalah penting bagi memastikan kekotoran yang melekat pada badan dibersihkan. Kaedah yang dilakukan bagi membersihkan air kecil dan air besar (berak) seperti di atas itu boleh dilakukan. Sebagimana yang disebut oleh Syeik Tuan Muhammad Yasin Tuan Muhammad Taha. Beliau pernah menulis dalam kitab Majmak Salasa Rasail menyatakan kaedah membasuh najis berak adalah teran sedikit. Tetapi tidak dinyatakan mengorek secara berputar. Kefahaman dari kitab yang menyuruh dilakukkan putaran jari dikira sebagai pelik walaupun ianya tidak salah dari segi adat.

.

Manakala kitab Hashiah Tuhfah pula menyatakan:

وَاعْلَمْ أَنَّ الْوَاجِبَ عَلَيْهَا غَسْلُ مَا ظَهَرَ بِجُلُوسِهَا عَلَى قَدَمَيْهَا

Ketahuilah bahawa yang wajib ke atasnya (perempuan) membasuh apa yang zahir ketika dia duduk di atas dua kakinya (duduk macam orang berak).

.

BASUH VAGINA

Dalam kitab Kifayah Al Nabih Syarh Al Tanbih oleh Ibnu Rif’ah pula menyebut:

ولفظ القاضي الحسين: “أنه: هل [يجب] إدخال الماء والأصبع في الفرج؟ فيه

أوجه: أحدها: يجب؛ لأنه صار في حكم الظاهر.

الثاني: لا؛ لأنه يزيده فساداً.

الثالث: يجب ذلك في الغسل من الحيض، دون الجنابة؛ لأنها نجاسة عينية،

بخلاف الجنابة.

وقال القفال: ما يبدو منها عند القعدة، يجب إيصال الماء إليه.

.

Lafaz al Qodi Al Husain adakah wajib memasukkan air dan jari ke dalam faraj? Terdapat khilaf (perbahasan hukum) dikalangan ulama.

1. Wajib kerana ianya sama seperti anggota zahir.

2. Wajib ketika mandi dari haid.

3. Tidak wajib ketika mandi junub (selepas bersetubuh atau keluar air mani). 

Pun begitu, apakah had memasukkan jari atau air itu? Menurut al Qaffal apa yang zahir ketika perempuan itu duduk, wajib disampaikan air kepadanya.

.

Persoalannya, adakah meruang seperti yang diistilahkan oleh bahasa sekarang sama dengan menyucikan kotoran dengan menggunakan jari secara sederhana ke dalam faraj? Jika meruang itu sama dengan vaginal douching seperti yang didefinisikan oleh ahli perubatan, bermakna meruang itu sesuatu yang keterlaluan sehingga menggunakan getah paip atau alatan khas sebagai alat semburan. Isu menggunakan alatan khas itu pun perlu diteliti kerana kandungan phthalet boleh menjadi risiko kepada kanser.[3] Begitu juga penggunaan bahan-bahan seperti jamu herba yang tidak diketahui tahap keselamatannya, perlu diperhalusi oleh kaum wanita. Adakah perlu sehingga tahap itu kaedah bersuci? Keseronokan ketat dan bau yang harum tidak mendatangkan nilai jika kesan buruk jangka panjang yang akan menjengah tiba. 

.

Kaedah menyucikan najis samada air kencing atau kotoran haid/nifas/cairan lain dari faraj wanita cukup setakat zahir sesuatu najis itu wujud. Tidak perlu melepasi had sempadan batin kemaluan wanita. Sempadan zahir memang perlu.

.

Isunya apakah sempadan zahir dan batin kemaluan? Had zahir kemaluan perempuan berkahwin, janda dan dara ialah bahagian terbuka ketika duduk buang air (duduk mencangkung atas kedua kakinya seperti kedudukan berak). Proses meruang (vaginal douching) tidak wajib dilakukan kecuali jika najis dari dalam keluar terkeluar secara zat zahirnya. Adapun kotoran darah haid, selama mana belum keluar ke had zahir kemaluan, ianya tidak dinamakan haid.

.

KESIMPULAN

.

Wajib bersuci dengan ratakan air sekadar mampu. Bagi menyempurnakan rata air sebaik mungkin hadis menyatakan kita duduk atas dua kaki dan teran (basuh berak) agar kulit dalam anus terkeluar sekadar boleh. Tidak menjadi satu kemestian mengorek atau memasukkan jari serta memutarkannya.

Islam itu mudah, jangan kita menyusahkan. 

◻Intaha

Pusat Talaqqi Batu Rakit

fb.com/PTBT.Official

15.8.2017

Wallauaklam

Pautan

[1] Basuh. Tulisan Hana Hadzrami. https://www.facebook.com/drsuhazeli/posts/1483010045071647

[2] Kajian sistematik. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2567125/

[3] Douching, Talc Use, and Risk of Ovarian Cancer. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27327020

,

10 Isu Penting mengenai Haid Wanita (Wajib Baca) 

Oleh: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak


10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Haid Tidak Teratur 
Apabila sepatutnya datang haid pada bulan itu, anda menjadi tidak keruan apabila haid anda tidak muncul pada ketika itu dan berfikir segala macam masalah atau penyakit yang mungkin melanda diri anda. Anda mula berasa risau dan gundah gulana memikirkan haid yang tidak teratur dan tidak berkunjung tiba pada bulan itu. Untuk artikel pada kali ini akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang anda perlu tahu berkaitan dengan haid yang tidak teratur.
Pertama-tamanya, anda perlu tahu corak haid yang dikatakan ‘normal’ untuk diri anda.
Setiap wanita adalah unik dan mempunyai corak haid yang berlainan , dan mungkin adalah normal bagi wanita itu sendiri. Untuk mengetahui apa yang normal buat anda, anda perlu mencatat hari-hari anda datang haid pada kalendar dan juga tarikh bilanya haid berhenti. Ambil masa untuk kenal pasti corak haid anda, berapa hari haid dan juga pendarahan yang berlaku ditengah-tengah bulan sementara anda menanti haid yang berikutnya.
40% wanita didapati gagal mengingati tarikh hari pertama haid mereka. Jumlah hari dalam kitaran mereka juga mungkin tidak tepat antara 28-35 hari. Ini boleh memanjangkan lagi kitaran untuk sampai ke ‘hari subur’ dan kesilapan menjangka kedatangan haid yang seterusnya.
Jangan malu atau segan untuk bertanya doktor
Jika anda mengalami perubahan yang anda rasakan tidak normal untuk kitaran haid pada bulan itu, terus bertanya pada doktor anda. Haid yang tidak teratur mungkin menandakan tanda-tanda anda akan mencapai umur menopos, ataupun ada sesuatu yang tidak kena pada perubahan hormon badan yang memerlukan penyiasatan dan penilaian para doktor.
Hamil – sebab biasa haid tidak datang
Sebab ini mungkin tidak memeranjatkan anda atau sebaliknya. Walaupun begitu, pada awal kehamilan sesetengah wanita mengalami pendarahan yang boleh menyebabkan pendarahan juga yang selalu mengelirukan sama ada ianya darah haid atau tidak, tanpa anda sedari anda sebenarnya sudah pun hamil. Ujian air kencing untuk mengesahkan kehamilan boleh membantu.
Penyusuan badan
Sekiranya anda menyusukan bayi secara eksklusif, hormon di dalam badan anda lebih menyediakan badan anda untuk menghasilkan susu untuk si bayi. Terdapat sesetengah ibu menyusu yg langsung tidak didatangi haid sehingga 1 atau 2 tahun lamanya!
Menopos?
Menopos atau Putus haid adalah keadaan di mana seseorang wanita itu tidak lagi didatangi haid, umur purata mencecah dalam 50 tahun. Walaupun begitu tempoh peralihan daripada umur boleh melahirkan anak ke menopos ini boleh berlaku untuk beberapa tahun dan dikenali sebagai perimenopos. Dalam tempoh peralihan ini, perubahan hormon yang berlaku menyebabkan haid menjadi tidak teratur, pendek atau tidak datang langsung. Haid mungkin berhenti buat seketika, dan boleh muncul semula selepas beberapa bulan.
Anda mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan?
Haid yang tidak teratur mungkin adalah tanda-tanda anda mempunyai masalah perubatan yang tidak anda sedari seperti Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), masalah kelenjar tiroid, Kencing manis yang tidak terkawal , ketumbuhan yang merembeskan hormon prolaktin Pemeriksaan doktor akan dibuat untuk memastikan anda tidak mengalami mana-mana masalah kesihatan.
Berat badan berlebihan ataupun obesiti boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon estrogen di dalam badan wanita seterusnya menyebabkan gangguan kepada kitaran haid.
Tekanan Emosi
Masalah emosi atau tekanan perasaan boleh menyebabkan haid terhenti. Kegiatan fizikal yang berlebihan seperti senaman yang berlebihan, kehilangan berat badan yang banyak, menghadapi masalah permakanan turut menyumbang kepada perkara ini. Berbincang dan luahkan masalah anda pada doktor jika anda berasakan menghadapi tekanan emosi di sekolah, rumah mahupun tempat kerja
Ubat-ubatan
Ada sesetengah ubat-ubatan yang anda makan untuk masalah perubatan tertentu boleh menganggu kitaran haid. Ubat sawan, ubat penenang, pil perancang kehamilan, pil-pil hormon bole menyebabkan kitaran haid terganggu. Berbincang dengan doktor anda, sebelum memberhentikan ubat-ubatan ini. Mungkin doktor akan mengubah dos, mengubah ubat bergantung kepada masalah perubatan itu.
Jamu tradisional, ubat kurus ataupun ubat-ubatan penyakit kronik yang lain boleh menyebabkan gangguan kitaran haid wanita. Jangan lupa bagi tahu doktor yang merawat anda nanti.
Anda tetap subur walaupun haid tidak teratur
Walaupun anda tidak datang haid, tidak bermakna anda tidak subur dan tidak boleh mengandung. Jika anda ingin menjarakkan kelahiran atau merancang keluarga anda perlu menggunakan cara perancangan yang efektif dan berkesan walaupun tidak datang haid. Dapatkan nasihat doktor anda untuk ini.
Ingin hamil mungkin menjadi masalah dengan haid yang tidak teratur
Walaupun telah saya nyatakan, tidak datang haid tak bermakna anda tidak subur, tetapi kejayaan untuk hamil itu kadang-kadang adalah sukar. Rawatan sentiasa ada untuk mereka yang menghadapi masalah ini. Jangan risau, sila berbincang dengan doktor anda.
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak

Pegawai Perubatan

Obstetrik & Ginekologi

Kementerian Kesihatan Malaysia

#MedTweetMY

#MedicalMythbustersMalaysia

, , ,

Hukum Mangsa Perang Bunuh Anak Isteri Elak di Rogol

Hari ini ada sahabat-sahabat bertanya mengenai status para mangsa peperangan di Aleepo, Halab dan Syiria secara keseluruhannya. Beliau bertanyakan hukum mangsa perang membunuh isteri dan anak-anak perempuan mereka bagi mengelakkan dirogol oleh tentera Syiria.
_”Bolehkah bunuh isteri dan anak-anak perempuan, sebelum mereka ditangkap, di seksa, dirogol secara berterusan di depan mata?”_

_Seperti yang berlaku di Syria sekarang ni (Allepo Syria)_
Perincian daruriyyat dalam kehidupan termaktub melalui turutan 5 maqasid syariah itu ialah

1) Penjagaan Agama 

2) Penjagaan Jiwa/nyawa

3) Penjagaan Aqal

4) Penjagaan Keturunan

5) Penjagaan Harta.
Penjagaan jiwa atau nyawa berada pada hairaki kedua. Bermakna mengikut keutamaan, menjaga keutuhan nyawa perlu diutamakan berbanding dengan aqal, keturunan, harta. Keturunan (termasuk kes hubungan kelamin) berada pada kedudukan ke 4. Tambahan pula jenayah rogol yang akan dilakukan itu mungkin berlaku atau sebaliknya. Sesuatu yang belum pasti berlaku. Sedangkan membunuh keluarga pula dilakukan sebelum jenayah yang dijangkakan berlaku. Jenayah yang mungkin dilakukan tidak membolehkan perlakuan jenayah lain yang lebih besar.
Kesimpulannya, haram membunuh diri atau keluarga demi menjaga nasab keturunan kerana menjaga jiwa atau nyawa itu terlebih utama.
Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Penasihat Pusat Talaqqi Batu Rakit

fb.com/PTBR.Official
Wallahua’lam.

18 Dis 2016

, , , ,

Penggunaan Enoxaparin (clexane) vs Fondaparinux (arixtra); haram vs halal

Terdapat perbahasan dikalangan ibu hamil dan selepas bersalin mengenai pemberian ubat pencairan darah. Ubat suntikan tersebut diberikan kepada pesakit yang mempunyai risiko tertentu yang mendatangkan bahaya. Ia adalah hasil kajian dan laporan sebelum ini menunjukkan individu berisiko berkenaan akan menghadapai mudarat atau kematian. Antara risiko yang disebut adalah:

1. Umur melebihi 35 tahun.
2. Kelahiran anak ke 3 dan lebih.
3. Berat badan berlebihan. BMI > 30.
4. Status semasa merokok.
5. Pembedahan caesarean elektif
6. Pra-eklampsia (darah tinggi semasa hamil dan tanda² sawan).
7. Kehamilan kembar.
8. Kelahiran pramatang, kurang 37 minggu
9. Penggunaan alat bantu semasa kelahiran seperti forceps/vacumm.
10. Perdarahan semasa bersalin yang banyak. Kehilangan lebih 1 liter atau berlaku transfusi darah.
11. Jangkitan kuman sistemik (seluruh badan)

*2 atau lebih* faktor di atas dikelaskan sebagai risiko pertengahan (intermediate risk); di mana, doktor perlu memberikan ubat cair darah (Heparin – Low Molecular weight) selama 10 hari.

Bagi kes
1) Pembedahan caeserean kecemasan
2) Berat Badan Unggul (BMI) >40
3) Masalah perubatan seperti cancer, sakit jantung, SLE, nephrotic syndrome

Jika ibu terdapat *satu* faktor di atas – perlu mulakan LMW Heparin juga selama 10 hari

Berdasarkan strata risiko ini, doktor yang merawat akan mengenal pasti pesakit mana yang perlu diberikan atau tidak.

Suntikan ini diberi bertujuan utk mencegah dari pembekuan dalam saluran darah (venous thromboembolism prophylaxis). Berkemungkinan, dikalangan anggota kesihatan sendiri masih belum 100% sedar bahawa suntikan ini perlu bukan sahaja utk kelahiran caesarean tetapi kelahiran normal juga berdasarkan faktor-faktor di atas.

Terdapat 3 pilihan ubat pencair darah yang boleh diberikan.[1]
1. Enoxaparin (clexane) atau sejenama dengannya. (Jenis LMWH)
2. Fondaparinux (arixtra) atau sejenama dengannya. (Jenis Sintetik faktor Xa inhibitor)
3. Heparin. (Jenis biasa)

*“`Isu yang diperbincangkan“`*

Terdapat perkara syubhah dalam pembuatan Enoxaparin. Bahan yang digunakan dalam proses awal pembuatannya adalah dari kinzir. Manakala Fondaparinux dan Heparin pula bebas dari unsur kinzir.

Di sini para pakar perubatan akan menggunakan kepakaran mereka dalam memberikan perawatan terbaik bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Walaupun terdapat perbezaan antara 3 jenis ubat pencair darah tersebut, dari segi kehalalan dan juga keberkesanan yang yang berbeza-beza, sudah tentu isu keharaman sesuatu bahan akan dikesampingkan, demi menyelamatkan nyawa. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam proses perawatan ini.[1]
1) Kajian dengan jelas membuktikan penggunaan Enoxaparin lebih baik berpuluh kali ganda dari sudut kualiti, keberkesanan dan keselamatan kepada pesakit berbanding Heparin.
2) Manakala Fondaparinux pula sama tara kualiti, keberkesanan dan keselamatan dengan Enoxaparin.
3) Tetapi kos mendapatkan Fondaparinux terlalu tinggi berbanding Enoxaparin.
4) Fondaparinux pula tiada satu kajian yang defenitif lagi bagi kegunaan terhadap ibu hamil dan selepas bersalin (post-natal).
5) Penjagaan dan pemonitoran pesakit yang diberikan ubat Heparin terlalu rumit samada semasa berada dihospital mahupun setelah dibenarkan balik rumah.

*“`Hukum berkaitan“`*

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 87 pada 23 Jun 2009 berpandangan bahawa Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat daripada sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudaratan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat daripada sumber yang halal ditemui.

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan Clexane dan Fraxiparine adalah ditegah kerana ia dihasilkan daripada sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat ubat alternatif lain iaitu Arixtra (Fondaparinux) yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.[2]

Akan tetapi dalam penentuan hukum semasa memberi ubat, walaupun sesuatu itu haram, ia perlu dilihat kepada: 
1. Availability (kebolehcapaian) ubat. 

Jika ubat yang halal tidak ada dalam masa getir (darurat/mendesak) yang diperlukan, demi menyelamatkan nyawa, hukum darurat terpakai. Sebagaimana kaedah fekah menyebut “Keadaan darurat membolehkan sesuatu terlarang”.
2. Feasibility (kemudahcapaian) sesuatu ubat: 

Jika ubat yang halal ada tetapi perlu proses birokrasi, harga terlalu mahal, malah hampir sukar untuk mendapatkannya dalam tempoh yang segera. Maka, ia dianggap sebagai tiada alternatif yang wajib dicari.[3]

Hasil perbincangan dengan Prof Madya Dr Basri Ibrahim dalam forum Venous Thrombo Embolism (VTE) yang diadakan di Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu pada 3 Ogos 2016 lepas, mengambil ketetapan bahawa penggunaan Enoxaparin adalah diharuskan berdasarkan darurat dalam perawatan pesakit.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
_Insan Faqir_
Ahli #MedicalMysthBustersMalaysia, #MedTweetMY

fb.com/drsuhazeli
5 Ogos 2016

Rujukan
[1] Nota tambahan: Sebagai panduan
Venous Thromboembolism (VTE): In patients undergoing elective major knee surgery, postoperative treatment with 2.5 mg of fondaparinux once daily was significantly more effective in preventing deep-vein thrombosis than 30 mg of enoxaparin twice daily.In patients undergoing elective major knee surgery, postoperative treatment with 2.5 mg of fondaparinux once daily was significantly more effective in preventing deep-vein thrombosis than 30 mg of enoxaparin twice daily.(N Engl J Med 2001; 345:1305-1310) Acute Coronary Syndromes (ACS): Fondaparinux is similar to enoxaparin in reducing the risk of ischemic events at nine days, but it substantially reduces major bleeding and improves long term mortality and morbidity. (PMID:16537663 [PubMed – indexed for MEDLINE)
[2] Ubat Halal & Haram. http://htapah.moh.gov.my/v1/index.php/my/menu-artikel-kesihatan/26-kategori-artikel-kesihatan/121-ubat-halal-ubat-haram-perspektif-islam
[3] Perbandingan Harga: (tahun 2015)
Enoxaparin Sodium 20mg inj (2s’) ~RM 14.25
Enoxaparin Sodium 40mg inj (2s’) ~RM 19.99
Enoxaparin Sodium 60mg inj (2s’) ~RM 24.05
Fondaparinux Sodium 2.5 mg/0.5ml (10s’)~RM197.50

, , ,

Pelajari Adab Media Sosial

#PelajariAdab 

Daku selalu berfikir panjang untuk muat naik status facebook atau twitter apabila melibatkan gambar yang agak sensitif. Begitu juga gambar-gambar yang mendedahkan aurat, dimuat naik ke laman website peribadi.

Secara personal, sebagai muslim, biarlah orang lain nak kata apapun padaku. Prinsip menjaga maruah orang perlu dijaga walaupun gambar sesorang itu sudah bertebaran di alam maya. Biarlah orang lain sebarkan tetapi bukan daku. Seboleh-bolehnya daku elakkan share gambar sensitif sedemikian kecuali ianya amat mendesak dan perlu dipaparkan. Jika dalam bentuk kartun, lakaran atau lukisan yang bukan gambar real akan daku utamakan. 

Pernah daku bertanya penasihat Pusat Talaqqi Batu Rakit, Ustaz Ahmad Tarmizi Taha dalam isu ini. Soalannya: 

Lakaran sebegini lebih baik

Boleh tak doktor share gambar (real) aurat wanita atau lelaki dalam media bagi tujuan pendidikan kesihatan? Contohnya: gambar wanita hamil yang berbikini free hair sedang melakukan senaman kesihatan semasa hamil?

Beliau menjawab: 

Pendedahan gambar yang mendedahkan aurat adalah menjadi khilaf dalam ilmuwan Islam. Ada yang berpendapat gambar aurat adalah hukumnya seperti aurat. Ada yang berpendapat gambar aurat hukumnya adalah bukan aurat dan boleh dilihat.

Walaubagaimanapun mereka yang tidak berbeza pendapat haram mendedahkan gambar yang menaikkan nafsu.

Berdasarkan kenyataan tersebut, hukum pendedahan gambar wanita hamil yang berbikini free hair sedang melakukan senaman kesihatan adalah khilaf hukumnya.

Walaubagaimanapun, perkara yang perlu diperhati ialah kesan kepada masyarakat akibat pendedahan tersebut. Jika menyebabkan free hair menjadi ikutan dan dianggap perkara biasa dan tidak menjadi kesalahan dalam masyarakat, maka pendedahan tersebut adalah tidak wajar.

Begitu juga perlu dilihat dari sudut maruah. Adakah pendedahan gambar dengan posture yang sebegitu mencalarkan maruah atau tidak? Jika ianya menjatuhkan maruah maka ianya perlu dielak.

Untuk mencari jalan keluar dari pendedahan aurat tersebut, wajar difikirkan alternatif lain yang dapat mencapai objektif iaitu memberi kesedaran kepentingan senaman kesihatan.

Jika kita perhati, kebiasaannya klip video yang memaparkan binatang sedang disembelih disensor@ditutupi pada bahagian yang disembelih. Sedangkan di dalam hadis dinyatakan kelebihan melihat titisan darah binatang korban yang tumpah di tanah.

Namun pendedahan sedemikian seperti sembelihan lembu atau gambar free hair dan seumpamanya ini boleh menimbulkan krisis nilai dalam jiwa anak-anak. Ia juga memberi kesan psikologi yang mendalam kepada anak-anak atau penonton media sosial kita dari sudut pembangunan sakhsiah diri. 

Walaubagaimanapun jika gambar tersebut hanya didedahkan kepada golongan yang tertentu, dan terdapat keperluan untuk memaparkan gambar tersebut, hukumnya  adalah harus tetapi sekadar yang perlu. Hukum ini juga terpakai kepada pendedahan gambar kemaluan untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran jika tiada alternatif lain.

Semoga dengan penjelasan ini memberi garis panduan kepada rakan-rakan media maya saya. 

Dr Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 

13.12.2016

Kuala Berang 

,

Bagaimana Tangguhkan Kitaran Haid

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak | Pegawai Perubatan, Perbidanan & Sakitpuan​

▪▪▪▪▪

Terdapat dua cara untuk menangguhkan haid dengan menggunakan kaedah hormon. Pertama, dengan mengambil pil kombinasi progesteron dan estrogen atau kedua – nama lainnya pil perancang kehamilan gabungan ( combine oral contraceptives ) ATAU mengamalkan pil yang mengandungi progesterone sahaja. 

Dalam kitaran haid yang normal terdapat dua jenis hormone wanita yang penting iaitu estrogen dan progesteron. Progesteron ialah hormon yang terhasil selepas ovulasi berlaku pada hari ke-14 haid. Aras progesteron akan memuncak tinggi dan terus berada pada aras yang tinggi jika berlaku persenyawaan dan implantasi (penempelan) embrio pada dinding rahim. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, maka paras hormon progesteron akan turun dan dinding rahim akan meluluh (luruh) dan keluar sebagai darah haid. Dengan mempunyai pengetahuan berdasarkan kitaran haid ini, hari seseorang wanita sepatutnya didatangi haid boleh diperlambatkan dengan mengawal atur paras hormon di dalam badan

Sekiranya berhasrat untuk menggunakan Pil perancang Kehamilan Gabungan (COCP)

Wanita yang mengamalkan pil perancang keluarga sebagai langkah mencegah kehamilan, pengambilannya boleh diteruskan secara terus menerus ( continuous ) . Apa yang saya maksudkan adalah selepas habis pil 21 biji atau 24 biji itu, teruskan dengan paket yang baharu tanpa mengambil sebarang “cuti rehat selama tujuh hari atau empat hari.” Sesiapa yang mengambil pil perancang sedia maklum bahawa mereka perlu mengambil pil satu biji sehari selama 21 hari (jika satu paket mengandungi 21 biji bagi pil jenama seperti Loette, Yasmin, Minulet, Mercilon, Marvelon, Gynera) atau perlu mengambil pil sebiji sehari selama 24 hari (bagi pil jenama Yaz).
Pengambilan pil terus menerus ini boleh dilakukan berterusan selama tiga hingga lima paket berturut-turut. Lazimnya , wanita  akan berada di Mekah lebih kurang dua minggu bagi yang mengerjakan umrah, saya mencadangkan ambil dua paket sahaja. Bagi jemaah yang akan berada di Mekah dan Madinah selama 30 hingga 45 hari untuk mengerjakan haji, saya mencadangkan pil tersebut perlu diambil dalam 4 atau 5 paket. Bagi sesiapa yang menginginkan kaedah pil perancang kehamilian gabungan ini sebagai cara menangguhkan haid, saya syorkan agar pil ini dapat diambil lebih awal beberapa bulan sebelum bertolak untuk mengerjakan umrah atau haji.

Tujuannya adalah untuk memberikan ‘kesan’ yang lebih efektif. Ketika mengambil pil ini, dinding rahim akan terus menebal tetapi ovulasi tidak akan berlaku. 

Jika mahu menggunakan Pil progesteron sahaja.

Jika puan tidak menggunakan pil perancang diatas, kaedah lain adalah dengan menggunakan hormone progesteron sahaja.

Antara contoh pil hormon tersebut termasuklah Primolut-N (Noretisterone), Provera (Medroxyprogesterone acetate) dan Duphaston (Dydrogesterone). Kesemua pil ini adalah antara contoh hormon progesteron yang biasa digunakan untuk mengawalatur kitaran haid. Pil ini boleh diambil pada dos 5mg atau 10mg sebanyak dua atau tiga kali sehari dan diambil berterusan sehingga pulang daripada mengerjakan haji atau umrah.

Noretisterone perlu diambil 3 hari sebelum haid dijangka datang. Boleh digunakkan selama dua minggu sebelum ‘break through bleeding’ berlaku. Saya rasa memadai untuk puan mengerjakan umrah di Mekah. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan terdapat beberapa kesan sampingan ketika pengambilan pil ini. Kesan sampingan – termasuklah mual dan loya, pendarahan yang sedikit yang tidak menentu pada awalnya (breakthrough bleeding) dan kembung perut (bloating). Akan tetapi, bukan semua wanita akan mengalami kesan sampingan ini

Selepas berhenti mengambil pil noretisterone ini, haid akan datang dalam masa dua hingga tiga hari. Perlu saya ingatkan di sini bahawa haid turun selepas ditahan untuk beberapa minggu akan lebih dari biasa. 

Saya syorkan puan-puan berjumpa dengan doktor untuk maklumat lanjut untuk melewatkan haid puan. Penggunaan hormon-hormon tidak 100 % menjamin haid dapat ditangguhkan sehingga puan kembali ke Malaysia kerana masalah ‘break through bleeding’ agak sukar dibendung kerana dinding rahim yang terlalu tebal tetap akan luruh. Tambahan pula, jika selalu terlupa atau tidak mengikut waktu mengambilnya, maka pendarahan boleh terjadi.

Saya doakan agar puan-puan selamat mengerjakan ibadah umrah dan kembali ke tanah air dalam keadaan sihat sejahtera

Sebelum saya mengakhiri penulisan pada hari ini, ingin saya kongsikan kisah lucu yang berlaku beberapa minggu lepas.

Ada seorang wanita umur 30-an, anak 3, yang lewat period, katanya atas sebab jiwa kacau ( hahaha ), dan sah tak mengandung setelah diperiksa, maka saya berikan ubat norethisterone ini untuk induce menses (kegunanaanya bukan sahaja melambatkan haid, boleh juga digunakan untuk mendatangkan haid),

tiba-tiba kedengaran pesakit ni menjerit dan tergelak besar kat kaunter ubat, masa staf saya panggil untuk dispensari, maka saya pun bangun memeriksa apa yang berlaku;

Patient tu cakap kat staf saya – 

” Dik, akak dah lama tak ada dara ”    …… hahahahahhaa

◽◽◽◽◽

Penulis adalah ahli Medical Mythbusters Malaysia. 

NASIHAT: Artikel ini adalah sebagai panduan umum. Setiap individu perlu dapatkan konsultasi sebenar dengan doktor anda. 

, , ,

Hukum Darah, Lendir dan Air Ketuban Sebelum Bersalin

image

?Kategori: Haidh & Nifas

==============
▶Pertanyaan dri Puan Azira Adenan
=============

Pohon penjelasan Ustaz kenyataan berikut:

Darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Perkara ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Adapun darah yang keluar bersama dengan bayi (yakni semasa proses melahirkan anak), statusnya menjadi khilaf ulamak;

1. Menurut mazhab Syafi’ie; ia bukan darah nifas, akan tetapi darah penyakit. Mazhab Syafi’ie meletakkan syarat bagi darah nifas; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas.

2. Adapun bagi Mazhab yang lain (Maliki dan Hanbali); ia telah dikira sebagai darah nifas, yakni bagi mereka apabila berlaku proses kelahiran, maka darah yang keluar telah dikira darah nifas sekalipun bayi belum sempurna keluar.

Mengenai darah yang keluar ketika saat-saat menanti kelahiran, ini juga menjadi khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut mazhab Syafi’ie; ia belum dikira sebagai darah nifas, akan tetapi dikira darah istihadhah (penyakit).[1] Oleh itu, wanita yang mengalaminya, puasanya masih sah (tidak batal) dan kewajipan solat juga tidak gugur darinya dengan dilakukan mengikut kemampuannya.

2. Menurut mazhab Hambali; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit adalah dikira darah nifas (yakni statusnya sama seperti darah yang keluar selepas bersalin). Maka mengikut mazhab Imam Ahmad Hambal ini; wanita yang terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya kerana wanita yang didatangi nifas tidak sah puasa dan solatnya.

3. Menurut mazhab Imam Malik; darah yang keluar sebelum bersalin, ia bukan darah nifas tetapi darah haid. Berdasarkan pandangan mazhab Imam Malik ini, wanita yang terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya bukan kerana nifas tetapi kerana haid.

Pendapat dalam Mazhab Syafie yang paling rajih adalah darah sebelum bersalin dikira (haid) hadas besar.

Wallahu a’lam.

Rujukan;1. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Isami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/125.2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 78.

======

SOALAN saya:

1) Adakah wujud ciri² tertentu yg perlu dipenuhi ke?

2) Kalau dua hari sebelum bersalin keluar tanda – mucus (lendir) dan sedikit darah, tetapi lepas tu tiada darah dah. Perlu mandi wajib dan bersolat ke?
3) Jika air ketuban mengalir berterusan. Hukum dia bagaimana?

———
Terdapat pendapat yg kata kalau darah 3 hari sebelum bersalin diiringi kontraksi dikira darah nifas.

========
JAWAPAN SOALAN 1

1) Adakah wujud ciri2 tertentu yg perlu dipenuhi ke?

Darah dikira haid apabila memenuhi ciri-ciri berikut:
1- Keluar dari wanita yang berusia lebih kurang  9 tahun dan ke atas.

2- Warna darah tersebut adalah hitam @merah@kuning@keruh@warna tanah

3- Tempoh keluarnya tidak kurang dari sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam.

4- Jarak antara akhir darah yang terdahulu dengan darah semasa ialah 15 hari.

Darah yang tidak memenuhi satu dari empat ciri tersebut bukanlah haid.

JAWAPAN SOALAN 2

2) Kalau dua hari sebelum bersalin keluar tanda – mucus (lendir) dan sedikit darah, tp lepas tu tiada darah dah. Perlu mandi wajib dan bersolat ke?

~ Ya wajib solat.

JAWAPAN SOALAN 3

3) Jika air ketuban mengalir berterusan. Hukum dia bagaimana?

~ Status dia sama dengan mereka yang sentiasa berhadas. Apabila dia hendak mengerjakan solat, dia wajib lakukan perkara berikut secara berturut-turut dan muwalat

1- Membasuh kemaluan selepas masuk waktu.

2- Memakai tuala wanita.

3- Berwuduk

4- Mengerjakan solat fardhu.

Wuduk ini dinamakan wuduk daruroh iaitu wuduk yang sah walaupun berlaku perkara yang membatalkannya jika dia berada dalam situasi biasa.
Ketika dia berwuduk, keluar air ketuban yang berterusan, oleh itu wuduk ini tidak sama dengan wuduk orang sihat.

Wuduk darurah hanya untuk satu fardu dan untuk amalan sunat tanpa batasan.

Apabila hendak dilakukan fardu kedua , wajib ambil wuduk yang baharu.

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha
Pengerusi
Pusat Talaqqi Batu Rakit
Fb.com/PusatTalaqqiBR

, ,

Hukum Si Suami Ceraikan Isteri Kerana Doktor Lelaki Sambut Kelahiran

image

Soalan

Kategori: *Keluarga*
Kepada: *Ustaz Ahmad Tarmizi*

1. Apakah jatuh talak jika seorang suami berkata: _”Jika isteri saya diperiksa dan sambut kelahiran bayi ni oleh doktor lelaki, maka saya cerai talak satu”_
(Suasana berlaku sebaik sahaja isterinya dimasukkan ke bilik bersalin).
Oleh kerana tugasan yang ditetapkan mengikut jadual “on call” hanya doktor lelaki yang bertugas dan mengendalikan proses kelahiran si isteri.

2. _Adakah pihak hospital atau doktor lelaki yang terlibat berdosa mengendalikan proses kelahiran tersebut? Dan adakah beliau haram melakukan sedemikian?_

3. _Apa hukum suami yang bertindak sedemikian sehingga sanggup mempertaruhkan perkahwinan?_

*Jawapan:*

1. Talak jatuh. Sama ada sengaja atau tidak jatuh talaqnya. Hukumnya Talaq ta’liq apabila dilafaz secara sorih tidak boleh ditarik balik.

2. Tidak berdosa. Keadaan tersebut berada dalam situasi mendesak. Sesuatu yang haram terangkat keharaman apabila datangnya mashlahah (darurat). Penjadualan kerja seseorang doktor tidak boleh dipinda mengikut kehendak pesakit sewenangnya. Buat masa ini, ketidakcukupan doktor yang mahir dalam mengendalikan kes tertakluk kepada penjadualan ketat oleh sistem. Keadaan ini masih belum boleh menampung jumlah kelahiran yang semakin meningkat. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam kenyataan beliau bahawa pengendalian ibu bersalin, 80% diuruskan oleh bidan dan jururawat terlatih. Selebihnya 20% lagi memerlukan pakar atau anggota terlatih dalam pengurusan bersalin. Memisahkan gender dalam jadual bekerja pakar-pakar adalah amat sukar [1]. Buat masa ini pihak KKM masih tidak lagi dapat menyediakan hospital khas kepada kaum wanita. Nisbah doktor:pesakit masih tidak memenuhi kehendak optima. Sebagimana dinyatakan oleh Menteri kesihatan:
_Pada masa (Ogos 2013) ini terdapat 36,607 doktor termasuk pakar dengan nisbah 1:791 dan berdasarkan anggaran penduduk Malaysia seramai 34 juta menjelang 2020, sejumlah 85,000 doktor diperlukan bagi mencapai nisbah standard 1:400. [2]_

Walaubagaimana pun saya mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan hospital khas untuk wanita. Seingat saya di Itali, Pakistan dan beberapa buah negara lagi mewujudkan hospital khas untuk wanita. Atau setidaknya membina hubungan dengan pihak swasta bagi memberi pilhan kepada ibu hamil untuk bersalin yang dikendalikan oleh doktor wanita. Sedikit bayaran diperlukan bagi merealisasikan hasrat ini.

3. Berdosa si suami mengambil pendekatan sedemikian. Pada hemat saya si suami tidak berperikemanusiaan. Disaat getir sebegini pun sanggup memperjudikan roh perkahwinan yang suci. Talak adalah harus tetapi ianya adalah muamalah yang paling dibenci oleh Rasulullah. Saya mendoakan si isteri cekal dalam mengharungi kehidupan bersama lelaki itu. Abaikan suami yang tidak berperkemanusiaan. Sekali lagi, si suami berdosa kerana mencederakan insan yang bertarung untuk membahagiakannya. Dalam sebuah negara Islam, kerajaan patut kenakan hukum takzir suami yang sebegitu.

Rujukan
[1] Jawapan KP Kesihatan mengenai cadangan doktor wanita bertarikh 10 Mac 2015. https://m.facebook.com/KPKMalaysia/posts/956128204411068?fref=nf
[2] Kenyataan menteri ketidakcukupan doktor pakar. http://www.sinarharian.com.my/mobile/malaysia-perlukan-lebih-ramai-doktor-pakar-1.192928

Sekian

*Panel Pusat Talaqi Batu Rakit*
8 Ramadhan 1437

, , ,

Isu Minum Air Gula (OGTT) Semasa Bulan Ramadhan

FBSSalam
Kategori: perubatan
Isu: minum air gula untuk ibu mengandung

*Soalan:*
Ibu mengandung yang mengalami penambahan berat badan yg berlebihan sewaktu hamil disuruh untuk meminum air gula bagi memastikan tidak ada penyakit kencing manis…pada bulan ramadhan, apakah hukumnya? Sekiranya ibu tidak rasa ada sebarang masalah (sakit) dan pertambahan berat adalah kerana selera makan bertambah sewaktu mengandung, adakah perlu untuk minum air gula tersebut? Ibu boleh berpuasa dengan baik dan kadar tumbesaran kandungan juga baik, jadi perlukah ibu meninggalkan puasa untuk minum air gula? Dan sekiranya perlu selepas minum air gula, haruskah ibu itu imsak? Atau boleh makan dan minum?

*Jawapan:*
Ujian minum air gula (OGTT-Oral Glucose Tolerance Test) adalah penting sebagai saringan khusus penyakit kencing manis. Ianya dilakukan kepada beberapa kategori golongan berisiko samada hamil atau tidak. Ujian OGTT ini adalah penentu (Gold Standard) samada pesakit tersebut mengidap kencing manis atau sebaliknya.

*Kaedah:* Ibu diminta berpuasa sedari jam 10 malam. Dengan ini paras gula dalam darah di pagi hari (jam 8 pagi) adalah paling minima. Jika melebihi hadnya maka dikira diabetes. Namun sistem badan kita yg Allah jadikan amat hebat kerana insulin akan mengawal keseimbangan gula dalam darah. Kemudian ujian minum air gula dilakukan bagi _challenge_ tindakan insulin dalam badan. Bagi ibu yang berisiko, insulin badan tidak dapat berfungsi dengan baik. Justeru bacaan nya akan melebihi paras. Ia akan di kira sebagai kencing manis semasa mengandung.

*Berikut adalah faktor risiko yang mewajibkan seseorang itu menjalani ujian OGTT:*

a. Berat badan unggul BMI >27 kg/m²
b. Mempunyai sejarah berat bayi sebelum ini lebih 4 kg
c. Sejarah Kencing Manis semasa hamil sebelum ini.
d. Sejarah keluarga kencing manis (1st degree relative)
e. Sejarah kematian bayi yang tiada peyebab sahih.
f. Sejarah kecacatan bayi sebelum ini.
g. Air kencing dikesan mengandungi gula.
h. Terdapat penyakit semasa seperti Darah tinggi, polihidramnios (air ketuban banyak) dan penggunaan steroid. [1]

*Kesan kencing manis semasa hamil*

*Kepada ibu*: akan selalu pengsan dan boleh bawa maut
*Kesan pada janin:* Tumbesaran terbantut, air ketuban banyak, kerosakan tulang belakang janin, kelahiran pra matang, dan boleh membawa kematian bayi dalam kandungan.

*Ujian OGTT semasa Ramadhan*

Jumhur ulama menyatakan bahawa ibu hamil diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Hamil itu sendiri meletihkan dan memenatkan bagi sesetengah ibu. Ia dikiaskan dengan orang sakit, di mana orang sakit dibenarkan tidak berpuasa kerana boleh mendatangkan mudarat [2]. Pun begitu ramai ibu hamil meneruskan puasa Ramadhan tanpa kesan yang mebimbangkan.

Masalah yang ditimbulkan di atas adalah ibu hamil dipaksa berbuka kerana ujian penting OGTT ini. Jika ibu hamil tersebut mempunyai risiko seperti yang dinyatakan, ia wajib menjalani ujian ini tanpa ingkar. Masa terbaik ujian OGTT dilakukan adalah semasa minggu kehamilan antara 24 hingga 28 minggu. Justeru atas budi bicara doktor yang merawat ibu hamil untuk mengarahkan ujian dilakukan semasa ramadhan atau tidak.

Bagi saya, akan mengambil langkah menjaga sensitiviti dan hasrat tinggi ibu hamil untuk terus beribadah puasa ini dengan melakukakan ujian sebaik sahaja bulan syawal nanti. Tetapi ianya pula tertakluk kepada kesegeraan ujian tersebut berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan sesorang doktor. Mereka lebih mengetahui pesakit mereka. Terdapat beberapa kaedah sampingan lain boleh digunakan (jika pesakit ingin terus berpuasa) untuk menentukan ibu tersebut mengalami kencing manis atau tidak. Contohnya
(i) mengadakan siri ujian paras gula darah semasa puasa (FBS) atau
(ii) beberapa siri ujian gula darah secara rambang (RBS) atau
(iii) Ujian HbA1c
(iv) Ujian OGTT sebelum sahur

Walaupun ianya bukan *Gold Standard* seperti OGTT, namun sekurang-kurangnya pihak doktor boleh mengambil langkah kawalan awal ini sebelum dilakukan ujian OGTT pada bulan syawal nanti.

Berat badan bertambah secara mendadak semasa hamil, boleh dikaitkan dengan kaedah pemakanan yang berselera atau mungkin juga akibat dari kencing manis. Tetapi ia bukan kesegeraan yang melangsungkan ujian OGTT dijalankan.

Sekian terima kasih

Ramadhan Kareem

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan Dhaif_
fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

Rujukan
[1] CPG Management of Type 2 Diabetes Mellitus. http://www.acadmed.org.my/index.cfm?&menuid=67
[2] Puasa bagi Pesakit. http://suhazeli.com/wp/?p=1314

, ,

Hukum Berpuasa Ramadhan bagi Wanita Hamil dan Menyusui Bayi

Ramadhan adalah bulan mencari kerahmatan, keberkatan dan keampunan dari Nya. Ia terangkum dalam faedah taqwa yang akan diperolehi jika kita berpuasa dengan penuh keimanan dan keinsafan. Semua kaum muslimin tanpa mengira status jantina dan umur berlumba-lumba mengadakan sebanyaknya ibadah bagi meraih taqwa ini. Namun terdapat sebilangan orang yang mempunyai keuzuran tertentu yang tidak membolehkan berpuasa, antaranya ibu hamil dan ibu yang sedang menyusu bayi.

Secara umum hamil tidak mengganggu kesihatan janin samada menyebabkan kecacatan atau membawa kematian. Sebagaimana kajian yang dilakukan oleh Vahid Ziaee dan rakan-rakan, mereka tidak menemui kecacatan mahupun kematian kepada bayi akibat puasa Ramadhan siibu [1].

Pun begitu, berikut disenaraikan beberapa kumpulan ibu hamil yang disarankan oleh pakar perubatan agar tidak berpuasa:

1) Alahan teruk semasa hamil (Severe Morning sickness); ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual, muntah dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi makanan yang berzat.

2) Penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes mellitus), darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain. Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan, serta kesihatan ibu akan turut terjejas

3) Anemia teruk/kekurangan darah semasa mengandung / selepas bersalin. Ibu akan mengalami keletihan yang ketara jika tidak mengambil makanan atau ubatan yang menaikkan hemoglobin darah.

4) Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering). Ianya beberapa punca, samada punca dari ibu atau dari janin.

5) Pesakit jantung terutama sekali sedang menjalani rawatan intensif. (Kes ibu hamil diserang sakit jantung jarang berlaku).

6) Tumbesaran bayi yang terencat akibat dari sebab yang diketahui atau tidak. Pengesahan dilakukan oleh pakar yang menentukan perkembangan janin tersebut.

7) Mengalami perdarahan semasa mengandung. Ianya darah penyakit atau tanda keguguran.

Bagi ibu-ibu yang sedang menyusu bayi dibulan Ramadhan, juga diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Walaubagaimana pun penyelidikan yang telah dijalankan menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu.

Akan tetapi terdapat wanita hamil atau yang menyusui bayi tidak dapat menahan lapar dan khuatir diri sendiri mahupun bayi mereka terjejas dari sudut kesihatan.

Imam Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Razi (Al Jashshosh: Mazhab Hanafi) membuat ulasan dalam isu ini: perlu diperhatikan bahwa wanita hamil dan menyusui boleh tidak berpuasa jika memang ia merasa kepayahan, kesulitan, takut membahayakan dirinya atau anaknya. Beliau menambah, “Jika wanita hamil dan menyusui berpuasa, lalu dapat membahayakan diri, anak atau keduanya, maka pada keadaan ini lebih baik bagi keduanya untuk tidak berpuasa dan terlarang bagi keduanya untuk berpuasa. Akan tetapi, jika tidak membawa bahaya apa-apa pada diri dan anak, maka lebih baik ia berpuasa, dan pada keadaan ini tidak boleh ia tidak berpuasa.” [2]

*IMPLIKASI HUKUM*
Keringanan diberikan kepada ibu hamil dan menyusui bayi untuk tidak berpuasa. Ianya terbahagi kepada tiga keadaan:
1) Wanita hamil/menyusu *khuatir* terhadap kesihatan janin/bayi, contohnya khuatir bayi tidak membesar atau kurangnya susu menyebabkan bayinya lapar kerana dia berpuasa; seterusnya khuatir memberi kesan kepada pembesaran dan kesihatan bayi.
2) Wanita hamil atau menyusui bayi tidak berpuasa kerana khuwatir lemah badan kerana berpuasa semata-mata tanpa memikirkan keadaan janin dalam kandungan atau bayi yang sedang disusuinya.
3) Wanita hamil atau menyusui bayi khuatir akan keselamatan dan kesihatan bayi sahaja, tanpa memikirkan kesihatan diri sendiri.

Ketiga-tiganya boleh baginya untuk tidak berpuasa, dan hal ini tidak ada perselisihan di antara para ulama. Dalil yang menunjukkan hal ini adalah sabda Nabi SAW,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ

_“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla meringankan setengah solat untuk musafir dan meringankan puasa bagi musafir, wanita hamil dan menyusui.”_ [3]

Wanita hamil atau susu badan boleh berbuka puasa atau tidak berpuasa wajib jika khuatir mudharat diri sendiri atau kandungan atau bayi yang disusu. Kekhuatiran tersebut diakui jika bersandarkan kepada sangkaan yang kuat melalui pengalaman yang sebelumnya atau melalui nasihat seorang ahli perubatan muslim yang berkepakaran dan adil. Apabila wanita tersebut meyakini atau bersangka sangkaan yang kuat, dia akan mendapat mudharat jika dia berpuasa, maka haramlah ke atasnya berpuasa [4].

*Cuma perbincangan ulama timbul samada wanita berkenaan menggantikan puasa (qodo’) dan bayar fidyah atau hanya menggantikan puasa sahaja. Terdapat 3 pandangan:*

(i) Apabila wanita tersebut tidak berpuasa kerana khuatir keselamatan dirinya maka dia *wajib mengqodo’* puasanya menurut mazhab empat. Tetapi *tidak wajib dia membayar fidyah*.

(ii) Jika sekiranya dia khuatir keselamatan dirinya dan anaknya, dia
– *wajib qodo’* dan *membayar fidyah* menurut mazhab Syafei dan Hambali.
– *wajib qodo’* dan *fidyah* ke atas wanita hamil, manakala wanita yang menyusu hanya *wajib qodo tanpa kaffarah* menurut mazhab Maliki.
– *hanya wajib qodo’* menurut mazhab Hanafi.

(iii) Jika sekiranya dikhuatiri keselamatan bayi sahaja, *wajib ke atasnya qodo’ dan fidyah menurut jumhur*. Mazhab Hanafi berpendapat wanita tersebut *hanya wajib qodo’*.

Wallahu’lam.
Rujukan
[1] Kesan Puasa Ramadahan Semasa Hamil: http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3446023/
[2] Ahkamul Qur’an, Al Jashshosh, 1/223
[3] Hadis riwayat An Nasai no. 2275, Ibnu Majah no. 1667, dan Ahmad 4/347. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.
[4] Soal jawab bersama Ustaz Ahmad Tarmizi Taha
….

Rijal Al Brangi
_Banjaran Titiwangsa_
4 Jun 2016

Wanita Hamil Setelah Putus Haid?

imagePutus Haid (Menopause) adalah satu keadaan di mana ketiadaan perdarahan haid secara kekal bagi seorang wanita . Ia adalah proses fisiologi badan yang berlaku bagi seseorang wanita apabila sampai umur yang tertentu. Setiap wanita yang mempunyai sistem peranakan akan mengalami menopos ini setelah hormon subur dan telur dalam ovari sudah berkurangan.

Majoriti pakar perubatan mendefinisikan putus haid/menopos adalah dimana seseorang wanita yang tiada haid secara bulanan selama *lebih dari setahun*.
Terdapat keadaan dimana wanita yang hampir putus haid akan mengalami tanda-tanda menopos seperti panas badan, sakit sendi, berpeluh malam, sukar tidur dan fikiran gelisah. Tanda-tanda ini boleh menjangkau beberapa bulan – 4 tahun sehingga betul-betul putus kitaran haid. Pengesahan secara makmalnya apabila paras salah satu dari hormon regulasi kilang telur (FSH) wanita meningkat tinggi. Hormon tersebut diberi nama Follicular Stimulating Hormone (FSH). Manakala hormon kesuburan terutama hormon Estrogen (17B-Estradiol) turun [1].

*_Umur Putus Haid_*
Kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual dibawah menunjukkan umur kebanyakan wanita putus haid. Peratus ini hasil dari kajian ke atas wanita dipelbagai benua dan geografi.
*_Umur Putus Haid (% wanita)_*
~35—40 tahun (11.87%)
~40—45 tahun (25.97%)
~45—50 tahun (41.03%)
~50—55 tahun (14.58%)
~sebelum 35 atau selepas 55 tahun (6.54%)

Bagi wanita yang putus haid kurang dari 40 tahun diistilahkan sebagai Putus Haid Pra-matang (Premature Menopause)

Dari pembahagian di atas, majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah diantara 45 hingga 55 tahun. Tetapi median umur (Kebanyakan) putus haid adalah 52.4 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.

Hormon FSH dan LH dirembeskan dari kelenjar Pituitari yang terletak dalam rongga otak kepala. Rembesan ini pula bergantung kepada signal negatif yang diperolehi dari Hormon Progesteron dan Estrogen yang dirembeskan dari kilang telur itu sendiri. Maksudnya jika telur tidak disenyawakan, tiada percambahan benih yang melekat pada dinding peranakan, hormon progesteron dan estrogen akan menurun secara mendadak. Menyebabkan signal akan dihantar ke kilang Pituitari untuk merembeskan FSH dan LH bagi kitaran pembentukan telur (ovum) yang kedua bagi bulan berikutnya. Semasa penurunan progesterone dan estrogen mendadak inilah dinding peranakan yang subur tadi berdarah yang kita namakan darah haid. Tujuan perdarahan tadi adalah supaya penyediaan untuk pembinaan ‘tapak’ baru bagi kitaran bulan yang berikutnya. Indahnya kejadian Allah Taala bagi manusia yang berfikir!

Seumur hidup seseorang wanita berupaya mengeluarkan telur sebanyak 400 ribu biji. Pengeluaran ini bergantung terus kepada hormon yang dinyatakan di atas. Proses pengeluaran ini agak kompleks dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui secara mendalam. Walaubagaimanapun tidak semua telur akan mencapai tahap kematangan dan disenyawakan. Kajian menyatakan hanya 400 telur sahaja matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Dalam satu kitaran, hanya satu telur sahaja akan matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Telur yang masih berbaki, yang dalam proses kematangan akan terhenti tumbesaran setelah hormon-hormon di atas berkurangan. Ada kedapatan telur yang belum matang tadi akan matang pada kitaran yang berikutnya, dan ada di antaranya akan terbantut terus.

Pada satu masa tertentu, darah haid akan terputus setelah kitaran fisiologi ini tiada. Dengan kata lain bahawa telur wanita kebanyakannya akan habis dan sistem regulasi ini terrencat sekitar umur 45 – 55 tahun. Perdarahan selepas putus haid tidak dikira sebagai haid. Ia kemungkinan akibat dari penyakit tertentu yang boleh menyebabkan perdarahan.

Wanita mempunyai sekurang-kurangnya empat hormon penting bagi mengimbangi kitaran bulanan haid mereka. Hormon tersebut adalah Follicular Stimulating Hormon (FSH), Leutinizing Hormon (LH), Progesterone dan Estrogen. FSH dan LH berfungsi untuk membina telur *_(ovum)_* yang terdapat dalam kilang telur *_(ovari)_* membesar dengan subur dan matang sebelum ia pecah untuk disenyawakan oleh *_sperma lelaki_*. Progesteron dan Estrogen pula berfungsi untuk membina dinding peranakan wanita, subur untuk perletakan benih yang telah disenyawakan. Untuk pengetahuan bersama, hormon Progesteron dan Estrogen ini juga penting untuk menjaga keseimbangan fizikal dan mental seseorang wanita. Kulit wanita akan kelihatan cantik dan gebu akibat dari hormon Progesteron dan Estrogen. Begitu juga dangan emosi seseorang wanita dipengaruhi oleh hormon ini.

Apa yang terjadi semasa proses menopos (putus haid) ialah, telur-telur tadi sudah berkurangan dan ada yang tidak mencapai tahap kematangan untuk dikeluarkan dari kilang telur. Ini mengakibatkan kitaran haid bagi seorang wanita yang hampir putus haid tidak menentu. Pada masa yang sama hormon-hormon FSH, LH, Progesteron dan Estrogen juga akan mengalami gangguan perembesan. Pada saat inilah wanita akan mengalami beberapa kecelaruan seperti cepat marah, sukar untuk tidur, sentiasa merasakan panas badan, sakit urat sendi dan nafsu berkurangan . Fenomena ini akan berlaku pada setiap wanita dan ia bergantung kepada tahap ketahanan badan masing-masing. Wanita yang tidak dapat mengatasi perubahan kehidupan ini diberi pilihan untuk mengambil pil yang dinamakan Terapi Hormon Gantian (Hormon Replacement Therapy) .

Sesetengah wanita akan mengalami kecelaruan ini sehingga bertahun-tahun dan sebahagian darinya akan mengalami beberapa bulan sahaja. Fenomena ini dikenali sebagai tanda-tanda menopos. Malah ada di antara mereka tidak akan merasai perubahan ini secara ketara. Apa yang pasti adalah mereka akan mengalami gangguan kitaran haid dan akhirnya haid akan terhenti.

*_Perdarahan selepas Putus Haid (Menopos)_*?
Persoalan timbul, adakah wanita yang disahkan putus haid ini akan kembali haid semula? Ianya sesuatu yang agak mustahil kerana fisiologi seorang wanita yang subur sudah tiada kerana proses penuaan.

Terdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid. Pendapat yang pertama adalah enam bulan dan pendapat kedua adalah selepas satu tahun dari haid yang terakhir.

Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.

Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya 5% wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid. Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan. Darah penyakit ini berpunca dari beberapa sebab seperti dibawah:
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan virus.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu.
3. Pengencutan vagina (Vagina Atropy) dan senang terluka apbila bersama.
4. Pembengkakan rahim (Radang)
5. Barah Rahim, pangkal rahim atau barah Ovari (Kilang Telur)
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim.

Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah *Barah Rahim*. Lima hingga 10% perdarahan selepas putus haid adalah berpunca dari Barah Rahim. Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui Barah Rahim ini. Antara ujian ringkas yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah *Ultra Sound* sistem Peranakan dan melakukan pensampelan peranakan wanita. Melalui kaedah ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.

*_Hamil selepas Putus Haid_*
Haid boleh terus berlaku jika wanita mengambil hormon gantian (Hormon replacement therapy). Tetapi kilang telur sudah tidak mengeluarkan telur pada masa ini. Hanya hormon bantuan dari luar tersebut yang menggantikan kitaran hormon subur yang sudah tiada tadi. Wanita yang mengambil pil hormon gantian (HRT) ini tidak akan hamil secara fisiologi. Mereka yang mengambil HRT ini boleh hamil dengan syarat:
i) Dibekalkan secara terus HRT sehingga menyerupai wanita subur.
ii) Melakukan persenyawaan berhadas antara Telur wanita (ovum- melalui derma ovum) dan sperma lelaki. Kaedah ini diberi nama *_In Vitro Fertilization (IVF)_*.
iii) dilakukan dalam kawalan dan pengawasan pakar bagi memastikan sistem peranakan dan tubuh badan berada dalam keadaan yang optima bagi kehamilan yang bakal ditempuhi.

image

Dalam sejarah perubatan, wanita bernama _Maria del Carmen Bousada de Lara_ berumur 67 tahun (66 tahun 358 hari) berjaya melahirkan anak kembar manakala _Adriana Iliescu_ 66 tahun, berjaya lahirkan bayi perempuan tahun 2005. Kedua-duanya dapat hamil dengan menggunakan kaedah IVF. Sementara itu tahun 1997, seorang ibu bernama _Dawn Brooke_ (UK); berjaya hamil dengan memakan pil estrogen semasa berumur 59 tahun. Terbaru, seorang wanita 70 tahun dari India bernama _Daljinder Kaur_ berjaya hamil dengan menggunakan kaedah IVF. Ianya boleh dilakukan dengan bantuan seperti yang dimaksudkan itu. Namun secara fisiologi, ia amat sukar dan mustahil.

*_Pandangan Ulama dan Implikasi Hukum_*
Timbul beberapa hukum fekah yang berkaitan dengan perdarahan yang berlaku selepas putus haid. Penelitian ulama dalam masalah ini perlu dipertajamkan lagi bagi mencari penyelesain masalah ini.

Para ulamak berbeza pendapat mengenai umur wanita yang putus haid ini. Berdasarkan kajian dan pemerhatian semasa pada waktu itu, Ad-darimi menyimpulkan bahawa bilamana sesorang wanita didatangi darah samada berumur belum mencapai 9 tahun atau di atas 50 tahun, ia bererti darah haid juga.

Pendapat Imam Syafie pula menyatakan bahawa tiada tempoh usia wanita putus haid. Pendapat ini mungkin berdasarkan uruf semasa pada ketika itu atau mengambil bukti sirah isteri Nabi Ibrahim AS yang masih boleh melahirkan anak (Nabi Allah Ismail) walaupun sudah lanjut usia. (Pen: Mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim AS).

Walaubagaimanpun pendapat Imam Hanafi, Hambali dan Maliki berbeza, dan menentukan tempoh usia wanita putus haid. Sedangkan jarak perbezaan zaman pada ketika itu tidaklah terlampau jauh. Semoga Allah merahmati mereka semua dalam menyatakan pandangan dan pendapat.

Tulisan ini pula bukan ingin menyanggah apa yang telah dinyatakan oleh para ulamak, tetapi ingin menyatakan beberapa pandangan terkini berdasarkan bukti-bukti kajian ilmiah mengenai wanita yang putus haid.

Saya lebih mengambil pandangan bahawa darah selepas putus haid adalah *sejenis darah penyakit (istihadah)*. Kecualilah ianya dibuktikan sebaliknya (melalui ujian klinikal). Justeru segala hukum ibadah atas wanita akan tertakluk kepada hukum istihadhah.

Sekian

” _Semoga bermanfaat_ ”

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
12.5.2016
Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

_Mohon maaf bahasa medik, sukar disampaikan dalam bahasa fusahah BM_

Rujukan

  1. Menopause. Dicapai melalui http://emedicine.medscape.com/article/264088-overviewMarie Carmichael Stopes.
  2. Change Of Life in Men And Women. Dicapai Melalui Http://Www.Geocities.Com/Menobeyond/Age.Html#1 Pada 10-Nov-08
  3. Muhammad bin Shaleh Al-‘Uthaimin. Usia dan Masa Haid. Darah Kebiasaan Wanita. Islamic Propogation Office in Rabwah, Riyadh.
  4. The Reproductive System di perolehi dalam talian http://library.thinkquest.org/2935/Natures_Best/Nat_Best_Low_Level/Reproductive_page.L.html#female_repro pada Tuesday, November 11, 2008
  5. Berbagai Ukuran Seputar Seks dan Organ Reproduksi. Di capai melalui http://www.hanyalelaki.com/mod.php?mod=publisher&op=viewarticle&artid=140 pada 13 November 2008Menopause.
  6. Dicapai melalui http://menopause.emedtv.com/menopause/menopause.html pada November 14, 2008Menopause.
  7. Dicapai melalui http://www.healthywomen.org/healthtopics/menopause pada November 14, 2008
  8. Postmenopausal Bleeding. http://www.patient.co.uk/showdoc/40024599/
  9. KATHLEEN A. ORIEL, SARINA SCHRAGER. Abnormal Uterine Bleeding. Dicapai melalui http://www.aafp.org/afp/991001ap/1371.html
,

Hukum Cairan dari Kemaluan Wanita

image

CAIRAN DARI KEMALUAN WANITA

Assalamualaikum.

Kepada : Ustaz Tarmizi/Dr Suhazeli

Kategori: Fiqh wanita/kesihatan

Soalan:

Ustaz,
Kalau seseorang wanita mengandung tu  keluar keputihan..dia dah cuci keputihan tu sebelum solat.tapi lepas solat,dia perasan keputihan tu melekat pada pakaian solatnya, padahal dia dah pasti keputihan tu dah tiada sebelum solat. Adakah sah solatnya tadi?
Bagaimana pula jika keputihan itu keluar semasa solat? Batal tak solat? Perlu ambil wudhuk semula ke?

Dr,
Adakah normal wanita mengandung mengalami keputihan yang banyak di trimester pertama dan kedua?
Adakah dikira najis?

Terima kasih.

-Marahaini

JAWAPAN

Cairan atau lembapan yang keluar dari wanita terbahagi kepada beberapa kategori.
1. Cairan tidak berwarna, hanya berbau hanyir biasa. Ia adalah cairan biasa secara fisiologi rongga vagina akibat dari pergerakan atau iklim tertentu. Ruang rongga vagina terdapat kelenjar-kelenjar bagi memberi keselesaan dan sistem pertahanan luaran dari jangkitan kuman. Ia dipanggil Ruthubah al farj (رطوبة الفرح). Cairan ini seperti peluh atau hingus.
2. Cairan yang berwarna/tidak berwarna tetapi berbau busuk dan hanyir yang tidak menyenangkan (fishy smell). Ia adalah sejenis cairan penyakit yang mengganggu persekitaran vagina atau peranakan wanita. Kemungkinan ia akibat dari jangkitan kuman, ketumbuhan atau kanser yang berada disekitar vagina dan peranakan (uterus). Ia disamakan bentuk sperti air nanah yang keluar apabila berlaku jangkitan kuman ditempat lain.
3. Cairan yang keluar dari saluran kencing wanita. Terdapat cairan berwarna jernih kekuningan keluar ketika akhir kencing, ia diberi nama air wadi.
4. Cairan yang keluar semasa ghairah dan semasa melakukan hubungan kelamin. Ia dipanggil air mazi (keluar ketika rangsangan permulaan syahwat) dan air mani (keluar ketika kemuncak syahwat).

image

Namun Istilah keputihan agak umum. Ada wanita menyatakan kategori 1 itu keputihan dan ada yang menyatakan kategori 2 juga keputihan. Dalam istilah perubatan keputihan merujuk kepada jangkitan kulat candida (cairan berwarna putih kulat). Ia biasa berlaku kepada wanita yang hamil, berpenyakit kencing manis atau berpenyakit kelamin dan HIV.
Sukar untuk membezakan cairan kategori 1 dan 2 itu datang dari saluran vagina atau rongga peranakan.

IMPLIKASI HUKUM

KATEGORI 1
ianya adalah sejenis cairan biasa yang sukar dihalang kerana faktor yang disebut di atas. Terdapat dua pendapat yang membicarakan cairan Ruthbah Al Farj ini.

1. Menurut mazhab Hanafi, rutubah adalah suci. Imam Nawawi dan Imam Rafi’I juga berpendapat keputihan adalah suci.
Imam Nawawi menyatakan di dalam kitab Majmuk:

ثُمَّ إنَّ الْمُصَنِّفَ رَحِمَهُ اللَّهُ رَجَّحَ هُنَا وَفِي التَّنْبِيهِ النَّجَاسَةَ وَرَجَّحَهُ أَيْضًا الْبَنْدَنِيجِيُّ: وَقَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُمَا الْأَصَحُّ الطَّهَارَةُ وَقَالَ صَاحِبُ الْحَاوِي فِي بَابِ مَا يُوجِبُ الْغُسْلَ نَصَّ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ فِي بَعْضِ كُتُبِهِ عَلَى طَهَارَةِ رُطُوبَةِ الْفَرْجِ وَحُكِيَ التَّنْجِيسُ عَنْ ابْنِ سُرَيْجٍ فَحَصَلَ فِي الْمَسْأَلَةِ قَوْلَانِ مَنْصُوصَانِ لِلشَّافِعِيِّ أَحَدُهُمَا مَا نَقَلَهُ الْمُصَنِّفُ وَالْآخَرُ نَقَلَهُ صَاحِبُ الْحَاوِي وَالْأَصَحُّ طهارتها

Al Baghawi dan al Rafi’I pula mengatakan menurut pendapat yang terkuat ianya adalah suci. Menurut al Mawardi, dalam bab perkara yang mewajibkan mandi menyebut, Imam Syafei RA menyatakan dalam setengah karangannya bahawa keputihan/peluh kemaluan dari dalam faraj adalah suci, tetapi Ibnu Suraij menaqalkan Imam Syafei menyatakan ianya adalah najis.
Dari kenyataan tersebut, Imam Syafei mempunyai pandangan berkenaan keputihan iaitu suci dan najis. Menurut pendapat yang terkuat ianya adalah suci.
Mazhab Hambali juga berpendapat keputihan jenis ini adalah suci.

Jika keputihan yang sentiasa keluar yang sifatnya seperti peluh jika dianggap najis, membawa kesukaran kepada kaum muslimah.

Lagipun tiada nas Al Quran atau Hadis yang menyatakan keharamannya. Kaedah fekah menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ

“Hukum asal segala sesuatu adalah suci”

Justeru, wanita boleh meneruskan ibadah tanpa halangan.

2. Menurut pendapat muktamad mazhab Maliki, rutubah iaitu keputihan adalah najis.
Menurut mazhab Syafei pula keputihan adalah najis, pendapat ini dibincangkan oleh Al Syirazi. Al Syirazi RA menguatkan di dalam kitab al Muhazzab dan kitab al Tanbih pendapat yang mengatakan keputihan/peluh/cairan dari dalam kemaluan adalah najis dan pendapat ini disokong oleh Al Bandaniji. Manakala Syeikh Zakaria al Ansori menyatakan dalam kitab Asna al Matolib.

وَأَمَّا الرُّطُوبَةُ الْخَارِجَةُ مِنْ بَاطِنِ الْفَرْجِ فَتُنَجِّسُهُ

“Adapun keputihan yang keluar dari dalam faraj adalah najis.”

Dalilnya
i) Imam Muslim meriwayatkan

قَالَ: أَخْبَرَنِي أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ، أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: إِذَا جَامَعَ الرَّجُلُ المَرْأَةَ فَلَمْ يُنْزِلْ؟ قَالَ: «يَغْسِلُ مَا مَسَّ المَرْأَةَ مِنْهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وَيُصَلِّي»

ii) Imam Muslim mendefinisikan keputihan itu menyamai mazi iaitu tidak tercipta darinya anak dan keluar dari dalam faraj, oleh itu hukumnya ialah hukum mazi iaitu najis.

Kategori 2

image

Para wanita hendaklah mempastikan cairan yang keluar tersebut dalam kategori ini. Jika sukar untuk mempastikannya, sayugia bertemu para doktor untuk pengesahan. Ia dimasukkan dalam hukum cairan nanah dan ia adalah najis yang perlu dicuci.

Sementara terdapat kaidah dalam masalah Fiqh,
الفرع يأخذ حكم أصله
Hukum turunan itu sama seperti hukum asalnya.
Dalam Ensiklopedi Fiqh dinyatakan,
اتفق الفقهاء على أن القيح إذا خرج من بدن الإنسان فهو نجس؛ لأنه من الخبائث، قال الله تعالى: { وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} ، والطباع السليمة تستخبثه، والتحريم لا للاحترام دليل النجاسة؛ لأن معنى النجاسة موجود في القيح إذ النجس اسم للمستقذر وهذا مما تستقذره الطباع السليمة لاستحالته إلى خبث ونتن رائحة؛ ولأنه متولد من الدم والدم نجس

Para ulama sepakat bahwa nanah ketika keluar dari badan manusia, hukumNya najis. Karena nanah termasuk benda menjijikkan.

CARA IBADAH
Bagi wanita yang mengalami keadaan ini (dan mengambil pendapat keputihan kategori 1 itu najis) adalah:
⑴ Jika keputihan itu keluar berterusan, maka ianya termasuk dalam hadas berterusan, maka ianya sama dengan air kencing yang sentiasa keluar (Salasul baul).
⑵ Untuk mengerjakan solat, wajib dilakukan perkara berikut selepas masuk waktu secara tertib dan berturut-turut :
     i) Basuh kemaluan
     ii) Memakai tuala wanita
     iii) Mengambil wuduk
     iv) Segera mengerjakan solat
⑶ Jika sekiranya keputihan itu tidak berterusan hukumnya samada air kencing.
⑷ Jika keputihan berterusan, tidak batal solat jika keluar keputihan ketika solat.
⑸ Wuduk bagi wanita yang mengalami keputihan secara berterusan ialah satu wuduk satu fardu dan boleh dikerjakan dengannya amalan sunat tanpa batasan.
⑹ Oleh kerana ianya sukar dipastikan samada berterusan atau sebaliknya, maka ia bergantung sangkaan mereka yang terlibat dengan keputihan tersebut. Sangkaan itu wajib diikut.

Kategori 3
Ia adalah najis kerana berpunca dari air kencing. Jika seseorang wanita itu berpenyakit kencing tidak tus (salasul baul). Kaedah bersuci salasul baul sama dengan katogori 2.

Kategori 4
Adalah air Mazi. Ia najis dan wajib dicuci.
Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi
Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sumber rujukan:
1-Ahkam al Najasah fi  al Fiqh al Islami , Abdul  Majid Mahmud Solahin hal 128-130.
2-al Najasah  wa Ma Yutohhiruhaa  fi al Fiqh al Islami – Dirasah Muqaranah, Dr Abdul Hasib Sanad ‘Atiyyah, hal.25.
3- al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 34/128

NOTA TAMBAHAN:
Mungkin ada yang berkata, nampak semacam rumit jika berterusan  sedangkan Islam itu mudah. Memang benar Islam itu mudah, tetapi apakah maksud mudah yang dikehendaki Islam? Di antara tutup kepala dengan tidak tutup kepala memang mudah tidak tutup kepala tetapi Islam mewajibkan wanita baligh menutup kepala di khalayak ramai. Adakah menutup kepala bercanggah dengan sifat Islam ?

Apabila kita terkentut, kita diwajibkan bewuduk iaitu basuh muka, tangan, sapu kepala dan basuh kaki. Menurut logiknya, basuh tempat kentut sahaja sudah memadai.

Mereka yang mencuri dikerat tangan tetapi mereka yang sudah berkahwin apabila berzina direjam sampai mati, mengapa tidak kerat kemaluannya?

Islam itu tidak menjadi logik sebagai satu-satunya sumber sandaran.

Panel Pusat Talaqi Batu Rakit

Wallahua’lam.

Potong Kuku Semasa Hadas Besar

KATEGORI  TAHARAH

image

ISU MENGERAT KUKU KETIKA BERHADAS BESAR

SOALAN

Mohon pencerahan, jika potong kuku atau rambut ketika berhadas besar. Syukran.

JAWAPAN

Harus memotong kuku atau rambut ketika berhadas besar. Di antara pendapat ini ialah hadis riwayat al Bukhori:baginda SAW bersabda kepada Aisyah RA ketika itu beliau didatangi haid:

انْقُضِي رَأْسَكِ وَامْتَشِطِي

Rungkaikan sanggul kepalamu dan sikatlah rambut.

Dalam hadis di atas secara tidak langsung menunjukkan harus sikat rambut ketika haid  kerana pada kebiasaannya ada rambut gugur ketika  ia disikat.

Ada juga segelintir fuqaha berpendapat digalakkan agar  tidak dipotong rambut atau kuku ketika berhadas besar.  Berkata hal ini Syeikh Dawud menaqalkan di dalam kitab Bughyah:

( Dan demikian lagi ) orang yang junub atau orang yang haid dan nifas jangan ia menghilangkan sesuatu daripada rambut dan bulunya dan kukunya atau darahnya atau kulitnya kerana segala sukunya lagi akan dikembalikan kepadanya pada akhirat dengan sifat janabah  dan kata bahawasanya tiap-tiap sehelai rambutnya itu menuntut ia akan janabahnya seperti barang yang sudah dahulu sebutnya.

Walaubagaimanapun  Bujairimi berpendapat pendapat ini perlu dinilai kembali kerana  anggota yang kembali kepadanya pada hari kiamat  ialah anggota yang berada pada jasadnya ketika dia meninggal dunia, bukannya kuku-kukunya yang dipotong sebelum  kematiannya.

Al Bujairimi berkata:

( إذْ يُرَدُّ إلَيْهِ سَائِرُ أَجْزَائِهِ ) فِيهِ نَظَرٌ ، لِأَنَّ الَّذِي يُرَدُّ إلَيْهِ مَا مَاتَ عَلَيْهِ لَا جَمِيعُ أَظْفَارِهِ الَّتِي قَلَّمَهَا فِي عُمُرِهِ ، وَلَا شَعْرِهِ كَذَلِكَ فَرَاجِعْهُ .

Pusat Talaqi Batu Rakit

.
والله أعلم.

,

Darah Istihadhah: Bagaimana Ibadah Wanita

image

Apa maksud darah istihadhah?
Perdarahan wanita sepanjang tempoh umur subur* terbahagi kepada beberapa keadaan
a) Kitaran bulanan yang tetap mengikut uruf seseorang. Majoriti wanita berlaku perdarahan sebulan sekali. Ini diberi nama darah haid. Terdapat juga wanita yang kitaran haid mereka dua atau tiga bulan sekali secara tetap.
b) Perdarahan semasa hamil. Perdarahan ini berlaku akibat beberapa keadaan**:
      i) keguguran,
     ii) perdarahan kerana uri berada dibahagian bawah peranakan,
     iii) luka dimana-mana bahagian peranakan
     iv) proses awal sebelum bersalin. 
c) Perdaharan selepas bersalin. Diberi nama darah nifas.
d) Perdarahan yang tidak menentu ketika awal akil baligh atau dipenghujung usia subur (hampir putus haid).
e) Perdarahan akibat gangguan penyakit dalaman samada
     i) gangguan fizikal (ketumbuhan/kanser)
     ii) gangguan hormon kerana penyakit tertentu atau mengambil terapi hormon.
*Tempoh umur subur: Bermula akil baligh hingga putus haid.
** Keluar darah semasa hamil, saya hurai dalam topik lain.

Dr Wahbah Az Zuhaily pula mengkategorikan darah ISTIHADHAH ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan nifas (keadaan a, b(i) dan c di atas).

Justeru Darah istihadhah merangkumi;[1]
a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.
b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.
c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.
d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas (60 hari).
e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie dan mazhab Maliki.
f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid

Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).[2]

Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;

1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu.

Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; “Tidak”. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah.

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita.

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).

Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?

Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya “أحكام المرأة” (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).

Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?

Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).

Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.

Bagaimana cara wanita yang menghadapi masalah istihadhah mengambil wudhuk? Adakah terdapat perbezaan dengan wanita suci lain yang tidak menghadapi masalah istihadhah?

Ya, ada perbezaan. Wanita yang mengalamai masalah istihadhah walaupun menyamai hukum wanita yang suci secara amnya sebagaimana dinyatakan tadi, namun ada sedikit perbezaan antaranya dengan wanita suci yang lain memandangkan darah masih keluar dari farajnya. Perbezaan itu ialah;

1. Wanita yang mengalami masalah istihadhah, ia hendaklah menunggu masuk waktu barulah mengambil wudhuk jika ingin mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu. Tidak harus ia mengambil wudhuk sebelum masuknya waktu kerana wudhuknya hanyalah wudhuk darurat dan sesuatu yang dilakukan kerana darurat hendaklah dilakukan apabila tiba waktunya.

2. Menurut mazhab Syafi’ie; satu wudhuk hanya untuk satu solat fardhu sahaja. Jika ia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardhu (seperti solat qadha, nazar atau menjamakkan) ia wajib mengulangi wudhuknya. Adapun solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wudhuk. Namun menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; harus ia mengerjakan dengan satu wudhuk seberapa banyak solat fardhu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.[4]

3. Sebelum mengambil wudhuk ia hendaklah membasuh kemaluannya dengan sempurna, kemudian membalutnya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung darah dari keluar sekadar terdaya). Setelah itu, hendaklah ia segera mengambil wudhuk.

4. Ketika mengambil wudhuk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhuk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama darah sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

5. Setelah selesai wudhuk hendaklah ia segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.

6. Sebahagian ulamak mengharuskan wanita yang menghadapi masalah istiadhah menjamakkan dua solat dengan sekali wudhuk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.

Adakah wanita istihadhah harus disetubuhi suaminya?

Berlaku khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); harus bagi suaminya mensetubuhinya sekalipun darah sedang keluar dari kemaluannya.

2. Menurut Imam an-Nakha’ie dan al-Hakam; dilarang mensetubuhinya kerana diriwayatkan dari Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa beliau menegah suami mensetubuhi isterinya yang istihadhah.

3. Imam Ibnu Sirin memakruhkannya.

4. Berkata Imam Ahmad; Tidak harus mensetubuhinya kecuali jika terlalu lama istihadhahnya. Dalam satu riwayat yang lain darinya; Tidak harus kecuali jika ditakuti suaminya akan berbuat dosa (zina dan sebagainya).

Nota Hujung;

[1] Wahbah Zuhaili, 1/478.
[2] Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 50.
[3] Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi, 1/93-96.

Istilah darah fasad/fasid dan istihadhah sedikit kabur pemahamannya. Dalam kitab menyebut darah istihadhah itu tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil (العاذل).  al-‘Azil (العاذل); menurut kamus al-Marbawi bermaksud urat yang mengalir darinya darah istihadhah.

,

Keluar Darah Haid Semasa Hamil?

image

Perdarahan awal kehamilan (biasa kurang dari 5 bulan) dikaitkan dengan keguguran. Terbahagi kepada empat keadaan di mana:
1. Perdarahan yang menyebabkan keguguran terus dan tiada bayi selamat. (Complete/incomplete/missed abortion).
2. Perdarahan akibat ancaman kepada janin (threatened abortion), bayi akan selamat sehingga besar.
3. Perdarahan kemasan tapak janin (implantation bleeding), biasanya bayi akan selamat membesar.
4. Tidak diketahui punca (Indeterminate bleeding), biasaya berpunca dari pendarahan di sekitar pangkal rahim. Bayi akan selamat membesar.
*warna dan bau darah ini agak berbeza dengan darah haid.

Para ibu hamil akan bertanya status ibadah mereka. Ini adalah jawapan kepada persoalan keadaan 1 diatas. Ianya dinyatakan dengan jelas oleh Syaikh Shihabuddeen al-Qalyubi rhm.

Beliau menyatakan (Al-Qalyubi, Shihabuddeen Ahmad Ibn Ahmad (2003), Hasyiyata Qalyubi Wa Umayrah, et.all, cet.2, Beirut : Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, jil.1, ms. 93)  :

يثبت للعلقة من أحكام الولادة وجوبُ الغسل وفطر الصائمة بها ، وتسمية الدم عقبها نفاسا، ويثبت للمضغة ذلك

Terjemahan : Hukum-hukum [berkaitan] wiladah yang sabit bagi alaqah [yang keluar dari tubuh wanita ialah] kewajipan mandi, berbukanya [wanita] yang berpuasa, penamaan darah [yang keluar] sejurusnya (iaitu alaqah) sebagai nifas. Dan sabit [juga] bagi mudghah [yang keluar dari tubuh wanita, hukum hakam] sedemikian.

Wiladah, alaqah dan mudghah masing-masing bermaksud kelahiran anak, ketulan darah dan ketulan daging.

Kenyataan di atas jelas menyamakan wanita yang keguguran dengan wanita yang melahirkan anak. Iaitu dari segi hukum hakam.

Ia seperti kewajipan mandi, terbatal puasa dan darah yang keluar sejurus keguguran, juga dinamakan darah nifas.

Dalam erti kata lain, wanita yang keguguran, wajib mandi. Puasanya juga terbatal. Manakala darah yang keluar sejurus keguguran, adalah darah nifas.

Justeru, ditegah ke atasnya melakukan apa yang ditegah ke atas wanita yang keluar darah nifas sejurus melahirkan anak.

Yang dimaksudkan dengan ‘wanita yang keguguran’ di sini, ialah wanita yang keluar daripada tubuhnya ketulan-ketulan darah atau daging akibat keguguran.

*Penulis: Darah yang keluar sebelum keluar ‘ketulan-ketulan darah’ juga termasuk darah keguguran dengan syarat disahkan oleh doktor yang pakar dalam membuat diagnosa ultrasound bahawa seseorang wanita itu hamil.

Kesimpulannya, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar dari tubuhnya ketulan darah atau daging, diiringi dengan darah nifas, wajib ke atasnya mandi wajib. Iaitu wajib mandi setelah darah nifas berhenti mengalir.

Tempoh minimum nifas adalah sedetik/seketika atau minimum 40 hari dan maksimum 60 hari. Jika sekiranya sedetik dan kering melebihi 15 hari bermakna beliau telah suci dan boleh mandi. Jika sekiranya darah keluar lagi dalam masa 15 hari berikutnya, maka bolehlah beliau menunggu tempoh 40 hari bagi tempoh nifasnya.

Dalam tempoh tersebut (40 hari), andai sekiranya darahnya sudah kering melebihi sehari, maka wajib baginya mandi dan meneruskan ibadah. Andai sekiranya selepas dari itu perdarahan turun kembali, maka ia masih dikira darah nifas, segala hukum darah nifas masih terpakai.

Nota: Darah yang keluar dalam keadaan bernombor 2 hingga 4 di atas adalah darah istihadhah.

Wallahuaklam.

Dr Suhazeli Abdullah
26.4.2016

,

Darah Istihadoh Akibat Hentakan Syaitan

image

Muslim  meriwayatkan  nabi SAW bersabda berkenaan istihadah:

إِنَّمَا هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ

Sesungguhnya  istihadah itu adalah terjahan @hentakan dari hentakan syaitan.

Perkataan rakdoh bermakna menghentak kaki  di atas bumi ketika berlari.

Apakah makna rakdoh di dalam hadis di atas?
Jumhur ulama berpendapat makna rakdoh di dalam hadis ialah gangguan syaitan iaitu syaitan berpeluang mengganggu wanita yang mengidap istihadah dengan perlbagai bisikan berkenaan suci dan solatnya.

Dengan itu wanita tersebut menjadi tidak tenang apabila dia ditimpa penyakit istihadah. Keliru, celaru, tidak tenang , tidak khusyuk, ragu-ragu dan lainnya perasaan timbul di dalam dirinya menyebabkan syaitan mudah membisikkan bisikan yang boleh mengganggu jiwanya .

Wallahua’lam.

يَعْنِي أَنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ وَجَدَ بِهِ طَرِيقًا إِلَى التَّلْبِيسِ عَلَيْهَا فِي أَمْرِ دِينِهَا وَطُهْرِهَا وَصَلَاتِهَا حَتَّى أَنْسَاهَا ذَلِكَ عَادَتَهَا وَصَارَ فِي التَّقْدِيرِ كَأَنَّهُ رَكْضَةٌ نَالَتْهَا مِنْ رَكَضَاتِهِ

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha
Pensyarah UniSZA
Terengganu