Tolak lah, Benda tu Mudarat

Kenapa ada lagi manusia tidak faham-faham amaran doktor-doktor dan juga Kementerian Kesihatan? Malah di kotak rokok itu sendiri pun terpampang amaran keras dengan pelbagai jenis gambar kesan dari rokok.

.

Apabila KKM mengenakan undang-undang larangan merokok di kedai makan itu bermakna satu mesej jelas bahawa merokok boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Tetapi ada juga segelintir manusia dalam negara kita masih lagi ketegak memprotes usaha KKM. Alasannya adalah akta belum lengkap. Padahal mereka menegakkan benang basah agar mereka bebas merokok di mana sahaja.

.

Lihat gambar yang saya kongsikan ini. Awal sejarah rokok komersial dalam pasaran amat mengujakan. Sehingga lebih dari 20 ribu doktor mengesyorkan hisap rokok, kerana bukti singkat pada masa itu rokok boleh mengurangkan batuk akibat radang kerongkong. Kempen demi kempen dijalankan oleh syarikat rokok sehingga keluar perkataan masyhur pada masa itu dalam jurnal-jurnal perubatan sendiri:

“cigarettes aren’t harmful and then in other ads they would say our cigarettes are less harmful than the other brands.” [Terjemah: Rokok (jenama mereka) tidak bahaya dan dalam iklan lain mengatakan rokok kurang bahaya dari jenama lain].

Perkataan itu macam senonim pula dengan pro-v4pe mutakhir ini. “V4pe lebih selamat berbanding rokok, hasil kajian bla…bla..bla…”. Hakikatnya v4pe dan rokok adalah sama-sama mudarat. Hanya menunggu masa dan ketika sahaja bukti demi bukti kemudaratan v4pe akan timbul. Buat masa sekarang pun sudah berlaku kematian dan kerosakan paru-paru akibat v4pe.

.

Ambillah kaedah beringat sebelum kena. Ambillah hukum yang ulama serta majlis fatwa tetapkan. Kenapa nak pertikaikan lagi. Jangan sengaja membuka pintu mudarat yang lebih besar. Janganlah tunggu makin ramai lagi yang menderita dan mati. Sedarlah!

.

Sekian kaboroyak dari suhazeli.com

fb.com/Suhazeli.abdullah

15.11.2019

KL Sentral

Paru-paru Popcorn dan Vapors

image

1. Kajian dalam bidang perubatan dijalankan oleh pakar yang mahir dalam bidang yang mereka ceburi. Ianya mesti melalui beberapa tapisan etika supaya tidak menimbulkan kesangsian dalam keputusan yang dibentangkan nanti. Kajian berbentuk epidemiologi dan eksperimental juga wajib melepasi tahap metodologi yang disusun rapi. Metodologi ini penting bagi mengelakkan berlaku keputusan yang bias (tidak tepat), faktor gangguan keputusan (confounding) dan pengaruh luar (conflict of interest). Metodologi yang tepat ini penting kerana ianya akan mempengaruhi statistik inferens yang akan dicerap nanti. Jika ianya menunjukkan nilai yang tidak signifikan, jujurlah mengisytiharkan ianya tidak signifikan. Jangan melaporkan sebaliknya atau menyembunyikan nilai signifikan statistik tertentu. Asas inilah yang saya pegang.

2. Timbul isu cecair perasa dalam vape yang akan mengeluarkan bahan kimia sampingan setelah terbakar, namanya diacetyl. Laporan kajian ini baharu sahaja dikeluarkan oleh Dr Allen dan rakan² dalam jurnal perubatan Environmental Health Perspectives (Dec 2015). Para pengkaji tiada konflik kepentingan yang boleh menyebabkan hasil kajian bias atau dipengaruhi. Kajian ini dilakukan ke atas 51 jenis perasa cecair vape dengan objektif ingin mengetahui tahap 3 bahan kimia utama (diacetyl, 2,3-pentanedione, dan acetoin), samada melepasi tahap keselamatan atau tidak (Metod OSHA 1012). Didapati 39 dari 51 perasa (76.5%) tersebut mengeluarkan kimia diacetyl. Manakala 47 dari 51 perasa (92.2%) didapati mengeluarkan sekurang-kurangnya sejenis bahan kimia (diacetyl, 2,3-pentanedione, dan acetoin). Penemuan ini memeranjatkan!

3. Dr Allen dan rakan² cuba mengaitkan secara kiasan sejarah perubatan yang berlaku dari kajian saintifik pendedahan diacetyl terhadap para pekerja kilang membuat popcorn. Kajian ini dilakukan oleh Kreiss (2002) dan CDC (2007). Kajian Kriess dan CDC mendapati pekerja kilang yang terdedah melalui sedutan wap kepada perasa semasa proses membuat popcorn mengalami penyakit Bronchiolitis obliterans (Popcorn Lung disease). Penyakit ini bukannya berlaku secara sekelip mata atau sebulan-dua, tetapi ianya akibat pendedahan puluhan tahun. Dr Tierney dan rakan² (2015) juga telah mengesahkan bahawa bahan kimia dalam perasa boleh mendatangkan kemerbahayaan kepada mukosa dan tisu paru-paru pengguna.

4. Diacetyl, 2,3-pentanedione, dan acetoin adalah kimia perasa dalam industri pembuatan makanan seperti kek, diklasifikasikan sebagai GRAS (Generally Recognised as Safe). Secara amnya dipastikan selamat jika di MAKAN pada paras yang dibenarkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA). Namun jika ia dihidu atau disedut dalam sukatan tertentu akan mudarat kepada manusia. Kajian kemudaratan ini telah dibuktikan oleh Kriess dan CDC, sehingga timbulnya istilah penyakit Popcorn Lung disease.

5. Menarik perhatian kita setelah diterbitkan hasil kajian Dr Allen dan rakan² dari Universiti Havard T. H. Chan, Boston, pelbagai kritik diajukan. Termasuklah Dr Farsalinos yang masyhur dalam kajian rokok elektronik. Pada awalnya saya agak bersetuju dengan para pengkritik jurnal tersebut kerana isu nikotin, prophylene glycol, glycerin dan dadah sintetik yang dimasukkan dalam vape lebih besar berbanding bahan kimia perasa. Begitu juga isu rokok yang sudah sekian lama kita bergelut bagi memastikan ummah bebas dari asapnya. Pun begitu, Dr Farsalinos dalam kenyataan yang sama mengakui bahawa bahan kimia perasa tersebut wajib dibuang dari rokok elektronik (vape). Pertikaian yang dikritik oleh Dr Farsalinos adalah kandungan diacetyl dan propionyl terlalu amat rendah 100 dan 10 kali berbanding dengan yang terdapat dalam rokok. (Tetapi tidak dinyatakan pautan jurnal dakwaan tersebut). Andai benar sekali pun dakwaan Dr Farsalinos, beliau juga bersetuju dengan kajian Dr Allen dan rakan² yang menyatakan bahawa bahan kimia tesebut melepasi paras bahaya sepertimana ditetapkan dalam OSHA 1012. Bahaya tetap bahaya. Takkan kita nak menafikan sebaliknya!

6. Ada yang bertanya, setakat ini sudah berapa ramai jumlah yang kena Penyakit Paru-paru Popcorn? Para pengkaji hanya membuat tamsilan dan kiasan atas bahan yang sama telah mengakibatkan kemudaratan keatas manusia yang terdedah berdasarkan bukti sejarah dalam perubatan. Ianya memerlukan masa yang tertentu bagi membuktikannya. Tetapi perlukah? 
“Awak ni vapors ke?”
“Ya!”
“Tak nampak macam vapors je?”
“Takkan nak tunggu aku mati dulu, lepas tu buat post-mortem buktikan ada kanser, ada paru-paru popcorn, baru nak mengaku……” 
Hah maroh maroh maroh. 
“Sorry kawan”

Dr Suhazeli Abdullah 
Pakar Perubatan Keluarga 
W: suhazeli.com
F: fb.com/drsuhazeli 
16 Dis 2015 
Gambang, Kuantan.

Rumusan Siri Jelajah Penerangan Vape JKNT

image

Berikut adalah beberapa rumusan yang sempat saya catat setelah beberapa siri jelajah penerangan mengenai Vape diseluruh negeri Terengganu. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan program ini dengan jayanya.

1. Majoriti peserta beriltizam dan menandatangani akujanji #Vapeoff #SayNoToVape #StopVapping #StopSmoking. Suara padu ini datang dari para pemimpin masyarakat, ketua-ketua organisasi dan penjawat awam yang dijemput dalam sesi tersebut. Malah luahan perasaan mereka semasa sesi dialog menunjukkan komitmen serta kesungguhan yang tinggi bagi merealisasikan Terengganu bebas asap rokok (#TBAR) menjelang 2025. Mereka juga menyeru jalinan padu dari pelbagai pihak bagi membenteras fenomena vape ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat. KKM juga tidak berbelah bahagi (double standard) dalam tindakan undang² terhadap rokok. Isu rokok telah diperjuangkan sejak sekian lama.

2. Persoalan yang selalu diajukan semasa sesi soal jawab adalah berkaitan dengan perundangan nikotin. Peserta masih keliru dan tidak memahami dengan jelas kenapa tindakan dikenakan kepada pengusaha vape sepertimana rampasan cecair vape bernikotin 5 Nov 2015 lepas. Pegawai Farmasi menerangkan cukup jelas bahawa tindakan yang dilakukan tersebut tertakluk kepada punca/bidang kuasa yang termaktub dalam undang² sepertimana dijadualkan dalam Akta Racun 1952. Mana² individu yang menyediakan/mengilang, mengedar, menjual dan memiliki racun nikotin boleh didakwa. Rokok juga termasuk dalam klausa akta Racun 1952. Akan tetapi rokok terdapat satu lagi akta yang mengikat penguatkuasaan undang², iaitu Akta Makanan 1983 ; Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (pindaan). Justeru tangkapan dan rampasan rokok akan dikenakan kepada yang tidak berdaftar serta tidak mematuhi Akta makanan 1983 serta Akta Racun 1952 tersebut. Bukannya isu cukai atau laba GST yang diperolehi oleh kerajaan. Isunya kemudaratan kesihatan yang lebih besar dari itu perlu diutamakan.

3. Terdapat soalan dari peserta yang menyatakan mereka lebih selamat dengan vape. Malah mereka juga mendakwa kebaikan vape kerana ingin beralih dari ketagih rokok kepada vape sebagai alternative berhenti merokok. Kajian yang saya paparkan sepertimana jurnal perubatan tersebut memang benar menyatakan vape lebih selamat 95% berbanding dengan rokok. Orang awam perlu jelas bahawa kajian tersebut dilakukan terhadap 7000 lebih sampel di bawah kawal selia ketat para pengkaji yang berautoriti. Mereka juga telah menjalani sesi kaunseling untuk kajian tersebut dan dijalankan dibawah kawalan etika khusus. Apa yang berlaku sekarang ialah vape sudah menjadi luar kawalan. Pengambilan nikotin sudah tidak bersukat. Tanpa mengenal jantina dan taraf umur. Menjadi satu fenomena yang membanggakan. Lebih menakutkan adalah ianya menjadi pintu masuk kepada dadah terlarang. Sejarah dan kajian telah terbukti bahawa vape ini mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Sebelum “api” ini menjadi lawan yang merosakkan generasi, terlebih aula ianya diharamkan. KKM konsisten dalam isu ini.

4. Kajian dari Bullen dan rakan² (2013) mengesahkan bahawa hanya 3.4% sahaja para perokok berhenti terus dari rokok setelah menggunakan vape. Sebanyak 96.6% lagi masih lagi ketagih rokok. Malah Al-Delaimy dan rakan² (2015) mengesahkan majority mereka menjadi ketagih kepada kedua-duanya (rokok dan vape). Kajian ini menolak dakwaan vape sebagai alat ganti untuk berhenti merokok. Apa yang diperhatikan adalah golongan vapors ini terlalu vokal kerana berlaku konflik kepentingan dikalangan mereka.

5. Isu lain yang dibangkitkan oleh peserta adalah ketidakseragaman fatwa yang dikeluarkan beberapa badan berautoriti agama. KKM sedari awal memberi komitmen untuk mengharamkan vape berdasarkan punca kuasa undang² sediaada dan melihat kemudaratan kesihatan yang telah terbukti setakat ini. Komitmem ini turut disambut oleh majlis fatwa Kebangsaan dan beberapa majlis fatwa negeri². Oleh kerana perwartaan fatwa negeri² bergantung kepada pihak berkuasa agama negeri², kita dapat lihat ketidakseragaman ini. Setakat ini hanya Wilayah Persekutuan KL, Kedah, Pulau Pinang, Kerjaaan Kelantan dan beberapa Universiti tempatan telah menzahirkan pengharaman vape. Begitu juga Sultan Johor yang mencemar duli membuat arahan mengharamkan vape di johor berdasarkan bidang kuasa yang diberikan kepada baginda. Saya cukup yakin sedikit masa nanti pengharaman ini akan menyeluruh dan semua pihak akan menyatakan sokongan kearah usaha ini.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
W: suhazeli.com
F: fb.com/drsuhazeli
13.12.15

~Can Share~

Kajian Universiti Harvard mendapati Rokok Elektronik Mempunyai Bahan Kimia Berbahaya

image

By Editor: 10/12/2015

51 perisa rokok elektronik yang diuji, 47 daripadanya memiliki sekurang-kurangnya 1 jenis bahan kimia berbahaya yang dikaitkan dengan paru-paru.

Perkembangan yang sangat pesat berserta populariti rokok elektronik (vape), telah dipasarkan sebagai alternatif yang lebih sihat daripada rokok sebenar. Saintis telah melakukan kajian ke atas bahan kimia yang digunakan di dalam usaha untuk mengenal pasti sebarang risiko kesihatan.

Terbaru satu kajian menunjukkan bahawa rokok elektronik boleh mendatangkan kemudaratan yang besar kepada penghisapnya (vapers), terdapat lebih daripada 75 peratus dari pelbagai jenis rokok elektronik telah diuji mengandungi diacetyl – bahan kimia berperisa yang sebelum ini dikaitkan dengan penyakit pernafasan yang teruk – bronchiolitis obliterans.

Keadaan paru-paru yang lemah serta lesu lesu dikenali sebagai ‘paru-paru bertih jagung’ (popcorn lung) – atau ‘paru-paru pekerja industri bertih jagung – mengimbau semula awal 2000, apabila pertama kali kemunculannya terhadap pekerja-pekerja industri makanan yang menghidu perisa mentega tiruan dalam peralatan pemprosesan ketuhar gelombang mikro bertih jagung.

Penyakit bawaan diacetyl ini disedut daripada perisa dalam satu tempoh yang panjang, bahan kimia ini boleh mengurangkan aliran udara di dalam paru-paru dengan menutup laluan-laluan lubang udara yang disebut bronchioles. Bahan kimia ini juga sangat bahaya kepada mereka yang terdedah secara berterusan di tempat kerja, meskipun terdapat sekurang-kurangnya satu kes yang melibatkan penggemar tegar bertih jagung yang diproses dari ketuhar gelombang mikro yang menggunakan pelbagai beg makanan harian selama lebih satu dekad.

“Kesedaran terhadap bahaya yang dikaitkan dengan sedutan bahan kimia berperisa bermula dengan ‘paru-paru bertih jagung’ lebih sedekad lalu”, kata Joseph Allen, seorang pakar penilaian di Universiti Harvard T.H. Chan School of Public Health. “Meskipun, diacetyl dan bahan kimia berperisa yang lain digunakan lebih daripada bertih jagung berperisa mentega, termasuk, perisa buah-buahan, alkohol, dan kami meneliti kajian kami, rokok elektronik (vape) berperisa gula-gula.”

Dengan lebih 7000 jenis perisa rokok elektronik (vape) dan jus elektronik (digunakan dalam peranti isian semula) dalam pasaran, ianya terlalu sukar dan mustahil untuk menguji kesemuanya. Untuk kajian ini, Allen dan pasukannya telah memilih 51 jenis perisa rokok elektronik (vape) yang telah dijual dengan sembilan jenama yang berbeza, pemilihan perisa berdasarkan potensi daya tarikan kepada kanak-kanak, remaja dan kelompok belia. Setiap produk telah dimasukkan ke dalam ruang tertutup yang dikepilkan bersamanya peranti-binaan makmal yang menarik udara melalui rokok elektronik (vape) selama 8 saat dalam satu masa.

Analisis aliran udara menunjukkan bahawa diacetyl wujud dalam 39 daripada 51 perisa yang diuji. Apabila ujian terhadap kewujudan acetoin dan 2.3 pentanedione – dua sebatian perisa yang berpotensi menyebabkan bahana yang memudaratkan pernafasan di tempat kerja – sekurang-kurangnya salah satu daripada tiga bahan kimia telah dikesan dalam 47 daripada 51 perisa yang diuji.

Kumpulan ini telah memasukkan senarai penuh perisa yang ditemui mengandungi diacetyl dan/atau bahan kimia lain dalam kertas penyelidikan mereka, diterbitkan di Environmental Health Perspectives, termasuk perisa Cherry Crush, Peach Schnapps, Vanila Bean, dan Grape Hookah. (sekadar menyebutkan beberapa perisa yang telah dikaji)

Hasil penemuan memberikan maklumat yang lebih mengenai potensi betapa bahayanya rokok elektronik (vape), akan tetapi pasukan penyelidik ini juga menekankan bahawa kita sebenarnya baru sahaja bermula dalam memahami implikasi kesihatan terhadap pilihan ubat baru. Meskipun saiz sampel kajian ini hanyalah perbandingan kecil – sekadar 51 perisa daripada lebih 7000 yang berada dalam pasaran, dan semata-mata mewakili sembilan produk berjenama – penghisap rokok elektronik (vapers) mestilah memikirkan hal ini sekiranya mereka memilih untuk terus menghisap, ini kerana mereka percaya dan yakin bahawa mereka tidak merosakkan tubuh badannya yang sihat.

“Memandangkan kebanyakan perihal kesihatan yang dikaitkan dengan rokok elektronik (vape) menumpukan kepada nikotin semata-mata, masih terlalu awal dan banyak lagi perkara yang kita tidak tahu tmengenai rokok elektronik (vape) ini,” kata salah seorang penyelidik, David Christiani. “Selain mengandungi pelbagai peringkat yang boleh mengakibatkan barah yang lain, seperti formaldehyde (juga dikenali sebagai karsinogen iaitu agen yang menyebabkan barah), dan kajian kami telah menunjukkan bahan kimia berperisa boleh menyebabkan kerosakan paru-paru”

SUMBER – ScienceAlert