, ,

6 Sebab Ujian Makmal Tidak boleh Didakwa Mengubati Penyakit

FUN FACTS SIRI 27

Oleh Dr Che Puteh Osman | drcheputeh.com

Link Asal: https://www.drcheputeh.com/blog/siri-26-enam-sebab-kenapa-pengujian-piring-petri-tidak-cukup-membuktikan-herba-mengubati-penyakit

Mengapakah pengujian secara piring petri (in vitro) tidak boleh diterjemahkan secara langsung dalam bentuk rawatan kepada manusia?

1. Pengujian bioaktiviti secara in vitro atau lebih dikenali sebagai bioassay merujuk kepada penyiasatan potensi perubatan sebatian kimia dan ekstrak yang tidak melibatkan haiwan atau sel hidup haiwan. Kebiasaannya bioassay menggunakan sel, enzim, reseptor, dan juga bioassay berasaskan bahan kimia.

2. Sekiranya kita ingin menyiasat potensi tumbuhan atau sebatian kimia semulajadi terhadap penyakit diabetes, terdapat pelbagai jenis bioassay yang melibatkan sel dan enzim yang boleh digunakan. Contohnya enzim alpha-glucosidase yang bertanggungjawab menguraikan karbohidrat di usus kecil. Sekiranya sesuatu tumbuhan merencat aktiviti alpha-glukosidase, ia tidak bermaksud tumbuhan itu boleh menggantikan acarbose dalam merencat enzim alpha-glukosidase. Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diperhalusi.

3. Pertama, ketika pengujian secara in vitro, kita hanya menguji aktiviti ekstrak tumbuhan atau sebatian kimia dari pokok terbabit terhadap enzim alpha-glukosidase terhadap kemampuannya mengurai karbohidrat. Sekiranya kita memakan tumbuhan tersebut, ia akan melalui sistem pencernaan manusia. Apa sahaja sebatian kimia semulajadi yang merencat aktiviti alpha-glukosidase mungkin mengalami metabolisma dan berubah bentuk (degradation) apabila ia sampai ke usus kecil. Dalam bentuk yang lain, ia sudah tidak lagi aktif merencat enzim alpha-glukosidase berbanding bentuknya yang asal.

4. Kedua, sekiranya kita mengira dos yang berkesan di dalam pengujian piring petri sebanyak 1mg/mL. Di dalam badan manusia biasa, terdapat sekitar 5L darah. Untuk membolehkan ekstrak tumbuhan tersebut berkesan merencat aktiviti alpha glucosidase di usus kecil, sebanyak 5 g ekstrak diperlukan untuk setiap dos ubat. Bayangkan kalau kita memerlukan 10 mg/mL untuk ekstrak aktif merencat enzim alpha-glukosidase, kita memerlukan 500 g ekstrak atau sebatian kimia semulajadi bagi setiap dos. Sudah tentulah ia tidak praktikal dan tidak mesra alam sekitar.

5. Ketiga, perencatan aktiviti enzim alpha-glukosidase hanya bersifat lokal, dan hanya berkesan merencat penukaran karbohidrat kepada gula di usus kecil sahaja. Sedangkan terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada perkembangan penyakit kencing manis. Merencat aktiviti alpha-glukosidase tidak bermakna ia boleh mengawal gula dalam darah dalam jangka masa panjang dan tidak bermakna ia boleh memulihkan fenomena kerintangan insulin di kalangan pesakit Diabetes jenis II.

6. Keempat, kita perlu melihat faktor terpenting iaitu kesan toksik kepada hati, buah pinggang, janin dan sel saraf. Selain itu, maklumat interaksi ubat juga penting untuk mengelakkan pengambilan tumbuhan tertentu untuk tujuan mengawal gula dalam darah boleh melemahkan aktiviti ubat lain seperti ubat darah tinggi, kolesterol dan lain-lain yang diambil pada waktu sama.

7. Kelima, kesan pengujian dalam piring petri tidak semestinya memberikan kesan yang sama di dalam pengujian ke atas haiwan atau manusia. Ini kerana selain biovailabiliti yang rendah seperti yang saya terangkan dalam perenggan 3, aktiviti sebatian aktif di dalam ekstrak tumbuhan berkenaan mungkin diganggu oleh sebatian kimia yang lain di dalam ekstrak yang sama. Untuk meneliti aspek ini, kajian famakokinetik sebatian kimia utama di dalam ekstrak perlu dilakukan. Di atas sebab ini jugalah, walaupun tumbuhan A dan B mempunyai sebatian kimia aktif yang sama, A merencat enzim alpha glucosidase, tetapi B tidak merencat enzim alpha-glukosidase. Sikap generalisasi kewujudan sesetengah sebatian kimia dalam pokok lain berfungsi dengan cara yang sama ke atas pokok yang lain adalah salah. Atas sebab ini juga, kajian standardidasi sebatian kimia aktif adalah penting untuk kawalan kualiti produk herba.

8. Keenam, sebatian yang bersifat antioksidan seringkali dianggap mengubati pelbagai masalah kardiovaskular termasuk darah tinggi dan kencing manis. Kenyataan ini adalah mengelirukan. Walaupun radikal bebas berlebihan merupakan antara faktor penyumbang penyakit kardiovaskular, terdapat pelbagai faktor lain yang lebih kritikal. Malah, hampir semua pokok berbunga mengandungi antioksidan, menjadikan ia tidak signifikan untuk mengubati penyakit tertentu. Tumbuhan berbunga banyak di dalam diet makanan kita dan kita tidak memerlukan diet khas untuk memperoleh antioksidan. Badan kita juga menghasilkan antioksidannya yang tersendiri.

9. Kesimpulannya, pengujian secara piring petri terutamanya yang hanya bersifat saringan tidak cukup untuk diterjemahkan penggunaan sesuatu tumbuhan bagi menggantikan ubatan yang sudah melalui kajian berpuluh tahun dan dibuktikan berkesan dan selamat. Kajian demi kajian giat berjalan di seluruh negara termasuk penyelidik dari Malaysia. Semoga kajian-kajian ini membuahkan hasilnya nanti.

Sekian semoga bermanfaat

Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)

Rujukan:

Houghton, P. J., Howes, M. J., Lee, C. C., & Steventon, G. (2007). Uses and abuses of in vitro tests in ethnopharmacology: Visualizing an elephant. Journal of Ethnopharmacology, 110(3), 391-400. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2007.01.032

,

Sarapan Pagi Pengaruhi Emosi Anak

Oleh Pn Ruqayyah Muhd | Dietitian USM

Sambil saya menyiapkan bahan untuk memasak esok pagi, anak kedua saya buat permintaan.

“Ibu, esok boleh tak buat lempeng tak special. Zariff tak nak lempeng special tu. Suka yang tak special punya. Yang ibu selalu buat hari cuti tu.”

Saya anggukkkan kepala saja. “InsyAllah kalau sempat ibu buat lempeng.”

Saya suka hasilkan lempeng yang diadun bersama susu dan telur, dicampurkan oats untuk memberatkan hidangan, dan juga biji Chia ke dalam hidangan saya. Sedikit minyak zaitun sebagai lemak di dalam hidangan pagi anak saya.

Anak saya bercerita, ada kawan-kawannya yang pagi – pagi bersarapan mee goreng, nasi goreng dan sebagainya. Ada yang makan nugget dan sosej saja setiap hari. Ada makan biskut saja, emping jagung, bijirin sarapan segera dan pelbagai lagi makanan terproses. Ada yang pergi sekolah tanpa sarapan pagi.

Ya, pesakit saya juga ramai di dalam kategori terakhir. Tidak makan pagi sebelum ke sekolah. Alasan utama, “Tak lalu makan di pagi hari.”

” Emak tidak masak.”

” Tiada makanan di rumah. Minum Teh O saja. ”

” Makan RMT di sekolah.”

Yang ini sekurangnya pelajar makan di sekolah.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan anak-anak yang tidak makan sarapan pagi mempunyai daya tumpuan yang kurang di sekolah, tidak fokus, tidak aktif, lebih lambat menyelesaikan kiraan matematik dan tugasan yang diberikan di sekolah. Ada juga kajian menunjukkan anak yang tidak bersarapan mempunyai simptom ‘anxiety’ dan depresi di sekolah.

Rasa lapar akan menyebabkan anak kelihatan letih, tumpuan kurang, daya berfikir kurang disebabkan oleh penurunan aras gula darah.

Anak yang bersarapan pagi mempunyai daya tumpuan yang lebih tinggi, fokus dan mempunyai gred yang lebih baik di sekolah.

Senang cerita, kita lihat balik pada diri kita. Sebelum mula berkerja, pasti kita akan mahu bersarapan dahulu. Makan kenyang – kenyang dan baru dapat mulakan tugas dengan lebih baik, memberikan idea yang hebat-hebat ketika bermesyuarat dan lebih fokus dalam melakukan tugas.

Berbanding jika belum bersarapan, kerja dan fokus akan terganggu disebabkan lapar, rasa anxiety apabila mesyuarat lambat habis.

Tambahan pula zaman kemelesetan ekonomi ni, mesyuarat jarang ada makan dan minum pagi. Maka bertambah berkeroncong perut. Tengok muka bos yang semangat terlajak bagi idea dan hujah itu ini pun sudah rasa mahu telan bos pagi hari lagi.

Itu kita yang dewasa dan rasional.

Anak juga begitu. Tiada bezanya.

Kajian juga menunjukkan anak yang mengambil hidangan makanan yang tinggi kalori dan tinggi kandungan gula sebagai sarapan, tidak menunjukkan peningkatan pada prestasi dan markah di sekolah. Tambahan, makanan tinggi gula menyebabkan anak hiperaktif di dalam kelas disebabkan paras gula darah yang tinggi menyebabkan tumpuan berkurangan.

Sebagai contoh minuman manis seperti minuman bermalt, atau jus atau air soda atau yogurt yang manis atau bijirin sarapan pagi yang bersalut gula dan pelbagai warna warni. Atau kuih muih yang manis dan bersalut gula. Ini semua hidangan tinggi kandungan gula.

Makanan yang terlampau berlemak dan berminyak menyebabkan anak lebih ‘lemau’, mengantuk dan lambat menyelesaikan tugasan di sekolah. Ini berkemungkinan kerana lemak lebih lambat dihadamkan dan memerlukan proses yang lebih panjang berbanding makanan rendah lemak.

Banyak hasil kajian menunjukkan anak yang mengambil hidangan yang berkualiti dan seimbang, mempunyai gred dan prestasi yang lebih baik.

Bagaimana sarapan yang berkualiti itu?

Mengikut kajian, makanan berkarbohidrat yang tinggi kandungan lemak, serat dan protein memastikan paras gula darah yang lebih stabil pada anak-anak, selain melambatkan pengosongan perut. Ia membantu anak fokus dengan lebih baik dan meningkatkan prestasi anak di kelas.

Berbanding makanan tinggi kandungan gula yang akan menyebabkan gula darah mencanak naik dengan cepat, dan kemudian akan turun menyebabkan anak akan aktif di kelas pada awalnya dan kemudian mulai kurang tumpuan.

Makanan seimbang dan berkualiti sebagai sarapan tidak sukar disediakan. Pastikan ia memenuhi ciri-ciri Pinggan Sihat. Mempunyai karbohidrat, serat dari sayur dan buah, dan juga protein.

Jika dilihat kepada makanan masyarakat Malaysia, banyak sebenarnya hidangan yang berkualiti. Sebagai contoh, nasi lemak yang diambil bersama timun yang banyak, dan lauk pauk seperti telur rebus, kacang tanah bakar, ikan bilis goreng dan sedikit sambal. Dikahwinkan bersama segelas susu rendah lemak, sudah cukup menjadi hidangan yang berkualiti buat anak.

Semangkuk bubur nasi bersama sayuran dan isi ayam juga cukup untuk mengenyangkan anak sehingga waktu rehat nantinya.

Sekeping sandwich bersama telur rebus dan keju, bersama sayuran yang dipotong kiub atau sandwich roti pita bisa juga dijadikan hidangan ‘on the go’ di dalam kereta jika tidak punya masa yang lama untuk makan.

Jika ibu-ibu tidak punya masa yang lama untuk masak, semangkuk bubur oats yang dikahwinkan bersama buah kering seperti kismis dan kurma, dicampur susu juga boleh dijadikan hidangan sarapan yang baik.

Atau paling ringkas, sekeping roti bersama telur hancur, dimasak bersama parutan lobak merah dan tomato di dalamnya sebagai serat untuk diambil anak sebagai sarapan pagi. Sudah cukup mengenyangkan anak.

Pastikan setiap pagi, anak mengambil segelas susu untuk membantu tumbesaran tulangnya. Berbanding minuman bermalt yang manis atau teh O bersama gula, susu adalah pilihan yang lebih baik.

Anak yang makan pagi, mempunyai status pemakanan yang lebih baik, mempunyai prestasi pelajaran yang lebih baik dan mampu memberi tumpuan di kelas dengan lebih lama.

Sarapan pagi adalah hidangan yang penting untuk semua selepas berpuasa lebih 12 jam di malam hari.

Sediakan sarapan pagi buat anak, ringkas tetapi pastikan ia berkualiti.

Ruqayyah Muhd

Dietitian Pediatrik USM

#KAKAKDIET

, , ,

Kopi Beracun

KENAPA JANTUNG SAYA BERDEGUP LAJU SELEPAS MINUM KOPI INI?
Soalan ini biasa saya dapat daripada rakan-rakan netizen. Hmmmm…. selalunya saya akan bertanyakan nama kopi tersebut dan membuat semakan ringkas pada senarai beracun yang telah dikeluarkan oleh KKM (lihat gambar)
1. Cafe Abang Yes

2. Goji Guarana

3. Goji Guarana Extra

4. Guara Cafe

5. King Cappucino

6. Kinght Cofee

7. Kolek Cafe Power

8. Kopi Angguk

9. Kopi Asmara

10. Kopi Bagus AAA

11. Kopi Campuran Kedai Kopi Ali Bagus

12. Kopi Pahlawan

13. Kopi Super Angguk

14. Kopi Tenaga Tok Lebai Plus

15. Night Cafe

16. Kopi Panggung Al Ambiak

17. Kopi Jantan Tradisional
Kopi-kopi ini telah dikesan mengandungi bahan terlarang yang tidak sepatutnya ada dalam serbuk minuman kopi. Antara bahan yang dikesan adalah sildenafil dan analognya, steroid, antihistamin, sibutramine dan taladafil.
Apa kesan kepada kita jika minum kopi yang ada Sildenafil serta analognya? Untuk mengapa persoalan ini, kita perlu selidik apa you sidenafil, kesan sampingannya dan mengapa ia berbahaya.
*************************
Sildenafil itu apa?
Sildenafil adalah sejenis ubat yang tergolong dalam kumpulan phosphodiesterase (PDE) inhibitors. Sildenafil digunakan dalam rawatan mati pucuk atau kegagalan ereksi bagi kaum lelaki.
Ubat sildenafil berfungsi dengan mengembangkan saluran darah pada zakar apabila dalam keadaan ghairah. Justeru keadaan seperti ini meningkat dan memudahkan aliran darah ke zakar, seterusnya membolehkan individu lelaki tersebut menegangkan zakarnya dengan kekerasan yang sepatutnya.
Walau bagaimanapun seseorang yang mengambil ubat atau produk yang mengandungi sildenafil ini tidak bermakna masalah mati pucuk atau kurang nafsu seks akan dapat diatasi atau telah sembuh.
*************************
Apakah kesan sampingan Sildenafil?
Antara kesan sampingan ubat sildenafil adalah sakit kepala, pening, flushing (rasa panas pada bahagian muka, leher dan dada), masalah penghadaman, hidung tersumbat, jangkitan saluran pernafasan, serangan jantung, angina pektoris, DEGUPAN JANTUNG PANTAS, mudah pengsan, hipotensi postural, migrain, kemurungan, perubahan pada penglihatan seperti penglihatan menjadi kabur, penglihatan menjadi biru, atau sensitif terhadap cahaya, cirit-birit, jangkitan pada saluran kencing dan ruam.
Justeru pengambilan produk kopi yang dicemar palsu dengan ubat sildenafil ini dikatakan sangat merbahaya kerana tidak diketahu jumlah dos yang terkandung di dalamnya dan penggunaannya tidak berada di bawah pengawasan doktor.
Sudah tentu mengambil minuman kopi seperti ini, dengan kesan sampingnya terhadap salur darah dan jantung yang sangat ketara oleh seseorang individu yang tidak mengetahui latar belakang status kesihatannya adalah sangat berisiko. Mungkin boleh mengakibatkan maut akibat serangan jantung atau stroke.
*************************
Nasihat kepada pengguna?
Pengusaha kopi yang dicemar palsu dengan ubat sildenafil sering meletak jumlah dos yang lebih agar kesannya dapat dilihat dan dirasai oleh pengguna. Apabila pengguna mengambilnya dan merasai kesan yang sugguh ketara, mereka akan kerap membelinya semula.
Itu adalah teknik pemasaran yang tidak bertanggungjawab dan sangat merbahaya serta tidak mementingkan kesan terhadap kesihatan serta nyawa pengguna yang menggunakan produk jualan mereka.
Jadilah pengguna yang bijak dan tidak mudah terpengaruh atau ingin mencuba produk-produk kopi kuat seperti ini. Kebanyakkan kopi-kopi ini berasal daripada luar negara.
*************************
Anggota penguatkuasa tidak buat kerja ker?
Pasti akan ada yang menyatakan anggota penguatkuasa tidak buat kerja ker? Jangan berkata seperti itu. Saya tahu bagaimana susahnya rakan-rakan saya sebagai penguatkuasa farmasi bertugas memegang amanah untuk membanteras peniaga-peniaga yang tidak beretika ini.
Namun anda perlu tahu dan sentiasa beringat, penguatkuasaan sahaja tidak mampu merubah fenomena ini selagi adanya “PERMINTAAN” terhadap produk-produk seperti ini
SELAGI ADA PERMINTAAN

SELAGI ITU ADA PENJUALAN
Pegawai penguatkuasa farmasi dalam 1 negara ini cuma ada sekitar 700 lebih anggota sahaja untuk melindungi produk-produk ini daripada 31juta rakyat Malaysia. Cuba fikirkan, jika majoriti rakyat Malaysia malah semuanya menolak produk-produk seperti ini, pasti impaknya lebih besar lagi.
Bantu penguatkuasa farmasi, tolak produk-produk seperti ini. Elakkan membelinya. Jadi “mata-mata” yang membantu penguatkuasa farmasi. Salurkn aduan agar siasatan dapat dilakukan dan pesalah dibawa ke muka pengadilan .
Jika netizen ada sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1 800-88-6722.
Ahli Farmasi Anda

Mohd Dziehan Mustapa

Medical Mtyhbuster Malaysia (M3)

, , ,

Penyakit Ciptaan Yahudi? 

MENANGKIS MITOS PENJUAL PRODUK SAMPAH
Oleh: Dr Abdul Rahman bin Abdul Kadir

Kita sering mendengar kata-kata bahawa orang zaman tok nenek kita lebih sihat berbanding kita. 

Mereka tidak ada vaksin, tidak ada perubatan moden, jarang kedengaran penyakit-penyakit seperti hari ini dan hidup lama berbanding dengan generasi kita tanpa penyakit. 

Lalu dipersalahkan penyakit-penyakit hari ini sebagai konspirasi buatan yahudi, zionis, Rockerfella, iluminati, NWO, Freemason etc. Lebih menyedihkan profesion perubatan moden dikaitkan sebagai balaci kesemua agensi di atas yg kononnya menjadi perkakas mereka menjahanamkan umat. 

Hakikatnya benarkah sedemikian? Sebenarnya pemerhatian seperti ini tidak bersandar kepada bukti. Jika benarpun, ia hanya bersandar kepada pemerhatian umum melihat beberapa individu zaman silam yang umur panjang. 


Hakikat sebenar adalah berlainan. Maklumat jabatan statistik negara kita dan dunia menunjukkan bahawa pada tahun 1950, jangka hayat purata rakyat Malaysia adalah 47 tahun bagi lelaki dan 52 tahun bagi wanita. Dan jangka hayat ini telah meningkat dengan ketara kepada 77 tahun bagi lelaki dan 79 tahun bagi wanita! Ini merupakan bukti bahawa rakyat Malaysia hidup lebih lama kini berbanding dahulu. 
Pada zaman dahulu, kematian pada sekitar umur 40-50 adalah perkara biasa dan dianggap pesakit telah tua. Tetapi pada zaman ini, jika kami ada kematian pada lingkungan umur sebegitu, ia dianggap sebagai kematian tragis memandangkan ia masih umur yang amat muda dan kehilangan individu produktif pada negara. Pencen pun belum lagi pada umur tersebut. Malah tidak keterlaluan jika saya dan rakan-rakan perubatan kami menganggap pesakit kami yang berumur 65 tahun sebenarnya masih ‘muda’ dan kami akan merawat secara agresif bagi tujuan menyelamatkan mereka. 

Jangka hayat ini meningkat adalah kerana perkembangan dan kemajuan ilmu perubatan moden semestinya. Rakyat kini hidup lebih lama kerana penyakit-penyakit yang dahulunya tidak boleh dirawat kini ada penawarnya dengan kaedah moden. Misalannya, serangan jantung dahulu memang tiada ubatnya tetapi kini kita ada kaedah stenting/balloon untuk membuka sumbatan saluran koronari, kaedah ubat pencair darah yang lain seperti metalyse, streptokinase dan lain-lain serta kaedah pembedahan pintasan (bypass) untuk menyelesaikan masalah ini. Pada zaman dahulu, tiada semua ini dan tiada apa yang boleh dilakukan melainkan berserah kepada takdir. 

Maka mungkin ada yang akan berkata bahawa penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kanser, gout dan sebagainya ini tidak kedengaran dahulu di kalangan orang-orang lama. Dan mereka menjadikan ini sebagai sandaran bahawa ada konspirasi yahudi dan agensi-agensi mereka untuk merosakkan dunia. 

Sebenarnya, penyakit-penyakit ini pada zaman dahulunya adalah penyakit orang-orang kaya. Hanya orang-orang kaya saja yang akan makan dengan mewah sehingga mendapat sakit-sakit sedemikan. Datuk nenek kita yang sihat dahulu lihatlah gaya kehidupan mereka. Mereka ke bendang, ke laut, bertani dan membanting tulang mencari nafkah. Badan mereka fit dan tidak obese seperti generasi kini. Mereka memakan makanan seperti ulam-ulaman dan amat jarang dapat merasa daging dek kesempitan hidup. 

Kita? Daging sudah menjadi menu harian. Generasi kita sudah tidak mahu melakukan kerja-kerja bertani dan ke laut. Mereka mahu kerja pejabat bergaji besar sambil bermain gadget. Aktiviti terhebat mereka adalah senaman jari dengan menjadi keyboard warrior ataupun surfing internet. Rata-rata pesakit yang tiba ke hospital saya adalah dalam kategori obese. Malah ketika saya jogging di track juga, saya lihat kebanyakan rakyat mempunyai perut yang menjuih ke depan. Malaysia adalah juara indeks obesiti Asia kini. Rokok dan vape diperjuangkan umpama aspirasi kehidupan. 

Pengamalan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang pada kuantiti yang sederhana adalah kunci kepada menangani penyakit-penyakit kronik. 


Tidak perlu sebenarnya membeli supplemen dan jus yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi pada hakikatnya menjahanamkan buah pinggang anda. 
Ada pula yang terlebih ‘bijak’ mengatakan vaksin sebagai punca semakin banyak kanak-kanak yang cacat autisme dan sebagainya. Ini hanyalah pemerhatian individu yang tidak disokong oleh sebarang bukti saintifik. Pada zaman dahulu, kanak-kanak yang sebegini tetap wujud tetapi mereka tidak diklasifikasikan sebagai berpenyakit. Sebaliknya mereka dikatakan bengau, tak betul, mereng, sewel, biol, gila, pandir, kena sumpah dan sebagainya. Kini ia telah dikenali sebagai penyakit autisme dan pelbagai penyakit psikiatri lain tidak seperti dahulu. Ia tidak ada perkaitan dengan vaksin yang sudah terbukti membasmi pelbagai penyakit yang pernah menjadi malapetaka dunia. 
Menggunakan kaedah testimoni seperti pengalaman peribadi, cerita tok nenek dan cerita mulut orang lain bukanlah alasan untuk menolak perubatan moden yang terbukti secara saintifik membantu ummah. Ia adalah kaedah pemikiran mat rempit sebenarnya. Mat rempit akan berkata, “Aku bawak motor kat jalan raya time tengah hujan lebat sambil buat gaya superman tanpa memakai helmet selamba je. Tak mati pun. Tok nenek kita pun dulu bawak motor mana ada pakai helmet? Accident pun jarang. Ajal maut di tangan Tuhan. Bukan di tangan doktor.” 

Amat menyedihkan generasi terpelajar zaman ini juga turut terjebak di dalam pemikiran kuno yang merosakkan ummat. 


Kesimpulan:
1. Gaya hidup kita berbeza dengan gaya hidup nenek moyang kita. 
2. Perubatan moden terbukti telah meningkatkan purata jangka hayat rakyat. 
3. Testimoni bukanlah bukti keberkesanan sesuatu kaedah. Ia adalah kaedah penipuan MLM, penjual supplemen, jamu dan jus sampah yang paling biasa diamalkan oleh perosak umat. 
4. Jangan berpemikiran seperti mat rempit. 
5. Agama tidak pernah melarang perubatan moden dan tidak pernah mewajibkan kaedah perubatan dan pemakanan tertentu.
*Dr Abdul Rahman bin Abdul Kadir*

*Pakar Kecemasan dan Trauma*

, ,

​Kanser: Perubatan Moden vs Sunnah

Oleh Istisyhad Eliyana | Pengidap Kanser dalam rawatan 
Beberapa kali saya menulis dan memadam tulisan ini kerana saya bimbang lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.  Namun setelah melihat kesedihan, harapan dan tekanan oleh pesakit lain,  saya rasa saya mahu teruskan. Sebelum itu saya meminta maaf sekiranya tulisan kali ini bukan apa yang anda mahu baca, atau bukan apa yang anda suka dengar. Saya juga berharap sebarang komen negatif (kalau ada) didatangkan dengan hikmah agar kita dengan lapang dada boleh menerima. Tulisan ini ditujukan bagi mereka yang menolak perubatan hospital secara total dan menyatakan orang yang memilih perubatan sebegini adalah islam yang tidak soleh. 
Islam adalah agama logik. Orang islam wajib percaya kepada perkara ghaib (yang tak nampak dengan mata, seperti tuhan, malaikat, syaitan, hari pembalasan). Bukankah untuk mempercayai perkara ghaib adalah bertentangan dengan logik? Tak nampak maknanya tiada? Mungkin ada benarnya tapi perkara ghaib ini tidak melawan fitrah kebanyakan manusia. Ianya logik. Tak nampak tapi ada. Kita tak nampak otak kita, tapi kita ada otak. Kita tak nanpak akal kita,  tapi kita berakal. Apa pun agama, pasti percaya pada adanya Pencipta mahupun hari pembalasan atau pun kuasa jahat. 

Begitulah dengan kanser. Mempercayai wujudnya kanser dan cuba mengubatinya dengan kaedah perubatan bukanlah satu perkara yang melanggar fitrah dan logik. Sebaliknya mempercayai kanser datang daripada syaitan dan mempercayai hanya ruqyah dan doa yang boleh mengubatinya adalah kepercayaan yang rapuh (bagi mereka yang tidak berilmu atau lebih tepat mereka yang mengikut tanpa ilmu dan kefahaman.
Saya tidak menafikan kanser berpunca daripada syaitan kerana kita semua tahu, syaitan dan jin atau apa sahaja makhluk lain mampu memudaratkan kita dengan izin dan kuasa Allah. 
Malah saya tertarik dengan pandangan guru saya yang menyatakan, kalau itulah kata orang (kanser daripada syaitan) itu lebih baik kerana lebih mudah untuk mengubatinya. Berdoa dan meningkatkan ibadah insyaAllah boleh merawatnya. 

Namun kanser bukan semudah yang disangka. Puncanya tidak diketahui dengan jelas, malah apa sahaja boleh jadi puncanya. Pengubatannya juga tidak mudah. Kalau kecacatan organ contohnya jantung,  sekurang-kurangnya boleh dibedah dan dibuat pembetulan. Tetapi kanser melibatkan sel, yang kecil.. Yang tidak nampak dengan mata kasar. 
Sudah tentu yang menyembuh itu adalah Allah dan kejayaan sebarang pengubatan itu juga datangnya daripada Allah. Bukan bermakna orang yang memilih doktor itu bertuhankan doktor sebaliknya mereka mengikut fitrah.  
Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi s.a.w sabdanya:
“Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah”

(Riwayat Muslim dan Ahmad)
Adakah TG Nik Aziz dan juga TG Haron Din itu tidak soleh apabila membenarkan para doktor merawat mereka ketika hayat sehingga ke hujung nyawanya? 
Ketika perang Badar, Rufaydah ditugaskan merawat tentera islam yang cedera.  Kenapa tidak tentera itu bergantung dengan ruqyah semata dalam mengubati kecederaan mereka?

Madinah dan Mekah kaya dengan makanan sunnah. Namun adakah negaranya bebas penyakit? 
Melabel mereka yang menerima rawatan hospital sebagai orang yang syirik,  tidak soleh dan bertuhankan doktor adalah satu gambaran pemikiran jumud dan cetek. 
Kalau pesakit mempercayai ubat itu sebab penyembuh dah tentu boleh jatuh syirik. Sama juga seperti mereka yang mempercayai quran itu menyembuhkan atau makanan sunnah itu yang menyembuhkan. Itu juga adalah syirik. Kerana yang menyembuhkan itu adalah Allah dan ubat itu adalah asbab. 
Dalam kisah Maryam melahirkan Isa,  Allah memerintahkan Maryam menggoncang pohon tamar, maka gugurlah tamar ke bumi. Logiknya, adakah goncangan maryam itu mampu menggerakkan pohon tamar yang teguh berdiri? Kenapa tidak Allah menjawab sahaja doa maryam dengan menggugurkan terus buah tamar tanpa menggoyangkannya? Bukankah ini gambaran untuk kita berusaha? Gambaran bahawa doa itu perlu disertai usaha (dalam kisah ini usahanya berbentuk perbuatan fizikal: menggoyangkan)
Apakah anda fikir pesakit kanser ini tidak solat dan tidak berdoa kepada Allah? 
Tahukah anda yang pesakit berharap pada Allah dengan berendam air mata meminta agar menyembuhkan mereka. Mengamalkan doa dan tilawah quran kerana itulah jalan kedamaian kerana kami sedar yang menyembuhkan itu Allah dan pada Allah lah tempat bergantung. 
Manakala perubatan hospital itu dipilih kerana ianya sesuai dengan fitrah dan logik. Adakah dengan berjumpa para ustaz* anda dapat mengetahui tahap sakit anda, sejauh mana keseriusannya dan apa yang terjadi dalam badan anda? Adakah ustaz mempunyai superpower seperti mata xray yang boleh meramal apa yang berlaku dalam badan anda? 
*bukan merendahkan ustaz sebaliknya yakin doa orang soleh seperti mereka didengar Allah 

 

Allah tidak menjadikan doktor itu tuhan kerana tuhan tidak memerlukan alat untuk mengetahui sesuatu. Tetapi Allah kurniakan kepandaian dan kecerdasan akal buat manusia agar boleh memanipulasikan dan mencipta teknologi sesuai dengan peredaran zaman. Adakah wajar kita mensia-siakan kepandaian kita kalau itu boleh menyelamatkan nyawa ramai manusia?
Kalau begitu kenapa Allah jadikan engineer, doktor, guru dan peranan lain? Kenapa tidak Allah menghidupkan manusia dengan satu peranan yang sama?
Kalau sudah ada alat dan teknologi, apakah wajar disia-siakan? Maka janganlah para ustaz menggunakan microphone untuk mengajar kerana itu bukan sunnah Rasulullah. 
Tulisan ini boleh berlanjutan kalau tidak dihentikan. Oleh itu mahu saya simpulkan, kita bukan ulama mahupun hakim untuk menghukum manusia lain. Ulama pun tidak mengkafirkan orang yang berjumpa doktor,  siapa kita untuk mengkafirkan orang lain? 
Usaha datang dengan pelbagai jalan.  Jalan kebatilan pun boleh jadi usaha. Namun sebaik usaha adalah yang Allah redha dan prinsip saya rawatan utama adalah dari Allah.. Rawatan alternatif saya adalah perubatan hospital. 
Maaf andai terkasar bahasa.Baca dengan tone lembut seperti mana ketika saya menulis catatan ini.
Salam rahmah dari saya

Istisyhad Eliyana

Pesakit kanser tahap empat yang optimis

InsyaAllah

, ,

​Produk Kesihatan Bertopeng Sunnah

Oleh: Dziehan Mustapha

Pada suatu petang saya menerima sebuah mesej melalui facebook messenger daripada seseorang individu yang tidak dikenali. Beliau ingin bertanyakan berkaitan sebuah minuman kesihatan berunsurkan Habbatus Sauda sama ada adakah saya ingin mencubanya setelah melihat saya bertanyakan berkaitan produk itu pada facebook page penjual produk tersebut.

Katanya melalui fb messenger
“Assalamualaikum saudara…dah cuba ke minuman Kid.. Kli.. tu?”
Saya menjawab
“Belum lagi, mengapa”
Beliau membalas
“Saya tidak pasti ubat ini ok ataupun tidak. Tapi ia tidak ada kelulusan kementerian dan saya rasa mengarut kalau dia kata ada kaitan dengan makhluk halus, sebab pesakit menderita dari sejak kecil”

Saya tertanya-tanya, apa kaitannya dengan makhluk halus dan siapakah dia sebenarnya?

Sebenarnya tujuan saya bertanya dalam page facebook penjual produk ini adalah untuk bertanyakan produk ini berdaftar dengan KKM atau tidak dan ingin membuat laporan jika produk ini didapati tidak mempunyai kelulusan KKM.

Tindakan saya ini juga adalah kerana produk ini telah menyebabkan bacaan fungsi buah pinggang seorang pesakit haemodialisis yang mengambilnya tiba-tiba menjadi bertambah teruk dalam masa yang singkat. Sumber informasi ini saya perolehi adalah daripada Pakar Nephrology (Pakar Buah Pinggang) yang berkongsi informasi ini di dalam media sosial (tanpa memberi tahu latar belakang pesakit) yang mengeluh dan kecewa dengan sikap penjual yang tidak bertanggungjawab sehinggakan pesakit beliau terpaksa menanggung kesan buruk daripada produk minuman Habbatus Sauda jualan mereka.

(Berbalik kepada cerita asal)
Rupa-rupanya individu yang menghantar mesej kepada saya itu sebenarnya cuba untuk memberitahu saya akan kesan buruk produk minuman Habbatus Sauda ini yang telah menyebabkan adik perempuan beliau meninggal dunia 2 minggu sebelum itu pada usia 23 tahun.

Adik beliau sebenarnya penghidap penyakit diabetes Jenis (I), di mana pesakit seperti ini selalunya bermula pada usia muda dan memerlukan Insulin sebagai rawatan akibat organ pancreas gagal menghasilkan insulin. Adik beliau telah lama menghidap diabetes dengan rawatan insulin sejak daripada kecil. Pada usia 18 tahun adik beliau telah menerima rawatan Haemodialisis akibat kesan komplikasi penyakit diabetes yang dihidapi arwah.

Penjual produk minuman Habbatus Sauda ini sememangnya menyasarkan penjualan produk mereka kepada pesakit-pesakit hemodialisis dengan menjanjikan penyembuhan kepada organ buah pinggang yang telah rosak itu dan bebas daripada Hemodialisis selepas mengambil produk minuman Habbatus Sauda jualan mereka. Tapi ada syarat jika ingin berjaya…Minuman Habbatus Sauda mereka tidak boleh bercampur dengan rawatan ubat-ubatan Hospital dan melarang juga melakukan hemodialisis sehingga tamat tempoh rawatan menggunakan produk minuman Habbatus Sauda keluaran mereka. Kata mereka, jika ambil bersama-sama (ubat-ubatan hospital) nanti produk mereka tidak berkesan untuk merawat buah pinggang yang rosak itu.

Jelas abang kepada arwah…
Kata-kata si penjual ini sangat meyakinkan sehingga mereka sekeluarga bersetuju membeli sekaligus 30 botol produk minuman Habbatus Sauda ini dan memberi minum kepada arwah sebotol (250-300ml) sehari. Harga sebotol produk ini adalah RM50. Kerana inginkan melihat arwah baik daripada penyakit kegagalan buah pinggang dan sihat semula tidak perlu menjalani Hemodialisis seperti yang dijanjikan oleh si penjual, mereka menurut segala syarat pengambilan produk ini serta pantang larangnya.

Si penjual menyarankan agar mengambil sebotol produk mereka sebotol sehari dan berhenti mengambil semua jenis ubat-ubatan untuk rawatan yang diberikan oleh hospital termasuk menghadiri sesi Hemodialisis. Apabila adik beliau kerap muntah selepas mengambil produk minuman Habbatus Sauda ini, si penjual yang beridentitikan “Orang Kuat Agama” menyatakan ia petanda baik kerana racun telah mula keluar daripada tubuh si arwah bersama-sama makhluk halus kesan santau yang dialami arwah.

Apabila keadaan arwah bertambah teruk, kaum keluarga mula hantar semula untuk melakukan dialisis tanpa pengetahuan si penjual. Walau bagaimanapun rawatan ubat-ubatan masih dihentikan. Akhirnya pada hari ke-14 setelah menagmbil minuman Habbatus Sauda sebanyak sebotol sehari, arwah muntah yang kelihatan seperti darah yang pekat berwarna hitam dan rebah jatuh di rumah. Setibanya anggota kesihatan di rumah setelah panggilan kecemasan dibuat oleh kaum keluarga, arwah telah kembali ke Rahmatullah.

Begitulah kisah yang telah dikongsikan oleh abang kepada arwah. Mereka sekeluarga berasa amat bersalah dan kecewa dengan tindakan yang mereka pilih sehinggakan arwah menderita sebelum menemui ajalnya setelah 14 hari mengambil minuman Habbatus Sauda tersebut. Mereka menyesal kerana terperdaya dengan janji manis penjual yang kelihatan sungguh menyakinkan kerana berlatar belakangkan kesucian agama.

Jawab balas SI PENJUAL kepada kaum keluarga
“ arwah anak yang baik”
“Arwah ada beberapa penyakit, termasuk muntah hitam yang keluar itu adalah kesan “Santau Angin”. Dengan kejadian ini pihak syarikat bersetuju untuk membantu keluarga encik dengan hanya akan mengambil bayaran RM2000 sahaja”
“Organ arwah telah rosak terlalu banyak kesan kimia daripada ubat yang diambil termasuk ubat bius pembedahan. Buah pinggang arwah rosak sebab semua itu”
“Pada peringkat awal pengambilan Kid..Kli.. itu jelas menunjukkan perkembangan baik pada arwah kerana produk ini lebih tertumpu untuk merawat buah pinggang sahaja. Namun arwah ada penyakit lain.
“Pihak syarikat juga akan bersedekah RM3000 kepada sebuah Madrasah anak yatim khusus untuk membuat tahlil kepada arwah. Allah maha menuntu ajal. Pelanggan lain Allah sembuhkan, Namun arwah adik encik Allah lebih menyayanginya”

Begitulah kisah yang menyayat hati ini. Begitu juga dengan mudah si penjual melontarkan alasan yang tidak berasas. Arwah telah pun pergi, namun trauma dan sesalan masih dialami oleh kaum keluarga.

Pengajaran:
1. Setiap rawatan yang diberikan oleh pegawai perubatan adalah bertujuan untuk melindungi pesakit daripada keadaan penyakit yang bertambah teruk (komplikasi penyakit). Terutama bagi pesakit diabetes dan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.
2. Setakat ini tiada sebarang ubat, mahupun minuman dapat merawat kerosakan buah pinggang melainkan pesakit penjalani proses perpindahan buah pinggang daripada penderma organ yang sesuai.
3. Jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu penjual produk-produk kesihatan walaupun ia kelihatan sungguh menyakinkan atau menggunakan latar belakang agama sebagai daya penarik.
4. Berbincanglah dahulu dengan pakar atau pegawai perubatan yang merawat sebelum mengambil keputusan untuk mencuba rawatan alternatif. Kerana nasihat daripada yang pakar atau ahli dalam bidang perubatan dan ubat-ubatan (seperti ahli farmasi) amat penting untuk melihat sejauh mana kebenarannya serta kelebihan mengambil rawatan alternatif ini dalam situasi atau keadaan kesihatan semasa.
5. Jadikan semua anggota kesihatan yang merawat anda sebagai rakan, jangan segan bertanya dan berbual dengan anggota kesihatan yang merawat. Lebih banyak bertanya, lebih banyak informasi dan ilmu dapat ditimba dan yang penting adalah ilmu yang diperolehi adalah daripada sumber yang sahih dan bukannya daripada penjual produk yang Cuma memikirkan keuntungan daripada produk jualan mereka dan bersikap bias dalam menyampaikan informasi yang belum tentu sahih dan benar.

Harap penceritaan kisah benar ini menjadi tauladan buat masyarakat semua.
Al-Fatihah buat Arwah
Ameen.

Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbuster Malaysia