, , ,

Persiapan Pesakit Menghadapi Ramadhan

#Persiapan_Pesakit_Menghadapi_Ramadhan
Soalan yang selalu muncul apabila menjelang puasa Ramadhan adalah hukum menggunakan ubat titis mata, guna alat sedut asma dan cucuk ubat; adakah ianya batal puasa atau sebaliknya. Walaupun ianya banyak dibincangkan di sesi-sesi kuliah mahupun media maya, tetapi masih ramai yang keliru mengenai hukum-hukum tersebut.
Sejak beberapa tahun lalu saya menulis dalam personal website dan facebook jawapan-jawapan bagi sah batal isu yang berkenaan. Mungkin ianya bukan rujukan lengkap, tetapi setidak-tidaknya isu asas diberikan bagi memberi kefahaman kepada pembaca.
Sehubungan dengan itu saya susun semua isu berkenaan dalam satu e-book. Boleh download secara percuma dan cetak sendiri untuk bacaan anda. Klik disini untuk download.
Topik yang dibincangkan:
– Definisi sakit yang mengharuskan berbuka puasa
– Mengharmoni beberapa hujah yang khilaf dalam isu sah batal puasa dalam menggunakan inhaler
– Isu khusus seperti, sahbatal buat pemeriksaaan vagina ibu hamil, pemberian cecair intravena, penggunaan inhaler, korek najis sembelit, rawatan gigi, nasihat pemakanan dan banyak lagi
p/s: Mungkin susunan masih belum lengkap dan cantik. Sila hubungi saya jika anda mempunyai cadangan atau kritikan membina.
Suhazeli Abdullah
1 Rejab 1438
29 MAc 2017
Sutra Resort, Merang
, , ,

Hukum Darah, Lendir dan Air Ketuban Sebelum Bersalin

image

?Kategori: Haidh & Nifas

==============
▶Pertanyaan dri Puan Azira Adenan
=============

Pohon penjelasan Ustaz kenyataan berikut:

Darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Perkara ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Adapun darah yang keluar bersama dengan bayi (yakni semasa proses melahirkan anak), statusnya menjadi khilaf ulamak;

1. Menurut mazhab Syafi’ie; ia bukan darah nifas, akan tetapi darah penyakit. Mazhab Syafi’ie meletakkan syarat bagi darah nifas; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas.

2. Adapun bagi Mazhab yang lain (Maliki dan Hanbali); ia telah dikira sebagai darah nifas, yakni bagi mereka apabila berlaku proses kelahiran, maka darah yang keluar telah dikira darah nifas sekalipun bayi belum sempurna keluar.

Mengenai darah yang keluar ketika saat-saat menanti kelahiran, ini juga menjadi khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut mazhab Syafi’ie; ia belum dikira sebagai darah nifas, akan tetapi dikira darah istihadhah (penyakit).[1] Oleh itu, wanita yang mengalaminya, puasanya masih sah (tidak batal) dan kewajipan solat juga tidak gugur darinya dengan dilakukan mengikut kemampuannya.

2. Menurut mazhab Hambali; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit adalah dikira darah nifas (yakni statusnya sama seperti darah yang keluar selepas bersalin). Maka mengikut mazhab Imam Ahmad Hambal ini; wanita yang terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya kerana wanita yang didatangi nifas tidak sah puasa dan solatnya.

3. Menurut mazhab Imam Malik; darah yang keluar sebelum bersalin, ia bukan darah nifas tetapi darah haid. Berdasarkan pandangan mazhab Imam Malik ini, wanita yang terbabit batal puasanya dan gugur kewajipan solat darinya bukan kerana nifas tetapi kerana haid.

Pendapat dalam Mazhab Syafie yang paling rajih adalah darah sebelum bersalin dikira (haid) hadas besar.

Wallahu a’lam.

Rujukan;1. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Isami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/125.2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 78.

======

SOALAN saya:

1) Adakah wujud ciri² tertentu yg perlu dipenuhi ke?

2) Kalau dua hari sebelum bersalin keluar tanda – mucus (lendir) dan sedikit darah, tetapi lepas tu tiada darah dah. Perlu mandi wajib dan bersolat ke?
3) Jika air ketuban mengalir berterusan. Hukum dia bagaimana?

———
Terdapat pendapat yg kata kalau darah 3 hari sebelum bersalin diiringi kontraksi dikira darah nifas.

========
JAWAPAN SOALAN 1

1) Adakah wujud ciri2 tertentu yg perlu dipenuhi ke?

Darah dikira haid apabila memenuhi ciri-ciri berikut:
1- Keluar dari wanita yang berusia lebih kurang  9 tahun dan ke atas.

2- Warna darah tersebut adalah hitam @merah@kuning@keruh@warna tanah

3- Tempoh keluarnya tidak kurang dari sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam.

4- Jarak antara akhir darah yang terdahulu dengan darah semasa ialah 15 hari.

Darah yang tidak memenuhi satu dari empat ciri tersebut bukanlah haid.

JAWAPAN SOALAN 2

2) Kalau dua hari sebelum bersalin keluar tanda – mucus (lendir) dan sedikit darah, tp lepas tu tiada darah dah. Perlu mandi wajib dan bersolat ke?

~ Ya wajib solat.

JAWAPAN SOALAN 3

3) Jika air ketuban mengalir berterusan. Hukum dia bagaimana?

~ Status dia sama dengan mereka yang sentiasa berhadas. Apabila dia hendak mengerjakan solat, dia wajib lakukan perkara berikut secara berturut-turut dan muwalat

1- Membasuh kemaluan selepas masuk waktu.

2- Memakai tuala wanita.

3- Berwuduk

4- Mengerjakan solat fardhu.

Wuduk ini dinamakan wuduk daruroh iaitu wuduk yang sah walaupun berlaku perkara yang membatalkannya jika dia berada dalam situasi biasa.
Ketika dia berwuduk, keluar air ketuban yang berterusan, oleh itu wuduk ini tidak sama dengan wuduk orang sihat.

Wuduk darurah hanya untuk satu fardu dan untuk amalan sunat tanpa batasan.

Apabila hendak dilakukan fardu kedua , wajib ambil wuduk yang baharu.

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha
Pengerusi
Pusat Talaqqi Batu Rakit
Fb.com/PusatTalaqqiBR

, ,

Mengharmonikan pandangan Hukum perubatan yang membatalkan puasa atau sebaliknya dari sudut Doktor Perubatan

image

Tiba sahaja bulan Ramadhan, meriah dalam dunia siber membincangkan hukum hakam berkaitan batal-sah puasa. Semuanya mendatangkan satu perbincangan yang baik bagi memberi penerangan kepada masyarakat umum.

Tidak terkecuali juga yang hangat dibincangkan dalam negara kita berkaitan dengan perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa dari sudut perubatan. Maka disebarkan beberapa pandangan dari pelbagai sumber, antaranya Seminar Fekah Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997 [1], pandangan dari Ustaz Dr Abdul Basit [2], pandangan dari JAKIM [3], pandangan dari Datuk Dr Zulkifli Al Bakri [4] dan pelbagai lagi [5,6,7].

*Asas Utama yang tiada Khilaf*

Perlu difahami bersama bahawa sebelum sesuatu ubatan atau prosedur dilakukan, sudah tentu para doktor yang mahir menghendaki ubatan/prosedur tersebut diberikan untuk menghapuskan mudarat kepada pesakit. Ianya bukan diberi tanpa alasan kukuh dan sewenangnya. Berdasarkan keahlian dalam bidang beliau, pengalaman yang diperolehi selama ini dan konsensus kaedah pengurusan perubatan, menjadi sesuatu yang mendesak ianya diberikan atau prosedur dijalankan. Dengan makna lain ianya wajib diberikan ubat tersebut atau wajib dijalankan prosedur tersebut, jika tidak, pesakit akan mudarat sakit atau mati. (Boleh baca lanjut kategori sakit bagi pesakit dibulan Ramadhan dalam rujukan berikut [8]). Prosedur tersebut juga boleh memungkinkan kesegeraan tindakan dalam mengesan penyakit dan seterusnya rawatan awal boleh diberikan .

Justeru asas utama dalam keadaan sebegini sudah tidak khilaf – iaitu, pesakit diharuskan *tidak berpuasa*. Ini berdasarkan firman Allah taala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

_”Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”._ (QS Al Baqorah 184).

Sekali lagi, asas utamanya adalah *pesakit tidak wajib berpuasa*.

*Pesakit Mendesak untuk terus Berpuasa*

Doktor senantiasa dalam dilema apabila berdepan dengan pesakit yang nekad tidak akan berbuka puasa walau telah dinasihati bahawa sudah tidak menjadi kewajipan kepada pesakit untuk berpuasa. Walaupun ianya khilaf dalam mazhab yang empat, tetapi saya lebih selesa memberikan jawapan *tidak membatalkan puasa* ke atas pemberian ubat atau prosedur. Dengan syarat sesuatu ubat atau ujian itu tidak menghilangkan lapar, dahaga dan/atau memperolehi nikmat nafsu. Justeru pilihan kedua boleh disyorkan kepada pesakit bagi terus untuk berpuasa.

*Kesimpulannya*

Sebenarnya tidak lah hendak saya perdebatkan lebih isu ini. Islam adalah mudah. Jika berjidal banyak, rugi tenaga dan masa.
Asas pertama adalah jika sakit yang boleh mendatangkan mudharat pada diri, nyawa, akal maka tidak menjadi kewajipan pada sesorang itu berpuasa. Jika serangan asthma yang mendesak dia menggunakan ubatan atau prosedur perubatan, maka berbukalah lebih aula. Keluar dari khilaf samada batal atau tidak itu lebih menyenangkan.

Asas kedua, jika pesakit berkeras juga ingin berpuasa, dalam isu ini batallah puasa apabila masuk sesuatu dalam rongga sebagaimana yang dipegang oleh Mazhab Syafie. Namun dalam perubatan saya lebih memilih fiqh taisir (kelonggaran bukan tetap kepada satu pandangan mazhab shj). Saya lebih selesa menyatakan memasukkan sesuatu yang bukan berbentuk makanan atau menyeronokkan nafsu itu tidak batal puasa sebagaimana yang disebut dalam majmak fiqh antarabangsa dan beberapa ulama muktabar kotemporari seperti Yusof Qaradawi dan Syeikh Wahbah Al Zuhaily. Sebagai contoh, dalam majmak fiqh antarabangsa sebut melakukan gastro scope (teropong dalam perut) pun tidak batal. Pesakit boleh diberi pilihan dengan mengambil pandangan dari perbincangan ulama muktabar mengenai isu berkenaan. Sesuai dengan kaedah fekah menyebut, “sesuatu yang sempit perluaskanlah”.

Sekian terima kasih

Rujukan
[1] Perkara yang membatalkan Puasa: http://papisma.org/fekahperubatan/?p=5
[2] Tulisan Dr Abdul Basit: http://www.abuanasmadani.com/puasa-perkara-yang-membatalkannya/
[3] Jakim: http://truthhalal.my/penggunaan-ubat-yang-batal-dan-tidak-membatalkan-puasa/
[4] Tulisan Dr Zulkifli Al Bakri Penggunaan inhaler semasa puasa: http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-ramadhan/555-hukum-menggunakan-inhaler
[5] Tulisan Dr Ahmad Zakimi: http://sajakongsi.com/19-perkara-yang-tidak-membatalkan-puasa-dalam-bidang-perubatan/
[6] Tulisan Uztaz Lukman: http://www.addeen.my/index.php/rohani/ibadah/item/446-perubatan-moden-dan-kesannya-pada-puasa
[7] Tulisan Dr Zaharuddin: http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/38/595-ramadhan-a-batalkah-puasa-kita-jika.html
[8] Ramadhan bagi pesakit: http://suhazeli.com/wp/?p=1269

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan fakir_
Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com
10 Ramadhan 1437

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan fakir_
Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

10 Ramadhan 1437

, , ,

Isu Minum Air Gula (OGTT) Semasa Bulan Ramadhan

FBSSalam
Kategori: perubatan
Isu: minum air gula untuk ibu mengandung

*Soalan:*
Ibu mengandung yang mengalami penambahan berat badan yg berlebihan sewaktu hamil disuruh untuk meminum air gula bagi memastikan tidak ada penyakit kencing manis…pada bulan ramadhan, apakah hukumnya? Sekiranya ibu tidak rasa ada sebarang masalah (sakit) dan pertambahan berat adalah kerana selera makan bertambah sewaktu mengandung, adakah perlu untuk minum air gula tersebut? Ibu boleh berpuasa dengan baik dan kadar tumbesaran kandungan juga baik, jadi perlukah ibu meninggalkan puasa untuk minum air gula? Dan sekiranya perlu selepas minum air gula, haruskah ibu itu imsak? Atau boleh makan dan minum?

*Jawapan:*
Ujian minum air gula (OGTT-Oral Glucose Tolerance Test) adalah penting sebagai saringan khusus penyakit kencing manis. Ianya dilakukan kepada beberapa kategori golongan berisiko samada hamil atau tidak. Ujian OGTT ini adalah penentu (Gold Standard) samada pesakit tersebut mengidap kencing manis atau sebaliknya.

*Kaedah:* Ibu diminta berpuasa sedari jam 10 malam. Dengan ini paras gula dalam darah di pagi hari (jam 8 pagi) adalah paling minima. Jika melebihi hadnya maka dikira diabetes. Namun sistem badan kita yg Allah jadikan amat hebat kerana insulin akan mengawal keseimbangan gula dalam darah. Kemudian ujian minum air gula dilakukan bagi _challenge_ tindakan insulin dalam badan. Bagi ibu yang berisiko, insulin badan tidak dapat berfungsi dengan baik. Justeru bacaan nya akan melebihi paras. Ia akan di kira sebagai kencing manis semasa mengandung.

*Berikut adalah faktor risiko yang mewajibkan seseorang itu menjalani ujian OGTT:*

a. Berat badan unggul BMI >27 kg/m²
b. Mempunyai sejarah berat bayi sebelum ini lebih 4 kg
c. Sejarah Kencing Manis semasa hamil sebelum ini.
d. Sejarah keluarga kencing manis (1st degree relative)
e. Sejarah kematian bayi yang tiada peyebab sahih.
f. Sejarah kecacatan bayi sebelum ini.
g. Air kencing dikesan mengandungi gula.
h. Terdapat penyakit semasa seperti Darah tinggi, polihidramnios (air ketuban banyak) dan penggunaan steroid. [1]

*Kesan kencing manis semasa hamil*

*Kepada ibu*: akan selalu pengsan dan boleh bawa maut
*Kesan pada janin:* Tumbesaran terbantut, air ketuban banyak, kerosakan tulang belakang janin, kelahiran pra matang, dan boleh membawa kematian bayi dalam kandungan.

*Ujian OGTT semasa Ramadhan*

Jumhur ulama menyatakan bahawa ibu hamil diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Hamil itu sendiri meletihkan dan memenatkan bagi sesetengah ibu. Ia dikiaskan dengan orang sakit, di mana orang sakit dibenarkan tidak berpuasa kerana boleh mendatangkan mudarat [2]. Pun begitu ramai ibu hamil meneruskan puasa Ramadhan tanpa kesan yang mebimbangkan.

Masalah yang ditimbulkan di atas adalah ibu hamil dipaksa berbuka kerana ujian penting OGTT ini. Jika ibu hamil tersebut mempunyai risiko seperti yang dinyatakan, ia wajib menjalani ujian ini tanpa ingkar. Masa terbaik ujian OGTT dilakukan adalah semasa minggu kehamilan antara 24 hingga 28 minggu. Justeru atas budi bicara doktor yang merawat ibu hamil untuk mengarahkan ujian dilakukan semasa ramadhan atau tidak.

Bagi saya, akan mengambil langkah menjaga sensitiviti dan hasrat tinggi ibu hamil untuk terus beribadah puasa ini dengan melakukakan ujian sebaik sahaja bulan syawal nanti. Tetapi ianya pula tertakluk kepada kesegeraan ujian tersebut berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan sesorang doktor. Mereka lebih mengetahui pesakit mereka. Terdapat beberapa kaedah sampingan lain boleh digunakan (jika pesakit ingin terus berpuasa) untuk menentukan ibu tersebut mengalami kencing manis atau tidak. Contohnya
(i) mengadakan siri ujian paras gula darah semasa puasa (FBS) atau
(ii) beberapa siri ujian gula darah secara rambang (RBS) atau
(iii) Ujian HbA1c
(iv) Ujian OGTT sebelum sahur

Walaupun ianya bukan *Gold Standard* seperti OGTT, namun sekurang-kurangnya pihak doktor boleh mengambil langkah kawalan awal ini sebelum dilakukan ujian OGTT pada bulan syawal nanti.

Berat badan bertambah secara mendadak semasa hamil, boleh dikaitkan dengan kaedah pemakanan yang berselera atau mungkin juga akibat dari kencing manis. Tetapi ia bukan kesegeraan yang melangsungkan ujian OGTT dijalankan.

Sekian terima kasih

Ramadhan Kareem

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan Dhaif_
fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

Rujukan
[1] CPG Management of Type 2 Diabetes Mellitus. http://www.acadmed.org.my/index.cfm?&menuid=67
[2] Puasa bagi Pesakit. http://suhazeli.com/wp/?p=1314

,

Puasa Ramadhan bagi Orang Sakit

image

Ramadhan akan menjelang tiba dalam tempoh terdekat. Islam mewajibkan umatnya berpuasa sebagaimana yang dinyatakan oleh ALlah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.  أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

_”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”._ (QS Al Baqorah 183-184)

Sebahagian dari umat Islam mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya. Apakah mereka diwajibkan berpuasa atau sebaliknya? Sepertimana ayat yang dinyatakan di atas, “….barangsiapa diantara kamu yang sakit…”, menunjukkan terdapat kelonggaran bagi orang tertentu untuk tidak berpuasa.

Timbul persoalan disini, kategori sakit bagaimanakah yang mendesak kepada pesakit tersebut tidak boleh berpuasa?

*Puasa bagi orang sakit*

Sakit membawa maksud keadaan diri yang tidak memungkinkan berfungsi secara normal samada terdapat kesakitan fizikal ataupun mental. Para ulama telah sepakat membenarkan orang sakit untuk tidak berpuasa secara umum. Wajib menggantikan semula  puasanya (Qhoda’ di hari lain) setelah sembuh. Dalilnya seperti firman Allah Ta’ala dalam surah Al Baqorah di atas.

Terdapat 4 kategori sakit. [1]

1) Sakit ringan dan tidak berpengaruh apa-apa jika tetap berpuasa.
Seperti pening kepada yang ringan, penyakit kurap gatal, kaki kena makan air dan sebagainya. Puasa wajib diteruskan.
2) Sakitnya biasa tetapi bertambah parah atau akan menjadi lama sembuhnya (Penyakit kronik) dan menjadi berat jika berpuasa, namun hal ini tidak membahayakan. Kategori ini dianjurkan untuk tidak berpuasa dan dimakruhkan jika tetap ingin berpuasa.
3) Sakit yang boleh menyusahkan dirinya untuk hidup atau membawa kematian jika berpuasa. Kategori ini diharamkan untuk berpuasa. Setelah sembuh dari sakitnya, wajib diganti puasa itu.
Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala,

وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

_”Dan janganlah kamu membunuh dirimu.”_ (QS. An Nisa’: 29)

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

_“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”_ (QS. Al Baqarah: 185)

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

_“Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.”_ (QS. Al Hajj: 78)

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

_“Jika aku memerintahkan kalian untuk melakukan suatu perkara, maka lakukanlah semampu kalian.”_ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) [2]

4) Puasa bagi orang tua/lemah atau sakit yang tiada harapan sembuh

i) Para ulama sepakat bahwa orang tua yang tidak mampu berpuasa, boleh baginya untuk tidak berpuasa dan tidak ada qodho’ baginya. Majoriti ulama, cukup bagi mereka untuk memberi fidyah yaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Pendapat majoriti ulama inilah yang lebih kuat. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala,

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

_“Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin.”_ (QS. Al Baqarah: 184)

ii) Begitu pula orang sakit yang tiada harapan sembuh, disamakan dengan orang tua renta yang tidak mampu melakukan puasa sehingga dia diharuskan mengeluarkan fidyah (memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan).

Ibnu Qudamah mengatakan, _“Orang sakit yang tidak diharapkan lagi kesembuhannya, maka dia boleh tidak berpuasa dan diganti dengan memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kerena orang seperti ini disamakan dengan orang yang sudah tua.”_ [3]

Rujukan:
[1] Lihat Shahih Fiqh Sunnah, 2/118-120.
[2] HR. Bukhari no. 7288 dan Muslim no. 1337, dari Abu Hurairah.
[3] Al Mughni, 4/396.

Dr Suhazeli Abdullah
8.5.2015

F: fb.com/drsuhazeli 
T: twitter.com/suhazeli
W: www.suhazeli.com

_Whatsapp Friendly Version (WFV)_

, ,

Hukum Penggunaan Inhaler dan Accuhaler Ketika Puasa.

Artikel asal dari Abu Anas Madani

بسم الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين،

 نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:

image

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim, menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya, oleh itu perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah swt. Ayat 185 dari Surah Al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah swt tentang keringanan syariat-Nya:

] يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ [

 {Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.}

Oleh kerana ramai masyarakat yang bertanya tentang hukum penggunaan Inhaler oleh orang yang memerlukannya dan juga beberapa hukum yang berkaiatan dengan kesihatan yang lain, maka kami catatkan di sini beberapa isu tersebut, semoga ianya member manfat untuk menyelesaikan persoalan tersebut.

Perbincangkan isu ini kami pilih darisebuah buku berjudul: مُفطِرات الصيام المعاصِرة“Mufthirat as-Siyam al-Mu’asirah” (Perkara-perkara Semasa Yang Membatalkan Puasa) yang ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi, [Dar Ibnu Jauzi, Arab Saudi, Cetakan Pertama, 1426H/2005M /http://saaid.net/book/open.php?cat=97&book=2020.

 Video: HUKUM MENGGUNAKAN INHALER & ACCUHALER BAGI ORANG ASMA, BATALKAH PUASA.

Hukum Inhaler & Accuhaler

Perbincangkannya seperti berikut;

Antara Isu-isu baru berkaitan dengan perkara membatalkan puasa.

Perbahasan tentang tajuk ini dapat dibahagikan kepadaa dua bahagian iaitu pertama benda-benda yang masuk ke dalam badan orang yang berpuasa. Ia melibatkan beberapa masalah.

A-   BENDA-BENDA YANG MEMASUKI BADAN MELALUI MULUT.

   Perbahasan di bawah tajuk ini pula dapat dibahagikan kepadaa beberapa persoalan kecil.

1.    Penggunaan Inhaler Mulut.

Inhaler merupakan satu alat yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan, air dan juga oksigen. Cara penggunaannya dilakukan di dalam bentuk mengangkat, kemudian menekannya ke dalam mulut atau hidung. Pada masa itu bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.

Pendapat Ulama:

Ulama’ masa kini berselisih pendapat tentang penggunaan inhaler ini kepada dua iaitu:

Pendapat Pertama

Penggunaan inhaler tidak membatalkan mahupun merosakkan puasa. Inilah pendapat As-Syeikh Abd Aziz bin Baaz, As-syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin, As-Syeikh Abdullah bin Jabrin, As-Syeikh Dr. As-siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad Al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Tetap Kerajaan Arab Saudi.

Alasan Hukum:

a.    Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas  kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).

Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaqtersebut dari segi keyakinannya,  sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.

b.    Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti, sebaliknya masih diragui. Mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih ragu-ragu.

c.     Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).

Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun alasan ini boleh dipertikaikan, kerana memang wujud kuantiti tertentu air di dalam kandungan ubatan yang terdapat di dalam Inhaler, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

d.    Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.

Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun sebelum ini, kita telah menjelaskan kuantiti kecil semburan Inhaler juga masuk ke dalam perut.

e.  Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.

Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya: “Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”

Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada Inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.

Perbahasan kepada alasan ini: Mereka yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaqtidak berniat untuk memasukkannya ke dalam tekak, jika masukpun secara tidak sengaja. Berbeza dengan penggunaan inhaler yang mmg disembur ke dalam tekak.

Jawapan: Semua itu kembali kepada qasad dan niat, maka mereka yang menggunakan inhaler juga tidak berniat memasukkannya ke dalam rongga dan perut, mereka menggunakannya untuk melegakan pernafasan iaitu ke paru-paru.

Pendapat Kedua:

Golongan ini berpendapat, penggunaan Inhaler membatalkan puasa dan tidak harus digunakan pada siang hari bulan Ramadhan kecuali pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja. Orang yang menggunakan Inhaler pada siang hari bulan Ramadhan hendaklah mengqada’ puasa untuk hari itu.

Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Fadl Hasan Abbas, As-Sheikh Muhammad al-Mukhtar Sulami, Dr. Muhammad Alfai, As-Sheikh Muhammad Taqiuddin Al-Uthmani dan Prof. Dr. Wahbah Mustafha Az-Zuhaili.

Alasan Hukum:

Bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.

Perbahasan ke atas Alasan: Alasan ini boleh dijawab dengan merujuk kepada alasan pertama yang dikemukakan oleh golongan pertama di atas.

PENDAPAT TERPILIH:

Pendapat yang jelas lagi nyata di dalam kes ini -Allah yang Maha Mengetahui hakikat yang sebenarnya- penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa.

Pandangan golongan pertama yang menyatakan penggunaannya tidak membatalkan puasa, adalah sesuai dan logik. Manakala qiyas mereka kepada berkumur,istinsyaq dan siwak, adalah qiyas yang betul. Wallahu A’lam.

Hukum Inhaler Menggunakan Debu.

Adapun hukum inhaler yang menggunakan debu, para ulama semasa berselisih pendapat agak kuat lebih daripada isu inhaher, memandangkan debu tersebut mungkin terlekat di halkum atau kerongkong.

Menurut Kajian Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih:

Semua jenis penggunaan inhaler dengan pelbagai jenisnya, termasuk yang menggunakan debu yang disedut melalui mulut atau hidung, semuanya tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajah (kuat hujjahnya).

Alasan Hukum:

1-    Sedutan yang dilakukan pergi ke bahagian pernafasan, bukan pergi ke saluran makanan dan minuman.

2-    Kalaupun ada yang termasuk ke saluran makanan ianya adalah terlalu sedikit, tidak lebih pada kebiasaannya debu-debu yang masuk melalui pernafasan

(Fiqh Syafieyyah mengatakan: “Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur.”

3-    Debu ubat itu tidak dikira sebagai sejenis makanan dan minuman, atau yang bermakna sejenis makanan.

4-    Berpegang dengan hukum Asal, bahawa puasa seseorang itu tidak batal sehingga ada dalil yang menentukan perkara itu batal, Wallahu a’lam.

Lihat: http://ar.islamway.net/fatwa/33639

Lihat Perbincangan & Hujah di:http://majles.alukah.net/showthread.php?63364- بخاخ-الربو-للصائم

Hukum Accuhaler:

Adapun Accuhaler yang biasanya untuk rawatan jangka panjang. 
Maknanya tiap-tiap hari pesakit kena ambilnya walaupun tiada serangan lelah. Contohnya dia kena ambil sekali atau 2 kali sehari tiap-tiap hari. Maka 

dinasihatkan supaya dia ambil sewaktu sahur atau selepas berbuka. Wallahu a’lam.

HUKUM SEMASA BERKAITAN PUASA (Fatwa Majma’ Fiqh dll).
Rakaman Penuh di: https://www.youtube.com/watch?v=LExXW1_6iK4

,

Penggunaan Inhaler tidak membatalkan Puasa

Terdapat perselisihan pendapat antara ulama fekah berkaitan penggunaan alat perubatan semasa puasa Ramadhan. Contoh yang biasanya menjadi perselisihan adalah penggunaan Inhaler bagi pesakit Asthma. Ulama Syafiiyyah lebih mengambil langkah berhati-hati dengan menghukumkan penggunaan Inhaler boleh membatalkan puasa ramadhan. Manakala ulama hanafiah, hanabilah dan malikiyyah lebih longgar dalam menafsirkan definisi perkara-perkara yang membatalkan puasa Ramadhan. Dimana penggunaan inhaler bag pesakit asthma adalah tidak membatalkan puasa.
Justeru, timbul sedikit perselisihan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dinegara kita mengenai hukum penggunaan inhaler semasa puasa Ramadhan. Terdapat dual versi berbeza.
1. Bahan flier ringkas yang dikeluarkan oleh bahagaian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Mereka merujuk kepada panduan yang pernah dikeluarkan oleh pihak Jakim Satu ketika dahulu.

image

2. Salah Satu tulisan yang termuat dalam buku Fekah Perubatan tulisan Dr Harmy Mohd Yusof.

image

image

Ulama mutakkhir lebih cenderung kepada pandangan kedua sepertimana Yang termuat dalam tulisan dr Harmy tersebut berdasarkan illah dan kepentingan semasa dari sudut perubatan.

, ,

Hukum Berpuasa bagi Pesakit Kencing Manis (Diebetes Mellitus)

Majoriti ahli perubatan menyatakan bahawa pesakit kencing manis (Diabetes Mellitus) tidak diwajibkan berpuasa. Hujah ini dikuatkan lagi dengan persidangan fekah perubatan yang berpusat di morocco pada tahun 1987 yang menyatakan bahawa pesakit kronik seperti Kencing Manis adalah idharuskan berbuka puasa.
Read more

Salam Ramadhan 1433

Selamat datang Ramadhan. Kehadiranmu dinanti-nantikan oleh stiap mukmin. Pertingkatkan segala amalan ibadah di bulan ini.

, , ,

Tazkirah Akhir Ramadhan 1432

Apa bila melihat satu hadis Nabi SAW ini aku semakin sayu dan takut. Anda sekiranya segala amalan berpuasa kita tidak di makbulkan Allah. Dan paling malang sekali kita di cop oleh Allah sebagai orang yang celaka. Cuba perhatikan betul-betul bait sabdaan Nabi SAW ini:
لَمَّا بَنَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمِنْبَرَ جَعَلَ لَهُ ثَلَاثَ عَتَبَاتٍ، فَلَمَّا صَعِدَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَتَبَةَ الْأُولَى، قَالَ: ” آمِينَ “، ثُمَّ صَعِدَ الْعَتَبَةَ الثَّانِيَةَ، فَقَالَ: ” آمِينَ “، حَتَّى إِذَا صَعِدَ الْعَتَبَةَ الثَّالِثَةَ، قَالَ: ” آمِينَ ” فَقَالَ الْمُسْلِمُونَ: يَا رَسُولَ اللهِ رَأَيْنَاكَ تَقُولُ آمِينَ آمِينَ آمِينَ وَلَا نَرَى أَحَدًا، فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ صَعِدَ قَبْلِي الْعَتَبَةَ الْأُولَى، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، فقُلْتُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ ، فقَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَأَبْعَدَهُ اللهُ، قُلْ: آمِينَ، فَقُلْتُ: آمِينَ، فَلَمَّا صَعِدَ الْعَتَبَةَ الثَّانِيَةَ، قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، قُلْتُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَصَامَ نَهَارَهُ، وَقَامَ لَيْلَهُ ثُمَّ مَاتَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ، فَأَبْعَدَهُ اللهُ، قُلْ: آمِينَ، قُلْتُ: أَمِينَ، فَلَمَّا صَعِدَ الْعَتَبَةَ الثَّالِثَةَ، قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، قُلْتُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، قَالَ: مَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَمَاتَ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ، فَأَبْعَدَهُ اللهُ، قُلْ: آمِينَ، فَقُلْتُ: آمِينَ

(Hadis imam Bukhori dalam kitabnya adab mufrad dari Jabir bin Abdillah)

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian pada langkah pertama mengatakan : “amien”, pada langkah kedua mengatakan :”amien” sampai pada langkah ketiga mengatakan : “amien”.Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, sedangkan kami tidak melihat seorangpun wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:”Telah datang malaikat Jibril yang naik mimbar didepanku dan berkata : wahai muhammad. aku berkata : labbaika wasa’daik. dan ia berkata : Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin! maka kukatakan, ‘Amin’ “.Kemudian pada langkah kedua Jibril berkata lagi. Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan, puasa pada siangnya dan sholat pada malamnya kemudian meninggal tidak diampuni dosanya dan masuk neraka dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.Kemudian pada langkah ketiga Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” (HR Bukhori)
Berbakti kepada kedua ibu bapa

Sila lihat video ini untuk sama-sama menginsafi kita:

Apakah Tanda Ramadhan kita termakbul?



Adakah kita ini sentiasa ingat dan cinta akan Rasulullah?
Hayati sketsa ini:

Dengar Isi penuh tazkirah

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA
Copyright Control by aljazli design (c) 2003 – 2008
,

Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan Al Mubarak

WAHAI MANUSIA, sudah datang kepada kalian bulan Allah dengan membawa keberkatan rahmat dan keampunan.Bulan yang paling mulia di sisi Allah Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama.Malam-malamnya adalah malam yang paling utama.Jam demi jamnya adalah jam-jam yang paling utama.

Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan olehNya.Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih,tidurmu menjadi ibadah,amal-amalmu diterima dan doa-doamu dimakbulkan. Mohon kepada Allah,Tuhanmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu bagi melaksanakan puasa dan membaca kitab-Nya.

Malang bagi orang yang tidak mendapat keampunan daripada Allah di bulan yang agung ini.Kenang dengan rasa lapar dan hausmu,kelaparan dan kehausan di hari kiamat.Bersedekahlah kepada fakir miskin.muliakan orang tuamu,sayangi yang muda,sambungkan tali persaudaraanmu,peliahara lidahmu,kawal pandanganmu dari apa yang tidak halal bagi kamu memandangnya dan kawal pendengaranmu dari apa yang tidak halal bagi kamu mendengarnya.Kasihi anak-anak yatim,nescaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu.Angkat tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itu adalah saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih sayang:Dia menjawab permintaan mereka ketika mereka menyeru-Nya,menyambut mereka ketika memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.
Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu,bebaskan ia dengan Istighfar.Belakangmu berat kerana beban dosamu,ringankan dengan memanjangkan sujudmu.

Ketahuilah ,Allah Taala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya,Dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujud,dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Tuhan seluruh alam.

Wahai manusia! Siapa diantara kamu memberi jamuan berbuka puasa kepada orang Islam yang berpuasa pada bulan ini,di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan dia diberi keampunan atas dosa-dosa yang lalu.
Seorang sahabat bertanya,”Ya Rasulullah,Tidaklah kami mampu berbuat demikian,”
Rasulullah meneruskan khutbahnya,”Pelihara dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma.Pelihara dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air,”

Wahai manusia! Siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini,ia akan berhasil melewati Sirat al-Mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir.siapa yang meringankan pekerjaan orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai @pembantu) di bulan ini,Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat.Siapa menahan sikap buruknya di bulan ini,Allah akan menahan kemurkaan-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Siapa memuliakan anak yatim pada bulan ini,Allah memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa menyambungkan tali persaudaraan pada bulan ini,Allah akan menghubungkannya dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.
Siapa melakukan solat sunat di bulan ini,Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka .Siapa yang melakukan solat fardhu,baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardhu pada bulan yang lain.

Siapa memperbanyakkan selawat kepadaku di bulan ini,Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan menjadi ringan.ganjarannya sama seperti mengkhatamkan al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu,mohon kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupnya bagimu.Pintu-pintu neraka tertutup ,mohon kepada Tuhanmu agar ia tidak dibukakan bagimu.Syaitan-syaitan terbelenggu,mintalah agar ia tidak lagi menguasaimu.

Ali bin Abi Thalib yang meriwayatkan hadis ini ,berdiri dan berkata,”Wahai Rasulullah,amal apakah yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi, “Wahai Abu al-Hassan,amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah.”

Inilah Khutbah Rasulullah yang boleh kita jadikan panduan untuk dilaksanakan pada bulan Ramadhan yang bakal menjelang,berdoalah agar kita diizinkan untuk melalui Ramadhan kali ini dan ambillah peluang untuk merapatkan diri dan bertaubat kepadaNya serta memperbaiki segala kekurangan dalam diri agar menjadi mukmin sejati…

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah,kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa,Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.(az-Zumar 39:53)

Sampaikanlah kami di bulan Ramadhan..

Copyright Control by aljazli design (c) 2003 – 2008
,

Puasa dari Perspektif Kesihatan

Dalam dua siri ceramah saya diberi peluang untuk berkongsi pengalaman. Satu di Pejabat Agama Daerah Dungun dalam program Bicara Ramadhan dan yang terbaru di Pejabat Kesihatan Daerah Marang. Tajuk yang disampaikan adalah agak relevan dengan diri ini sebagai Pakar Perubatan Keluarga iaitu Puasa dari Perspektif Kesihatan. Beriku saya kongsikan untuk menjadi bahan panduan pengunjung sekalian slide ceramah tersebut.
Puasa Mengikut Perspektif Islam Dalam Kesihatan_PDF

Copyright Control by aljazli design (c) 2003 – 2008
, ,

Nilaian Ibadah Puasa Kita

Bulan Rahmat, Pengampunan dosa dan dijauhkan dari api Neraka.
Selamat datang ya Ramadhan. Itulah perkataan yang selalu disebut, malah terpampang dikain-kain rentang dimasjid-masjid. Persiapan menyambut Ramadhan diadakan sebegitu rupa demi satu bulan yang ditunggu oleh sekalian umat. Apakah persiapan diri kita?
Nilaian ibadah puasa yang kita lakukan akan diberi ganjaran sendiri oleh Allah. Ini jelas disebut dalam satu hadis Qudsi riwayat Bukhari.
“Setiap kebajikan dibalas dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda, melainkan puasa bahawasanya ia bagiKu dan Aku yang membalasnya.”
Justeru, kita melakukan apa jua ibadah termasuk puasa dengan sebaik-baiknya bagi mencapai ganjaran itu. Tiga syarat utama bagi mencapai ganjaran itu, pertama, Ubudiyyah (Ibadah), Masuliyyah (Tanggungjawab) dan Itqan (Bersungguh-sungguh)- ringkasannya UMI. Di sini saya bawa satu analogi bagi kita lebih memahami konsep UMI ini.
Suatu hari saya yang keletihan pulang dari kerja ke rumah, teringin makan gulai ayam masak merah, masakan isteri tercinta. Lalu menyatakan hasrat itu kepada isteri yang juga keletihan melakukan kerja rumah seharian. Apa yang terfikir olehnya hanya masakan segera saja seperti mee mamat kicap tanpa sayur. Tapi apakan daya, permintaanku cukup mendesak kerana sudah lama tidak makan masakan sesedap itu. Lantas, dengan hati yang bergerutu, si isteri masuk ke dapur, meluru ke peti ais dan mengeluarkan ayam beku. Ayam tadi dicairkan ala kadar, dikerat tak ikut saiz, dibasuh dan dilemparkan dalam kuali sambil mongomel atas permintaanku yang tak kena waktu itu. Rempah ratus, gula garam dan perisa masukkan ikut rasa hati yang geram itu. Masaklah gulai ayam masak merah itu dengan seadanya.
‘Bang, gulai dak masak dah…makanlah..seolah memerli.’
‘mana?’ sahutku.
‘tu..dalam kuali’ dengan nada yang masih panas.
Makanlah daku gulai ayam masak merah, penangan isteri tercinta, walaupun tidak beralaskan pinggan arcopal dari China.
Situasi kedua pula, selang waktu lain, setelah balik dari rumah, saya menyatakan hasrat berkeinginan yang tinggi untuk makan gulai ayam masak merah. Tapi kali ini saya nyatakan kepada Cik Mas, pembantu rumah Indonesia.
‘Bapak terasa teringin sangat masakan gulai ayam masak merah masakan Mas, boleh tak sediakan?’
‘Bisa diatur pak’. Sambil senyum manis meleret.
Lantas dengan pantas, Mas masuk dapur, buka peti ais, keluarkan ayam beku dan letakkan dibawah aliran air paip panas supaya mencair. Tunggu betul-betul cair. Kemudian dikerat ayam itu dengan teliti supaya potongannya sesuai dengan rempah. Di masukkan dalam kuali dan dicampurkan dengan ramuan mengikut sukatan sepertimana yang dipelajari dalam buku-buku resepi. Di adun dengan pengalaman dan suasana ceria dapur. Setelah masak, diletakkan ayam masak gulai tadi atas pinggan arcopal China. Dihiasi dengan salad, belahan bawang serta lada sayur yang direndam gula supaya kembang. Wah menggiurkan.
Cuba kita bandingkan dalam dua situiasi tadi, tanpa melihat siapa si pembuatnya, gulai ayam masak merah yang mana satu boleh memecah selera kita? Sudah pasti yang kedua kerana ianya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan menepati apa yang telah termaktub dalam buku-buku resepi.
Begitu juga dengan ibadah yang kita lakukan. Jika kita melakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut salur galur seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, maka kita akan memperolehi matlamat akhir ibadah yang juga menggiurkan.
Selamat berpuasa.

Copyright Control by aljazli design (c) 2003 – 2008