,

Bermanfaat ke Cuci Usus?

Beria-ia sungguh iklan program tajaan ikim.fm berkaitan produk kesihatan cuci usus. Seolah-olah segala penyakit akan sembuh dengan menggunakan produk mereka sahaja. Sehingga kini pelbagai produk baru yang tumbuh bagai cendawan, menjanjikan manfaat kesihatan seperti membuang toksin badan, membakar lemak, membersihkan kerak usus, mengurangkan letih lesu, menyembuhkan kanser perut dan sebagainya.

Adakah ianya perlu?

Cuci usus ini sudah lama disebut. Popular sekitar tahun 1920 hingga 1930. Kepercayaan perubatan pada masa tersebut bahawa kerak usus yang kotor hasil dari makanan yang tidak hadam akan mendatangkan gejala buruk seperti kanser. Akibat dari kerak usus juga boleh menyebabkan toksin dikeluarkan dan akhirnya badan menjadi lemah, semakin gemuk dan pelbagai lagi kesan negatif.

Sehingga kini tiada lagi bukti sahih yang mendatangkan manfaat besar mengamalkan kaedah cuci usus ini. Ianya hanya kesan psikologi kepada pengguna kerana perut semakin lega kerana tiada najis yang bertimbun. Usus yang sememangnya tempat kekotoran najis tidak sunyi dari tahi. Selagi manusia itu hidup dan makan, tahi akan senantiasa terbentuk.

Secara fitrah fisiologi, usus manusia unik dijadikan Tuhan untuk bertindakbalas. Antara mekanisma tindakbalas badan adalah:

* Bakteria baik dalam usus akan menyahtoksin makanan yang tidak dihadam/serap sepenuhnya

* Hepar / Hati manusia juga salah satu organ yang berfungsi untuk melawan atau menutralkan toksin (jika wujud).

* Lapisan mukus di dinding usus juga pertahanan semulajadi bagi mengelakkan bahan toksid memasuki darah atau sel-sel usus.

* Sel-sel usus akan disalin (sheds) secara semulajadi setiap tiga hari. Mekanisma ini akan menghalang pembentukan bahan berbahaya berkerak.

* Pergerakan peristalsis (alunan usus) juga membantu pembuangan tahi dengan cepat dari usus kecil > Usus besar > kolon > anus.

* Pergerakan peristalsis ini tidak memberi ruang kepada penyerapan calori berlebihan dan akhirnya badan kita menjadi semakin gemuk. Kebanyakan kalori diserap di usus besar dan kecil.

Jika kita mengganggu keseimbangan semualajadi badan ini melalui ‘projek cuci usus’, dikhuatiri akan mendatangkan bahaya baharu pula pada badan. Terutamanya kepada pesakit-pesakit yang telah didiagnos seperti Diverticulitis, Ulcerative colitis, penyakit Crohn’s, Buasir, ketumbuhan usus, baru menjalani pembedahan usus, sakit jantung dan sakit buah pinggang. Ini kerana akan menambahkan mudarat penyakit-penyakit tersebut.

Beringatlah sebelum kena!

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

16.3.2017

Kuala Berang

Sumber: Natural Colon Cleansing: Is It Necessary? http://www.webmd.com/balance/guide/natural-colon-cleansing-is-it-necessary

,

Ubat Ajaib Rawat Segala Penyakit

Akhir-akhir ini semakin banyak produk kesihatan dijual melalui media sosial. Dakwaan jurujual ubat/produk tersebut memang ajaib. Satu jenis ubat sahaja boleh mengubati sekelip mata berpuluh penyakit. Testimoni demi testimoni dipaparkan agar jualan semakin laris. Kekadang testimoni itu adalah gimik dari para dealer mereka untuk lariskan jualan. Teknik ni semua orang tahu.

Sebenarnya ramai tertipu dengan keajaiban yang dipaparkan itu. Masyarakat kita tidak suka meneliti sesuatu jenis ubat yang dijual bebas tanpa kawalan itu samada ianya selamat digunakan atau sebaliknya. Bukan ambil masa lama pun untuk meneliti setiap ubat yang dipromosikan itu. Apa yang membimbangkan kita adalah kebanyakan ubat berkenaan mungkin dicampur bahan terlarang seperti steroid, yang akan melegakan dalam tempoh yang singkat. Tetapi berhati-hati, ianya mendatangkan mudarat sehingga boleh membawa maut kerana tiada kawalan dos yang sepadan tubuh kita.

Jika diperhatikan testimoni mereka sebut: “Sakit sendi hilang ibarat dicabut buang”, “Ruam kulit hilang sekelip mata”, “Penyakit lelah sudah tiada” dan pelbagai lagi ayat-ayat klise yang menakjubkan..percayalah bahan tersebut telah bercampur dengan steroid samada ianya secara sintetik atau semulajadi.

Ramai yang beranggapan segala bahan herba yang dikatakan natural/semulajadi bebas dari bahan terlarang. Sebenarnya hasil tindakbalas campuran bahan semasa ramuan dibuat, ianya boleh menghasilkan bahan sampingan yang boleh mendatang kesan bahaya kepada tubuh kita. Inilah kesilapan kita yang terlalu percaya kepada perkataan “Semulajadi”, “Tanpa bahan kimia”, “Bahan Ciptaan Tuhan”, sedangkan semua bahan dlaam dunia ini terdiri dari sebatian kimia dan boleh menghasilkan tindakbalas kimia tertentu setelah dicampur atau memasuki badan kita.

Lebih menakutkan, terdapat penjual produk yang tidak jujur dalam pembuatan produk mereka. Semasa membuat pengistiharan kepada KKM, bahan mereka tidak mempunyai bahan terlarang pun, tetapi setelah kelulusan diperolehi, mereka menipu pengguna dengan mencampurkan produk mereka dengan bahan terlarang tanpa mengikut sukatan dos dan akhirnya boleh mendatangkan bahaya.

Bahan terlarang yang selalu digunakan adalah:

1] Dexamethasone (steroid) untuk cepat lega kesakitan dan sengal-sengal badan.

2] Sildenafil (viagra] untuk gagah batin lelaki

3] Merkuri untuk kulit putih dan cantik wanita.

Sebagai panduan membeli ubatan melalui dalam talian atau pasar malam, mari kita belajar untuk mengenali ubat yang boleh digunakan dengan khidmat nasihat doktor.

1] Produk ubat-ubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum dipasarkan kepada pengguna termasuklah produk-produk yang dibuat di luar negara. Produk yang berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL (contoh MAL20125467T) dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Sekiranya sesuatu produk ubat tidak mempunyai kedua-dua ciri ini, produk tersebut dikhuatiri tidak berdaftar dengan KKM.

2] Semua ubat berdaftar mesti mempamerkan nombor pendaftarannya pada label atau pembungkusannya. No. pendaftaran dimulakan dengan huruf ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan di akhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut iaitu:

A – Ubat mengandungi racun terkawal

X – Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal /OTC

T – Ubat tradisional

N – Suplemen kesihatan

Anda juga boleh menyemak kesahihan status nombor pendaftaran atau maklumat berkaitan produk tersebut di laman NPRA (https://www.npra.gov.my/index.php/main-page). Senarai nama produk yang sudah disita atau ditarik balik penjualannya pun terdapat dalam laman web berkenaan. Anda tidak perlu habis lima minit pun untuk membuat semakan.

3] Bagi produk kosmetik pula, sistem yang digunakan adalah melalui kelulusan notifikasi. Contoh nombor notifikasi pada produk kosmetik: NOT_ _ _ _ _ _ _ _ K. Ini kerana Produk Kosmetik di Malaysia adalah di bawah kawalan ‘Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984’, ASEAN Cosmetic Directives (ACD)dan Guideline for Control of Cosmetic Product in Malaysia yang dipantau oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara unit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah bagi menjamin produk kosmetik yang berada di pasaran adalah berkualiti dan selamat digunakan.

4] Apabila iklan penjualan produk tersebut menyebut boleh menyembuhkan penyakit, sedangkan ubat tersebut bukan dikeluarkan oleh KKM atau setarafnya, maka jangan terus percaya.

Perlu diketahui bahawa terdapat 20 JENIS PENYAKIT YANG TIDAK BOLEH DIIKLANKAN (SEKSYEN 3(1) AKTA UBAT (IKLAN DAN PENJUALAN) 1956: 1) Penyakit / kerosakan buah pinggang, 2) Penyakit / kerosakan jantung, 3) Kencing manis, 4) Sawan, 5) Lumpuh, 6) Batuk kering, 7) Asma / lelah, 8) Kusta, 9) Barah, 10) Pekak, 11) Ketagihan dadah, 12) Hernia, 13) Penyakit mata, 14) Tekanan darah tinggi, 15) Sakit mental, 16) Kemandulan, 17) Frigiditi, 18) Lemah fungsi seks / impotent, 19) Penyakit venerus, 20) Kelemahan urat saraf atau aduan kelemahan lain, timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks

Semoga panduan ini berguna kepada anda. Pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

30.11.2018

Kuala Berang

,

Wujud ke Detox?

Masyarakat sering keliru dengan perkataan nyah-toksin atau bahasa inggeris adalah detox. Pemahaman yang kita perolehi dari pihak-pihak tertentu bahawa badan kita banyak toksin yang perlu dikeluarkan atau dibebaskan. Katanya toksin-toksin ini merbahaya. Ianya terbentuk hasil dari makanan kita yang banyak bahan kimia, udara kotor persekitaran yang kita sedut atau suntikan ubat hospital yang kita terima termasuk vaksin. Oleh yang demikian pelbagai produk dicipta bagi menyah-buang toksin-toksin tersebut. Dalam masa sama mereka membuat demonstrasi pembuangan najis yang keluar dari perut. Hasil yang keluar pelbagai rupa dan warna itu adalah kesan positif nyah toksin yang dijalankan oleh produk mereka.

.

Ramai sungguh yang tertipu dengan ekperimen ‘sains’ yang dilakukan. Ekperimen yang dilakukan adalah produk mereka boleh melunturkan larutan berasid kepada alkali.

Sememangnya perut itu tempat najis, apabila makan bahan tertentu, sudah pasti najis akan keluar. Samada lawas atau kesat najis tersebut bergantung juga kepada jenis makanan yang ditelan. Jika kandungan fiber banyak dan air yang mencukupi, maka lawaslah buang air besar. Tiada kaitan pun dengan keajaiban produk tertentu kecuali produk berkenaan banyak kandungan fiber atau dicampur dengan ubat pelawas.

Setelah air besar dibuang, perut kita akan lega dan berpuas hati. Itu satu fenomena yang lumrah. Tiada satupun yang ajaib dari sudut perubatan. Efek psikologi sudah terbentuk bahawa toksin telah dibuang melalui kaedah itu. Entah mungkin produk yang dijual itu dicampur dengan julap, kita pun tidak tahu.

Makna toksin itu merujuk kepada sejenis yang dikeluarkan oleh sel hidup atau bakteria. Ia boleh terbentuk secara semulajadi atau dibuat dikilang secara sintetik. Badan manusia cukup kebal untuk dimasukki oleh toksin kecualilah kita sengaja memasukiannya secara aktif. Contoh toksin yang berbahaya seperti botulinum toxin A (dari bakteria bernama Clostridium botulinum), tetanus toxin A (dari bakteria – Clostridium tetani), diphtheria toxin (dari bakteria – Corynebacterium diphtheriae), dioxin (sintetik), muscarine (dari sejenis cendawan – Amanita muscaria), bufotoxin (dari labah-labah – genus Bufo) dan sarin (sintetik).[1] Justeru, darah dan badan dalaman kita bebas dari toksin. Jika kemasukan toksin bakteria atau sintetik, badan kita akan bertindakbalas dengan segera. Andai badan tidak mampu melawan, antidot (ubat untuk melawan toksin) boleh digunakan. Manakala vaksin yang diberikan itu bukan toksin, ianya adalah toksoid. Sejenis bahan yang telah dilemahkan kefungsiannya tetapi molekulnya dikenali oleh badan bagi menghasilkan sel imuniti. Toksoid ini berfungsi untuk merangsang sel pertahanan badan supaya kuat untuk melawan kuman sebenar jika satu hari nanti tubuh kita diserang.

Mungkin istilah toksin itu merujuk kepada bahan kumuhan atau radikal bebas dalam darah yang tidak diperlukan oleh badan. Detox pula merujuk kepada kaedah membuang bahan kumuh tersebut. Urea, najis dan kesemua bahan kumuh itu dibuang oleh badan kita secara fitrah. Manusia akan kencing, berak dan berpeluh untuk menyeimbangkan badan dari berlebihan bahan kumuh.

Makanan kalori rendah dan berserat tinggi mungkin boleh membantu perkumuhan membuang sisa najis dalam usus kita. Apa sahaja makanan yang tinggi serat dan dicampur dengan air yang sepadan sudah mampu untuk menjalankan aktiviti perkumuhan.[2] Begitu juga makanan yang tinggi anti oksida seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membantu mengikat radikal bebas dalam darah. Radikal bebas yang tidak digabungkan dengan antioksida seperti vitamin E, beta-carotene, vitamin C, selenium dan lain-lain lagi boleh membuatkan sel-sel tubuh kita musnah sedikit demi sedikit. Radikal bebas ini dikatakan mempunyai risiko kepada tercetusnya kanser dalam tubuh kita dalam satu tempoh tertentu.

Adakah ‘detox’ seperti yang disebut ramai itu boleh menyembuhkan penyakit dan menurunkan berat badan?

Dr Klien dan rakan-rakan telah membuat rebiu kajian-kajian klinikal yang mendakwa bahawa detox baik untuk kesihatan dan menurunkan berat badan. Dr Klien mendapati terlalu sedikit kajian yang menyokong dakwaan berkenaan. Kajian Detox yang dijalankan secara komersial pula tidak dijalankan oleh pengkaji yang mahir serta terdapat fakta yang disangsikan dari sudut metodologi dan saiz sampel yang digunakan. Kebanyakannya kajian-kajian tersebut dijalankan ke atas haiwan; fasa pra klinikal makmal dan tidak melepasi fasa kajian klinikal manusia pun. Mereka membuat kesimpulan bahawa masyarakat perlu diberi penerangan secukupnya berkaitan potensi manfaat atau mudarat sesuatu program detox yang dianjurkan.[3]

Sudut psikologi, ya peserta detox akan rasa puas, tetapi apa yang boleh berlaku jangka panjang? Sama-sama kita fikirkan.

Terdapat juga para penjual produk yang mendakwa produk mereka detox kepada paru-paru, hati, usus dan jantung. Mereka memberi nasihat kepada pelanggan untuk mengamalkan petua-petua tertentu sebagai pengubatan penyakit-penyakit.

Contohnya:

1) Petua bangun dinihari dan menghirup udaranya. Katanya pada waktu dinihari udara mengandungi banyak ozon, ianya baik untuk pesakit asma. Sebenarnya kita menggunakan Oksigen untuk bernafas, bukannya OZON. Mana-mana waktu pun oksigen adalah sumber tenaga bagi kita hidup samada berpenyakit asma atau tidak. Kesukaran bernafas bagi pesakit asma adalah kerana sempitan pada salur pernafasan, ia berpunca dari pelbagai pencetus. Cuaca sejuk mungkin salah satu darinya.

2) Petua membuang air besar wajib dilakukan sebaik sahaja bangun dari tidur di pagi hari. Jika kita tidak berbuat demikian najis akan mengeras dan kita akan dijangkiti penyakit sembelit.

Untuk pengetahuan semua sembelit atau tidak seseorang bukan bergantung kepada waktu bangun. Ia bergantung kepada komposisi makanan yang di makan atau penyakit yang dihadapi (jika ada). Begitu juga mandi air sejuk tidak pasti boleh menghilangkan gugup dan sebagainya. Mungkin sesetengah individu menjadi tabiat kehidupan untuk membuang air besar pada awal pagi. Baik, teruskan tidak menjadi halangan yang besar. Tetapi janganlah beranggapan tabiat itu pencegah kepada penyakit-penyakit yang merbahaya.

3) Petua makan sarapan pada waktu yang tetap. Tetapi ia bukanlah satu kewajiban untuk berbuat demikian. Memanglah sarapan perlu diambil waktu pagi. Ia boleh memberi sumber tenaga kepada kita untuk bekerja. Tetapi tidak perlu ditetapkan waktunya. Jika tidak ikut masa yang disarankan tersebut boleh mendatangkan mudarat, susah la kehidupan kita. Bagi orang berpuasa, Islam menetapkan makan sahur sebelum terbit fajar. Adakah sunnah itu tak susuai?

4) Petua mengharamkan minum air diwaktu matahari menegak. Kononnya organ limpa tidak dapat berfungsi waktu panas terik matahari. Ini satu lagi nasihat yang tak benar. Badan kita memerlukan air secukupnya terutama diwaktu panas matahari semakin meninggi. Tiada kaitan makan dan minum pada waktu ini boleh menyebabkan demam. Bagi pesakit DM pula yang mengalami tanda hypo, wajib mengambil minum atau makan yang bergula utk mengembalikan tenaga.

….dan seterusnya..banyak nasihat yang tak kena dengan fakta sebenar perubatan. Cuma berbentuk andaian sahaja.

Saya yang dhaif

Masih mancari sekelumit ilmu

Sekian untuk kali ini dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

Lombok.

Pautan:

[1] Poison and Toxin. https://www.sciencelearn.org.nz/resources/364-poisons-and-toxins

[2] Dr Kathlen M. Zelman. The Truth About Detox Diets. https://www.webmd.com/diet/a-z/detox-diets

[3] Klein AV, et al. J Hum Nutr Diet. 2015. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/25522674/

, , , ,

Marijuana: Polemik Medical vs Kumpulan Ketagih?

POLEMIK MARIJUANA MEDIKAL; APABILA DESAKAN UMUM MELAMPAUI PENEMUAN SAINTIFIK

Oleh: Fahmi Hassan

Sains bukan demokrasi. Fakta tidak tertegak kerana ia popular. Fakta sains, seperti mana fakta-fakta yang lain perlu dibuktikan dengan kajian di atas landasan yang betul. Walau ia tidak popular, ia perlu dipertahankan atas alasan kebenaran.

Desakan beberapa tokoh politik untuk menghalalkan penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan membuatkan kami tertanya-tanya apakah mereka sebenarnya memahami apa yang mereka katakan. Adakah ia desakan yang dilakukan dengan berasaskan ilmu, atau kerana ia satu idea yang popular.

Awal Jun yang lalu, telah berlangsung mesyuarat World Health Organisation (WHO) Expert Committee on Drug Dependance (ECDD) kali ke 40 di Geneva, Switzerland. Mesyuarat ini dibuat khas untuk membincangkan bukti-bukti saintifik terkini berkenaan kegunaan marijuana untuk tujuan perubatan. Keputusan mesyuarat tersebut kami rumuskan di dalam artikel ini.

Beberapa kategori bahan berasaskan marijuana telah dinilai secara kritikal oleh pakar-pakar ternama dari seluruh dunia yang menjadi ahli di dalam mesyuarat tersebut iaitu:-

• Pohon kanabis dan resinnya

• Ekstrak kanabis

• Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)

• Cannabidiol (CBD)

1) Pohon kanabis dan resinnya

Pohon kanabis mengandungi lebih dari 100 bahan aktif yang telah ditemui. Bahan aktif yang dianggap paling utama dalah CBD dan juga THC. THC dipercayai bahan utama dalam kanabis yang menyebabkan kesan psikoaktif.

Beberapa negara membenarkan penggunaan pohon kanabis dan resinnya untuk tujuan perubatan bagi indikasi sakit belakang, sukar tidur, sakit selepas kecederaan dan multiple sclerosis. Namun begitu, kajian penggunaannya bagi indikasi-indikasi tersebut masih berterusan kerana penggunannya belum dapat dibuktikan secara kukuh.

Apabila diambil, ia boleh menyebabkan kesan samping seperti loya dan gangguan fungsi motor dan kognitif. Ini menyebabkan pengambilnya tidak boleh memandu. Terdapat juga laporan risiko yang ia menyebabkan gangguan pernafasan, masalah degupan jantung dan koma dalam kalangan kanak-kanak.

Namun begitu, kebanyakan kesan samping yang berlaku adalah disebabkan pengambilan berterusan secara kronik. Pengambilannya secara kerap menyebabkan masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan dan masalah psikatrik. Ia amat mendatangkan bahaya kepada remaja kerana ia menyebabkan gangguan terhadap perkembangan otak.

2) Ekstrak kanabis

Contoh ekstrak kanabis adalah minyak, the dan nabiximol. Bahan-bahan ini biasanya diambil melalui mulut (makan/minum) dan juga disedut asapnya. Ekstrak kanabis juga mengandungi bahan aktif THC dan CBD.

Kajian mendapati beberapa bahan ekstrak kanabis ini berupaya mendatangkan ketagihan. Terdapat kes di mana sindrom withdrawal berlaku apabila pengambil bahan ini berhenti mengambilnya secara tiba-tiba. Ini dikatakan disebabkan oleh komponen THC di dalam ekstrak tersebut.

Kajian terhadap haiwan dan manusia menunjukkan potensi ekstark kanabis menyebabkan ketagihan. Namun begitu, sekiranya bahan aktifnya dikaji secara berasingan, CBD kurang berisiko menyebabkan ketagihan berbanding THC.

Apa yang mendatangkan masalah adalah ekstrak kanabis tidak mempunyai formula yang standard. Kandungan bahan aktif di dalamnya bercampur-campur dengan kadar kepekatan THC dan CBD berbeza mengikut sediaan. Ini menyebabkan kawalan ke atas ekstrak kanabis sukar untuk dilakukan dan penggunaannya untuk tujuan perubatan tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

3) Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)

Penggunaan THC sintetik (dronabinol) telah dululuskan oleh US FDA untuk beberapa indikasi seperti meningkatkan selera makan bagi pesakit AIDS dan mengurangkan loya dan muntah bagi pesakit kanser yang menjalani kemoterapi.

Kajian kegunaan THC ke atas indikasi-indikasi seperti dementia, kesakitan neuropatik, sakit abdomen, kesakitan kronik dan kemurungan masih belum dapat dibuktikan keberkesanannya secara jelas. Kajian-kajian lanjut diperlukan bagi memastikan sama ada ia boleh digunakan bagi indikasi-indikasi tersebut.

Pengambilan THC secara kronik telah dibuktikan mendatangkan ketagihan dengan jelas oleh beberapa kajian ke atas haiwan dan manusia. Tidak dapat dinafikan, THC berpotensi untuk disalahguna dan berisiko menyebabkan impak sosial.

4) Cannabidiol (CBD)

CBD adalah bahan aktif yang paling sering dikaji kegunaannya dalam bidang perubatan terutamanya untuk rawatan sawan. Ia telah dibuktikan berupaya merawat dua jenis sawan iaitu sindrom Lennox-Gastaut dan sindrom Dravet.

Kajian-kajian kegunaan CBD untuk rawatan asma, ketagihan, ubat tahan sakit, anti inflamasi, antikanser dan beberapa indikasi lain masih lagi di tahap pra klinikal dan belum dapat dibuktikan keberkesanannya dengan jelas. Walaubagaimanapun, CBD didapati tidak mempunyai risiko ketagihan dan tiada risiko disalahguna.

Melalui keputusan dari mesyuarat tersebut, kita dapati bahawa WHO masih lagi berhati-hati dalam menyarankan penggunaan marijuana medikal secara meluas. Kebenaran penggunaan perlu dinilai menggunakan kekuatan bukti saintifik dari masa ke semasa.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang janggal bagi negara-negara yang masih berhati-hati termasuk Malaysia dalam menghalalkan penggunaannya. Ini bukan bermaksud negara-negara ini terkebelakang dan tidak menyedari potensi penggunaan marijuana untuk tujuan perubatan, akan tetapi mereka mempunyai neraca pertimbangan yang lebih teliti.

Impak sesuatu polisi perlu dikaji sedalam-dalamnya oleh mereka yang benar-benar pakar. Masalah dan kepentingan setiap negara tidak sama kerana ia turut melibatkan budaya dan agama. Adakah penghalalan ini akan menyebabkan marijuana dipandang biasa dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar seperti rokok dan dadah berat yang lain?

Realitinya, bagi indikasi yang kuat pembuktiannya, ubatan berasaskan marijuana telah pun wujud dan diiktiraf. Sama seperti kokain dan opium yang dikawal dengan ketat dan diberikan kepada pesakit hanya dengan indikasi yang betul oleh mereka yang benar-benar layak.

Bukankah kita telah berulang-ulang kali diajar oleh sejarah, polisi-polisi bersifat populis banyak yang akhirnya merugikan kita sendiri?

Fahmi Hassan

Pharmacist

,

Orang Ramai diminta Jangan Keliru

Saya pohon jurujual produk pemakanan tambahan yang buat kempen melalui maya buatlah sikit kerja rumah (homework) sebelum post maklumat produk. Atau mungkin ‘Penasihat Perubatan’ semak dahulu maklumat yang ditulis oleh para agen supaya fakta yang diberikan itu benar dan tepat.

Jika tidak, maklumat yang diberikan itu boleh menjadi kekeliruan kepada masyarakat. Bagi pembaca yang mempunyai asas perubatan, mungkin mereka tahu maklumat yang dituliskan itu tidak tepat. Namun bagi orang awam yang tiada asas sains akan percaya bulat-bulat kepada tulisan itu. Sedangkan ianya tidak betul dari segi istilah dan penggunaan ayat. Malah khasiat perubatan dan tuntutan menyembuhkan penyakit yang dipaparkan itupun tidak ada pembuktian secara klinikal yang absah ke atas manusia.

Saya ambil contoh satu produk yang mendakwa bahan aktif yang terdapat dalam produk mereka mengandungi enzim tertentu. Di mana enzim-enzim itu akan memberikan khasiat kesihatan dan perubatan khusus kepada penyakit-penyakit. Bahan-bahan yang dimasyhurkan oleh agen produk sebagai istimewa itu seperti Phenylethylamine, Phycocyanin, Polysaccharide dan L-Selectin Ligan sebagai ENZIM. Hakikatnya penggunaan perkataaan enzim kepada bahan tersebut adalah tidak tepat. Enzim menurut definisi perubatan adalah kompleks protein yang dikeluarkan oleh sel hidup dan bertindakbalas bagi menguraikan sebatian kimia dalam badan manusia [1,2]. Sedangkan Phenylethylamine, Phycocyanin, Polysaccharide dan L-Selectin Ligan itu adalah bahan BUKAN ENZIM. Mungkin sudut penulisan sebegitu memberikan tanggapan yang berbeza kepada orang awam. Bagi para doktor, mereka memahami apakah erti enzim tersebut.

Mari kita hurai satu persatu apakah bahan-bahan tersebut. Pada tulisan kali ini saya tidak tumpukan kepada keberkesanan produk yang mengandungi bahan-bahan berkenaan, ianya memerlukan satu kajian yang mendetail dari jurnal-jurnal yang berwibawa. Saya hanya ingin perbetulkan penggunaan bahasa yang boleh mengundang kekeliruan orang ramai.

1) Phenylethylamine (PEA)

Menurut Pusat Informasi Bioteknologi Kebangsaan, PEA adalah sejenis aroma asid amino digunakan untuk perisa sesuatu bahan makanan. Ianya boleh berbentuk cecair atau hablur garam bergantung kepada bahan kimia lain samada bergabung dengan oksigen atau klorida. Baunya hanyir seperti ikan [3]. Boleh terdapat dalam rumpai (algae), buah-buahan, penguraian bakteria dan secara semulajadi dalam tubuh manusia. PEA boleh bertindak sebagai perangsang dan penghubung saraf (neurotransmitter) samada dalam jumlah yang sedikit atau banyak dan akhirnya memberikan kesan tertentu kepada saraf manusia. Kajian mendapati pesakit yang hiperaktif mempunyai PEA yang rendah [4]. Manakala pesakit Skizofrenia (gila) didapati mengandungi paras PEA yang tinggi dalam ujian air kencing mereka. Secara umumnya PEA secara semulajadi adalah selamat untuk dimakan tetapi ianya tidak mendatangkan kesan perubatan yang memberangsangkan kepada manusia.

2) Phycocyanin

Sesuai dengan nama yang diberikan Phyco- alga, Cyanin- warna cyan (gabungan biru-hijau). Majoriti ekstrak dari alga seperti spirulina ini digunakan untuk pewarna kepada makanan dan kosmetik [5]. Ianya sejenis protein dan juga kombinasi mineral, vitamin dan asid lemak asas. Ianya bukan enzim. Phycocyanin ini mempunyai kelebihan sebagai anti-oksida dan anti-radang, namun kajian lanjut bagi merawat penyakit manusia perlu diteliti lanjut sebelum digunakan secara meluas sebagai sumber berubat [6].

3) Polysaccharide

Polisakarida ini adalah perkataan gabungan kepada monosakarida [7]. Sakarida adalah gula, tidak ada definisi tepat lain boleh digunakan. Tidak perlu dihuraikan lanjut apakah fungsi gula kepada manusia, ada baik dan ada buruknya. Gula adalah sumber tenaga, bukannya enzim seperti yang diwar-warkan itu.

4) L-Selectin Ligan

LSL inipun bukannya enzim. Ianya adalah sejenis protin berfungsi sebagai reseptor dalam interaksi sel darah putih (Limfosit).

Saya bukan menidakkan beberapa khasiat yang mungkin diperolehi dari produk tersebut. Ianya mungkin sejenis makanan yang boleh dimakan sama dengan pemakanan yang lain. Cuma menjadi kebimbangan saya sebagai pegawai perubatan adalah dakwaan yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Apabila ianya dalam bentuk dakwaan, maka pembuktian secara klinikal amat diperlukan. Jika ada, tiada masalah bagi kami.

Masyarakat awam perlu diperbetulkan kefahaman mereka mengenai perbezaan antara produk makanan dan produk perubatan. Jika ianya makanan, apa sahaja boleh diambil selagi tidak mendatangkan mudarat kepada tubuh. Jika ianya produk perubatan, wajib diluluskan oleh pihak berkuasa ubat-ubatan dalam negara. Kita mempunyai akta khusus dalam bab mengistiharkan produk kesihatan dan perubatan ini.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

22.6.2018

Kuala Berang

Pautan:

[1] Merriam Webster Dictionary. Enzyme definition. Access Online; https://www.merriam-webster.com/dictionary/enzyme

[2] Royal Society of Chemistry. Enzymes, Function and structure. Access online; http://www.rsc.org/Education/Teachers/Resources/cfb/enzymes.htm

[3] National Center for Biotechnology Information. Compound Summary for CID 1001; Phenylethylamine (PEA). Access online; https://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/1001?

[4] Irsfeld, M., Spadafore, M., & Prüß, B. M. (2013). β-phenylethylamine, a small molecule with a large impact. WebmedCentral, 4(9), 4409. Online; https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3904499/#

[5] Oilgaae. Phycocyanin from Algae and Applications. Access onine; http://www.oilgae.com/non_fuel_products/algae_phycocyanin.html

[6] Romay, C., Armesto, J., Remirez, D. et al. Inflamm. res. (1998) 47: 36. https://doi.org/10.1007/s000110050256

[7] Biology Dictionary. Polysaccharide. https://biologydictionary.net/polysaccharide/

Bawang Putih Lanang atau Tunggal

Bawang Tunggal Ubat?

Allicin ni boleh di dapati dalam semua bawang putih. Bukan yg tunggal sahaja. Dan tiada kajian konkrit allicin di gunakan utk merawat penyakit darah tinggi jantung dll.

Jurnal Canadian Physician melaporkan allicin boleh digunakan dalam merawat demam selsema (Nahas et al, 2011). Namun kajian sistematik review dari Cochrane (2014) mendapati tiada bukti ampuh untuk menjadikan allicin sebagai ubat demam selsema.

Saya bukan melarang untuk jual beli bawang putih. Teruskan. Bawang sedap untuk dijadikan bahan sajian masakan. Cuma pesanan dari suhazeli.com ini dibuat untuk elakkan salah faham masyarakat dalam memilih ubat yang sepatutnya dalam merawat penyakit mereka.

Sekian

Fb.Com/drsuhazeli

31.3.2018

Sabasun KT

~Sedang beli bawang, bukan membawang

, ,

Doktor Guna Fakta vs Jurujual Guna Auta

Saya sebolehnya mahu para pembaca memahami corak penulisan saya dalam menyampaikan maklumat kesihatan. Nasihat atau teguran yang diberikan itu bersandarkan fakta-fakta ataupun sekelumit pengalaman diri setelah lebih 20 tahun berkhidmat sebagai doktor.

.

Saban hari kita berdepan dengan kepelbagaian isu pesakit, boleh mematangkan kita dalam halatuju bertindak. Walaupun mungkin penyakit mereka sama (contohnya kencing manis), tetapi kaedah pendekatan berbeza ke atas setiap individu. Tidak semua setuju untuk diberi insulin, maka kaedah optima ubatan oral perlu dilakukan. Disamping konsultasi gaya hidup sihat, pemberdayaan pesakit (patient empowerment) juga diterapkan. Pesakit perlu tahu jenis ubatan yang diberikan, kesan yang timbul, dos yang di makan dan pelbagai lagi. Konsep ini penting bagi meningkat lagi kawalan penyakit yang mereka alami.

.

Pesakit percaya dan faham, ubat yang diberikan itu bukan sembarangan. Sudah pasti ubatan itu telah melalui proses yang ketat, kualiti yang terkawal, ujikaji toksid telah dijalankan dan ujian keberkesanan. Ubatan tersebut telah terbukti secara majoriti boleh mengubati atau mengawal penyakit yang mereka hadapi.

.

Inilah perbezaan antara kami dengan penjual produk kesihatan.

.

Penulisan saya berdasarkan pengalaman dan fakta-fakta kajian yang dipelajari. Bukannya berteleku depan komputer untuk lariskan jualan. Sedangkan apa yang berlaku kepada pesakit tidak kita hiraukan? Profiling pesakit secara individu pun tidak diketahui. Apakah sesuai untuk sesatu jenis ubat dan seumpamanya? Fungsi buah pinggang dan fungsi hati bagaimana? Inilah pertimbangan yang harus diberikan.

.

Kebanyakan produk suplemen tidak melepasi kajian klinikal pun. Tetapi mendakwa boleh mengubati segala maklika penyakit. Dari A hingga Z jenis penyakit dengan produk sama. Contohnya satu produk berasaskan pokok mas cotek, jurujual produk mendakwa boleh merawat kencing manis. Sedangkan kajian yang dijalankan itu tidak pun menunjukkan apa-apa kesan yang signifikan. Saya ambil contoh ini adalah pengkaji dari negara kita sendiri dan kajian juga dijalankan dalam konteks masyarakat kita, bukan orang luar pun.[1] Tetapi jurujual tetap bercakap auta dalam media sosial, produk mereka telah lulus kajian dan terbukti berkesan. Inilah pembohongan namanya.

.

Kesimpulannya, corak penulisan saya adalah bagi menyedarkan masyarakat kepada konsep-konsep perubatan, health seeking behaviour dan bersandarkan hujah saintifik (evidence based medicine).

.

Semoga coretan pagi ini menghapuskan kekeliruan anda. Di bawa khas oleh suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

24.1.2018

Tasik Kenyir

.

Pautan

[1] Draman, S., Aris, M. A. M., Razman, Akter, S. F. U., Azlina, H., Nor Azlina, A. R., . . . Azian. (2012). Mas cotek (Ficus deltoidea): A possible supplement for type II diabetes: (A Pilot Study). Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 35(1), 93-102.

,

Ujikaji Tipu-sains

Seronok tengok demonstrasi sains produk untuk memerangkap pelanggan. Tapi kesian juga lihat pembeli yang terpengaruh, lantas membeli dengan jumlah agak besar. Alasannya dengan belian pukal dan harga ahli, banyak bonus nanti. Lihat katalog atas meja, jurujual bersama kereta idaman dan melancong sana sini.

.

Pelanggan yang mudah terkena selalunya pesakit kronik seperti Kencing manis, darah tinggi dan juga kanser. Mereka tidak sebut secara terus, serkap dengan soalan tanda-tanda penyakit seperti senang letih, kencing kerap, sakit kepala dan lain-lain. Inilah teknik ayat yang menarik perhatian.

.

Kemudian, mereka buat demo Mee segera. Bahagian ni paling mengujakan kerana pelanggan akan terbeliak biji mata lihat perubahan mee dari warna putih ke warna biru gelap. Lepas tu suci bersih putih semula setelah dicampur produk. Menakjubkan! Kononnya inilah produk cuci usus tercanggih diabad ini. Doktor hospital pun terkejut. Kempen mereka lagi, bila usus kembali “bersih” badan tidak akan ada penyakit terutamanya kanser. Pelanggan yang buta sains terus beli, sebab takut dengan kanser. Sadis!

.

Bagi pelanggan yang celik-sains, akan kata dalam hati, tipu! Ujikaji Mee segera seperti ini adalah satu pembohongan, warna gelap iodine hilang bukan disebabkan oleh sifat produk yang boleh mencuci tetapi disebabkan oleh kehadiran Vitamin C. Inilah namanya tipu-sains. Pelanggan yang tiada asas sains akan mudah kena kelentong.

.

Masalahnya, daya tarikan dan pujukan mereka diselitkan pula dengan hadis. Menyandarkan sabda Rasulullah bahawa segala penyakit berpunca dari perut. Sedangkan Rasulullah tidak pun bersabda sedemikian. Ianya adalah kata-kata dari al Harith Kaladah, sahabat Nabi yang menjadi doktor terkenal pada masa tersebut. Mungkin sesetengah keadaan benar ucapan Tabib Al Harith itu, tetapi konteks ucapannya dengan pelarisan jual produk adalah tidak menepati.

.

Semasa dalam perjalanan balik rumah, ada juga produk hampir sama bercakap dicorong radio. Mungkin slot tajaan. Terfikir saya sendirian, adakah tiada satu garis panduan khusus ke atas syarikat penyiaran negara mengawal selia iklan produk tipu-sains ini? Mereka galak buat iklan dan jutaan pendengar membelinya dek kerana tertipu, yang merana adalah masyarakat sendiri. Hospital juga kesudahannya.

.

Sekian bebelan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

23.1.2018

Gua Musang

,

Ubat Herba dan Rawatan Kanser

Kesengsaraan dan kesakitan pesakit kanser akibat kanser itu sendiri atau kesan sampingan rawatan boleh mendesak mereka untuk mengambil apa sahaja bahan untuk mengurangkan kepedihan hidup. Walaupun rawatan susulan secara paliatif (rawatan untuk kurangkan sakit fizikal dan mental) ditawarkan kepada mangsa kanser, namun mereka tidak mengikuti program sepenuhnya. Ramai juga antara mereka yang cuba mencari jalan alternatif bagi mengurangkan kesakitan termasuk suplimen dan herba. Janji manis dari para penjual produk amat mengujakan sehingga para pesakit sanggup bergadai ribuan ringgit.

.

Adakah selamat mencampurkan dua rawatan (kimoterapi dan herba) dalam satu masa? Persoalan itu selalu ditanya oleh pesakit.

.

Artikel ini saya petik dari Institut Kanser Kebangsaan Amerika yang telah membuat kajian kepada hubungkait penggunaan rawatan alternatif dan rawatan kanser.

.

Mereka dapati ramai dikalangan pesakit yang mengambil suplimen kesihatan secara sembunyi, tanpa mendapat khidmat nasihat doktor yang merawat mereka. Mereka beralasan, rawatan tersebut juga di war-warkan sebagai antikanser. Anggapan mereka, rawatan alternatif seperti vitamin tertentu, ramuan herba dan seumpamanya adalah semulajadi (natural, tanpa bahan kimia), maka tidak perlu mendapat nasihat lanjut dari pakar yang merawat. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa bahan tersebut juga terdiri dari kimia aktif secara biologi dan boleh memberikan interaksi negatif ke atas ubatan moden.

.

Tambahan pula, herba berkenaan juga telah dibuktikan secara kajian mempunyai kesan yang bahaya kepada pesakit samada kesan secara langsung ataupun tindakbalas kimia ke atas kimoterapi dan radioterapi. Mungkin juga berpotensi membawa maut.

.

Ubatan herba, vitamin, mineral yang digunakan boleh menyebabkan ubat kimoterapi kurang berkesan kerana perebutan semasa penyerapan dan gangguan enzim yang berkaitan. Ianya juga boleh menyebabkan interaksi kimoterapi berlebihan apabila ubatan herba tadi menganggu proses perkumuhan. Jika kimoterapi tidak dikumuh melalui buah pinggang dalam satu tempoh tertentu, ia akan menyebab berlaku dos kimoterapi yang tinggi mengalir dalam darah (overdose). Kesan dos tinggi ini akan menambahkan lagi kesengsaraan pesakit.

.

Kebanyakan herba mempunyai khasiat antioksida. Ianya boleh dimakan oleh manusia normal yang belum berpenyakit bagi menghalang pembebasan radikal bebas. Di mana, radikal bebas inilah boleh mencetus kerosakan sel badan sehingga berisiko terjadinya penyakit termasuk kanser. Tetapi perlu di ingat, antioksida bukan anti kanser.

.

Terdapat kimoterapi dan radioterapi, melalui teknologi yang dibangunkan akan membebaskan radikal bebas bagi membunuh sel kanser. Tetapi dengan kehadiran antioksidan dari produk kesihatan, ianya mengganggu proses perawatan yang dijalankan oleh kimoterapi dan radioterapi. Justeru penggunaan herba amat tidak digalakkan kerana ianya akan menghalang sel tumor terus hancur dan seterusnya memendekkan jangkahayat pesakit.

.

Walaubagaiamana pun, kajian lanjut sedang dijalankan bagi menjadikan ramuan herba mempunyai interaksi positif ke atas ubatan moden. Buat masa ini masih belum tercapai. Tunggulah hasil kajian terperinci pada satu masa nanti.

.

Sekian ulasan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

20.1.2018

Temerloh

.

Pautan

https://www.cancer.gov/about-cancer/treatment/research/dietary-supplements

, ,

6 Sebab Ujian Makmal Tidak boleh Didakwa Mengubati Penyakit

FUN FACTS SIRI 27

Oleh Dr Che Puteh Osman | drcheputeh.com

Link Asal: https://www.drcheputeh.com/blog/siri-26-enam-sebab-kenapa-pengujian-piring-petri-tidak-cukup-membuktikan-herba-mengubati-penyakit

Mengapakah pengujian secara piring petri (in vitro) tidak boleh diterjemahkan secara langsung dalam bentuk rawatan kepada manusia?

1. Pengujian bioaktiviti secara in vitro atau lebih dikenali sebagai bioassay merujuk kepada penyiasatan potensi perubatan sebatian kimia dan ekstrak yang tidak melibatkan haiwan atau sel hidup haiwan. Kebiasaannya bioassay menggunakan sel, enzim, reseptor, dan juga bioassay berasaskan bahan kimia.

2. Sekiranya kita ingin menyiasat potensi tumbuhan atau sebatian kimia semulajadi terhadap penyakit diabetes, terdapat pelbagai jenis bioassay yang melibatkan sel dan enzim yang boleh digunakan. Contohnya enzim alpha-glucosidase yang bertanggungjawab menguraikan karbohidrat di usus kecil. Sekiranya sesuatu tumbuhan merencat aktiviti alpha-glukosidase, ia tidak bermaksud tumbuhan itu boleh menggantikan acarbose dalam merencat enzim alpha-glukosidase. Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diperhalusi.

3. Pertama, ketika pengujian secara in vitro, kita hanya menguji aktiviti ekstrak tumbuhan atau sebatian kimia dari pokok terbabit terhadap enzim alpha-glukosidase terhadap kemampuannya mengurai karbohidrat. Sekiranya kita memakan tumbuhan tersebut, ia akan melalui sistem pencernaan manusia. Apa sahaja sebatian kimia semulajadi yang merencat aktiviti alpha-glukosidase mungkin mengalami metabolisma dan berubah bentuk (degradation) apabila ia sampai ke usus kecil. Dalam bentuk yang lain, ia sudah tidak lagi aktif merencat enzim alpha-glukosidase berbanding bentuknya yang asal.

4. Kedua, sekiranya kita mengira dos yang berkesan di dalam pengujian piring petri sebanyak 1mg/mL. Di dalam badan manusia biasa, terdapat sekitar 5L darah. Untuk membolehkan ekstrak tumbuhan tersebut berkesan merencat aktiviti alpha glucosidase di usus kecil, sebanyak 5 g ekstrak diperlukan untuk setiap dos ubat. Bayangkan kalau kita memerlukan 10 mg/mL untuk ekstrak aktif merencat enzim alpha-glukosidase, kita memerlukan 500 g ekstrak atau sebatian kimia semulajadi bagi setiap dos. Sudah tentulah ia tidak praktikal dan tidak mesra alam sekitar.

5. Ketiga, perencatan aktiviti enzim alpha-glukosidase hanya bersifat lokal, dan hanya berkesan merencat penukaran karbohidrat kepada gula di usus kecil sahaja. Sedangkan terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada perkembangan penyakit kencing manis. Merencat aktiviti alpha-glukosidase tidak bermakna ia boleh mengawal gula dalam darah dalam jangka masa panjang dan tidak bermakna ia boleh memulihkan fenomena kerintangan insulin di kalangan pesakit Diabetes jenis II.

6. Keempat, kita perlu melihat faktor terpenting iaitu kesan toksik kepada hati, buah pinggang, janin dan sel saraf. Selain itu, maklumat interaksi ubat juga penting untuk mengelakkan pengambilan tumbuhan tertentu untuk tujuan mengawal gula dalam darah boleh melemahkan aktiviti ubat lain seperti ubat darah tinggi, kolesterol dan lain-lain yang diambil pada waktu sama.

7. Kelima, kesan pengujian dalam piring petri tidak semestinya memberikan kesan yang sama di dalam pengujian ke atas haiwan atau manusia. Ini kerana selain biovailabiliti yang rendah seperti yang saya terangkan dalam perenggan 3, aktiviti sebatian aktif di dalam ekstrak tumbuhan berkenaan mungkin diganggu oleh sebatian kimia yang lain di dalam ekstrak yang sama. Untuk meneliti aspek ini, kajian famakokinetik sebatian kimia utama di dalam ekstrak perlu dilakukan. Di atas sebab ini jugalah, walaupun tumbuhan A dan B mempunyai sebatian kimia aktif yang sama, A merencat enzim alpha glucosidase, tetapi B tidak merencat enzim alpha-glukosidase. Sikap generalisasi kewujudan sesetengah sebatian kimia dalam pokok lain berfungsi dengan cara yang sama ke atas pokok yang lain adalah salah. Atas sebab ini juga, kajian standardidasi sebatian kimia aktif adalah penting untuk kawalan kualiti produk herba.

8. Keenam, sebatian yang bersifat antioksidan seringkali dianggap mengubati pelbagai masalah kardiovaskular termasuk darah tinggi dan kencing manis. Kenyataan ini adalah mengelirukan. Walaupun radikal bebas berlebihan merupakan antara faktor penyumbang penyakit kardiovaskular, terdapat pelbagai faktor lain yang lebih kritikal. Malah, hampir semua pokok berbunga mengandungi antioksidan, menjadikan ia tidak signifikan untuk mengubati penyakit tertentu. Tumbuhan berbunga banyak di dalam diet makanan kita dan kita tidak memerlukan diet khas untuk memperoleh antioksidan. Badan kita juga menghasilkan antioksidannya yang tersendiri.

9. Kesimpulannya, pengujian secara piring petri terutamanya yang hanya bersifat saringan tidak cukup untuk diterjemahkan penggunaan sesuatu tumbuhan bagi menggantikan ubatan yang sudah melalui kajian berpuluh tahun dan dibuktikan berkesan dan selamat. Kajian demi kajian giat berjalan di seluruh negara termasuk penyelidik dari Malaysia. Semoga kajian-kajian ini membuahkan hasilnya nanti.

Sekian semoga bermanfaat

Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)

Rujukan:

Houghton, P. J., Howes, M. J., Lee, C. C., & Steventon, G. (2007). Uses and abuses of in vitro tests in ethnopharmacology: Visualizing an elephant. Journal of Ethnopharmacology, 110(3), 391-400. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2007.01.032

, ,

Peluk Cium dan Kencing Unta Risiko Virus Corona Mers-Cov

AIR KENCING UNTA

.

Kes kedua akibat dijangkiti oleh Virus Corona (Mers-Cov) telah diistiharkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.[1] Kes pertama positif jangkitan virus Mers-Cov adalah pada pada 2015 yang lalu, juga melalui rentetan cerita yang agak sama. Mereka baru balik dari menunaikan umrah di Tanah Suci. Saranan dari KKM dan juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar jemaah haji atau umrah supaya tidak melawat ladang haiwan khususnya unta, meminum produk hasil dari unta kerana risiko jangkitan virus Mers-Cov adalah tinggi.

.

Serangan MERS-COV pada tahun 2015 yang punca perebakannya dari Arab Saudi telah mencatat kematian seramai 502 (35%) orang dari 1413 kes positif. Kedua-dua penyakit ini menakutkan seluruh dunia pada ketika itu.[1] Sekarang ini pun Pertubuhan Kesihatan Sedunia masih mengeluarkan amaran kemungkinan jangkitan terus berlaku. Ianya begitu senang merebak kerana pergerakan manusia terlalu pantas.

.

Perumah kedua Virus Corona ini adalah binatang seperti unta, musang, babi, dan kucing. Kaedah transmisi virus ini dari kelawar sebagai perumah pertama ke perumah kedua tidak diketahui secara jelas. Tetapi dipercayai Virus Corona menghinggapi perumah kedua melalui hubungan langsung kelawar dengan binatang-binatang tersebut atau manusia itu sendiri. Manusia juga mudah dijangkiti dengan memakan daging, meminum susu, meminum air kencing, berpeluk cium atau terkena najis binatang-binatang berkenaan.[2] Biasanya para jemaah haji umrah akan menunggang unta diladang unta yang mereka lawati. Berpeluk serta meminum susu dan kencing unta mentah sudah menjadi perkara lumrah. Bangga pulak berselfie. Risiko tinggi dijangkiti jika unta-unta berkenaan positif virus Corona.

.

Ada jemaah masjid yang bertanya kepada saya, adakah larangan itu telah bersalahan dengan hadis Rasulullah SAW? Sebagaimana hadis masyhur dari Sahih Bukhari dan Muslim mengenai saranan Rasulullah SAW kepada kaum ‘Ukal?

Hadis yang diriwayatkan dari Anas Radhiallah ‘anhu yang berikut:

أنّ نَفَرًا مِنْ عُكْلٍ ، ثَمانِيَةٍ قَدِمُوا على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فَبَايِعُوه عَلى الإسلام ، فَاستوخَمُوا الأرضَ فَسَقِمتْ أجسَامِهِم ، فشَكَوْا ذلك الى رسول الله صلى عليه وسلم ، قال : ( أفَلاَ تَخْرُجُونَ مَعَ راعينًا في إِبِلِه فَتُصيبُونَ من البَانِهَا وأبوالها ) قالوا : بلى ، فخرجوا فشربوا من البانها وأبوالها فَصَحّوا فَقَتَلُوا رَاِعيَ رسول الله صلى الله عليه وسلم وأطردوا النّعَمَ

(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahualaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudia cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Baginda berkata kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab : “baiklah”. Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam itu dan merampas unta-untanya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

.

Kewujudan hadis ini tidak boleh dilihat sebagai satu arahan wajib atau dikombinasikan dengan beberapa hadis lain yang berkaitan dengan kaedah berubat. Pengesyoran Rasulullah kepada suku ‘Ukal itu adalah khusus kepada mereka yang ditimpa sakit, bukannya kepada semua orang. Atas dasar sifat dan kemuliaan mukjizat yang diturunkan ke atas Rasulullah SAW, baginda menyatakan kaedah berubat sesuai dengan zaman itu. Begitu juga kebolehcapaian (accessibility) sesuatu bahan pada masa tersebut. Sedangkan dalam hadis yang lain pula Rasulullah menyatakan bijiran hitam adalah ubat segala penyakit. Sebagaimana riwayat dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ

“Pada habbatassauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” (Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim)

.

Pengamatan yang boleh kita lakukan kepada kedua-dua hadis berkenaan adalah, sesuatu ubat atau bahan yang disarankan mesti mengikut indikasi pemakaiannya. Dalam perubatan pun, kita tidak benarkan pesakit mengambil ubat kencing manis tanpa indikasi. Hanya pesakit yang sahih kencing manis dibenarkan mengambil ubat kencing manis seperti Metformin, Gliclazide, Insulin dan seumpamnya. Begitu juga ubat-ubatan kepada penyakit lain. Ianya terkhusus kepada jenis ubat dan penyakit yang sesuai setelah mendapat khidmat konsultasi dari ahli perubatan.

.

Isu kedua, adakah haram meminum najis seperti air kencing unta ini bagi tujuan perubatan? Di dalam kitab Ar-Raudh dan syarahnya sebagaimana yang dinukil oleh Syibramalisi disebutkan:[4]

ويجوز التداوى بِنَجَسٍ غير مسكر كلحم حَيّةٍ وَبَولٍ

Ertinya: “Dan harus berubat dengan najis, kecuali yang memabukkan, seperti daging ular dan air kencing,”

(An-Nihayah 8/14)

Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebutkan lagi pendapat lain, katanya:

“Harus berubat dengan najis itu hanyalah apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.”

(Al-Majmu’ 9/55)

Apabila dipadankan pendapat ini dengan hadis yang melarang berubat dengan najis, maka pendapat inilah yang lebih sesuai, kerana larangan itu tetap tertakluk kepada: jika tidak ada ubat lain yang suci dan tidak pula dalam keadaan darurat.

Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata :

جَازَ التّدَاوِى بالنّجَاسَاتِ إِذَالَمْ يجِدْ طَاهِرًا يقوم مَقَامِهَا ، لأن مَصْلِحَة العافية والسلامة أكمل من مصلحة اجتناب النجاسة ، ولا يجُوز التّداوى بِالخَمْرِ على الأصح

Ertinya: “ Harus berubat denagn najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang paling kuat.”

(Qawaid al-Ahkam 1/18)

Mufti Kerajaan Brunei menyimpulkan,

“Maka menurut pendapat ulama mazhab Syafi’e berdasarkan analisis kepada ayat Al-Quran dan Hadis, bahawa berubat dengan air kencing itu adalah harus, termasuk kimia yang terkandung di dalam air kencing. Ini ialah apabila tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya”.[5]

.

Sebagai doktor perubatan, saya tidak mengesyorkan meminum air kencing unta, susu atau produk darinya pada masa ini. Menolak risiko kemudaratan dijangkiti virus Mers-Cov lebih penting dari kenikmatan khasiat meminumnya. Bukti sahih air kencing ini sebagai bahan untuk berubat pun masih dalam proses yang tidak berkesudahan. Sedangkan ubat pilihan bagi penyakit yang lebih pegun sudah pun ditemui dalam perubatan moden.

.

Sekian

Coretan isu terkini dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

2.1.2018

Bukit Besi

.

Pautan:

[1] Kes terkini Mers-Cov 2018. https://kpkesihatan.com/2018/01/01/kenyataan-akhbar-kpk-1-januari-2018-pengesanan-terkini-kes-warga-tempatan-yang-disahkan-dijangkiti-middle-east-respiratory-syndrome-coronavirus-mers-cov-sejurus-pulang-dari-mengerjakan-umrah/

[2] Haiwan perumah Virus Corona. https://virologyj.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12985-015-0422-1

[3] Transmisi Virus Corona. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/mers-cov/en/

[4] Berubat dengan air kencing unta. http://suhazeli.com/wp/?p=3215

[5] Disusun oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Taha. Sumber: Badan yang mengisu fatwa, Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam oleh Ustaz HajiAwang Abdul Aziz Bin Juned. 2000

Video berkaitan:

https://youtu.be/6Yj7WKajDik

,

Berubat dengan Air Kencing Unta

Keratan akhbar yang bertajuk “SCIENTIST BACKS URINE CURES CANCER CLAIMS” berbunyi “Seorang pakar sains negeri China telah menyatakan, sejenis kimia yang terdapat dalam air kencing manusia boleh menolong mengubati penyakit barah, dengan sokongan dakwaan berpertikai oleh ahli terapi dalam Persidangan Antarabangsa bahawa najis manusia mempunyai bahan-bahan yang boleh menyembuhkan barah.”

DR. Ming Chen Liau, Timbalan Pengurus Besar Long Life Biondical Co. Ltd di Selatan Hefei, China telah membentangkan hasil penyelidikannya pada hujung minggu kepada Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai “Auto Urine Therapy” di bahagian barat India.

Setelah saya terjemahkan daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang tidak seberapa makna terjemahannya itu, sukacita saya ingin mengetahui jika fakta itu benar untuk digunakan sebagai ubat oleh oleh orang Islam atau bukan Islam.

Apakah hukum Al-Qur’an dan hadis sebenar-benarnya dalam hal tersebut?

Dipohonkan ulasan daripada Mufti Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

Jawapan:

الحمد لله رب العالمين والصلاة ةالسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه ومن تبعه بإحسان الى يوم الدين ، وبعد

Hukum Air Kencing

Air kencing salah satu jenis najis mutawassitah, dan semua jenis najis ini dan yang berasal daripadanya adalah haram di makan, diminum atau di bawa sembahyang dan thawaf.

Haram Berubat Dengan Yang Diharamkan.

Pada dasarnya berubat dengan yang diharamkan itu tidak dibenarkan, bahkan ia diharamkan kecuali di dalam keadaan kecemasan atau apa yang disebut sebagai dalam keadaan darurat. Ini jelas bersandarkan sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam di antara lain menyebutkan:

إِنّ الله أَنْزَلَ الدّاءَ وَالدّواءَ وَجَعَلَ لكُلّ دَاءٍ دَوَاءً ، فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

(رواه أبو داود )

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Imam Bukhari pula ada menyebut dalam Shahihnya daripada ibnu Mas’ud katanya:

إِنّ اللهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرّمَ عَلَيكُمْ

(رواه البخاري)

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

نَهَى رَسُول اللهِ صلى الله عليهِ وَسَلّمَ عَنِ الدّوَاءِ الخَبِيثِ

(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya: “Rasullullah Shallallahu alaihi wasallam melarang daripada ubat yang kotor.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jika penyakit itu masih dalam peringkat tidak membahayakan, maka sesetengah ulama berkata bahawa adalah haram beruabat dengan benda-benda najis atau yang diharamkan.

Adapun susut rahsia atau hikmat ia diharamkan, mengikut para ulama Islam; najis itu menjijikkan dan tidak disukai oleh akal dan naluri. Jadi ia tidak layak dipakai atau dijadikan untuk penawar penyakit.

Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah ada menerangkan lebih jelas lagi rahsia ini, bahawa larangan tidak dibenarkan menjadikan benda-benda yang diharamkan sebagai ubat penawar penyakit itu ialah, kerana antara syarat boleh mendapat kesembuhan menerusi sesuatu ubat itu ialah jika terdapat sikap menerima (suka) kepada ubat berkenaan, dan ada keyakinan terhadap khasiat (manfaatnya), disamping percaya padanya ada keberkatan yang dijadikan oleh Allah Ta’ala.

Kemudian bagi seorang Islam pula, yang haram itu adalah memang kotor, najis dan menjijikkan. Setiap yang kotor dan menjijikkan tiadalah ia diterima bahkan ditolak oleh naluri yang sihat.

Demikian itulah kedudukan najis yang diharamkan, mengapa ia tidak sesuai untuk dijadikan ubat, kerana syarat untuk ianya dapat diterima oleh naluri yang sihat, tidak ada lagi. Inilah antara rahsia atau sebab mengapa berubat dengan yang haram itu dilarang. (Ath-Thibb An-Nabawi :126)

Demikian antara pendapat ulama mazhab lain di luar mazhab Syafi’e.

Berubat Dengan Najis Mengikut Ulama-ulama Mazhab Syafi’e Pula.

Mengikut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi’e , adalah harus berubat dengan segala benda najis, kecuali yang memabukkan, dengan alasan bahawa berubat merupakan perkara darurat, sedang darurat mengharuskan kita mengambil apa yang ditegah, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَقَدْ فَصّلَ لَكُمْ مَا حَرّمَ عَلَيْكُمْ إِلّا مَا اضْطُرِرْتُم الَيهِ

(سورة الأنعام : 119)

Tafsirnya : “Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya.”

(Surah Al-An’am : 119)

Berdasarkan ayat tersebut dan ayat-ayat yang seumpamanya, maka para ulama telah menggariskan kaedah ini:

الضّرُورَات تُبِيحُ المَحْظُورَاتِ

Ertinya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

Namun begitu, ia masih juga terikat ( penggunaannya itu) hendaklah tidak melampau batas. Firman Allah :

فَمَنِ اضْطُرّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيرَ مُتَجَانِفٍ لإِثْمٍ فإِنّ اللهَ غَفُورٌ رّحِيمٌ

(سورة المائدة :3 )

Tafsirnya: “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan ) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Maidah : 3)

FirmanNya lagi :

فَمَنِ اضْطُرّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا أِثمَ عَلَيهِ اِنّ اللهَ غَفُورٌ رّحِيمٌ

(سورة البقرة : 173)

Tafsirnya : “ Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Baqarah : 173)

Imam An-Nawawi Rahimahullah berkata:

“Adapun berubat dengan najis itu harus, selain arak. Hukum padanya sama sahaja bagi semua najis melainkan yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab Syafi’e yang telah ditetapkan dan telah diputuskan oleh jumhur ulama.”

Di antara alasan Imam An-Nawawi ialah hadis Anas Radhiallah ‘anhu yang berikut :

أنّ نَفَرًا مِنْ عُكْلٍ ، ثَمانِيَةٍ قَدِمُوا على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فَبَايِعُوه عَلى الإسلام ، فَاستوخَمُوا الأرضَ فَسَقِمتْ أجسَامِهِم ، فشَكَوْا ذلك الى رسول الله صلى عليه وسلم ، قال : ( أفَلاَ تَخْرُجُونَ مَعَ راعينًا في إِبِلِه فَتُصيبُونَ من البَانِهَا وأبوالها ) قالوا : بلى ، فخرجوا فشربوا من البانها وأبوالها فَصَحّوا فَقَتَلُوا رَاِعيَ رسول الله صلى الله عليه وسلم وأطردوا النّعَمَ

(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahualaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudia cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Baginda berkata kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab : “baiklah”.

Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam itu dan merampas itu dan merampas unta-untanya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di dalam kitab Ar-Raudh dan syarahnya sebagaimana yang dinukil oleh Syibramalisi disebutkan:

ويجوز التداوى بِنَجَسٍ غير مسكر كلحم حَيّةٍ وَبَولٍ

Ertinya: “Dan harus berubat dengan najis, kecuali yang memabukkan, seperti daging ular dan air kencing,”

(An-Nihayah 8/14)

Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebutkan lagi pendapat lain, katanya:

“Ashhab kita berkata harus berubat dengan najis itu hanyalah apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.”

(Al-Majmu’ 9/55)

Apabila dipadankan pendapat ini dengan hadis yang melarang berubat dengan najis, maka pendapat inilah yang lebih sesuai, kerana larangan itu tetap tertakluk kepada : jika tidak ada ubat lain yang suci dan tidak pula dalam keadaan darurat.

Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata :

جَازَ التّدَاوِى بالنّجَاسَاتِ إِذَالَمْ يجِدْ طَاهِرًا يقوم مَقَامِهَا ، لأن مَصْلِحَة العافية والسلامة أكمل من مصلحة اجتناب النجاسة ، ولا يجُوز التّداوى بِالخَمْرِ على الأصح

Ertinya: “ Harus berubat denagn najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang ashah.”

(Qawaid al-Ahkam 1/18)

Merujuk perkara yang diminta fatwa, maka menurut pendapat ulama mazhab Syafi’e berdasarkan analisis kepada ayat Al-Quran dan Hadis, bahawa berubat dengan air kencing itu adalah harus, termasuk kimia yang terkandung di dalam air kencing. Ini ialah apabila tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya.

Disusun oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Pensyarah Fakulti Kotemporari UniSZA

Sumber:

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned

Tarikh Diisu: 2000

***

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000

Ubat-Ubatan Bercampur Gelatin Atau Alkohol. Percampuran Gelatin Atau Alkohol.

Sukacita dipohonkan jasa baik daripada Jabatan tuan mengenai ubat-ubatan bercampur gelatin atau alcohol, untuk rujukan Bahagian Farmasi Hospital Panaga, Seria.

Jawapan :

الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى الى الحق والصواب ، والصلاة والسلام على رسوله خاتم الأنبياء والرسول ، واله وصحبه أجمعين

Persoalan berubat di dalam pandangan islam adalah jelas suatu perkara yang diharuskan, bahkan ia boleh menjadi salah satu jenis ibadat apabila ia dilakukan dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk melaksanakan tuntutan syara’ agar dapat beribadat kepada Allah dengan lebih sempurna. Walaupun begitu, berubat hanyalah dianggap sebagai salah satu sebab untuk mendapat kesembuhan dan yang menyembuhkan hanyalah Allah Taala. Jadi disamping berubat, hendaklah disertai tawakal kepada Allah.

Nabi Muhammad Shallahu alaihi wassalam sendiri pernah berubat dan menyuruh berubat kerana dalam hadis Baginda ada menerangkan bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya.

Baginda bersabda:

لكل دَوَاء دواءٍ فَإِذَا اُصِيبَ دَواء الدّاءِ ، بَرَأ بِإِذنِ الله عز وَجَّل

(رواه مسلم )

Maksudnya: “Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi denagn penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajjala”.

(Hadis riwayat Muslim)

Abu Daud mentakhrijkan daripada Usamah bin Syuraik :

أنّ بَعضَ الأَعْرَابِ قَالُوا : يَا رَسول الله ، أَنتَداوى ؟ فَقَال صلى الله عليه وسلم : تَدَاوَوْا فَإِنّ الله تعالى لَم يَضَعْ دَاءً الا وَضَع لهُ دَوَاءٍ غير داء واحدٍ : الهَرَمَ

Maksudnya: “Bahawa segolongan orang arab kampong bertanya: “wahai rasulullah, adakah boleh kami berubat ? “nabi Shallahualaihi wasallam menjawab : “ berubatlah kamu, kerana Allah Taala tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua.”

Pada dasarnya ubat atau penawar yang dianjurkan supaya dipakai ialah ubat-ubatan yang bersih, suci, tidak yang diharamkan dan dapat diterima oleh naluri pesakit, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:

….. فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِالحرام

(رواه البخاري )

Maksudnya: “berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda-benda yang diharamkan.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kemudian jika ubat yang sedemikian tidak diperolehi atau tidak bersesuaian, maka barulah beralih kepada ubat-ubatan lain walaupun ia tidak bersih, tidak suci atau tidak yang diharamkan.

Menurut pendapat ulama Syafie keharusan berubat dengan benda-benda najis atau yang di haramkan adalah berdasarkan bahawa berubat itu merupakan salah satu bentuk darurat, maka dalam keadaan darurat itulah diharuskan mengambil atau menggunakan sesuatu yang ditegah. Firman Allah Ta’ala :

وقَد فَصّلَ لَكُم مَا حَرّمَ عَلَيْكُم إِلّا مَا اضْطُرِرْتُم الَيهِ

( سورة الأنعام : 119)

Tafsirnya: “ Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkannya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.”

(Surah Al-An’am : 119)

Dalam konteks ini bagaimanakah kedudukan ubat yang suci bercampur dengan gelatin dan alcohol? Sebelum membuat rumusan mengenai perkara ini terlebih dahulu dihuraikan apa itu gelatin dan alcohol.

Gelatin

Gelatin merupakan satu jenis bahan yang diperolehi ( dengan mendidih dalam air) dari hidrolisis separa kelogen terbitan daripada kondrum, tulang, tendon dan kulit binatang.

Walaupun gelatin satu protein yang berasal daripada binatang, namun bahan ini mempunyai nilai biologi yang rendah.

Gelatin digunakan secara meluas dalam industry makanan dan merupakan salah satu bahan asasnya. Di antara makanan berkenaan ialah jeli. Gelatin juga digunakan untuk membuat manis-manisan, agar-agar dan aiskrim.

Demikian dinukilkan secara ringkas mengenai pengertian gelatin daripada Ensiklopedia Malaysiana (5/77) dan Encyclopedia Britannica ( G . 165)

Dengan itu dapatlah diketahui bahawa yang dinamakan gelatin ialah sesuatu bahan yang berasal daripada binatang.

Seorang Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Brunei Darussalam di dalam satu Majlis Halaqah Ilmu di Jabatan Mufti Kerajaan (20 Muharram 1420 / 6 Mei 1999) dalam hal ini menerangkan bahawa gelatin memang asalnya di perolehi daripada binatang.

Walaupun begitu di dalam Ensiklopedia Malaysiana di catatkan bahawa “Gelatin sayur-sayuran adalah sama dengan gelatin binatang dari segi fungsinya dan ia diperolehi daripada gluten gandum atau bijirin lain.” (5/77)

Dan mengikut keterangan ini, bererti ada juga jenis gelatin yang berasal daripada sayur-sayuran.

Hukum gelatin.

Persoalan asas di sini ialah jika gelatin itu berasal daripada binatang, bukan sayur-sayuran, maka hukumnya tertakluk kepada kedudukan binatang itu.

Apabila binatang itu binatang halal yang disembelih mengikut cara sembelihan Islam, maka gelatin itu adalah halal dan suci, tetapi apabila binatang itu bukan binatang halal, seperti khinzir, ataupun ia binetang halal tetapi tidak disembelih mengikut cara Islam, maka gelatin itu haram dan najis.

Untuk lebih jelas, hukum gelatin adalah mengikut kepada hukum sumber atau punca asalnya. Di dalam kaedah usul fiqh disebutkan :

التابع تابع

Ertinya : “Pengikut itu hukumnya tetap sebagai pengikut yang mengikut.”

التابع لا يفرد بالحكم

Ertinya : ‘Pengikut tidak berasingan dengan hukum tersendiri.” (Qawa’id –qawa’id Fiqh :58)

Dengan yang demikian, gelatin yang berasal daripada binatang haram, ataupun binatang halal tetapi tidak di sembelih secara sembelihan Islam adalah haram dan najis, kemudian jika ia di campurkan dengan ubat atau makanan, maka ubat dan makanan itu turut menjadi najis.

Alkohol

Alcohol merupakan bahan cecair tanpa warna yang dihasilkan menerusi dua cara pemprosesan. Pertama menerusi fermentation ( penapaian), iaitu proses khas untuk

Menghasilkan arak, dan kedua menerusi bahan kimia, iaitu suatu proses bagi menghasilkan alcohol daripada petroleum.

Hasil pemprosesan ini dikenali juga sebagai etanol atau etil alcohol. Dalam bidang perubatan, alcohol digunakan sebagai antiseptic dan sebagai pelarut. Methanol yang dikenali sebagai alcohol metal atau alcohol kayu ialah satu bahan yang sangat beracun. (Malaysiana :1/277)

Hukum Alkohol

Imam-imam mazhab yang empat ( Hanafi, Maliki,syafie dan hanbali) sepakat menagtakan bahawa alcohol yang bersumber daripada arak adalah najis dengan mengqiyaskannya kepada arak, kerana kesamaam ‘illah atau sebab, iaitu sama-sama memabukkan.

Adapun kenajisan arak sendiri ialah berdasarkan firman Allah ta’ala:

يأيها الذين ءامنوا إنما الخَمْرُ والمَيْسَر والأَنصَابُ وَالأَزْلَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الّشيطَان فَاجْتَنِبُوهُ لعلكم تُفْلِحُونَ

(سورة المائده : 9)

Tafsirnya: “wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor ( keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu Berjaya.”

(Surah Al-Ma’idah : 90)

Dan juga berdasarkan hadis Abu Tsa’labah katanya:

انا نجاور اهل الكتَابِ وَهُم يَطْبَخُوْنَ فِي قُدُورِهِم الخِنزِيرِ وَيَشرَبُونَ في انيتهم الخَمْرَ ، فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم : اِنْ وَجَدتُم غَيرَهَا فَكُلًوا فيها واشْرَبُوا وَاِنْ لَم تَجِدُوا غيرهَا فَارْحَضُوهَا بِالمَاءِ وَكلوا واشْرَبُوا .

(رواه أبو داود )

Maksudnya: “ Kami berkunjung kepada orang-orang Ahli Kitab ( semasa berlalu kawasan mereka) mereka memasak daging khinzir di dalam periuk mereka dan minum arak menerusi perkakas minuman mereka. Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda: “ Jikalau kamu boleh mendapatkan (peralatan ) yang lain, pakailah yang lain itu, tetapi jikalau tidak ada yang lain, maka basuhlah terlebih dahulu dengan air, lalu makan dan minumlah padanya.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Suruhan Nabi membasuh bekas arak mereka itu kemudian membenarkan mempergunakan bekasnya, bererti arak itu najis termasuk kesan-kesannya yang tinggal di dalam bekasnya.

Berubat dengan Najis

Allahyarham Pehin Dato Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Azis (Mufti kerajaan Brunei) berkata:

“adapun berubat dengan ‘ain benda-benda yang najis adalah harus, sama ada ‘ain benda-benda-benda najis itu telah dibancuh dengan lain-lain benda, atau ‘ain benda-benda najis itu bulat-bulat , dan semata-mata dijadikan ubat melainkan arak, maka tiadalah harus berubat dengan arak semata-mata arak, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dan dibancuh dengan lain-lain benda.” (Siri Fatwa 34/70)

Ibnu Hajar berkata :

يَجوزُ التّدَاوِى بحَافِرِ المَيْتَةُ وَعِظَامِهَا بِسَائِرَ النجَاسَات صِرْفِهَا وَمخلوطِهَا الا الخمر فلا يجُوزُ التّدَاوَى بِصِرفِهَا ويجوز بمخلُوطِهَا

Ertinya: “Harus berubat dengan kuku bangkai, tulang-tulangnya dan segala jenis najis – sama ada zatnya atau campurannya, melainkan arak, maka tiada harus berubat dengan zat (‘ain) arak, tetapi harus dengan campuran (bancuhannya).”

(al- Fatawa Al-Kubra 1/28)

Ulama Mazhab Syafi’e berpendapat bahawa haram hukumnya berubat jika hanya semata-mata dengan zat (‘ain) arak atau alcohol. Pengharaman ini berlaku selama ia tidak dicampur dengan bahan lain, disamping itu tidak pula ada ubat lain selain ubat yang bercampur alkohol itu.

Selain itu, pemakainnya hendaklah berdasarkan ahli perubatan yang dipercayai dan penggunaanya pula hanya sekadar keperluan sahaja.

Dengan yang demikian, ubat yang bercampur alkohol atau gelatin yang ditanyakan, smalah kedudukannya berubat dengan najis kerana darurat jua.

والله اعلم بالصواب

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned

Tarikh Diisu : 2000

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000

Ubat Yang Mengandungi Alkohol Soalan:

Terdapat ubat homeopati yang menyembuhkan sakit kepala, campuran ubat itu mengandungi 1/1000 alkohol, apakah hukum samada halal atau haram dimakan ubat itu.

Jawapan:

Ubat-ubatan yang ada kandungan alkohol yang sedikit adalah harus dan boleh di maafkan untuk di jadikan ubat. Ini adalah berdasarkan nas dari kitab الأشاه والنظائر m/s. 90.تخفيف ترخيص كصلاة المستجمر مع بقية النحو وشربالخمر للغصة وأكل النجاسة للتداوي..

Bermaksud: “Bagi keringanan dan kemudahan seperti sembahyang orang yang beristinjak’ dengan batu serta ada tempat yang bersih dan meminum arak kerana mengkelan dan memakan benda-benda yang najis kerana perubatan.

Negara asal : Malaysia

Negeri : Pulau Pinang

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Plnang

Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)

Tarikh Diisu : Nov. 1986

,

Cuci Darah dengan Ulam Raja

Kita cukup skeptikal jika terdapat dakwaan sesuatu bahan yang baharu itu mengubati penyakit tertentu terutamanya penyakit kronik seperti darah tinggi, buah pinggang, kencing manis, jantung dan lain-lain. Tersebar video seorang jejaka yang mempromosi Ulam Raja sebagai herba yang mampu mencuci darah manusia. Walaupun ucapan dia masih ragu-ragu akan dakwaan tersebut, kepandaian beliau mempromosi itu menunjukkan bahawa Ulam Raja sudah terbukti secara sah mampu mencuci darah.

.

Amat menarik review yang dibuat oleh Dr Che Puteh Osman berkaitan Ulam Raja ini. Rajin pulak beliau mentelaah pelbagai jurnal kajian dalam tempoh sehari.[1] Kesimpulan yang boleh saya gali dari tulisan beliau beserta tambahan ulasan dari saya;

.

1) Ulam Raja enak dimakan. Ianya sejenis ulam yang tinggi anti-oksida. Kandungan sebatian Fenolik yang menjadikan ia sebagai anti-oksida mengklaskan ianya sebagai tumbuhan yang unik. Sesungguhnya banyak herba dalam negara kita kaya dengan kandungan anti-oksida. Anti-oksida ini penting bagi mengelakkan radikal bebas dalam tubuh manusia berkumpul seterusnya boleh berlaku radang kepada sel. Radikal bebas boleh menyebabkan kerosakan secara tidak langsung sel-sel tubuh sehinggalah penyakit menghinggapi. Pun begitu jangan salah faham, anti-oksida ini bukan anti kanser, bukan anti-diabetes, bukan anti-darah tinggi dan sebagainya.

.

2) Sudah terdapat beberapa pengkaji yang ingin membuktikan Ulam Raja ini ubat Kencing Manis, ubat Darah Tinggi, ubat pembunuh kuman, ubat tekanan oksidatif dan ubat meningkatkan tenaga batin. Semua kajian dilakukan ke atas tikus mengikut dos yang tertentu. Terdapat reaksi positif terhadap tikus-tikus tersebut. Tetapi sehingga kini kajian ke atas manusia tidak diteruskan kecuali satu kajian terbaharu untuk melihat kesan gula dalam darah pesakit Kencing Manis. Bacaan gula turun dalam tempoh 8 minggu dengan mengambil 15 gram Ulam Raja, 2 kali sehari. Walaubagaimana pun kawalan gula (paras HbA1c) tidak signifikan. Bermaksud, tidak boleh dikaitkan pengambilan Ulam Raja ini dengan kawalan Kencing Manis dalam tempoh 2 bulan. Lagi pun siapa sanggup makan Ulam Raja ini 2 pinggan sehari selama-lamanya? Jika ada pil yang direka, perlu dibuat kajian klinikal terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Pandangan dari sudut ekonomi mungkin tidak berbaloi, kerana ubat Kencing Manis (ubat moden) yang sedia ada lebih menjanjikan penurunan gula yang signifikan.

.

3) Ulam Raja tidak boleh dianggap sebagai ubat pencuci darah kerana kajian ke atas tikus-tikus itu tidak menunjukkan kesan ketara ke atas buah pinggang. Lebih merungsingkan terdapat satu kajian, pengambilan Ulam Raja yang berlebihan boleh memberi kesan toksid kepada hati. Isu kedua akan timbul jika diambil berlebihan, iaitu kandungan pottasium yang terdapat dalam Ulam Raja boleh membahayakan kepada pesakit terutamanya pesakit buah pinggang.

.

Sekian ulasan selanjar dari suhazeli.com

Jika tak tepat kabo deh

Fb.Com/drsuhazeli

30.12.2017

Kuala Berang

.

Link

[1] Review Che Puteh Osman berkaitan Ulam Raja. https://www.facebook.com/cheputeh.osman/posts/1965189473508515

,

Khasiat Pokok Susu Nabi

Sering kali terdapat ubatan yang baharu samada ubatan tradisional mahupun ubatan moden, rakan-rakan akan merujuk kepada saya sebagai pengesahan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kerana sudi bertanya soalan sedemikian. Ianya satu sikap yang bagus, meminta penjelasan dan kesahihan sebelum menggunakannya. Dalam kebanyakan persoalan, saya akan menjawab tidak pasti atau minta ditangguhkan jawapan sebelum saya mendapatkan kepastian dari kawan-kawan yang ahli dalam sesuatu ubat itu. Atau sekurang-kurangnya saya membuat carian jurnal yang lebih berwibawa (authentic).

.

Seorang ahli kimia produk natural, Dr Che Puteh Osman, pensyarah dari UiTM pernah menulis berkaitan dengan penemuan yang pernah beliau jalankan dan hubungkait dengan ubatan yang dikomersialkan.[1]

“Sebarang pengujian ubat-ubatan samada ubatan moden ataupun herba yang dijalankan secara in-vitro (ke atas sel dalam piring petri) dan ujian in-vivo (ke atas haiwan) tidak boleh merasionalkan penggunaan sebagai ubat secara terus. Sebagai seorang ahli kimia yang mengkaji produk natural, penggunaan ubatan tradisi atau herba akan memberikan maklumat kepada saya untuk mengkaji dan melihat potensi sesuatu ubat tersebut. Kalau betul-betul berpotensi ia akan dibawa ke peringkat penyelidikan seterusnya iaitu pra klinikal dan klinikal (kajian atas manusia).

.

Tambah beliau; “pada peringkat pencarian bahan-bahan terdapat berjuta calon bahan/pokok herba dan sebatian kimia yang boleh dikaji untuk diiktiraf sebagai ubat. Setelah masuk fasa pra klinikal jumlah ini berkurang kepada beberapa ribuan calon sahaja. Pada peringkat klinikal, hanya beberapa ratus sahaja yang layak diuji ke atas manusia. Selepas itu sekitar beberapa peratus berjaya, didaftarkan dan dikomersilkan. Jadi kenapa ia tak jadi ubat? Kerana ia telah gagal pada pengujian daripada peringkat penemuan dan klinikal.

.

Terdapat juga bahan/ubatan tidak diteruskan ke fasa klinikal ke atas manusia kerana terpaksa menggunakan banyak sumber serta prasarana bagi menghasilkan satu ubat. Ianya tidak memadai, malah tidak setanding keberkesanannya berbanding ubatan moden yang sudah lama dipasaran. Sebagai contohnya buah letup-letup, tidak terbukti untuk merawat strok. Separuh (50%) tikus makmal yang diberikan jus buah letup-letup ini (physalin minima) mati dalam tempoh 90 hari. Mereka juga mendapati jus buah letup-letup boleh mengakibatkan rentak jantung tidak teratur sehingga boleh mendatangkan risiko sakit jantung. Manakala ujian paras gula, sistem hati dan ginjal tidak berubah.[2] Manusia mana yang sanggup jadi bahan ujikaji untuk diteruskan kajian klinikal?

.

Begitu juga dakwaan mengatakan khasiat anti oksidan yang terdapat atas petai boleh mengubati kanser. Kajian in-vitro dan in-vivo tidak terbukti pun. Namun kajian atas tikus makmal mendapati ektrak petai itu anti stres. Bayangkan kesan anti stres bagi petai sahaja, sebanyak ekstrak 10 kg petai digunakan bagi menghasilkan kesan reaktiviti ke atas 5 ekor tikus (kajian melihat anti stress).[3] Berat tikus sekitar 350 mg menggunakan 10 kilogram petai! Jika ujikaji atas manusia berapa kilogram petai akan digunakan? Itupun secara ekstrak. Jika kaedah makan secara mentah, kena makan berapa lori pula?

.

Timbul masalah apabila segelintir dari kita menuduh KKM sengaja menutup peluang kepada perubatan herba dek kerana ubatan hospital dikawal oleh farmasi gergasi. Sedangkan ubatan hospital itu juga datang dari konsep kajian yang sama dalam fasa-fasa pembuktian. Isu yang sama dibahaskan ke atas tumbuhan lain seperti ketum, Pokok Susu Nabi, Jambu Batu, Betik dan banyak lagi herba botani yang kaya dalam negara kita.[4] Kesemuanya masih diperingkat kajian sel makmal dan tikus. Belum pun lagi melepasi fasa kajian klinikal ke atas manusia. Kami sebenarnya tiada masalah dan dengan senang sahaja boleh menerima ubat-ubatan tersebut jika sudah dibuktikan kesahihan keberkesanan, selamat dan berkualiti.

.

Pembuktian ujikaji ini boleh diibaratkan sama dengan penggunaan minyak sawit sebagai biodisel untuk kereta. Adakah kita sanggup menukar minyak petrol atau disel kereta kita dengan minyak sawit? Walaupun terdapat kajian yang menyatakan minyak sawit itu mempunyai kelebihan gantian kepada minyak petrol/disel, tetapi tidak semudah itu untuk beli minyak sawit di petronas dan masukkan dalam tangki minyak kereta kita! Ianya memerlukan modifikasi lanjut dan kajian mendalam sebelum digunapakai oleh masyarakat umum.

.

Adakah doktor melarang masyarakat mengambil petai, jambu batu, betik dan lain-lain itu? Jangan salah faham hujah yang kami kemukakan ini. Melarang dakwa terdapat tuntutan perubatan bukan bermakna melarang makan atau guna. Jika nak guna juga dan berkeras bahawa ubat herba itu mujarab, silakan. Andai berlaku perkara yang tidak dingini, jangan salahkan dakwaan yang mereka momokkan itu. Risikonya tanggung sendiri. Jika mampir di wad kecemasan, kita akan terus rawat tanpa prejudis.

.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

26.12.2017

Bukit Besi

.

Pautan

[1] Profile Dr Che Puteh Osman. https://www.researchgate.net/profile/Che_Osman

[2] Buah letup-letup, physalis peruviana. https://www.hindawi.com/journals/ecam/2013/707285/

[3] Ektrak petai untuk kajian anti stress atas tikus. http://www.academia.edu/29916542/EVALUATION_OF_ANTI_STRESS_ACTIVITY_OF_Parkia_speciosa_SEEDS_EXTRACTS_ON_STRESS_INDUCED_MICE

[4] Carica papaya, Cynodon dactylon, Euphorbia hirta, Melia azedarach and Psidium guajava leaves. https://pdfs.semanticscholar.org/d3b8/1025ca493972d0cccf370f5ca4f5187c5c45.pdf dan http://www.phcogrev.com/article.asp?issn=0973-7847;year=2010;volume=4;issue=7;spage=58;epage=61;aulast=Kumar

,

Ujian Klinikal atas Herba

Oleh Dr Che Puteh Osman

Sebarang petua kekal sebagai petua dan ia tidak boleh menggantikan perubatan moden yang telah terbukti melalui kajian klinikal berpuluh tahun.

Sebarang pengujian in vitro atau piring petri dan ujian in vivo, ke atas haiwan, tidak boleh merasionalkan penggunaan sebagai ubat. Sebagai seorang natural product chemist, maklumat penggunaan tradisi memberikan maklumat kepada saya untuk mengkaji dan melihat potensi. Kalau betul-betul berpotensi ia akan dibawa ke peringkat penyelidikan seterusnya iaitu pra klinikal dan klinikal.

Untuk makluman tuan puan, pada peringkat discovery terdapat berjuta calon herba dan sebatian kimia yang boleh dikaji untuk ubat. Setelah masuk fasa pra klinikal jumlah ini berkurang kepada beberapa ribu calon sahaja. Pada peringkat klinikal, hanya beberapa ratus sahaja yang layak diuji ke atas manusia. Selepas itu sekitar beberapa peratus yamg berjaya dan akan didaftarkan dan dikomersilkan.

Jadi kenapa ia tak jadi ubat, kerana ia telah gagal pada pengujian daripada peringkat discovery dan pra klinikal.

,

Al Manna Pemakanan Sunnah? 

Bahagian 1


Ramai yang mendakwa mereka menjual produk yang mujarab serta disebut dalam Al Quran bernama Al Manna. Saya pernah dengar kempen mereka di koridor kedai Jaafar Rawas Kota Bharu seusai sahaja mendengar kuliah ilmu di sana. Penjualan mereka saya anggap secara kecil-kecilan, kerana kezuhudan penjual produk berkenaan, hanya beralaskan tikar dan tiada mesin kira untuk mengira untung rugi jualan. Lantas saya tertanya-tanya, jika ianya benar berkesan mengubati pelbagai jenis penyakit yang didakwa, sepatutnya beliau telah mampu mengembangkan jualan produk beliau ke seentero dunia. Di saat inilah umat Islam perlu bangkit bagi mengenengahkan produk “sunnah” ini.
Saya cuba menelaah beberapa bahan kajian ilmiah berkaitan dengan produk yang bernama Al Manna ini. Al Manna disebutkan dalam Al Quran sebagaimana kisah Bani Israel yang diberi keistimewaan oleh Allah semasa sesat di Semenanjung Sinai. Allah menganugerahkan Al manna dan Salwa kepada mereka.
Al Manna disebut dalam Al Quran:
وَ ظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَ السَّلْوَى كُلُوْا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَ مَا ظَلَمُوْنَا وَلَكِنْ كَانُوْا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُوْنَ
Bermaksud: “dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.” [Surah Al Baqarah (57)]
Menurut riwayat lbnul Mundzir dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahwa manna adalah suatu makanan manis, berwarna putih yang mereka dapati tiap-tiap pagi telah melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir yang memberinya erti madu.[1]
Terdapat pelbagai lagi tafsiran para ulama tafsir tentang al Manna ini. Kesimpulannya diulas dengan baik oleh Imam Ibn Kathir (wafat 774H) dalam tafsirnya:
“Ucapan-ucapan para ahli tafsir dalam menjelaskan maksud al Manna saling berdekatan maknanya. Sebahagian daripada mereka menjelaskan al Manna itu merupakan sejenis makanan. Sebahagian yang lain menjelaskan ia merupakan sejenis minuman. Hakikatnya, wallahua’lam ia merupakan setiap apa yang Allah kurniakan kepada mereka (Bani Israel) daripada makanan dan minuman dan selain daripadanya yang mana mereka tidak perlu mendapatkannya dengan bekerja (mencari/menanam) dan berpenat lelah.
Yang masyhur ialah jika ianya dimakan begitu sahaja, maka ia menjadi makanan dan manisan. Jika ia dicampur dengan air, maka ia akan menjadi minuman yang enak. Jika al Manna itu dicampur dengan sesuatu yang lain (contohnya masakan, adunan dan lain-lain) maka ia menjadi sesuatu yang lain pula. Namun begitu, tidak ada satu ayat pun yang memberi maksud tertentu baginya (al Manna).” [Tafsir ibn Kathir 1/267] [2]
Persoalannya, adakah al Manna seperti itu masih wujud? Atau ianya hanya keistimewaan khusus kepada kaum Bani Israel tersebut?
Terdapat dalam Kitab Al Mirqah Syarh Misykah oleh Syeikh Ali al Qori, bab Tibb (perubatan) menukilkan satu hadis:
«أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَالُوا لِرَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْكَمْأَةُ جُدَرِيُّ الْأَرْضِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” الْكَمْأَةُ مِنَ الْمَنِّ، وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ، وَالْعَجْوَةُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَهِيَ شِفَاءٌ مِنَ السُّمِّ “. قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَأَخَذْتُ ثَلَاثَةَ أَكْمُؤٍ أَوْ خَمْسًا أَوْ سَبْعًا فَعَصَرْتُهُنَّ، وَجَعَلْتُ مَاءَهُنَّ فِي قَارُورَةٍ، وَكَحَّلْتُ بِهِ جَارِيَةً لِي عَمْشَاءَ، فَبَرَأَتْ» . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ، وَقَالَ: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ.
Bermaksud: Sekumpulan sahabat RA berkata kepada Nabi SAW kam’ah adalah jerawat bumi. Nabi menjawab sebenarnya kam’ah adalah daripada al mann. Airnya dapat menyembuh mata yang sakit (mata kelabu). Kurma ajwah pula dari syurga dan dapat menyembuhkan dari racun. Abu Hurairah berkata aku mengambil tiga atau lima atau tujuh kam’ah lalu aku perah airnya ke dalam botol dan sapu celakkan dengannya mata hamba perempuanku yang rabun matanya, lalu sembuh. Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi. Menurutnya ia Hadis hasan. [Juga diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim]
Kam’ah dari pada manna, menurut ulama hadis maksudnya ianya mudah diambil dan mudah tumbuh tanpa perlu ditanam sama seperti al manna tidak perlu bersusah payah mencarinya.
Dewasa kini ramai penjual produk kesihatan mendakwa bahawa produk merekalah al manna sepertimana yang disebut dalam Al Quran. Bagi melariskan lagi jualan, disertakan hadis-hadis yang berkaitan al manna ini dan beberapa kelebihan kesihatan.
Sekurang-kurangnya empat jenis bahan berbeza yang didakwa sebagai al manna ini.
1) Ada antaranya penjual Cendawan Mekah mendakwa kehebatan Al Manna mereka ini menandingi ubat-ubatan moden seperti merawat Sakit sendi, migraine, kencing manis, masalah penglihatan, batuk, bronchitis, asma, darah tinggi (hipertensi), sakit lumpuh (stroke) dan berbagai jenis penyakit kronik lagi.[3]
2) Ada pula penjual Getah Arab (Arabic Gum / Acacia Senegal) mendakwa bahawa produk merekalah yang sebenarnya Al Manna sepertimana dinukilkan dalam Al Quran serta Hadis. Pelbagai khasiat kesihatan telah dibentangkan bagi membuktikan kesahihan dakwaan mereka itu. Dikatakan Getah Arab ini mampu meningkatkan penapisan pesakit buah pinggang, merawat kencing manis, gout, buasir, prebiotik dan pelbagai lagi.[4]
3) Getah dari pokok Boswellia- frankincense juga disebut-sebut sebagai al manna. Nama lainnya adalah Olibanum. Digunakan sebagai kemeyan pembangkit bau aromaterapi apabila dibakar. Minyak olibanum digunakan sebagai kosmetik luaran dan campuran dalam beberapa ubat tradisi.[5]
4) Kulat bumi juga didakwa sebagai al manna. Nama asasnya adalah ‘truffle’, sejenis tumbuhan tanpa batang dan seperti ubi kentang. Ianya menjadi kegilaan kepada kepada penggemarnya sehingga harga jualan mencecah ratusan ribu ringgit. Ia digunakan sebagai bahan campuran dalam masakan.[6]
Suhazeli.com 

Fb.com/drsuhazeli 

14.11.2017

Sebarang Takir 

Pautan:

[1] Tafsir Surah al Baqarah 57. http://kongaji.tripod.com/myfile/al-baqoroh_ayat_57-61.htm

[2] Benarkah Al Manna Penawar Pelbagai penyakit. http://addienblog.blogspot.my/2017/05/benarkah-al-manna-gam-arab-penawar.html?m=1

[3] Kombucha. https://en.wikipedia.org/wiki/Kombucha

[4] Arabic Gum. https://www.orangeshinesquare.com/blogs/news/-khasiat-kajian-testimoni-arabic-gum-gam-arab-almanna

[5] Boswellia- frankincense. https://en.wikipedia.org/wiki/Frankincense

[6] Truffle. http://www.cbsnews.com/news/truffles-the-most-expensive-food-in-the-world/

, ,

BigPharma milik Yahudi? 

Saya termenung kesian apabila membaca tulisan yang bertajuk “BIG PHARMA milik Yahudi akan jatuh bangkrap jika semua pesakit kanser amalkan HABBATUS SAUDA”. Dakwaan tulisan tersebut bahawa Habbatus Sauda ini ajaib kerana kuasa penyembuhannya menandingi ubat kimoterapi yang termahal atas dunia ini. Kemudian beliau meletakkan beberapa kajian saintifik yang menyokong habbatus sauda, kononnya telah terbukti keberkesanannya.

.

Kenapa saya termenung? Pertama, saya kesian pada masyarakat yang masih lagi kongsi dan percayai pelbagai teori dari tulisan sebegini. Tulisan yang menyanggah adat perubatan kini banyak berlegar dalam dunia maya. Antaranya isu minum air sejuk di pagi hari[1], kacang soya[2], makan makanan berprotein[3], stevia[4] dan pelbagai lagi yang sudah banyak diterangkan kembali oleh para pakar yang ahli dalam bidang masing-masing. Sekali lagi saya kesian kepada masyarakat yang dahagakan ilmu, tetapi dihidangkan dengan penulisan berbentuk pseudosains ini. Habbatussauda bukan anti-kanser. Tidak boleh disamakan atau menandingi kimoterapi, kerana tidak pernah dibuktikan pun habbatussauda itu mengalahkan kimoterapi. Kita boleh lihat sendiri dalam sejarah perubatan samada modeb atau silam, tak pernah ada catatan pun habbatussauda itu anti kanser. Jika benar ianya boleh menandingi kimoterapi, sudah tentu banyak pelaporan yang dibuat, ditulis, malah pihak hospital pun akan menggunakannya. Perubatan moden tidak pernah dengki dengan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat. Malah kita tidak bangkrap pun jika tidak menggunakan jintan hitam ini.

.

Kedua, tulisan berkenaan selalu momokkan Bigpharma (kilang farmasi gergasi) mempunyai agenda Yahudi. Bigpharma akan membenamkan perubatan timur atau perubatan bergelar sunnah. Perubatan moden yang mengaut keuntungan akan bangkrap jika khasiat habbatussauda ini terbongkar!

.

Mengapa lemahnya kita? Kenapa sanggup mengucapkan ucapan pesimis? Sehingga seolah-olah bigpharma itulah yang terhebat dan kita tidak boleh menandingi. Kita sudah tiada izzah ke?

.

Saya lontarkan soalan sedemikian kerana, kita selalu mempersalahkan orang lain yang menampakkan kelemahan kita. Sedangkan kita muslim. Jika benar habbatussauda atau seumpamanya itu boleh menyembuhkan, bawalah bukti. Lantiklah saintis Islam yang boleh membuktikan, maka buktikan segera. Malah para perawat sendiri yang menDAKWA habbatussauda itu menandingi kimoterapi, buat catatan dan kemukakan berapa peratus pesakit mereka yang sudah berikan rawatan itu sembuh. Zaman kini memerlukan bukti. Jika benar berkesan, KKM pun boleh guna sebagai modul berubat. Jika sekadar dakwa, khasiat itu dan ini tanpa diterjemahkan berapa kes telah sembuh melebihi kimoterapi, maka ianya hanya berlegar diperingkat khayalan, bukannya realiti.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

11.11.2017

Kuala Berang

.

Rujukan

[1] Minum air sejuk sebab buah pinggang. http://suhazeli.com/wp/?p=1601

[2] Cisplatin. Benarkah kacang soya menjahanamkan?. Root Of Science. http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/nutrisi/benarkah-kacang-soya-menjahanamkan/

[3] Makanan Berprotein penyebab sakit buah pinggang. http://suhazeli.com/wp/?p=2000

[4] Cisplatin. Stevia – Pemanis atau Racun. Root Of Science.

http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/stevia-pemanis-atau-racun/

,

Bawang Putih dan Sel Kanser


Hampir semua media sosial kongsi video berkenaan kononnya sel kanser melarikan diri apabila disua bawang putih. Menghairankan pula apabila disua emas, sel kanser tersebut bergerak minat. Maka ramai yang takjub, lantas bawang putih adalah ubat paling hebat melawan kanser. Manakala sesiapa yang memakai emas boleh menyebabkan kanser semakin teruk. 

Betul ke? 

Saya teliti sebaran tersebut dalam kebanyakan media sosial, versi bahasa inggeris dan versi bahasa melayu. Biasanya versi bahasa melayu itu terjemahan dari versi asal bahasa inggeris. 

Sebagai ahli perubatan, saya akan soal kembali, apa signifikan ujikaji bawang putih dan cincin emas? So what? 

Adakah jika doktor akan suakan bawang putih kepada pesakit yang ada ketulan kanser,kanser tersebut bergerak? Contohnya kanser payudara, apabila disuakan bawang putih, ketulan kanser itu akan bergerak menjauhi dari rongga dada ke tengkuk, ke kerongkong seterusnya keluar ikut mulut? Kemudian pesakit sembuh dari kanser? Tidak sesekali. Rawatan kanser adalah pembedahan dan kimoterapi. 

.

Rupa-rupanya sel yang dikatakan sebagai sel kanser itu bohong. Ia sejenis logam yang direka khas. Mempunyai kuasa magnetik yang tinggi bernama Magnetic Thinking Putty. Lihat magik dalam paparan video berikut https://youtu.be/ZXJuJQVrgbI.[1] Kemungkinan pergerakan “sel kanser” tersebut adalah diaruh melalui besi yang digerakkan di bawah meja ujikaji.

Dari sudut perubatan, adakah bawang putih boleh mencegah kanser atau merawat kanser? Laman web rasmi cancer.gov telah menulis mengenai laporan kaitan antara bawang putih dan pencegahan kanser. Hasil laporan kajian yang mereka jalankan adalah:

i) Kebanyakan kajian saintifik perubatan mempuyai had tertentu, seperti jumlah sampel kajian yang kecil, ketidak-tepatan dos dan frekuensi pelbagai bawang putih yang digunakan.

ii) Kajian menggunakan bawang putih yang tidak standard dalam sesatu masa menyebabkan tidak boleh membandingkan secara tepat keberkesanannya.

iii) Kesimpulan keseluruhan kajian mendapati terlalu amat sukar untuk mengaitkan bawang putih boleh mencegah kanser.[2]

iv) Tidak dinafikan bawang putih mempunyai khasiat tertentu seperti anti-oksidan. Tetapi anti-oksida bukannya anti kanser. Jauh sekali ianya bahan untuk merawat kanser.

Video tersebut juga memaparkan “sel kanser” mesra dengan emas. Nasihat saya kepada wanita yang memakai emas, pakailah semahunya. Tidak sesekali emas yang dipakai itu boleh menyebabkan kanser atau sel kanser yang sedia ada itu merebak. Tidak boleh dikaitkan sesekali kanser dengan pemakaian emas di badan manusia. Malah tidak pernah dibuktikan pun. 

Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 

7.11.2017

Kg Langgar

Pautan

[1] Watch Discovery channel: Street magic. https://youtu.be/ZXJuJQVrgbI

[2] Laporan cancer.gov bawang putih dan kanser. https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/diet/garlic-fact-sheet

P/S : Jika tak mahu pakai dah rantai emas, PM tepi kepada saya…boleh derma kepada mangsa banjir Penang dan Kedah leni.

,

Pemakanan Sunnah 

Oleh: Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Pensyarah UniSZA

Penggunaan perkataan makanan sunnah belum ditemui dalam kitab-kitab yang dirujuk. Pengertian makanan sunnah dapat difahami setelah dijelaskan pengertian sunnah terlebih dahulu.

Sunnah mempunyai beberapa pengertian .
PENGERTIAN SUNNAH

1.  Sunnah menurut ulamak hadis dan sirah  ialah apa yang diriwayatkan atau diceritakan tentang nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau keadaan fizikal atau akhlaq baginda sama ada sebelum sebelum menjadi rasul atau selepas menjadi rasul.
2.  Sunnah menurut ulamak usul fiqh pula ialah apa yang datang dari nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan atau pengakuan.
Dari dua definisi di atas, sunnah menurut ulamak hadis adalah lebih luas pengertiannya dari sunnah menurut ulamak usul fiqh. Definisi sunnah menurut  ulamak hadis sunnah merangkumi perbuatan, perkataan, pengakuan, kejadian fizikal, akhlaq baginda SAW dan peristiwa yang berkaitan baginda SAW (sirah).
Dari kenyataan di atas, makanan yang dimakan oleh nabi SAW dinamakan makanan sunnah menurut ulamak hadis. Tetapi menurut ulamak usul fiqh makanan yang baginda SAW tidak makan, tidak dinamakan makanan sunnah bahkan sunnahnya ialah cara baginda memakan makanan.
MAKANAN YANG BAGINDA MAKAN ATAU BAGINDA AKUI
Melalui penelitian dari hadis-hadis baginda SAW di antara makanan dan minuman yang dimakan atau diakui oleh baginda SAW ialah:
1. Roti yang dibuat daripada barli.

2. Kurma.

3. Daging kambing.

4. Daging burung.

5. Madu.

6. Buah Zaitun (baginda menyuruh menggunakan minyak zaitun sebagai minyak yang dilumur pada rambut).

7. Buah Tin.

8. Buah Timun (timun batang)

9. Cuka.

10. Ayam.

11. Delima.

12. Habbatussauda (bijirin hitam).

13. Air Zam Zam.

14. Pisang.

15. Anggur.

16. Susu.

17. Labu.

18. Tembikai

19. Rempah ratus.

20. Cendawan.

21. Susu masam (yogurt)

22. Mentega.

23. Kuah daging.

24. Bubur.

25. Sup daging.

26. Minuman manis yang sejuk.

27. Manisan.
ADAKAH SUNAT MEMAKAN APA YANG DIMAKAN OLEH BAGINDA SAW
Muslim diarah memakan makanan yang halal lagi berkhasiat. Adapun memakan makanan yang dimakan oleh nabi SAW untuk menunjukkan kecintaan kepada baginda SAW adalah perbuatan yang elok dan bagus.
Imam Muslim meriwayatkan
قَال أَنَسٌ: فَرَأَيتُ رَسُولَ الله صلى اللهُ عَلَيهِ وَسلمَ يَتَتَبَّعُ الدُّبَّاءَ مِنْ حَوَالي الصَّحْفَةِ. قَال: فَلَمْ أَزَلْ أُحِبُّ الدُّبَّاءَ مُنْذُ يَوْمَئِذٍ
Anas berkata, maka lihat nabi SAW mencari-cari sayur labu dalam bekas makanan (seperti talam). Maka sejak dari hari tersebut aku pun menyukai memakan labu.
Imam Nawawi menyatakan
فِي الْحَدِيثِ فَضِيلَةُ أَكْلِ الدُّبَّاءِ وَأَنَّهُ يُسْتَحَبُّ أَنْ يُحِبَّ الدُّبَّاءَ وَكَذَلِكَ كُلُّ شَيْءٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّهُ وَأَنَّهُ يَحْرِصُ عَلَى تَحْصِيلِ ذَلِكَ
Hadis di atas menunjukkan kelebihan memakan labu dan digalakkan memakan labu dan juga setiap apa yang disukai oleh Nabi SAW dan sunat berusaha melakukannya.
Walaubagaimanapun kaedah penyediaan makanan tersebut hendaklah dirujuk kepada pakar pemakanan terlebih dahulu.
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maka tanyalah golongan jika kamu tidak mengetahui. (Surah al Nahl 43)
Ibnu Majah meriwayatkan
عَنْ جَدِّهِ صُهَيْبٍ قَالَ

قَدِمْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ يَدَيْهِ خُبْزٌ وَتَمْرٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْنُ فَكُلْ فَأَخَذْتُ آكُلُ مِنْ التَّمْرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَأْكُلُ تَمْرًا وَبِكَ رَمَدٌ قَالَ فَقُلْتُ إِنِّي أَمْضُغُ مِنْ نَاحِيَةٍ أُخْرَى فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada datuknya Suhaib katanya aku pernah datang menemui nabi SAW dan di hadapan baginda SAW terdapat roti dan tamar. Lalu baginda SAW bersabda sila duduk dekat makanan tersebut dan makanlah. Maka aku pun mengambil makanan tersebut dan memakan kurma. Nabi SAW bersabda engkau memakan tamar sedangkan engkau sakit mata? Lalu aku menjawab aku menguyah untuk mata yang satu lagi (mata yang tidak sakit). Maka tersenyumlah nabi SAW.’ (Riwayat Ibnu Majah).
Pengarang kitab al Fath al Rabbani menyatakan kemungkinan Nabi SAW berkata begitu dengan tujuan bergurau dan boleh jadi juga baginda bermaksud mereka yang mengalami sakit mata tidak elok memakan kurma.
Hadis ini secara tidak langsung menerangkan mereka yang mengalami penyakit tertentu tidak sesuai memakan makanan tertentu.
Oleh itu, mereka yang membuat makanan sunnah hendaklah merujuk kepada pakar pemakanan terlebih dahulu supaya makanan yang diedarkan benar-benar berkhasiat.
Dalam pada itu, satu perkara yang perlu difikirkan, adakah nama makanan menimbulkan kekeliruan atau tidak?
َصَلَّى اللَّهُ وَسَلَّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
وَاللَّهُ أَعْلَمُ
كتبه

أحمد ترمذي طه حسن

خويدم طلبة العلم

عفا الله عنه

,

Kayu Manis dan Kencing Manis?

Orang Melayu memberikan nama kayu manis kerana ianya sejenis rempah ratus yang manis baunya. Kayu manis juga salah satu barang dagangan yang cukup bernilai zaman dahulu kala. Ianya juga menjadi salah satu bahan pengubatan herba sebelum masihi lagi. Popular dikalangan Mesir purba bahawa kayu manis digunakan untuk merawat batuk, sakit sendi dan sakit kerongkong. Bahkan rawatan turun temurun ini dikatakan boleh merawat kekejangan otot, muntah, cirit-birit, demam selsema, kurang selera makan dan mati pucuk.
.
Terdapat kajian bahawa cinnamon (nama saintifik bagi kayu manis) boleh membantu perawatan kencing manis, kurangkan kolesterol, elakkan nyanyuk dan sebagainya lagi. Kajian-kajian tersebut termuat dalam perpustakaan perubatan Amerika Syarikat dan UK. Namun kajian-kajian ini adalah kajian yang agak lama, sekitar tahun 2000 hingga 2006.[1]
.
Tiada halangan menjadikan kayu manis sebagai rempah ratus masakan. Aromanya pun semerbak wangi. Tetapi menjanjikan kayu manis ini sebagai ubat berkesan bagi menyembuhkan penyakit, adalah tidak tepat buat masa ini. Penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang dan beberapa penyakit kronik lain sehingga saat ini belum ditemui lagi ubat penyembuh. Ubat-ubatan moden diberikan bagi mengawal atau mencegah agar penyakit tersebut tidak terus merebak. Walaupun terdapat dakwaan dari pelbagai produk dalam pasaran, samada ianya “saintifik”, tradisional, alami dan seumpamanya, tiada pun satu bukti boleh menyembuhkan. Mungkin kelemahan dipihak pengeluar produk kerana tidak mengambil catatan yang kononnya mereka mendakwa pesakit sembuh dengan produk mereka. Tetapi apabila kita mahukan bukti berapa ramai atau peratusan yang berjaya, mereka tiada jawapan. Asas statistik ini mudah sahaja.
.
Cochrane.org, sebuah perpustakaan yang berstatus tinggi dalam dunia perubatan membuat penyelidikan berkaitan kayu manis (cinnamon). Mereka mendapati cinnamon memberikan kesan positif ke atas haiwan kajian. Akan tetapi kajian ke atas manusia masih lagi belum sahih pembuktiannya. Dalam 10 kajian Kawalan Rawak (Randomised Controlled Trial) seramai 577 pesakit, 2 gram cinnamon diberikan selama 16 minggu ke atas pesakit kencing manis jenis 1 dan 2; secara statistik kajian-kajian tersebut juga masih tidak mencukupi bukti keberkesanannya. Para pengkaji menyimpulkan kajian yang lebih besar perlu dibuat.[2]
.
Dalam satu dimensi lain, cinnamon ini mempunyai kesan negatif yang tersendiri. Sesetengah individu yang sensitif, cinnamon boleh meningkatkan risiko kerosakan hati. Bahan aktif yang terdapat dalam cinnamon adalah Coumarin. Menurut Jurnal Food & Chemical Toxicology, jumlah yang dibenarkan pengambilan seharian (Tolerable daily intake – TDI) coumarin ini sebanyak 0.07 mg/kg setiap individu sehari.[3] Campuran cinnamon ini ke dalam gulai, bubur atau teh dengan mudah boleh melepasi jumlah yang dibenarkan ini.
.
Contohnya; jika berat individu 72.1 kg, jumlah maksima TDI adalah 5 mg coumarin sehari. Sekilogram serbuk cinnamon mengandungi antara 2.1 hingga 4.4 g coumarin. Dengan anggaran sekilogram cinnamon boleh diceduk sebanyak 362.29 sudu teh, bermakna setiap sudu teh terkandung didalamnya antara 5.8 hingga 12.1 mg coumarin. Jumlah ini telah melebihi TDI setiap individu.
.
Kajian dari German mendapati perbezaan besar antara jenis-jenis kayu manis ini. Serbuk Cassia cinnamon lebih 63 kali ganda coumarin berbanding dengan jenis serbuk Ceylon cinnamon. Manakala kayu Cassia cinnamon mengandungi 18 kali ganda coumarin berbanding kayu Ceylon cinnamon.[4]
.
Justeru, berpada-pada lah mengambilnya. Samada semasa kita memasak di dapur rumah kita, ataupun membeli dari para penjual dalam apa bentuk sekalipun.
.
Sekali lagi… makanlah… tiada halangan. Jangan salah faham penulisan ini.
.
Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
19.10.2017
Abu Dhabi
.
Pautan:
[1] Benefit of Cinnamon.
[3] Food and Chemical Toxicology.
[4] Kesan Kesihatan makan Kayu Manis.