Wajibkah Susu Ibu Selama 2 Tahun?

Tidak perlu bersangatan memarahi ibu-ibu yang mengambil keputusan untuk meneruskan penyusuan anak mereka sehingga genap 2 tahun. Kita pun menyarankan pemberian susu ibu itu boleh diteruskan sehingga 2 tahun. Namun makanan pelengkap haruslah diberikan seawal bayi berumur 6 bulan bagi memberikan jizi lengkap makanan sesuai dengan berat badan dan usia bayi yang semakin bertambah.

Menjadi kegusaran kita apabila segelintir dari mereka berkeras untuk memberi hanya susu ibu semata-mata tanpa makanan pelengkap bayi selepas 6 bulan. Keputusan mereka berbuat demikian mungkin atas salah faham mengambil penafsiran ayat al Quran yang menyarankan susu ibu selama dua tahun. Tulisan ini menjawab golongan yang bermati-matian pertahan “Extended Exclusive Breast Feeding” (EEBF) yang menyusu bayi mereka hingga 2 tahun tanpa makanan pelengkap. Malah mereka mula mengecam dan menuduh saranan dari doktor dan pakar nutrisi sebagai tidak mengikuti sunnah dan berkefahaman barat.

Ketahuilah bahawa fahaman mereka yang terlalu totok itu adalah satu kefahaman karut yang direka-reka oleh mereka yang tidak melihat secara menyeluruh penafsiran Al Quran, Hadis serta alim ulama.

Dipaparkan di sini jawapan dari Ustaz Ahmad Tarmizi Taha apabila ahli jemaah pusat talaqqi bertanyakan mengenai isu tersebut.

Soalan yang dikemukakan adalah: Kalau ikutkan dalam al Quran ada ayat yang ceritakan tentang penyusuan anak sebaiknya sehingga umur 2 tahun. Sebagaimana ayat al Quran surah al Baqarah ayat 233, fuqaha’ keluarkan hukum berkait dengan najis mukhaffafah bagi bayi. Bagaimana aplikasi hukum dan kefahaman ayat ni sedangkan kalau diikutkan nasihat doktor bayi perlu diberikan makanan tambahan bermula umur 6 bulan?

Ulasan Al Fadhil Ustaz:

Ayat yang berkaitan pemakanan kanak-kanak secara khusus tidak dinyatakan oleh al Quran. Menurut tabiat al Quran, keperluan asasi manusia dalam menerus kehidupan ini al Quran menerangkannya secara umum. Ia bukan bertindak sebagai satu hukum syariat dalam pengamalan kehidupan asasi. Al Quran hanya beri garis panduan umum iaitu: Memilih makanan halal dan baik, bersederhana, jangan melampau, jangan memakan bangkai dan sebagainya. Hal-hal keduniaan dan urusan yang berkaitan, al Quran mengarahkan bertanya kepada siapa yang ahli dalam sesuatu urusan itu.

Berkaitan makanan yang sesuai untuk peringkat umur pula, ianya tidak dinyatakan oleh al Quran kerana perkara ini terserah kepada pakar pemakanan. Jika terdapat kajian yang telah dibuat bahawa makanan pelengkap bermula enam bulan, bermakna ini adalah saranan pakar yang perlu diikuti. Boleh lihat kajian ini yang mengesyorkan makanan pelengkap perlu diberikan kepada bayi setelah usia 6 bulan [1]. Ini kerana jizi pemakanan bayi perlu ditambah selain dari susu ibu semasa proses pembesaran [2]. Bayi akan membesar 2 kali ganda pada 6 bulan pertama dan 3 kali ganda pada 12 bulan pertama kehidupan. Makanan pelengkap penting bagi perkembangan fizikal dan mental serta spirtual. Bukan bermakna meninggalkan terus susu ibu. Susu ibu juga penting sehingga bayi mencecah umur 24 bulan seperti mana dinukilkan dalam Al Quran.

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ ﴿١٤﴾

Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Surah Luqman Ayat 14.

Had dua tahun umur kanak-kanak lelaki yang berkaitan najis mukhaffah bukan bermakna tidak boleh diberi makanan tambahan kepadanya.

Sandaran yang kuat kenyataan ini ialah jika benar tidak sesuai diberi makanan tambahan kepada kanak-kanak sebelum berusia dua tahun berdasarkan kenyataan tersebut, nescaya yang terlibat dengan kenyataan ini adalah kanak-kanak lelaki sahaja kerana air kencing kanak-kanak perempuan adalah najis mutawassitah sejak dia dilahirkan.

1) Adakah boleh kita kata pemakanan kanak-kanak lelaki berbeza dengan pemakanan kanak-kanak perempuan?

2) Jika bayi masih menyusu susu ibu, tetapi ditambah dengan makanan lain yang tidak berat sebelum umur 2 tahun, apakah hukum najis mukhaffafah tu masih teraplikasi?

Jika maksud tidak berat dengan makna tidak mengenyangkan, hukum najis mukhaffafah masih terpakai.

Jazakumullah..

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Panel Taman Ilmu

Rujukan

[1] Effects of Exclusive Breastfeeding for Four versus Six Months on Maternal Nutritional Status and Infant Motor Development: Results of Two Randomized Trials in Honduras. http://jn.nutrition.org/content/131/2/262.short

[2] Nutrition, Growth, and Complementary Feeding of The Brestfed Infant. http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S003139550570287X

Tulisan disunting oleh

Dr Suhazeli Abdullah

Kisah Bertukar Bayi

Pengalaman saya berkerja di dewan bersalin satu ketika dahulu amat sukar untuk setiap bayi bertukar ibunya. Sebaik sahaja lahir, tali pusat bayi diikat (clamp) dan terus kita unjukkan pada siibu supaya lihat bayi yang baru lahir itu. Kita akan minta siibu sebut secara jelas bahawa bayi itu lelaki atau perempuan. Kemudian setelah tali pusat dipotong, kita beri sekali lagi kepada ibu untuk dakap bayi dan memberi suapan susu kali pertama.

Pendek kata terlalu amat sukar untuk bayi-bayi yang dilahirkan di dewan bersalin itu tertukar atau tersalah beri kepada ibu kandungnya yang sebenar. Mungkin kes-kes terpencil yang tidak pernah kita dengar berlaku di hospital kita, bertukar bayi akibat tersalah letak lebel (tag) di kaki. Setahu saya tak pernah berlaku.

Bertambah pelik apabila terdapat satu viral tulisan yang mendakwa dua orang bayi berlainan jantina tidak dapat disahkan ibu mereka. Diberitakan peristiwa itu berlaku di Amerika Syarikat yang termaju dari sudut teknologi di atas dunia. Negeri mana di Amerika yang berlaku kes ini? Tidak disebut secara jelas. Komang sangat hospital berkenaan hinggakan ujian DNA pun tak boleh buktikan anak yang sah dari sudut biologi siapa ibu atau bapa kandung mereka?

Ayat al Quran surah an Nisa: 11 yang dijadikan dalil bahawa lelaki mempunyai hak dua kali ganda lebih dari perempuan adalah ayat yang menyentuh berkisar dengan hak pewarisan harta. Tiada ulama tafsir yang menafsirkan hak untuk mendapat nutrisi susu ibu lebih antara bayi lelaki mengatasi bayi perempuan. Bahkan ujian yang mengatakan perbezaan susu ibu untuk bayi lelaki vs bayi perempuan adalah tidak konklusif. Keputusan kajian masih lagi tidak dapat menentukan perbezaan dan perlu kajian lanjut dari para saintis yang mengkaji.[1]

Lagipun apa pula alasan yang hendak diberikan kepada bayi dari ibu susuan? Malah Rasulullah saw sendiri pun menyusu dari ibu susuan baginda, Halimah al Sa’diyyah. Kisah masyhur bahawa Rasulullah saw dipelihara oleh ibu susuan sepertimana catatan dalam kitab الانوار في سيرة النبي المختار. Halimah al Sa’diyyah menyusu dan mengasuh Rasulullah SAW selama 4 tahun disebuah perkampungan luar kota Makkah. Dalam kitab السيرة النبوية dan حدائق الانوار dinyatakan setelah dua tahun Halimah membawa Rasulullah SAW kepada bonda baginda tetapi Halimah memohon baginda terus dipelihara olehnya dan bonda baginda setuju dengan permohonan tersebut.

Walaupun Allah menjadikan biologi wanita yang hamil dan melahirkan zuriat jantina setiap anak berbeza, itu adalah mempunyai hikmah tersendiri yang Allah jadikan atas setiap manusia. Hatta setiap kali kehamilan, nutirisi kandungan susu ibu boleh berbeza-beza mengikut peredaran fisiologi badan siibu dan stimulasi yang dirangsang oleh anak. Tetapi berbezaan nutirisi itu bukan menjadi syarat atau dalil kepada pembahagian harta waris setelah siibu menjadi arwah.

Sekian ulasan suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

23.1.2019

Kuala Terengganu

Pautan

[1] Laura Galante et. al. Sex-Specific Human Milk Composition: The Role of Infant Sex in Determining Early Life Nutrition. Nutrients 2018, 10, 1194; doi:10.3390/nu10091194 www.mdpi.com/journal/nutrients

Air Rebusan Tali Pusat?  

​Artikel Asal dari: REBUS TALI PUSAT?
Oleh: SN Nabiila 

Orang tua-tua bilang, tali pusat adik beradik mesti simpan serta disatukan dalam satu bekas supaya adik beradik tak bergaduh! 
Anehnya, ada juga disatukan tapi adik beradik masih bergaduh. Kerana itu ada peribahasa carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.

Menyimpan tali pusat anak-anak adalah harus hukumnya asalkan ia tidak dengan niat tidak mahu anak-anak bergaduh, atau untuk simpanan akan datang agar boleh direbus/direndam untuk diberi minum jika anak demam. Jika nawaitu adalah seperti ini, maka boleh menjadi syirik dan terjejaslah aqidah.
Tali pusat yang sudah disimpan bertahun-tahun tidak diketahui entah berapa banyak kuman dan bakteria telah melekat padanya kemudian mahu direbus dan diberi anak minum? Ibu/Ayah taknak try dulu? 
Ia boleh dikategorikan sebagai najis. Sesuatu yang sudah tertanggal dari bayi seperti uri dan tali pusat adalah bangkai. Samada ianya masih baru dalam keadaan basah atau dikeringkan sebagai simpanan. Ianya Kotor. Lepas dah minum, nak ratah pula ke tali pusat itu atau mahu disimpan lagi?
Tradisi menyimpan tali pusat adalah sesuatu yang sia-sia. Ia tidak mempunyai nilai perubatan samada penyakit fizikal atau mental. Namun, segelintir umat melayu menyimpan tali pusat bayi yang tertanggal kerana  mengikut-ikut tradisi nenek moyang atau nasihat orang tua mahu dijadikan kenangan kelahiran anak-anak.
Sebaliknya, yang berkhasiat sebenarnya sel stem dari darah tali pusat yang diambil sejurus bayi dilahirkan. Darah dari tali pusat ini mengandungi sel muda (stem cell) dan kajian mendapati mempunyai potensi untuk menyelamatkan nyawa atau menghalang risiko seseorang jika ditimpa penyakit tertentu. Proses penyimpanan ini tidak menyakitkan dan tidak memberi risiko kepada ibu dan bayi.

Dah menjadi adat kalau adik beradik bergaduh sesama sendiri. Kita yang dah besar pun kadang-kadang terkecil hati dengan adik-beradik sendiri, inikan pula kanak-kanak. Jika anak-anak bergaduh seeloknya;
1) Asingkan mereka dahulu untuk elak pergaduhan melarat. Jangan sokong mana-mana pihak.
 2) Pujuk anak yang cedera atau dipukul. Perhati jika ada kecederaan lain.
3) Nasihat dan kenalpasti punca kemarahan anak yang memukul. Cuba selesaikan masalah tersebut.
4) Ajar bermaafan dan tidak berat mulut dengan ungkapan maaf. Agar mereka tahu jika ada membuat salah maka permohonan maaf perlu dibuat.
Seeloknya ajar anak untuk berkongsi barang atau makanan. Ini akan mengajar mereka untuk saling hormat dan memupuk kasih sayang antara satu sama lain.
Jangan buat perbandingan antara anak-anak kerana bimbang akan menyebabkan punca iri hati antara satu sama lain.
Antara doa atau surah yang boleh diamalkan bagi melembutkan hati si anak antaranya;
1. Al-Fatihah = 3 kali
2. Selawat ke atas Nabi s.a.w = 3 kali
2. Surah al-Insyirah = 7 kali
3. Surah ali-Imran ayat 200 = 1 kali
4. Surah Thaha Ayat 1-5 = 1 kali
5. Baca Ya Muqit berulang kali.
Bacakan semasa memasak, membuat air atau semasa anak tidur dengan niat mahu melembutkan hati anak-anak dan dijauhkan mereka dari iri hati.
Notakaki:

Sesungguhnya doa dari ibu itu melebihi segalanya. Janganlah bagi benda kotor untuk anak makan/minum.
#BelNawhen

#SayaJururawat

Gila Akibat Terlalu Banyak Belajar 

Terdapat satu tulisan dari seorang blogger yang bertajuk kanak-kanak 7 tahun gila akibat banyak membaca.[1] Pautan tulisan itu telah dikongsi oleh rakan-rakan media sosial yang lain, sehinggalah menjadi satu kebimbangan para ibu bapa untuk mendidik anak-anak sejak dari kecil. Bimbang perkara yang sama akan terjadi ke atas zuriat mereka.

Tulisan yang dimuatkan dalam blog tersebut agak keterlaluan dan berandaian silap. Lantas memberi konklusi negatif mengenai sesuatu amalan yang kita semua lakukan, mendidik anak-anak untuk membaca. Tulisan tersebut juga tidak menyatakan dengan tepat di mana berlaku dan siapa kanak-kanak berkenaan (Ya mungkin ingin menjaga kerahsiaan pesakit).

Cuma bagi saya sebagai seorang doktor, penceritaan ringkas sedemikian sukar untuk dijadikan dalil dan bukti bahawa terlalu banyak membaca samada melalui paksaan atau tidak boleh menyebabkan gila. Terlalu mudah konklusi/diagnosis diberikan! Ia boleh mendatangkan salah faham dan kecelaruan dalam masyarakat.

Jika lihat kepada penceritaan itu kemungkinan kanak² itu alami Autistic Spectrum Disorder (ASD). Bukan kerana paksaan para ibubapa utk membaca. Penyakit ASD ini boleh berlaku seawal berumur 3 tahun yang melibatkan ketidakbolehcapaian dalam interaksi, kominikasi, minat dan perangai. Keadaan tertentu, kanak-kanak ASD akan mengulangi perkataan sama dan meniru perbuatan seseorang secara berulang-ulang. Seolah-olah beliau berada dalam dunia ‘khayalan’ tersendiri. Jika diagnosis sedemikian, pakar sakit jiwa (psikiatri) adalah pakar perubatan yang paling layak serta khusus merawat kanak-kanak ASD ini.

Membaca jendela ilmu. Malah wahyu pertama Rasulullah juga iqra (baca), tidak boleh wewenang tuduh akibat membaca boleh jadi gila. Punah dunia jika berfikiran demikian. Penceritaan tanpa usul lanjut sebegini tidak tidak boleh dijadikan hujah kepada manusia akan datang supaya jangan membaca. Bertanya lah doktor, apakah penyakit sebenarnya (jika boleh). Jika tiada masa, tidak perlu berandaian bahawa kanak-kanak itu gila akibat banyak membaca.

Malah para Imam Mazhab yang besar jika dilihat sejarah hidup mereka membaca dan bijak sedari kecil lagi. Tak gila pun. Kita sendiri pun melatih anak-anak membaca dan menghafal Al Quran sejak mereka mula boleh bertutur.

Maaf atas teguran ini.

Dr Suhazeli Abdullah
Insan Faqir
Fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY
#MedicalMythBustersMalaysia

10 Ogos 2016
Dorsett Grand, Subang

Rujukan
[1] kanak-kanak 7 tahun gila. http://wartawan-jalanan.blogspot.my/2016/08/kanak-kanak-7-tahun-gila-akibat-terlalu.html?m=1
[2] Autistic Specteum Disorder (ASD). http://www.nimh.nih.gov/health/topics/autism-spectrum-disorders-asd/index.shtml