TB Akibat Jin

Penyakit TB itu sejenis penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan pesakit batuk, demam dan kurang selera makan. Jika tidak dirawat penyakit ini boleh membawa maut. Sebelum penemuan antibiotik, Tb membawa kematian seorang dari 7 penduduk dunia.

Penyakit ini sebenarnya sudah wujud sejak sekian lama, cuma kuman tersebut tidak dapat dikenal pasti secara sahih. Mereka tahun bahawa tanda-tanda penyakit Tb sedemikian rupa, tetapi hanya berserah kepada takdir yang menentukan hidup mati. Antara rawatan di zaman sebelum penemuan antibiotik, pesakit dikehendaki berselimut, rehat dan makan ramuan makanan seperti minyak ikan Cod, urutan dengan cuka dan hidu minyak turpentin.

Walaupun Dr. Robert Koch telah mengenalpasti kuman TB tahun 1882, tetapi rawatannya masih lagi tidak dikaji. Sehinggalah 60 tahun selepas penemuan kuman TB, 1943, Selman Waksman, Elizabeth Bugie, dan Albert Schatz mengenalpasti antibiotik bernama streptomycin untuk merawat TB. Kemudian, penemuan beberapa penambahan antibiotik lain lagi yang digabungkan bersama selepas itu. Tujuan utama pemberian antibiotik secara gabungan ke atas pesakit TB itu adalah bagi memastikan kuman TB dihapuskan sepenuhnya.

Dos dan penentuan berapa lama pesakit dihendaki makan ubat TB Bukannya dibuat secara semberono. Ianya telah melepasi kajian demi kajian. Ujikaji dilakukan terhadap haiwan dan manusia sehinggalah ianya terbukti selamat dan berkesan. Selamat di sini bukan bermakna ianya bebas dari kesan sampingan, tetapi majoriti pesakit dapat mengambilnya dengan jaya walaupun terdapat kesan ringan. Terpenting sekali adalah sembuh dari penyakit TB dalam tempoh yang ditentukan.

Semuanya ini adalah kejayaan perubatan yang tidak dinafikan. Mungkin pada masa hadapan terdapat lagi kaedah lain yang lebih mudah, cepat dan kos yang murah. Mungkin! Namun buat masa ini, sains telah membuktikan bahawa pemberian antibiotik melalui DOTS (Directly Observed Treatment, Short-course) berjaya menyelamatkan berjuta nyawa.

Kita sedih kerana terdapat segelintir pihak yang menolak rawatan antibiotik untuk TB ini dengan alasan penyakit yang mereka alami adalah kerana rasukan jin. Walaupun mereka telah ke hulu ke hilir untuk berbomoh, sakit tetap tidak sembuh. Akhirnya kembali juga menemui doktor untuk mendapatkan rawatan sekadarnya. Mereka makan ubat TB dalam keadaan tidak ‘redha’ kerana pemikiran mereka masih lagi terbelenggu aruhan bomoh yang mengatakan jin itu terlalu kuat, ubat hospital banyak bahan kimia dan konspirasi orang kafir bagi melemahkan umat Islam.

Mereka lupa bahawa hakikat ilmu alat itu adalah sesuatu yang hilang dikalangan umat Islam. Jika apa sahaja penemuan ilmu alat melalui sains itu menguntungkan Islam, maka sepatutnya kitalah orang yang paling utama mengambilnya dan perjuangkan.

Sekian

Fb.com/Suhazeli.abdullah

5.10.2019

Kuala Berang

Sebab Pesakit Buah Pinggang Selalu Letih

Pesakit Buah Pinggang kronik akan nampak selalu letih dan tak bermaya. Sebab mereka mengalami anaemia.

Apa tu Anemia?

Anemia adalah satu keadaan di mana hemoglobin (Hb) sel darah merah berkurangan. Tugas utama Hb adalah membawa oksigen ke seluruh badan. Jadi jika Hb kurang, oksigen yang mengalir juga kurang. Oleh yang demikian pesakit akan senantiasa letih, pucat, sesak nafas, pening dan beberapa tanda lagi.

Apa pulak kaitan kurang Hb ini dengan buah pinggang?

Hormon yang penting dalam proses pembentukan sel darah merah adalah eritropoitin (EPO). Hormon EPO ini dikeluarkan oleh buah pinggang. Apabila buah pinggang rosak, pengeluaran EPO akan terbantut. Justeru itu, pengeluaran sel darah merah juga akan berkurangan.

Jagalah buah pinggang anda supaya tidak rosak. Punca utama kerosakan buah pinggang di Malaysia adalah penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sebagaimana kajian yang telah dijalankan 58% dari kes yang baru menjalani rawatan haemodialisis adalah terdiri dari pesakit kencing manis. Ubat kencing manis yang didakwa mengandungi bahan kimia itu bukan penyebab kerosakan buah pinggang.

Inilah kenapa doktor terlalu bersungguh beri nasihat dan ‘marah’ apabila terdapat pesakit yang degil. Doktor lagi melenting apabila pesakit mengambil produk kesihatan yang entah dari mana kesahihannya sehinggakan kencing manis tidak terkawal. Doktor akan Tepuk Dahi Berjemaah (TDB) apabila terdapat pesakit terus tegakkan benang basah pertahankan produk yang dia beli. Sebenarnya mereka terpaksa pertahankan sebab sudah ribu riban berhabis duit beli produk.

Sedangkan masuk wad charge seringgit sahaja!

Sekian info kesihatan dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

15.6.2019

Pulau Redang

Pautan

Burden of Kidney Diseases in Malaysia. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2210600615300757