Hukum Harus, Wajib Vs Akta Wajib Vaksin

Sekurang-kurangnya dua badan berwibawa meletakkan status kenyataan maya berkaitan HUKUM mengambil vaksin.
Pernyataan awal oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas ke-166 yang menyatakan bahawa mengambil vaksin MENGIKUT JADUAL IMUNISASI KEBANGSAAN adalah WAJIB.[1]

Manakala Bahagian Dakwah, Jakim mengambil sumber yang sama Bayan Linnas SS Datuk Mufti Wilayah itu dengan membuat topik umum VAKSIN IMUNISASI ASALAH HARUS. Seolah-olah terdapat dua percanggahan pernyataan di sini dan golongan yang sengaja tidak mahu faham akan senantiasa menuduh golongan agamawan pun berbelah bahagi untuk menentukan hukum.
.
Ketika isu ini timbul sebelum ini, saya pernah menulis huraian panjang berkaitan istilah HARUS vaksin seperti yang dimaksudkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Suadah tentu ulasan saya itu tidak dibuat atas kapasiti individu, tetapi setelah bersemuka dengan para agamawan seluruh negara.
.
Istilah Harus yang digunakan menjadi hujah kepada pihak tertentu yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka. Istilah HARUS ini bukan bermaksud “tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila ditinggalkannya”  seperti apa yang biasa dibahasakan dalam bab ibadah.
.
Penerangan isu ini telah di ulas oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Taha, Pensyarah UniSZA. Rujukan beliau adalah Kitab Usul Fiqh karangan Muhd Abu Nur Zuhir Universiti Al Azhar. Pernyataan HARUS yang dinyatakan itu adalah merujuk kepada usul fikah hukum taklify yang merujuk kepada IBAHAH. Harus yang diterjemah dari ibahah ini pula membawa maksud hukum asalnya adalah harus. Tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib atau sunat atau makruh atau haram bergantung kepada perkara luaran yang berkaitan dengannya (ilah sesuatu perkara itu terbit).
.
Contohnya dalam situasi normal, minum air hukum adalah harus. Hukum ini boleh bertukar menjadi wajib jika kita tidak minum air menyebabkan mudharat seperti mati atau cacat. Begitulah ulama mengambil kaedah berhukum dengan memberi perumpamaan, jika sesuatu bahan itu tidak diambil, boleh menyebabkan seseorang berisiko mati, cacat atau banyak duit dihabiskan untuk merawat, maka harus secara taklify tadi sudah menjadi WAJIB.[2]
.
Berbalik kepada isu vaksinasi, jika hendak dikompromi antara FATWA dengan arahan KKM, ialah fatwa memutuskan hukum asal vaksinasi adalah harus, ianya perlu dikembalikan bertanya kepada golongan pakar dalam bab mengenalpasti penyakit, keseriusan wabak dan kaedah merawat dalam masyarakat. Majoriti pakar seluruh dunia memutuskan tanpa vaksinasi, mudharat samada maut, cacat anggota atau banyak duit digunakan untuk merawat akan berlaku secara pasti atau hampir pasti. Maka hukum HARUS tersebut bertukar menjadi WAJIB lighairih iaitu WAJIB kerana sebab luaran yang medesak sesuatu itu dilaksanakan.
.
Tiada percanggahan pernyataan antara Bahagian Dakwah Jakim dan SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Bahagian Dakwah Jakim mengambil pernyataan vaksin HARUS dari fatwa asal mengikut syariat Islam. Manakala SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan mengulas berkaitan kewajiban perlaksanaan mengambil vaksin mengikut jadual Imunisasi kebangsaan.
SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan juga menekankan: Memandang kajian mengenai vaksin sudah menempuh ratusan eksperimen dan puluhan tahun pengalaman, sehingga menghasilkan penawar dan pencegahan antara yang terbaik dalam sejarah perubatan manusia, maka tidak sepatutnya kita sebagai orang Islam menolak pemberian vaksin ini atas alasan yang tidak kukuh sehingga menyebabkan kerosakan dan penyakit kembali merebak dalam masyarakat kita.
.
Beliau juga telah membuat kesimpulan yang seimbang dalam isu ini:
  • Menjadi tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam untuk memastikan persekitaran kita bebas daripada penyakit berjangkit.
  • Bahawa pengambilan vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan adalah wajib ke atas ibu bapa untuk anak-anak mereka. Ibu bapa dan penjaga yang lalai daripada kewajiban ini adalah berdosa apabila anak-anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan. Sekiranya penyakit berkenaan membawa mudarat kepada orang lain kerana kecuaian ibu bapa, atau penjaga tersebut, maka mereka mendapat dosa yang lain.
  • Kami mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan pengambilan vaksin bagi kanak-kanak pada peringkat Kerajaan Persekutuan.
  • Warga dewasa juga disarankan untuk mengambil vaksin-vaksin alternatif seperti kata Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC).
  • Dalam masa yang sama, Jadual Imunisasi Kebangsaan itu perlulah sentiasa disemak disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan, kandungan bahannya dan kesannya kepada kemampuan ekonomi negara.
.
Melihat balik beberapa kenyataan dari para agamawan sebelum dari ini, nada dan syor mereka adalah selari.
  1. Kenyataan dari Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang juga ahli Majlis fatwa Kebangsaan. Ibu bapa yang sengaja menolak untuk bayi mereka disuntik vaksin sehingga menyebabkan anak menghadapi risiko penyakit adalah berdosa.[3- Berita Harian 26 April 2016]
  2. Kenyataan dari Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka diberikan vaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif, juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.[4- New Strait Times 24 Jun 2016]
  3. Kenyataan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad: Vaksin wajib diambil demi memastikan kesihatan ummah berada dalam keadaan yang baik dan terkawal kerana penularan pe­nyakit boleh dielakkan menerusi pengambilan imunisasi sesuatu penyakit.[5- Utusan Online 27 Jun 2016].
  4. Kenyataan Jawatankuasa Fatwa negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Datuk Dr Zulkifly Muda, pada 29 Jun 2019 telah membuat keputusan bahawa kanak-kanak di negeri ini wajib mendapatkan suntikan vaksin untuk membendung serangan penyakit dan menyebabkan masalah kesihatan yang teruk termasuk kematian.[6- MStar Online 5 Julai 2016].
.
Cuma dalam negara kita, akta mewajibkan (Mandatory Vaccination) pemberian vaksin masih belum ada secara rasmi kecuali Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Namun Akta 342 itu terakluk kepada program seliaan semasa wabak berlaku. Begitu juga dengan akta perlindungan kanak-kanak 2015 masih tidak kemas untuk memastikan anak-anak kita terlindung dari penyakit-penyakit yang mendatangkan bahaya.
Beberapa negara di serantau Asia ini telah pun mewujudkan akta yang sedemikain, seperti Brunei Darus Salam, Singapura dan Autralia. Walaupun terdapat pertentangan antara baik dan buruk mewujudkan akta khusus imunisasi kebangksaan ini, kita yang berada di bidang perubatan ini merasakan sudah sampai masanya kerajaaan mengambil serius cadangan dan syor dari para pakar perubatan dan agamawan di atas.
.
Sekian dari suhazeli.com
26.2.2019
Kuala Berang
.
Pautan
[2] Hukum Vaksin Harus atau Wajib. http://suhazeli.com/wp/?p=1210
[3] Berdosa dedah anak bahaya penyakit tanpa vaksin. https://www.bharian.com.my/node/147522

Prof Imelda Sedih

PROF IMELDA SEDIH

Terjemahan posting Prof Imelda Balchin pagi ni.

.

Hari ini saya sedih, dan hari ini saya berkabung sedih.

.

Cabaran paling besar sepanjang program (Analisis TVAH malam tadi) adalah tidak membiarkan air mata saya mengalir dan saya tidak kelihatan beremosi.

Semasa duduk dikerusi pentas, sejurus sebelum siaran berlangsung, mata saya terpandang seorang wanita, senyumannya terukir jelas walau disebalik kilauan kamera. Kemudian beliau meminta izin untuk mendekati saya di pentas. Beliau mara ke depan dan berkata: “Prof, ini untuk anda, terima kasih.”

.

Saya membalas, “Oh hello, hadiah ini untuk apa?”

.

Beliau menjawab: “Prof, Amy Karmila adalah kawan karib saya. Saya hanya ingin ucapkan terima kasih.”

.

Saya cukup tersentuh dan terharu sehingga mata saya berkaca menangis.

.

Saya berkata, “Takziah, maafkan saya, tolong maafkan saya…” Kami berpelukan ringkas kerana program sudah hendak dimulakan.

.

Sahabat karib wanita itu adalah (arwah) Amy Karmila semasa bersalin 5 tahun lalu. Arwah bersalin di rumah dengan seorang mendakwa diri sendiri sebagai doula bertauliah dan ‘Guru Bersalin’, juga mendakwa semua kelahiran manusia adalah proses fisiologi, juga doula tidak bertauliah perubatan yang tidak mengenalpasti situasi kecemasan, kecuali hingga (pesakit) sudah terlalu lewat.

.

Kemudian dia (doula) menghilang disebalik orang ramai, saya (sekarang) bersemuka dengan doula, duduk sebelah saya. Doula inilah yang mentauliah diri sendiri juga turut berada di sisi Amy Karmila, di hari itu dia (Amy) bersalin, di hari itu dia mati, bersalin secara lotus, tanpa kehadiran seorang pun pembantu kelahiran yang mahir.

.

Tetiba saya mendapati diri saya diselebungi sayu kesedihan sepanjang program berjalan. Sangat jelas bahawa doula yang berada tepi saya ini masih tidak sedar diri apa yang beliau telah lakukan. Sangat jelas doula yang berada tepi saya ini tidak belajar dari kesilapan lalu.

.

Di wad bersalin, kami bekerja secara kumpulan mahir untuk selamatkan satu nyawa. Walaupun sepanjang hidup kami bergelumang dengan latihan dan pengalaman, kami tidak sesekali bertindak bersendirian. Kami bergerak secara kumpulan.

.

Terlebih yakin boleh membunuh!

.

Terjemahan suhazeli.com, dari Facebook Prof Imelda Balchin https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156107307496659&id=679746658

Kementerian Kesihatan di Gesa Tegas dalam Isu Doula

Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang serius terhadap kewujudan kumpulan ‘’doula ekstrim‘’ yang mempengaruhi para ibu hamil dengan kefahaman songsang. Ia seterusnya berlarutan dengan isu kes saman sivil yang kelihatan berat sebelah terhadap seorang Pakar Perubatan Keluarga yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut definisi American Pregnancy Organization, doula adalah seorang yang terlatih dalam membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan) kepada para ibu hamil [1]. Berbeza dengan bidan, doula tidak dilatih untuk menyambut kelahiran. Fungsi mereka hanya untuk memberi sokongan emosi, pendidikan serta fizikal sebelum, semasa dan selepas bersalin. Mereka juga tidak bertauliah merawat atau mengendalikan sebarang kecemasan berkaitan proses kelahiran.

Kajian menunjukkan bahawa kadar kematian ibu yang bersalin di rumah adalah lebih 15 kali ganda berbanding kadar kematian ibu yang bersalin di hospital-hospital di Malaysia [2].

Namun begitu, di Malaysia, masih terdapat kelompok “doula ekstrim” yang melakukan tugas di luar daripada peranan mereka. Mereka meracuni pemikiran para ibu hamil dengan keburukan bersalin di fasiliti hospital, di samping menjanjikan proses bersalin yang ideal di rumah. Ibu-ibu hamil ini juga dimomokkan dengan keburukan pembedahan Caesarean.

Pakar Perubatan Keluarga tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab telah mendedahkan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh “doula” dalam proses kelahiran sehingga telah memberi kesan yang parah iaitu kematian bayi. Namun sekali lagi kita melihat kumpulan-kumpulan yang tidak memahami situasi sebenar sanggup menyerang individu yang cuba memberi peringatan kepada mereka mengenai kelahiran secara selamat.

Oleh yang demikian, Dewan Muslimat PAS Malaysia berpendapat bahawa pakar berkenaan perlu diberikan bantuan dan pembelaan yang sewajarnya. Hal ini kerana beliau hanya melaksanakan tanggung jawab sebagai seorang pakar dalam bidang perubatan untuk menasihati masyarakat dalam ruang lingkup jaringan media sosial yang begitu mencabar.

Di dalam era The 4th Industrial Revolution (4.0 IR), perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat mengakibatkan masyarakat menghadapi lambakan informasi tanpa sempadan. Maklumat yang begitu mudah diperolehi hanya di hujung jari menyebabkan masyarakat menjadi keliru serta mudah dieksploitasi. Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia berpandangan bahawa adalah penting untuk kerajaan membanteras segala bentuk penyelewengan terutamanya dari sudut ilmu kesihatan kerana ianya melibatkan nyawa yang tidak berdosa. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, menyelamatkan nyawa daripada sebarang kemudharatan adalah wajib [3].

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia bersama barisan Muslimat Medical Team (MusMedik) Malaysia dengan ini menggesa Kementerian Kesihatan agar :

i. Mewujudkan akta / peraturan yang ketat dalam mengawal kegiatan “doula”, atau kegiatan lain yang seumpama dengannya daripada terus menular tanpa kawalan.

ii. Mewujudkan serta mengiktiraf peranan para doktor pakar sebagai “advocators of contemporary medical practice” di media sosial, agar mampu berlari seiring dengan revolusi teknologi maklumat yang sememangnya memberi kesan (positif, juga negatif) terhadap perkembangan bidang perubatan.

iii. Cakna akan kebajikan para doktor yang menghadapi kes-kes saman dalam rangka menjalankan tugas, sebagai pengiktirafan terhadap jasa mereka yang setia berkhidmat kepada masyarakat, walaupun terdedah kepada pelbagai risiko dalam melaksanakan tanggungjawab berat tersebut.

Dewan Muslimat PAS Malaysia sekali lagi menyeru semua pihak agar bersama-sama berganding bahu dalam membanteras gejala yang tidak sihat ini daripada terus merebak umpama virus di dalam masyarakat.

Dr Rosni Adam
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Januari 2019 bersamaan 14 Jamadil Awal 1440

————————

Rujukan :

[1] Having A Doula: Is A Doula For Me? http://americanpregnancy.org/labor-and-birth/having-a-doula/
[2] Prof Imelda Balchin. Maternal Mortality Risk at Home Delivery. https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2104755969614890&id=1040952502661914
[3] SS Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. Hukum Menggunakan Khidmat Doula. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula

Rokok vs Ganja

Marijuana dan rokok, mana lebih berbahaya?

1. Asap hasil dari pembakaran marijuana menghasilkan kandungan toksin dan karsinogen seperti rokok.

2. Penghisap marijuana biasanya akan menyedut asap dengan lebih dalam menyebabkan pencemaran asap yang lebih teruk berbanding rokok.

3. Asap hasil hembusan marijuana mengandungi toksin dan karsinogen yang sama atau lebih dan berisiko mendatangkan kesan kepada perokok marijuana pasif.

4. Menghisap marijuana mendatangkan kecederaan kepada paru-paru dan menyebabkan bronkitis kronik, batuk dan kahak.

5. Marijuana juga melemahkan sistem imun badan untuk melawan penyakit.

6. Penghisap marijuana eksklusif (marijuana- only) didapati lebih kerap datang ke fasiliti kesihatan akibat masalah pernafasan berbanding perokok.

Bagi saya, dari sudut kesihatan semata-mata, ia nampak hampir sama bahaya. Namun begitu, kesian ketagihan marijuana bukan hanya sekadar ke atas individu.

Ia turut mendatangkan kesan sosial yang berupaya memberikan implikasi buruk terhadap komuniti.

Adakah marijuana selamat dan tidak berbahaya? Jelas, marijuana berisiko dan tidak selamat digunakan secara bebas.

Adakah ia boleh digunakan untuk merawat penyakit? Ya, untuk beberapa indikasi, sebagai rawatan sokongan terutamanya dalam bentuk dos farmaseutikal.

Adakah Malaysia ada undang-undang untuk mengawal penggunaan marijuana dalam bidang perubatan? Ya, akta sedia ada membolehkan produk berasaskan ganja didaftarkan sekiranya mencapai spesifikasi yang ditetapkan. Malah produk Sativex pernah didaftarkan di negara ini.

Adakah perlu hukuman ke atas kesalahan berkaitan ganja dikaji? Saya serahkan kepada pakar undang-undang dan bidang yang berkaitan.

Fahmi Hassan

Pharmacist

www.fahmihassan.net

Kerajaan Digesa Tegas Mengharamkan Ganja

Kita bimbang dengan gerakan yang cuba dibuat oleh ahli politik sekarang ini yang cuba menghalalkan penggunaan ganja dalam perubatan.[1] Walaupun atas alasan manfaat perubatan, tetapi ianya masih lagi menjadi satu kesangsian kita kerana akan berlaku penyalahgunaan ganja pada kemudian hari.[2] Maklumat yang kita perolehi, kumpulan yang bersungguh-sungguh sangat menghalalkan ganja itu dipelopori oleh pemain-pemain industri ganja antarabangsa. Penjualan ganja secara rekreasi yang akan menggunakan kelemahan penguatkuasaan kerajaan setelah menghalalkan ganja perubatan nanti. Tidak mustahil jika menghalalkan ganja perubatan akan menjadi kemasukan terus menjual secara berleluasa ganja rekreasi. Ianya akan membuka ruang kepada mudarat yang lebih besar dalam masyarakat jika tidak dipantau dengan tegas.[3] Kita boleh lihat sendiri contoh penagihan morfin dan heroin tetap berlaku, walaupun kawalan dan kebenaran penggunaan dadah itu secara perubatan.

Kita menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia terus utuh dengan keputusan yang dibuat selama ini. kita akan terus menyokong kenyatan terbaharu oleh Timb Menteri Kesihatan Malaysia Dr Lee Boon Chye agar mana-mana pihak yang merasakan ganja perubatan itu bermanfaat tampil ke depan untuk kemukakan kajian mereka. Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) sedia sahaja mendengar penghujahan yang dibuat oleh industri terbabit jika benar ganja itu memberikan manfaat kepada perubatan dan kesihatan negara..[4] Penegasan yang sama telah juga Ketua Pengarah Kanan Bahagian Farmasi Malaysia Dr Ramli Zainal dan Polis Di Raja Malaysia.[5,6]

Sebagaimana yang kita sedia maklum, setakat ini ganja adalah lebih mudarat dari manfaat.. Banyak laporan dan kajian para doktor seluruh dunia sudah pun dilakukan. Terdapat sedikit manfaat yagn sudah pun dicatat oleh para pengkaji. Justeru, Pihak berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) hanya meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex®️ untuk rawatan penyakit Sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome). Manakala United Kingdom, Canada, beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®️). kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai. Perlu diingat bahawa kebenaran atau halalkan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza halalkan untuk tujuan kajian perubatan.

Kebimbangan kita berasas, kerana beberapa ahli politik yang menyuarakan hasrat menghalalkan ganja itu beralasan; penanaman ganja membolehkan pendapatan rakyat meningkat. Alasan ini bukan bertujuan untuk manfaat perubatan pun tetapi terdapat agenda lain yang boleh mengelirukan. Lihat kenyataan Senator Yb Datuk Husam Musa seperti kenyataan akhbar Utusan Malaysia 2 Oktober 2018 lalu.[6] Begitu juga kenyataan Yb Dr Azman Ismail (PH Kuala Kedah) dalam Harian Metro 15 November 2018 lalu. Yb Nurul Izzah Anwar juga beberapa kali dalam media sosial beliau mengutarakan isu yang sama. kita bimbang jika tekanan yang kuat dari ahli-ahli politik tersebut akan menenggelamkan fakta benar hasil kajian yang telah dan sedang dijalankan oleh ahli perubatan seluruh dunia.

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

14.1.2019

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Husam Sedia Bentang Teknologi Ganja. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/513325/husam-sedia-bentang-teknologi-ganja-kesihatan

[2] Medical Marijuana. https://www.drugabuse.gov/publications/drugfacts/marijuana-medicine

[3] Tangkapan penyeludup ganja. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/10/481158/ganja-rm630250-dirampas

[4] Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. https://www.nst.com.my/news/nation/2018/12/444065/drug-company-must-come-own-research-if-they-wish-use-marijuana

[5] Kenyataan Rasmi Ketua Pengarah Farmasi Malaysia. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/12/16/clearing-the-haze-of-medical-marijuana-there-is-no-legal-barrier-for-companies-to-market-marijuanaba/#VkcehVQ6iapPfWOe.99

[6] Ganja Mampu Tingkat Pendapatan. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ganja-kesihatan-banyak-kelebihan-mampu-tingkatkan-pendapatan-rakyat-1.758932

[7] Polis Tidak Setuju Halalkan Ganja. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pdrm-tidak-setuju-penggunaan-ganja-untuk-tujuan-perubatan-194695#.XChGib-VU44.whatsapp

Buang Asid dalam Badan atau Bersedia untuk Mati???

Saya syorkan orang ramai tidak sebarkan info salah berkaitan “bahaya makanan berasid” dalam group sosial masing-masing. Ianya ditulis oleh seorang yang banyak menimbul kekeliruan dan menakut-nakutkan orang ramai. Sebelum ini beliau pernah menulis berkaitan minum air sejuk dipagi hari boleh rosakkan buah pinggang, bahaya ultrasound bayi dan beberapa isu lagi. Teguran oleh pakar telah pun dibuat melalui Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Asid amino yang terbentuk hasil dari pencernaan protein, bukannya asid yang boleh mempengaruhi PH badan. Ianya struktur asas protein setelah dicerna dalam perut, bukan asid pun. Seberapa banyak kita makan ayam, telur, daging, ikan sekalipun, Asid amino ini tidak sesekali akan menjadikan darah kita berasid sehinggakan mengganggu keseimbangan darah. Nama aisd amnio diberikan secara khas kerana komponen molekulnya terbentuk dengan gabungan protein dan hidrogen serta Carboxylic Acid. Walaupun ianya mempunyai gabungan berkenaan, tetapi asid amino bersifat amphoteric. Apa makna amphoteric? Sebatian yang boleh bersifat samada asid atau alkali dalam masa yang sama. Namun ianya tidak mempengaruhi PH darah. Lagipun darah kita sudah dijadikan Tuhan mempunyai sistem penimbal (buffer). PH darah akan senantiasa kekal jika kita sihat, kecuali kita mempunyai penyakit tertentu seperti rosak buah pinggang, rosak paru-paru dan pelbagai lagi. Dalam keadaan sedemikian sekalipun sistem badan kita akan senantiasa diimbal sebaik mungkin.

Kalau susah nak faham, analogi dia begini, siput babi itu adalah siput bukannya babi. Nama khas diletakkan sedemikian mungkin kerana wajahnya, tetapi ia sebenarnya siput. Harap boleh faham. Kalau tak faham lagi kena masuk kelas sains semula lah.

Nasihat saya, makanlahlah ikut menu makanan yang disyorkan. Suku suku separuh yang pernah dipromosikan oleh KKM perlu diamalkan oleh kita semua. Cukup lengkap jizi makanan tersebut yang terdiri dari suku karbohidrat, suku protein dan separuhnya adalah fiber/sayur-sayuran.

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

7/1/2019

Ketengah Jaya

Bolehkah Kencing Manis Sembuh?

Sudah banyak kali para pakar menegaskan bahawa setakat ini dan sehingga kini penyakit kencing manis belum dapat disembuhkan. Ubatan dan gaya hidup sihat yang disyorkan oleh pengamal perubatan seluruh dunia adalah hanya untuk mengawal paras gula dalam badan pesakit.

Justeru, dakwaan pihak-pihak tertentu yang kononnya rawatan mereka lakukan boleh menyembuhkan penyakit kencing manis adalah terpencil, kajian tidak menyeluruh dan tidak tepat. Malah jika diteliti semula dakwaan mereka, terdapat banyak bias, kecenderungan faktor lain dan konflik kepentingan tertentu.

Saya membaca kajian yang dilakukan oleh Prof Madya Dr Nik Rosmawati dan rakan-rakan dari USM berkenaan rawatan bekam yang berjaya menurunkan paras gula dalam darah pesakit kencing manis. Satu kajian yang bagus untuk dinilai dan tahniah atas kejayaan pasukan beliau mengemukakan bukti berkenaan. Namun tidak ada pun satu perkataan yang menyokong bahawa bekam itu satu-satunya kaedah atau rawatan menyembuhkan kencing manis. Bekam adalah rawatan komplimentari, bukannya rawatan utama dalam menurunkan paras gula pesakit kencing manis mahupun merawat pesakit buah pinggang.

Saya menghubungi sendiri Prof Nik Rosmawati untuk pengesahan. Beliau menyatakan bahawa pihak tertentu telah mengambil hasil kajian beliau itu diluar dari konteks yang sebenar. Malah jika dibaca ayat demi ayat laporan kajian yang beliau tulis serta bentangkan semasa konferens, tiada pun menyatakan bahawa bekam itu penyembuh kepada kencing manis, sakit buah pinggang mahupun penyakit kolesterol dalam darah. Begitu juga penulisan yang dibuat oleh Prof Abdul Aziz Al Safi dalam buku beliau bertajuk ‘Sains Bekam’, kaedah bekam yang beliau sarankan itupun adalah komplimentari kepada rawatan moden.

Para pengkaji akan senantiasa mencari jalan ke arah inovasi baru dalam rawatan. Terbaharu, pakar dari Universiti Miami berjaya menemui kaedah merawat kencing manis dengan menyuntik sel islet (sel asas pankreas). Di mana sel ini akan berfungsi menggantikan sel-sel Islet asal dalam pankreas seterusnya mengeluarkan insulin bagi mengurangkan gula dalam darah.[1] Namun rawatan ini masih lagi diperingkat kajian makmal dan tidak boleh lagi diguna pakai kepada seluruh pesakit di dunia secara meluas. Jika fasa kajian telah lengkap, baharulah pesakit-pesakit kencing manis boleh menggunakan kaedah terbaharu ini.

Begitu juga kaedah inovasi para pakar dari Poland yang menemui kaedah merawat kencing manis melalui pembedahan perut.[2] Satu penemuan yang memberangsangkan. Namun berapa ramai pesakit kencing manis yang sanggup dan mampu menjalani kaedah rawatan ini? Bayangkan seramai 3.49 juta pesakit kencing manis dalam negara kita, adakah mereka sanggup mengambil kaedah ini?Berapa banyak kos akan digunakan? Walaupun penemuan terbaharu itu berhasil dalam satu tahap tertentu, tetapi ianya perlu pula dinilai dari sudut praktikaliti dan kemunasabahan. Adakah ianya berbaloi atau tidak dengan kos dan penyakit yang dihadapi!

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

3.1.2019

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Suntik sel Islet dari Universiti Miami. https://medicine-today.net/first-patient-in-diabetes-trial-is-now-diabetes-free/

[2] Sleeve Gastrectomy. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5106379/

Ganja sebagai Ubat?

Ketegasan KKM dalam menentukan penggunaan ganja sebagai ubat adalah penting bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Kita tidak perlu terikut dengan negara jiran seperti Thailand. Kebenaran menggunakan ganja perubatan itu adalah saingan industri.

Sekali lagi ditegaskan, jika ganja mempunyai dakwaan boleh merawat, sila bawa bukti kepada KKM untuk diluluskan.

Syarikat yang nak bawa masuk ganja sebagai ubat itu kena sampai berjaya berdaftar dengan KKM dibawah NPRA. Kalau tak berjaya daftarkan, tak boleh la guna bahan berkenaan. So in the first place buat semua benda tu dulu. Selesai didaftarkan, profesional kesihatan sahaja boleh handle. Bukan sembarangan orang entah sesiapa sahaja. Kalau betul nak guna ganja dengan cara yang betul, kena setuju lah dengan perkara ini.

Dalam perubatan, kajian terhadap bahan yang akan digunakan sebagai ubatan hendaklah melalui kajian klinikal berupa controlled trial. Ia adalah kajian sekurang-kurangnya bertahap Evidence Level II. Semua ubat-ubatan moden di pasaran, hatta Paracetamol pun, telah melalui proses yang serupa. Begitu juga ubatan berasaskan ganja seperti Sativex. Kajian berupa case report dan case series, apatah lagi kajian makmal atau kajian ke atas haiwan tidak cukup kuat untuk membuktikan keberkesanan dan keselamatan sesuatu bahan kepada tubuh badan manusia.

Saya lega dengan keputusan terbaharu KKM berkaitan isu ganja ini.

Baca:

PUTRAJAYA: Health Ministry today said cannabis oil can only be used for research and not as alternative medicine. Untuk buat research pun kena melalui proses-proses tersendiri. Tidak boleh sesekali jadikan entry ini untuk legalisasikan ganja secara meluas.

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/413001/cannabis-oil-only-research-says-health-ministry

Bahaya Cucuk Hormon Seks

Pagi tadi saya diberi peluang untuk berkongsi ilmu mengenai bahaya penggunaan hormon sex atas individu berlainan jantina. Terima kasih kepada team Communicable Disease Control (CDC) Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dan Persatuan T-Fitrah yang telah menyusun program untuk memberi kesedaran kepada ahli berkaitan bahaya penyakit berjangkit yang mungkin boleh terjadi kepada para pelaku lesbian, gay dan bisexual.
Dr Tg Fakhruddin dalam slot ceramah pertama telah menerangkan panjang lebar berkaitan penyakit berjangkit yang senang merebak dikalangan perlakuan LGBT. Fokus utama beliau adalah penyakit HIV dan AIDS. Jumlah pesakit HIV akibat aktiviti LGBT ini meningkat setiap tahun. Situasi ini menggambarkan kegiatan LGBT adalah sesuatu yang realiti, bukannya fantasi. Ini kerana kita selalu beranggapan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, tidak akan wujud kegiatan tidak bermoral itu.
Perkongsian saya dalam slot kedua lebih kepada sharing knowledge. Hasil dari beberapa kajian yang telah dijalankan, individu yang nekad untuk menukar jantina (Transexual) itu memang wujud di Malaysia. Data kajian dari Pahang menunjukkan 69.7% individu Transgender menggunakan hormon jenis pil dan suntikan. Lebih menyedihkan 6 dari 10 individu berkenaan yang mengambil hormon seks itu adalah tanpa kawalan oleh doktor dan tidak tahu komplikasi negatif yang mungkin timbul. Selain dari mengambil hormon, terdapat juga kes yang terlalu nekad sehingga mereka sanggup melakukan pembedahan tukar jantina.
Apabila genetik asal lelaki, tetiba memakan hormon sex wanita seperti estrogen dan antiandrogen, sudah pasti badan kita tidak dapat menerima. Fitrah yang Allah jadikan memang sudah sempurna tanpa campurtangan diluar batasan sifat sebenar manusia. Tambahan lagi bahan yang diambil itu tidak mempunyai indikasi khusus kepada jantina terbabit. Komplikasi teruk seperti Deep Vein Thrombosis (darah beku dalam salur darah), stroke, serangan jantung, kanser dan pelbagai lagi boleh terjadi kepada individu yang mengambil hormon ini. Bahkan kes kes kematian juga telah direkodkan berlaku.
Program yang dianjurkan ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta mengenai risiko berbahaya yang mungkin timbul akibat perlakuan yang diluar budaya ketimuran dan agama Islam itu sendiri.
Semoga bermanfaat dari suhazeli.com
19.10.2018
Dungun
Video ini menarik untuk dihayati: https://youtu.be/FQdGp_Xt8MQ

Marijuana: Polemik Medical vs Kumpulan Ketagih?

POLEMIK MARIJUANA MEDIKAL; APABILA DESAKAN UMUM MELAMPAUI PENEMUAN SAINTIFIK

Oleh: Fahmi Hassan

Sains bukan demokrasi. Fakta tidak tertegak kerana ia popular. Fakta sains, seperti mana fakta-fakta yang lain perlu dibuktikan dengan kajian di atas landasan yang betul. Walau ia tidak popular, ia perlu dipertahankan atas alasan kebenaran.

Desakan beberapa tokoh politik untuk menghalalkan penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan membuatkan kami tertanya-tanya apakah mereka sebenarnya memahami apa yang mereka katakan. Adakah ia desakan yang dilakukan dengan berasaskan ilmu, atau kerana ia satu idea yang popular.

Awal Jun yang lalu, telah berlangsung mesyuarat World Health Organisation (WHO) Expert Committee on Drug Dependance (ECDD) kali ke 40 di Geneva, Switzerland. Mesyuarat ini dibuat khas untuk membincangkan bukti-bukti saintifik terkini berkenaan kegunaan marijuana untuk tujuan perubatan. Keputusan mesyuarat tersebut kami rumuskan di dalam artikel ini.

Beberapa kategori bahan berasaskan marijuana telah dinilai secara kritikal oleh pakar-pakar ternama dari seluruh dunia yang menjadi ahli di dalam mesyuarat tersebut iaitu:-

• Pohon kanabis dan resinnya

• Ekstrak kanabis

• Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)

• Cannabidiol (CBD)

1) Pohon kanabis dan resinnya

Pohon kanabis mengandungi lebih dari 100 bahan aktif yang telah ditemui. Bahan aktif yang dianggap paling utama dalah CBD dan juga THC. THC dipercayai bahan utama dalam kanabis yang menyebabkan kesan psikoaktif.

Beberapa negara membenarkan penggunaan pohon kanabis dan resinnya untuk tujuan perubatan bagi indikasi sakit belakang, sukar tidur, sakit selepas kecederaan dan multiple sclerosis. Namun begitu, kajian penggunaannya bagi indikasi-indikasi tersebut masih berterusan kerana penggunannya belum dapat dibuktikan secara kukuh.

Apabila diambil, ia boleh menyebabkan kesan samping seperti loya dan gangguan fungsi motor dan kognitif. Ini menyebabkan pengambilnya tidak boleh memandu. Terdapat juga laporan risiko yang ia menyebabkan gangguan pernafasan, masalah degupan jantung dan koma dalam kalangan kanak-kanak.

Namun begitu, kebanyakan kesan samping yang berlaku adalah disebabkan pengambilan berterusan secara kronik. Pengambilannya secara kerap menyebabkan masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan dan masalah psikatrik. Ia amat mendatangkan bahaya kepada remaja kerana ia menyebabkan gangguan terhadap perkembangan otak.

2) Ekstrak kanabis

Contoh ekstrak kanabis adalah minyak, the dan nabiximol. Bahan-bahan ini biasanya diambil melalui mulut (makan/minum) dan juga disedut asapnya. Ekstrak kanabis juga mengandungi bahan aktif THC dan CBD.

Kajian mendapati beberapa bahan ekstrak kanabis ini berupaya mendatangkan ketagihan. Terdapat kes di mana sindrom withdrawal berlaku apabila pengambil bahan ini berhenti mengambilnya secara tiba-tiba. Ini dikatakan disebabkan oleh komponen THC di dalam ekstrak tersebut.

Kajian terhadap haiwan dan manusia menunjukkan potensi ekstark kanabis menyebabkan ketagihan. Namun begitu, sekiranya bahan aktifnya dikaji secara berasingan, CBD kurang berisiko menyebabkan ketagihan berbanding THC.

Apa yang mendatangkan masalah adalah ekstrak kanabis tidak mempunyai formula yang standard. Kandungan bahan aktif di dalamnya bercampur-campur dengan kadar kepekatan THC dan CBD berbeza mengikut sediaan. Ini menyebabkan kawalan ke atas ekstrak kanabis sukar untuk dilakukan dan penggunaannya untuk tujuan perubatan tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

3) Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)

Penggunaan THC sintetik (dronabinol) telah dululuskan oleh US FDA untuk beberapa indikasi seperti meningkatkan selera makan bagi pesakit AIDS dan mengurangkan loya dan muntah bagi pesakit kanser yang menjalani kemoterapi.

Kajian kegunaan THC ke atas indikasi-indikasi seperti dementia, kesakitan neuropatik, sakit abdomen, kesakitan kronik dan kemurungan masih belum dapat dibuktikan keberkesanannya secara jelas. Kajian-kajian lanjut diperlukan bagi memastikan sama ada ia boleh digunakan bagi indikasi-indikasi tersebut.

Pengambilan THC secara kronik telah dibuktikan mendatangkan ketagihan dengan jelas oleh beberapa kajian ke atas haiwan dan manusia. Tidak dapat dinafikan, THC berpotensi untuk disalahguna dan berisiko menyebabkan impak sosial.

4) Cannabidiol (CBD)

CBD adalah bahan aktif yang paling sering dikaji kegunaannya dalam bidang perubatan terutamanya untuk rawatan sawan. Ia telah dibuktikan berupaya merawat dua jenis sawan iaitu sindrom Lennox-Gastaut dan sindrom Dravet.

Kajian-kajian kegunaan CBD untuk rawatan asma, ketagihan, ubat tahan sakit, anti inflamasi, antikanser dan beberapa indikasi lain masih lagi di tahap pra klinikal dan belum dapat dibuktikan keberkesanannya dengan jelas. Walaubagaimanapun, CBD didapati tidak mempunyai risiko ketagihan dan tiada risiko disalahguna.

Melalui keputusan dari mesyuarat tersebut, kita dapati bahawa WHO masih lagi berhati-hati dalam menyarankan penggunaan marijuana medikal secara meluas. Kebenaran penggunaan perlu dinilai menggunakan kekuatan bukti saintifik dari masa ke semasa.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang janggal bagi negara-negara yang masih berhati-hati termasuk Malaysia dalam menghalalkan penggunaannya. Ini bukan bermaksud negara-negara ini terkebelakang dan tidak menyedari potensi penggunaan marijuana untuk tujuan perubatan, akan tetapi mereka mempunyai neraca pertimbangan yang lebih teliti.

Impak sesuatu polisi perlu dikaji sedalam-dalamnya oleh mereka yang benar-benar pakar. Masalah dan kepentingan setiap negara tidak sama kerana ia turut melibatkan budaya dan agama. Adakah penghalalan ini akan menyebabkan marijuana dipandang biasa dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar seperti rokok dan dadah berat yang lain?

Realitinya, bagi indikasi yang kuat pembuktiannya, ubatan berasaskan marijuana telah pun wujud dan diiktiraf. Sama seperti kokain dan opium yang dikawal dengan ketat dan diberikan kepada pesakit hanya dengan indikasi yang betul oleh mereka yang benar-benar layak.

Bukankah kita telah berulang-ulang kali diajar oleh sejarah, polisi-polisi bersifat populis banyak yang akhirnya merugikan kita sendiri?

Fahmi Hassan

Pharmacist

Peneman Bersalin

Berlaku peristiwa suami merosakkan pintu bilik beranak disalah sebuah hospital utara tanah air, akhirnya pihak berwajib membuat larangan sementara perkhidmatan peneman ibu bersalin.

Biasanya polisi rakan suami sebagai peneman kepada isteri yang sedang bersalin dibenarkan dikebanyakkan hospital. Ianya bertujuan memberi sokongan moral kepada si ibu yang berada dalam kesakitan untuk beranak.

Awal tahun ini heboh pasal isu doula yang mengambil tugas doktor dan bidan dalam mengendalikan proses beranak. Gegak gempita seluruh negara segelintir masyarakat yang menolak rawatan moden, menolak ubat hospital, menolak vaksin dan menolak bersalin di hospital supaya diberi hak kepada mereka untuk terus mengendalikan proses bersalin tanpa campur tangan pakar. Sehingga terjadilah dikalangan penggiat anti-sains moden itu bersalin di rumah tanpa pengawasan dan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini sehingga terdapat kes kematian ibu serta bayi.

Kali ini tragedi sebaliknya berlaku, pintu bilik bersalin dirosakkan akibat dari tidak puas hati kerana doktor tidak melakukan pembedahan terhadap isterinya. Dari satu sudut beliau juga menyatakan hak untuk isterinya dirawat sebaik mungkin. Tetapi pihak pakar tidak akan bertindak tanpa mengikut lunas-lunas disiplin ilmu serta indikasi sesuatu prosedur.

Sekaligus ketegasan pakar sakit puan itu berdasarkan prinsip merawat mengikut prosedur yang sedia dimaklumi dalam jajahan takluk ilmu mereka. Ini juga menyanggah tuduhan liar sesetengah pihak yang memperli doktor akan melakukan pembedahan secara wewenang kepada sesiapa sahaja.

Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada kita semua.

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

28.8.2018

Kuala Berang

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/08/371951/tiada-peneman-ibu-bersalin-di-hsb

Adakah Khunsa itu Sama dengan Transgender?

Tulisan dalam majalah Solusi
i. Boleh huraikan sedikit tentang apa itu khunsa dari sudut perubatan? ii. Adakah berlaku kelainan kromosom/genetik yang boleh menyebabkan hal ini berlaku? iii. Apakah jenis khunsa dari perspektif perubatan?
Jawapan:
Sebagaimana yang kita tahu bahawa banyak para ilmuan Islam membicarakan berkaitan dengan khunsa dalam kuliah-kuliah berkitab. Terjemah bahasa arab, khunsa itu lembut. Fiqh Islam membahagikan khunsa kepada dua keadaan,
i) Khunsa wadih: Apabila seseorang itu yang mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj) dan bagi sesetengah khunsa, salah satu alat kelamin berkenaan berfungsi.
ii) Khunsa Musykil: Apabila seseorang yang tidak dapat ditentukan jantinanya kerana kedua-dua alat kelamin yang ada tidak nampak jelas berfungsi.
Dari sudut perubatan, terdapat beberapa keadaan yang menbolehkan seseorang itu dikategorikan sebagai khunsa sepertimana yang dibincangkan dalam kitab fekah. Khunsa sedemikian boleh berlaku akibat dari kegagalan tindakblas hormon semasa perkembangan janin di alam rahim. Terdapat tiga penyakit yang menyebabkan kekeliruan alat kelamin manusia yang biasa disebut dalam buku-buku perubatan.
1) Sindrom Klinefelter: bayi yang lahir dari sindrom ini mempunyai alat kelamin lelaki tetapi tidak besar dan saluran kencingnya biasanya di bahagian bawah penis (hypospadias). Keadaan ini berlaku kerana secara kromosom/genetik bayi tersebut mempunyai kelebihan kromosom X. Lelaki sejati adalah gabungan kromosom XY, apabila terdapat lebihan X apda kromosom XY, ianya akan mempunyai sifat kewanitaan (XXY). Akhirnya pembentukan organ kelelakian tidak terbentuk dengan sempurna. Tanda lain individu Klinefelter ini adalah, tinggi orangnya, pertumbuhan badan yang tidak sekata dan perkembangan mental yang terencat, bersuara nyaring dan banyak lagi masalah kesihatan. Kajadian bayi bersindrom sebegini anatara 1 dalam 500 hingga 1000 kelahiran. Ianya jarang berlaku. Jika variasi XXXY, XXXXY, peratus kejadian making jarang antara 1 dalam 50,000 hingga 1 dalam 85,000 kelahiran.[1]
2) Sindrom Turner. Bayi katergori ini adalah perempuan, tetapi salah satu dari pasangan kromosomnya tiada (X0). Bayi akan mempunyai alat kelamin perempuan tetapi mandul kerana perkembangan organ seks seperti kilang telur dan peranakan terbantut. Mereka juga bertubuh pendek dan gemuk. Sifat kewanitaan seperti buah dada wujud tetapi tidak terbentuk dengan sempurna. Kadar kejadian penyakit ini adalah 1 dalam 2,500 kelahiran. Ramai juga antara bayi yang jenis ini tidak sempat lahir, janin akan meninggal sebelum dilahirkan.[2]
3) Congenital adrenal hyperplasia. Kelenjar adrenal membesar yang mengakibatkan pengeluaran hormon testesterone (lelaki) meningkat semasa dalam kandungan lagi. Bayi yang dilahirkan akan kelihatan mempunyai alat kelamin lelaki secara luarannya tetapi strukturnya terbantut. Kadar kejadian ini boleh berlaku 1 dalam 15,000 kelahiran. Bayi masih lagi mempunyai sifat dan perangai wanita.
iiii. Siapakah pakar yang boleh menentukan jantina seseorang dalam berhadapan isu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin (khunsa) ini? Adakah pakar sakit puan/tuan?
Kelahiran bayi dari 3 kategori diatas boleh dikesan sejak awal. Pakar sakit puan dan pakar kanak-kanak akan menilai dari masa ke semasa perkembangan bati tersebut sehingga meningkat dewasa. In kerana beberpa penyakit sampingan lain lagi akan mereka perolehi sepanjang kehidupan.
v. Apakah rawatan yang hospital boleh ditawarkan kepada golongan khunsa?
Jika peringkat awal pengesanan penyakit ini, ianya boleh dirwat dengan bantuan hormon. Tetapi kejayaannya pelbagai.
vi. Di Malaysia, apakah ada pakar yang boleh membantu golongan khunsa menjalani pembedahan jantina jika mereka perlu berbuat demikian?
Tidak pasti
vii. Adakah wujud statistik atau data lengkap tentang khunsa di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia? Memandangkan jantina biasa disahkan sebaik sahaja bayi dilahirkan.
Data kelahiran bayi semua dicatat dalam kementerian Kesihatan Malaysia.
viii. Adakah khunsa itu termasuk di bawah kategori transgender?
Tidak. Jika seorang lelaki sengaja atau didikan sedari kecil berperangai perempuan sedangkan boleh ditentukan jantina mereka, ianya bukan khunsa. Ianya adalah kecelaruan jantina atau transgender. Dari segi hukum, tetap kembali kembali kepada asal diri seseorang. Bermaksud hukum fekah dan ibadah beliau adalah lelaki jika beliau mempunyai alat kelamin lelaki yang sahih. Terdapat juga antara segelintir manusia yang melakukan pembedahan alat kelamin, ianya juga haram dari sudut hukum. Pembedahan kelamin ini di sebut sebagai transeksual. Hukum fekah dan ibadah pun juga kembali kepada asal kejadiannya.
Dr Suhazeli bina Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Pautan
[1] NIH. Klinefelter syndrome. https://rarediseases.info.nih.gov/diseases/8705/klinefelter-syndrome
[2] Genetic Home Reference. Turner Syndrome. https://ghr.nlm.nih.gov/condition/turner-syndrome#inheritance
[3] Merke D, Kabbani M. Congenital adrenal hyperplasia: epidemiology, management and practical drug treatment. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/11577925/

Aktiviti Negatif LGBT Boleh Bawa Kemusnahan Negara?

Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) sememangnya senantiasa hangat jika dibincangkan dalam dunia maya. Ini kerana kumpulan LGBT ini sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam pelbagai bentuk. Secara umum terma lesbian, gay, biseksual adalah lebih dekat dengan orientasi seks secara songsang dan dikaitkan dengan aktiviti negatif yang mereka lakukan dalam kehidupan. Manakala transgender pula melibatkan kecelaruan pemikiran yang seseorang itu keliru tentang identiti jantina diri. Satu lagi kekhuatiran kita sebagai masayarakat umum adalah semakin membiak golongan lelaki yang melakukan seks sesama lelaki (Men Sex with Men – MSM). Walaupun ianya hampir sama dengan kumpulan Gay tetapi keterampilan mereka ke arah gay tidak di lihat pada mata kasar. Akhir-akhir ini muncul satu lagi kumpulan yang mempersoal kejantinaan mereka — Intersexual Questioning (IQ). Kewujudan mereka adalah ibarat puncak kecil dari bongkah ais yang lebih besar kepada permasalahan keseluruhan yang mendasar serta berakar umbi dalam masyarakat mengenai isu LGBTIQ ini.
Dunia melihat aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan LGB itu sebagai sesuatu yang perlu dibendung kerana sudah banyak terbukti membawa penyakit seperti yang kita sendiri lihat dalam negara. Laporan dari Global AIDS Response Progress (Malaysia) 2016, mendapati perbandingan ketara jangkitan baharu HIV melalui transmisi seksual berbanding transmisi penggunaan jarum suntikan dadah. Pada tahun 2016 sahaja sebanyak 2864 (84%) kes transmisi HIV akibat hubungan seks berbanding 377 (11%) transmisi HIV melalui suntikan jarum. Amat membinbangkan juga, pecahan dari transmisi hubungan seksual itu mendapati 1553 (54.2%) adalah di kalangan homoseksual/biseksual. Jumlah ini dilaporkan meningkat setiap tahun sejak dari 2015 lagi.[1] laporan yang sama juga mendapati anggaran penduduk yang mengamalkan MSM seramai 170,000 orang.
Sekaligus kita boleh menyimpulkan bahawa kegiatan homoseksual lebih mendatangkan mudarat besar dari sudut sosial dan kesihatan. Gejala jangkitan penyakit seksual lebih tinggi dikalangan pelaku homoseks sebagaimana kajian yang dilakukan oleh Franklyn N et al. Penyakit seperti Gonorea, Sifilis, Herpes dan pelbagai lagi meningkat berkali ganda dikalangan para pelaku homoseks.[2] Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC juga melaporkan punca utama (83%) jangkitan sifilis adalah melalui homoseks.[3] dan banyak lagi kajian rentas yang dijalankan, membayangkan bahawa aktiviti yang berkenaan banyak mendatangkan kemusnahan fitrah sebagai manusia. Kita tidak perlu melihat angka-angka ini dengan bersahaja, tanpa rasa cetusan hati bahawa sesuatu harus dilakukan bagi menyelamatkan negara kita dari terus dilanda fenomena negatif ini.
Kita tidak menafikan bahawa usaha yang begitu gigih para pengamal perubatan bagi mengekang gejala HIV. Dengan pelbagai kecanggihan teknologi dan kepesatan perubatan, penyakit HIV boleh dikatakan berjaya dikurangkan.[4] Namun dalam masa yang sama, aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan risiko jangkitan HIV atau jangkitan penyakit kelamin yang lain dikalangan masyarakat perlu dibendung. Kita selalu mengalu-alukan mana-mana pihak untuk berkerjasama bagi menyaring, memberi khidmat kaunseling dan merawat para mangsa yang belum/telah dijangkiti oleh penyakit berjangkit itu. Initiatif yang besar telah dilakukan oleh sesetengah pihak bagi mengurangkan jangkitan penyakit terutama HIV.[5] Ruang yang luas diberikan untuk menuju ke arah HIV sifar. Antara initiatif yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah mengurangkan stigma golongan LGBT untuk terus mendekati premis kesihatan bagi saringan, kaunseling dan rawatan.[6]
Terbaharu, WHO cuba membuka ruang kepada Transgender agar diklasifikasikan sebagai bukan penyakit mental. Sejak tahun 1990 lagi WHO meletakkan transgender sebagai berpenyakit mental.[7] Usaha yang berterusan dari pihak yang vokal menyokong gerakan ini agar istilah LGBT dihapuskan dalam kamus kesihatan sedunia. Sehinggalah pada tahun 2013 “gender identity disorder” telah dibuang dari definisi transgender sebagai salah satu penyakit mental dalam DSM-5.[8]
Apakah solusi yang boleh dilakukan? Pihak perubatan dan kesihatan, teruskan dengan kempen-kempen kesedaran, saringan, kaunseling, rawatan dan rehabilitasi supaya penyakit-penyakit yang senang berjangkit melalui aktiviti tidak sihat itu terus dibendung. Usaha ini perlu dilakukan oleh semua pihak. Tidak perlu diskriminasi dizahirkan terhadap golongan LGBT supaya mereka mendapat peluang untuk akses kepada khidmat perubatan dan kesihatan. Melalui pengamatan yang saya lalui, para pengamal perubatan tidak pernah mendiskriminasi (dari sudut akses perubatan dan kesihatan) terhadap sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti tidak sihat seperti pengambilan dadah, seks bebas,dan seumpamanya. Hatta termasuk kepada golongan LGBT, mereka boleh hadir dengan bebas ke premis-premis kesihatan untuk saringan, rawatan dan seumpamanya. Sesuai dengan kod etika perubatan yang dipegang oleh setiap pengamal perubatan seluruh dunia — merawat tanpa prejudis. Perbuatan songsang yang mereka lakukan itu adalah urusan mereka dengan Tuhan dan masyarakat. Jelas.
Namun dalam masa yang sama, pengamal perubatan mempunyai hak untuk terus menegur mereka dari terus melakukan aktiviti terkutuk seperti, homoseksual dan biseksual. Modul-modul yang dibangunkan diperingkat kebangsaan berkaitan dengan isu seks bebas, penyalahgunaan dadah, merokok dan sebagainya digunapakai bagi memberi ruang kepada pangamal perubatan mengambil bahagian dalam mencegah gejala sosial itu terus merosakkan anak bangsa. Perkara ini tidak perlu dipandang remeh kerana, pengamal perubatan mempunyai akses yang paling tinggi jika golongan yang berisiko itu hadir bagi mendapatkan rawatan. Peluang (opportunity) ini perlu digarap bagi melengkapkan perawatan secara holistik.
Secara tanggungjawab sosial pula, pihak berwajib perlu berhemah dalam menangani isu. Kenyataan-kenyataan yang seolah-olah mengiktiraf golongan LGBT tidak sepatutnya dikeluarkan. Tatasusila dan suasana negara Malaysia agak berbeda dengan dengan negara barat, kerana Malaysia masih lagi mengekalkan nilai keagamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Jika diukur dari sudut syariat pun, aktiviti homoseksual, biseksual adalah haram. Terdapat hukum khusus dijatuhkan bagi pelaku perbuatan terkutuk itu. Semoga negara kita terselamat dari bala yang akan menimpa jika kita sendiri tidak mencegah kemungkaran yang berlaku depan mata.
Sekian komen dari suhazeli.com
8.8.2018
Jerangau

Tiada Kejadian Jangkitan Virus Nipah Terkini

Terdapat satu sebaran tular yang menuduh kononnya virus nipah sedang berjangkit melalui daun pisang yang digunakan untuk membungkus nasi lemak, lemang dan seumpamanya.

Tulisan media sosial tersebut cuba mengaitkan kematian beberapa orang di Keralla India akhir Mei lepas akibat dari serangan virus bernama Nipah [1].

Tulisan tular tersebut adalah tidak benar dan boleh menyebabkan masyarakat sasau-minda (panik), terutamanya dimusim perayaan sebegini. Kenyataan rasmi penafian kejadian wabak virus ini telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor [2].

Spesis Virus Nipah telah dimasyhurkan namanya sejak 1998 lagi setelah kejadian wabak yang berlaku di Kampung Sungai Nipah pada ketika itu. Setelah itu sudah tiada kejadian wabak berlaku dalam negara kita. Wabak berlaku di negara lain seperti Bangladesh tahun 2004 dan terkini di Keralla India.

Jangkitan virus Nipah ini boleh membawa maut. Bermula dengan demam, muntah dan pening kepala. Jika tidak dirawat dengan segera, virus Nipah boleh merebak ke dalam badan dan akhirnya koma dan maut.

Pencegahan utama bagi mengelakkan jangkitan adalah menjaga kebersihan, mengamalkan perlindungan kendiri dan membasuh tangan dengan sempurna [3].

Virus Nipah ini boleh terdapat dalam kelawar buah. Jika perumah pertama kelawar itu positif virus Nipah, ianya boleh merebak melalui memakan buah-buahan yang di gigit olehnya atau meminum air nira/tuak tamar yang tercemar dengan air kencing kelawar [4].

Setakat ini tiada kes wabak atau jangkitan virus Nipah yang berpunca dari habitat kelawar yang tidur atau hinggap di daun pisang. Walaubagaimana pun adalah dinasihatkan pengendali makanan untuk menjamin mutu kebersihan setiap hidangan yang menggunakan daun pisang. Membasuh dengan sempurna daun pisang sudah memadai bagi menghalang kotoran yang terdapat di daun pisang tersebut termasuklah virus Nipah.

Sekian semoga bermanfaat

Suhazeli Abdullah

Fb.Com/drsuhazeli

19.6.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] Kejadian Serangan Virus Nipah di India. https://m.hindustantimes.com/health/nipah-virus-outbreak-in-kerala-kills-10-all-you-need-to-know-about-the-disease/story-Ql9VFHknRdmy73g9QfLUhK.html

[2] Kenyataan Media JKNS.

[3] Amaran WHO. http://www.who.int/csr/disease/nipah/en/

[4] Kajian jejak habitat Kelawar dan virus Nipah. https://www.npr.org/sections/goatsandsoda/2016/03/22/470803523/disease-detectives-find-a-really-good-reason-not-to-drink-date-palm-wine

Link artikel ini dari https://www.facebook.com/546572572048737/posts/1784432348262747/

Etika Pengguguran Bayi

Isu menggugurkan bayi di dewan bedah secara cuci rahim menjadi topik hangat dalam media masa. Mereka menuduh doktor berlaku zalim kepada bayi dalam kandungan semasa proses pengguguran dijalankan. Saya lihat maklumat yang diberikan itu tidak lengkap dan ditulis oleh individu yang tidak tahu prosedur sebenar pengguguran dan cuci rahim berkenaan. Tulisan ringkas dalam media sosial itu hanya melihat kepada hasil cuci rahim sehinggakan nampak janin dan tebuninya hancur lebih. Lantas menuduh doktor yang menjalankan cucian rahim itu tidak berhati perut, tiada belas ehsan kepada janin dan menzalimi mayat. Sedangkan mereka tidak berada di posisi doktor yang merawat serta tidak mengetahui dengan tepat status janin sebelum prosedur cuci rahim dilakukan.

Masyarakat mesti faham perbezaan dua istilah yang digunakan dalam isu ini. Pertama, gugurkan janin secara terapeutik; dijalankan dengan membuang janin yang ada dalam rahim melalui cuci rahim. Samada janin itu masih hidup atau sudah mati, ianya bergantung kepada indikasi khusus prosedur itu dilakukan. Kebanyakan kes menggugurkan kaedah ini adalah janin cacat yang tidak memungkinkan hidup seperti tiada bentuk kepala atau keguguran secara fitrah. Cuci Rahim bagi kes keguguran ini dibuat bagi membuang sisa janin yang masih berbaki. Kedua, penamatan usia kandungan (TOP- Termination of Pregnancy); pengguguran jenis ini juga diakukan atas sebab musabbab yang khusus dan prosedur yang ketat. Kes-kes yang boleh menyebabkan mudarat besar kepada ibu jika penerusan kehamilan, maka TOP wajib dilakukan. Contohnya si ibu mengalami kegagalan injap jantung yang sekira-kira menurut pengamatan doktor pakar jika penerusan kehamilan boleh berisiko tinggi membawa maut. Bayi cacat yang tiada harapan hidup jika dilahirkan pun boleh dijalankan TOP. Penerusan kehamilan kepada si ibu akan menimbulkan banyak komplikasi lain seperti tumpah darah yang banyak.

Pengguguran bayi dilakukan berdasarkan pertimbangan tertentu mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh undang-undang. Negara kita telah mengharamkan pengguguran bayi tanpa indikasi perubatan. Namun bayi harus digugurkan setelah pertimbangan yang hampir tepat kepada keyakinan (Dzan yang kuat dikalangan beberapa pakar sakit puan) demi menyelamatkan NYAWA si ibu. Setelah memenuhi kriteria ketat yang dibenarkan, perbincangan antara doktor dan pesakit akan dilakukan, baharulah para doktor akan dibenarkan menggugurkan bayi atau menamatkan kehamilan. Bukan semudah yang disangkakan.

Terdapat 2 kaedah pengguguran yang dilakukan.

1. Pil gugur. Kaedah ini diharamkan dalam negara kita. Pil haram ini dijual secara dalam talian oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

2. Dilatasi & Kuretaj (Dilatation & Curretage [D&C]- /Cuci Rahim). Di mana pesakit akan diberi bius separuh/penuh, bukaan pangkal rahim dilakukan, kemudian janin akan di keluarkan menggunakan alat kuretaj. D&C ini perlu dilakukan oleh doktor yang mahir. Kaedah D&C ini biasanya dilakukan ke atas kes keguguran (bukan sengaja dilakukan pengguguran). Jika masih terdapat lebihan sel janin berbaki atau uri yang masih tertinggal dalam peranakan ibu D&C akan dilaksanakan. Ianya perlu dikeluarkan bagi mengelakkan perdarahan dan jangkitan kuman akhirnya memberi mudharat kepada si ibu. Kaedah D&C ini akan dilakukan terhadap janin yang sudah mati dalam kandungan. Kebanyakan kes, janin yang berumur kurang dari 4 bulan usia kandungan.

Bayi yang berumur bawah 4 bulan masih tidak sempurna sepenuhnya anggota badan. Pembentukan anggota sudah ada tetapi, tidak sempurna sifatnya. oleh yang demikian kita akan perhatikan janin akan kelihatan hancur atau tidak cukup sifatnya kerana janin masih belum matang sepenuhnya. Tetapi janin wajib dikeluarkan supaya si ibu tidak mengalami kesan bahaya jika dibiarkan begitu. Manakala janin yang melepasi umur 4 bulan, kebanyakannya sifat anggota sudah lengkap. TOP yang dijalankan lebih mudah setelah ubat melembutkan pangkal rahim diberi, janin akan keluar dalam tempoh masa tertentu.

Di negara kita, KKM juga menggunapakai hukum yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Berikut adalah petikan dari Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hukum pengguguran bayi. Isu ini telah dibincangkan beberapa kali dan telah mendapat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Berikut adalah beberapa pandangan ualama dan Fatwa berkaitan pengguguran bayi dan TOP;

1) Menurut ijmak fuqaha’

i) Haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

ii) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri; dan

iii) Ijmak fuqaha berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

2) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 dalam membincangkan isu Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassemia ialah;

i) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri;

ii) Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu;

iii) Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

3) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 dalam membincangkan isuMenggugurkan Kandungan Yang Dirogol ialah:

i) Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

ii) Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

4) Merujuk kepada kertas kerja Pandangan Syariah Berkenaan pengguguran dan Membekalkan Bahan Kontraseptif kepada Remaja Yang Berisiko Tinggi, hukum pengguguran dapat disimpulkan seperti berikut:

i) Hasil zina – kandungan zina adalah haram dalam semua keadaan kecuali mengekalkan kandungan akan memudaratkan nyawa ibu.

ii) Hasil rogol – harus menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 hari.

ii) Pesakit Orang Kelainan Upaya (ujian akal di bawah paras 80) – harus mengugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 hari kecuali jika memudaratkan nyawa ibu.

Kami mendapat maklumat bahawa terdapat pihak yan gtidak bertanggungjawab berleluasa menjalankan aktiviti pengguguran janin. Saya juga tidak menafikan terdapat doktor yang melanggari etika seperti melakukan pengguguran bayi tanpa melihat hukum dan undang-undang yang termaktub. Mereka wajib dibawa ke muka pengadilan dan dihukum setimpal dengan perbuatan terkutuk yang dilakukan.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Ketengah Jaya

25.4.2016

F: fb.com/drsuhazeli

W: www.suhazeli.com

Ahli #MedTweetMY

Link Rujukan

[1] Ustaz Zaharuddin. Hukum Gugurkan Anak 7 Minggu. http://zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/255-hukum-gugurkan-anak-7-minggu.html

[2] Dr. Arieff Salleh bin Rosman.Pengguguran Janin Bagi Memelihara Kesihatan & Keselamatan Menurut Perundangan Islam. http://www.infosihat.gov.my/infosihat/media/powerpoint/S/pdf/03_pengguguran_janin_jakim.pdf

Panduan Amalan Betul Beranak

Kita bertuah kerana dalam menjalankan kerja-kerja klinikal perawatan pesakit, para doktor akan merujuk kepada garis panduan yang telah disediakan oleh jawatankuasa berwibawa. Jawatankuasa tersebut terdiri dari pakar-pakar yang bertungkus lumus mencari dan mentelaah kajian-kajian terkini dalam sesatu kaedah rawatan. Mereka mengambil masa yang tertentu untuk menyiapkan satu garis panduan klinikal bersama dengan bahan-bahan rujukan autentik. Bukannya mengikut pendapat mereka semata-mata tanpa melihat kepada suasana setempat, kebolehcapaian prasarana dan kedudukan sesioekonomi dalam negara.

Kami yang terlibat secara terus turut membantu mendapatkan maklumat itu dari pelbagai sumber. Hasil carian itu dibawa dalam beberapa siri mesyuarat dan perbahasan agar segala maklumat klinikal serta praktis itu mantap untuk digunapakai dan dijadikan panduan amalan oleh seluruh ahli perubatan kelak.

Akhirnya terbentuk satu garis panduan klinikal yang menjadi piawaian kepada amalan perubatan dalam negara kita. Clinical Practice Guideline (CPG) namanya. Sumber yang diletakkan dalam CPG itu bukannya diambil dari laporan Wikipedia, bukan juga dari blog peribadi yang tidak dipastikan validiti, bukan juga website picisan yang tidak disahihkan infonya.

Selain itu KKM juga mengeluarkan manual-manual amalan dan protokol yang memberikan panduan secara detail sesuatu aktiviti perawatan. Contohnya Perinatal Care Manual yang memberi bimbingan kepada nurse dan doktor tentang bagaimana setepatnya menjaga ibu-ibu hamil serta bayi. Sudah tentu manual serta protokol ini ditulis oleh ramai pakar, bukannya hasil pandangan solo oleh seorang ahli praktis.

Tidak cukup sekadar itu, KKM juga mengeluarkan beberapa polisi dan pekeliling perkhidmatan yang terjelma dari bukti-bukti terbaharu saintifik amalan agar para anggota kesihatan mematuhinya. Tujuannya apa? Demi penjagaan kesihatan optima pesakit. Adakah CPG, Manual/Protokol dan pekeliling perkhidmatan itu maksum? Tidak! Tetapi itulah standard utama yang kami gunakan. Terkemudian selepas itu sesi-sesi audit, review klinikal dan konferens pakar-pakar akan terus dilaksanakan bagi memantapkan lagi amalan perubatan negara.

Puan, buku Amanibirth ini di mana letaknya?

1- Pernah atau tidak buku itu diselia-pantau atau review dari badan berautoriti Obstetrik? Dalam buku tersebut hanya dimuatkan testimoni dari pengikut-pengikut Amanibirth yang tiada langsung background perubatan. Rujukan pun di ambil dari Wikipedia dan blog diri sendiri serta laman web yang tidak buat khulasah peer review. Tidak dinafikan ada diselitkan dengan pandangan laporan WHO, tetapi penulis menyimpulkan di akhir perenggan dengan teori sendiri. Boleh lihat isu Delay Cord Clamping mukasurat 97-98 buku manual pengajar Amanibirth.

2- Tektik menakut-nakutkan para pengikut (scare monggering tactics) digunakan dalam penulisan. Contohnya penulis menakut-nakutkan pembaca dengan penggunaan teknologi seperti ultrasound. Kononnya terdapat bukti bahawa ultrasound itu membahayakan janin. Buku Amanibirth di tulis tahun 2012, adakah penulis tidak membaca laporan yang lebih berutoriti mengenai isu ultrasound tersebut? Lebih dari 40 kajian klinikal yang menyatakan ultrasound selamat digunakan, laporan ditulis tahun 2009. Begitu juga penulis memberi gambaran buruk berkaitan amalan amniocentesis. Kajian yang dilakukan terhadap haiwan diambil sebagai rujukan! Kajian haiwan itu adalah Evidence Base Medicine Pra-klinikal, ia adalah kajian pramatang, tidak boleh dijadikan hujah menakut-nakutkan pelajar. Kecuali ia satu cabang ilmu untuk pelajar terus berfikir bagaimana mendapatkan bahan kajian yang lebih ampuh. Bahkan hasil dari teknologi ultrasound terkini, amniocentesis sudah tidak dilakukan pada masa kini untuk membuat diagnosis kecuali dalam kes-kes yang khusus. Penulis kena update knowledge beliau.

3- Jika penulis dan alumni Amanibirth sendiri mengakui ikut saranan WHO dalam rawatan semasa bersalin, cukup sebagai peneman katanya, kenapa masih berlaku cikgu-cikgu CBE dan murid-muridnya buat physiological third stage sampai lotus birth, DCC sampai lebih dari 5 minit, tunggu kat rumah sampai nak terberanak, VBA3C VBA4C, breech delivery at home, unsafe birth, tolak vaksin dan vitamin K?

Sudah banyak teguran yang dibuat oleh rakan-rakan dari fratenity perubatan. Perbahasan maya pun sudah banyak dilakukan sejak 2013 lagi setelah peristiwa bersejarah kematian Amy Karmila. Adakah para doula mengambil pengajaran? Adakah mereka hadam semua perbahasan itu? Atau sekadar baca di angin lalu padangan dari pakar-pakar. KKM juga sudah beberapa kali membuat kenyataan media. Saya lihat mereka yang ekstrimis ini masih tidak sedar. Boleh lihat review lanjut buku Amanibirth ini di https://www.facebook.com/imelda.balchin/posts/10154960700981659. Tulis panjang pun jika masih ketegak, rugi masa?

Mari lah kita usaha bersama untuk menurunkan kadar kematian ibu kepada 11.0 untuk setiap 100,000 kelahiran hidup. Walaupun, Malaysia telah berjaya mencapai sasaran bagi indikator lain di bawah MDG 5; Antaranya ialah peratus kelahiran selamat (99% pada tahun 2014), liputan penjagaan antenatal (97.2% pada tahun 2014), peningkatan Contraceptive Prevalence Rate (57.5% pada tahun 2014), penurunan kadar kelahiran kalangan remaja (13 per 1000 remaja pada 2013) dan penurunan unmet needs perancang keluarga (13.4% pada tahun 2014), tetapi usaha dari semua pihak khususnya bidang perubatan dan kesihatan perlu dipertingkatkan lagi.

.

Antara kejayaan lain utama Malaysia menurunkan MMR adalah apabila kelahiran selamat (safe delivery) yang ditakrifkan sebagai kelahiran yang dikendalikan oleh individu terlatih (skilled birth attendants) dapat ditingkatkan dari kurang 55% pada tahun 50-an kepada peratusan 98.5% hari ini. Peratus kelahiran di rumah didapati menurun daripada 24.8% pada tahun 1990 kepada 1.7% pada tahun 2012. Sifirnya, kelahiran dirumah dalam negara kita adalah kelahiran yang tidak selamat. Jika para doula malaysia menyedari hakikat ini, saya cukup bersyukur.

Semoga pertemuan bersama DoulaZam Ahad lepas membuka mata mereka.

Terima kasih dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

12.3.2018

Gua Musang

Pertemuan dengan Doula

Antara isu yang para doula bangkitkan adalah pihak doktor tidak pernah pun ikuti kelas-kelas doula. Para netizen yang menentang doula pun juga tidak tahu apakah ilmu yang doula berikan semasa kelas dan semasa mendoula.

Tidak kenal maka tak cinta, itulah pepatah yang biasa disebut.

Demi menyahut cabaran ini, Papisma Malaysia mengorak langkah dengan mengadakan pertemuan mahabbah. Saya juga turut hadir dalam pertemuan tersebut. Berikut adalah sedikit catatan saya yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada semua.

Pertemuan Papisma dengan Doula Zam

Satu pertemuan muhibbah telah kami jalankan pada 11 Mac 2018 lalu bersama dengan seorang doula di Bangi. Kami ucapkan terima kasih atas kesanggupan Puan Zamzilah Fairuz (DoulaZam) untuk hadir ke pertemuan meja bulat yang dianjurkan Papisma. Di saat rakan-rakan doula yang lain melarang kehadiran beliau, namun beliau nekad dan mengagahi diri untuk memberikan sarwajagat berkaitan doula. Beliau sendiri menegaskan bahawa kehadiran beliau kali ini bukan atas kapasiti kumpulan doula-doula, tetapi ianya atas kesedaran peribadi. Awal jemputan kami adalah tiga orang doula yang dinyatakan dalam website Amanibirth Malaysia. Namun 2 dari mereka menarik diri disaat akhir.

Dengan kerencaman perbahasan isu doula dimedia sosial, tujuan utama pertemuan meja bulat itu adalah bagi mencari titik kefahaman sebenar para doula di Malaysia berbanding dengan amalan para doula di luar negara. Akhirnya ingin memberi impulse positif kepada mereka mengenai hasrat utama slogan yang kami laungkan #SayNoToUnSafeBirth dan meletakkan asas kepada mereka agar Empowering Women for Safe Birth (EW4SB).

Sesi ini bukan sesi pengiktirafan para doula. Malah doula tidak ada kaitan pun mana-mana strata sistem kesihatan Malaysia pada masa kini. Justeru pertemuan ini bukan juga wakil rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia yang membolehkan hasil pertemuan diadaptasikan dalam sistem yang sedia ada.

Kami mendapat maklumat yang jelas dari DoulaZam. Sudah memadai pertemuan ini untuk dibuat kesimpulan bahawa tujuan asal usul doula hanyalah sebagai peneman dan pemberi semangat ibu sebelum, semasa dan selepas bersalin tetapi tidak sekali sebagai ‘advocate’ atau penasihat kaedah bersalin. Malah, didapati banyak gerakerja doula di Malaysia melampaui batas yang asalnya ditetapkan oleh pengasas Amani Birth iaitu Puan Aisha Al Hajjar. Maka lahirlah doula-doula yang ekstrimis serta mula bertindak atas kapasiti peribadi, yang menyebabkan semakin ramai yang menyanggah saranan pakar perubatan dalam bidang ini.

Jelas dan nyata pengakuan yang dinyatakan oleh Puan DoulaZam yang juga seorang berkelulusan undang-undang. Segala maklumat dan perbahasan dalam media sosial sudah di luar pegangan para doula yang sebenar. Tidak sama dengan objektif dan tugasan para doula sebagaimana asas yang diletakkan diperingkat antarabangsa.

Semua setuju bahawa Doula mempunyai peranan dalam membantu ibu-ibu hamil sebelum, semasa dan selepas bersalin. Peranan doula hanya sebagai peneman yang memberi sokongan emosi dan fizikal seperti urutan, dan bukan mengambil alih peranan doktor atau bidan bertauliah. Mereka tidak sesekali boleh terlibat dalam advokasi perawatan pesakit. Banyak kali DoulaZam sebut perkataan itu.

DoulaZam juga membawa beberapa buku rujukan mereka yang telah dikeluarkan oleh pangasas Amanibirth iaitu Puan Aisha Al Hajjar. Pesanan yang kami cuba sampaikan kepada para doula adalah memperbaiki buku ‘garis panduan’ itu kepada yang lebih tepat. Segala penulisan itu perlu diverifikasi dari sudut ketepatan fakta dan rujukan yang absah. Menyebabkan amalan yang diambil oleh para murid-murid doula bukan berdasarkan kepada Evidence Based Medicine.

Tetapi saya lihat ianya lebih kepada nota-nota berstruktur untuk menjawab persoalan yang berkaitan kehamilan, kelahiran bayi dan penjagaan lepas bersalin.

Terdapat nasihat yang diberikan itu tiada pun dalam silibus pembelajaran kedoktoran, kejururawatan atau perbidanan. Bahkan kebanyakan teori, pemikiran dan amalan itu lari dari standard ilmu seluruh pakar-pakar obstetrik & ginekologi seluruh dunia.

Semoga hasrat dan hasil pertemuan ini dapat disampaikan kepada semua doula di Malaysia serta pengikut-pengikut mereka.

Jadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran demi mashlahat ummah, iaitu menjaga nyawa sebagaimana salah satu paksi maqasid syariyyah, hifzunnafs.

Sekian dari Suhazeli Abdullah

Turut hadir dalam RTD #EW4SB

#SayNoToUnSafeBirth

11.3.2018

Amani Hotel Bangi.

5 Sebab Gout di Bedah

Catatan awal jurnal yang mengulas berkaitan pembedahan tophi akibat gout telah di tulis oleh Dr Larmon William, Dr Kurtz dan Dr James dari Ameka Syarikat. Tulisan mereka termuat dalam jurnal of Bone and Joint Surgery, Julai 1958.[1]

.

Mereka juga menegaskan perawatan yang paling utama dalam gout ini adalah dengan pencegahan dan rawatan tanda-tanda gout akut. Namun pada masa tersebut mereka mempercayai pembedahan kawasan bengkak akibat pengumpulan asid urik (tophi) pesakit boleh membantu dalam beberapa keadaan tertentu. Kriteria berikut ditetapkan bagi doktor yang ingin melakukan pembedahan gout:

(1) Apabila tophi tersebut kelihatan mengaibkan. Secara kosmetik, tidak cantik kelihatan.

(2) Apabila tophi itu menyakitkan

(3) Apabila tophi itu mengganggu fungsi otot tendon.

(4) Apabila tophi menjadi ancaman kepada kulit sehingga menyebakan kehitaman (necrosis) dan luka (ulceration).

(5) Apabila tophi membentuk luka dan sinus

(6) Apabila tophi menyerang dan menekan saraf.

(7) Apabila sendi yang dihinggapi tophi itu rosak dan alami kesakitan yang amat.

(8) Apabila jumlah asid urik dalam badan dijangka berkurangan dengan kaedah pembedahan.

.

Lapan kriteria di atas telah dikemukakan 60 tahun lalu. Adakah ianya menjadi amalan atau diajar disekolah-sekolah perubatan selepas itu? Atau setidaknya pakar-pakar ortopedik mengesyorkan kepada pesakit mereka bagi merawat gout?

.

Saya bertanyakan beberapa orang sahabat pensyarah universiti dalam kepakaran ortopedik. Mereka menjawab, tidak menjadi amalan serta ajaran kepada anak didik mereka untuk membedah wewenang gout. Samada pembedahan secara hirisan atau memasukkan saluran (incision and drainage) adalah ditegah sama sekali. Alasan mereka; tophi yang keluar itu akan tercemar dengan luka hirisan dan kulit luar. Tambahan pula jika ia dilakukan tanpa teknik pensterilan (nyahkuman) yang ketat, komplikasi jangkitan kuman akan mudah berlaku. Merawat luka torehan dan hirisan bengkak gout tadi menjadi semakin sukar terutama sekali pesakit kencing manis.[2] Proses penyembuhan (healing process) akan lambat atau terbantut dan akhirnya menjadi luka yang kronik (chronic ulcer). Nak untung sebakul, tetapi rugi sekarung guni. Kenapa? Rawatan luka kronik akan mengambil masa agak lama, duit ribuan melayang dan merugikan tenaga. Sekali lagi mereka beri amaran, agar jangan buat pembedahan gout. Jika nak buat juga sekalipun, silalah jumpa dengan pakar ortopedik, yang sudah barang tentu banyak kemahiran serta dilakukan dalam bilik kondusif. Sayangi lah kaki anda.

.

Ada pesakit kami yang sudah bergadai RM30 ribu dek kerana melakukan kaedah bedah ini tanpa prosedur yang rapi.

.

Kita sepatutnya menyokong saranan yang telah dibuat oleh Garis Panduan Klinikal (CPG) Perawatan Gout KKM.[3] Pakar-pakar yang menyediakan garis panduan berkenaan menyatakan, pembedahan gout dilakukan sebagai pilihan terakhir. Itupun atas kondisi yang tertentu sahaja seperti;

(1) Pengumpulan tophi yang teruk sehingga boleh merosakkan sendi yang terlibat

(2) Sendi yang terlibat terbantut pergerakannnya kerana tophi dan kesakitan yang memuncak.

(3) Pengumpulan tophi menyebabkan gangguan tekanan kepada organ lain seperti saraf sehingga mengganggu fungsi sebenar organ berkenaan. Contohnya penyakit carpal tunnel di sendi pergelangan tangan.

(4) Luka (ulceration) akibat tophi yang mengancam.

(5) Sebab-sebab kosmetik. Contohnya tophi di cuping telinga.

.

Arakian, kepercayaan pembedahan boleh sebabkan asid urik menurun adalah tidak benar sama sekali. Majoriti rawatan yang kita berikan di hospital atau klinik boleh menurunkan asid urik. Dr Mahyuddin, Pakar Ortopedik tersohor Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh pernah menulis, “Jika anda mahu Tophi anda mengecil, pastikan kandungan asid urik anda dalam darah adalah dibawah bacaan < 300.”[4] Teori yang dikemukakan lebih setengah abad dulu tidak dibuktikan secara praktikal.

.

Sekian ulasan dari insan dhaif suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

21.1.2018

Kuala Berang

.

[1] Pembedahan Gout. https://journals.lww.com/jbjsjournal/Abstract/1958/40040/The_Surgical_Management_of_Chronic_Tophaceous.1.aspx

[2] Rawatan Gout. https://www.podiatryinstitute.com/pdfs/Update_1997/1997_18.pdf

[3] Malaysian CPG. http://www.msr.my/file_dir/17082804864c8f1f4755066.pdf

[4] Kenyataan Dr Mahyuddin. https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1616504911773334

Sedut Kepala Lutut

Dua tiga orang sahabat tanya saya, boleh ke sedut cecair dalam kepala lutut? Memang ada video yang disebarkan seorang doktor swasta yang buat begitu.

.

Saya, tidak mahu komen lanjut teknik yang beliau buat itu, kerana bab lutut ni bukan bidang saya. Pakar tulang atau ortopedik wajib komen samada betul atau tidak teknik sedemikian.

.

Seingat saya, semasa dalam tempoh latihan di Hospital Sultanah Nur Zahirah sekitar 20 tahun dulu, persediaan untuk sedut lutut pesakit terlalu ketat. Bahkan bukan semua kes patut disedut. Ada kes yang dikehendaki dibuat di dewan bedah bagi menyelesaikan masalah lutut mereka.

.

Jika pakar arahkan kami sedut lutut pesakit, consent wajib ada kerana ianya menempa risiko tertentu dari segi medikolegal. Persediaan yang wajib kami patuhi adalah:

1) Doktor yang nak buat sedut (Aspirate) wajib basuh tangan sebersihnya. Ikut kaedah kawalan infeksi 7 langkah bersih tangan. Doktor juga wajib memakai apron nyahkuman, glove (sarung tangan) yang juga nyahkuman. Begitu juga wajib pakai mask muka supaya udara mulut/hidung tidak terkena kawasan yang akan disedut nanti.

2) Persediaan pesakit pula, dengan meletakkan diposisi yang selesa. Penerangan prosedur diberikan.

3) Cuci kawasan yang ingin disedut dengan antiseptik seperti povidone iodine.

4) Tutup kawasan sekitar yang ingin disedut menggunakan kain sterile (nyahkuman). Buka sekadar patut ruangan untuk disedut.

5) Berikan ubat bius setempat bagi mengurangkan kesakitan apabila ditusuk jarum.

6) Sedut cairan lutut dengan jarum dan syringe yang nyahkuman sekadar patut.

7) Hantar cairan itu ke makmal untuk ujian lanjut.

8) Cabut jarum dan tutup dengan gauze bersih.

Begitulah seingat saya ilmu 20 tahun lepas. Apabila berada di klinik kesihatan kes sebegini kami tidak lakukan kerana kekangan masa serta persediaan rapi seperti di atas tadi. Saya bertanyakan rakan-rakan pakar tulang di hospital, mereka pun jawab prosedur tidak berubah. Sama tekniknya. Menjaga kebersihan dan steriliti amat perlu supaya komplikasi jangkitan kuman tidak berlaku. Jika jangkitan kuman hinggap, merawatnya pula merumitkan. Kesian kepada pesakit yang terpaksa keluar masuk hospital nanti.

Sekian pandangan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

18.1.2018

Kuala Dungun

P/s – Terserah kepada pesakit untuk memilih teknik mana. Itu hak mereka.

Kepala lutut: Adalah merujuk kepada sendi lutut yang bengkak akibat radang. Bahasa mudah orang kampung adalah kepala lutut.

Apakah Beza Khitan Anak Perempuan antara Malaysia dan Afrika?

Isu khitan anak perempuan dihangatkan semula sejak akhir-akhir ini. Perbahasan yang dikemukakan itu merujuk kepada definisi khitan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membahagikan khitan kepada 4 kategori.[1] Potong Kemaluan Perempuan (Female Genital Mutilation) seperti yang digambarkan oleh WHO itu tidak sama dengan khitan alam melayu Islam di sekitar Nusantara ini. Tulisan ini merujuk kepada amalan khitan sekitar nusantara. Tiada satu standard khusus kaedah khitan yang pernah dicatat. Selain dari benua nusantara, khitan bayi perempuan ini banyak dilakukan dibeberapa negara muslim benua Afrika. Adakah kedua-kedua benua itu melakukan khitan bayi perempuan dengan kaedah yang sama?

.

Kategori khitan wanita yang WHO nyatakan itu sudah terkeluar dari amalan tradisi negara Malaysia sejak sekian kurun lamanya, di mana amalan tradisinya melukakan sedikit kelentit dengan jarum atau pisau khas. Ringkas sahaja tanpa perlu memotong keseluruhan kelentit, atau memotong kemaluan dalam (excision labia minora) atau kemaluan luar (infibulation labia majora) sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah tradisi arab Afrika. Amalan FGM itu agak keterlaluan sehingga menimbulkan fobia dikalangan anak gadis mereka. Kami juga melarang teknik berkenaan diamalkan dalam negara kita.

.

Mari kita perhatikan beberapa perbahasan dan ulasan yang meletakkan hujah amalan berkhitan ini masih diamalkan dikalangan umat Islam. Ianya merujuk kepada hadis Khitan anak perempuan dinaskan dalam syariat. Rasulullah SAW bersabda kepada ‘Ummu ‘Athiyah radhiyallahu ‘anha:

إذا خفضت فأشمي ولا تنهكي فإنّه أسرى للوجه وأحضى للزوج

“Apabila Engkau mengkhitan perempuan, sisakanlah sedikit dan jangan potong (bahagian kulit klitoris/kelentit) semuanya, karena itu lebih boleh membuat ceria wajah dan lebih disenangi oleh suami.”[2]

.

Kitab Fiqh Islami menghuraikan bahawa khitan adalah sunat bagi lelaki dan perkara yang elok bagi perempuan menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Manakala menurut Mazhab Syafei dan Hambali hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan.

Satu kajian hirisan lintang yang dijalankan oleh Dr Khatijah ke atas pengamal perubatan swasta seluruh Terengganu, mendapati 56.2% dari mereka menjalankan khidmat khitan bayi perempuan di klinik mereka. Dari jumlah tersebut pula, hanya 31.2% sahaja yang menganggap bahawa khitan perempuan ini sebagai wajib. Ianya agak kontrari dengan pegangan Mazhab Syafie di Malaysia.

Berkaitan dengan kaedah khitan pula, kajian ringkas tersebut mendapati 55.6% (n=15) di kalangan mereka hanya melukakan/hirisan kecil ke atas kelentit (lukisan 1), 25.9% (n=7); ada dikalangan mereka melukakan puncak klitoris dengan jarum steril (lukisan 2) dan 18.5% (n=5) memotong sedikit klitoris samada menggunakan jarum atau pisau steril (lukisan 3). Tiada seorang pun dari responden menggunakan kaedah seperti yang dikategorikan oleh WHO. Mereka mungkin menggunakan kaedah IV menurut kategori WHO tetapi tidak berlebihan dan memudaratkan bayi. Majoriti (62.9%) responden belajar menggunakan teknik berkenaan dari rakan-rakan senior dan pakar sakit puan.

.

Perdebatan yang panjang isu khitan perempuan dikalangan pengamal perubatan, sehinggakan sesetengah negara mengharamkan terus khitan anak perempuan. Mereka merujuk khitan perempuan itu kepada klasifikasi yang ditetapkan oleh WHO kerana kebanyakan kes yang dibuat kajian oleh pengkaji WHO adalah jatuh dalam kategori I, II, III. Teknik berkenaan diamalkan di kebanyakan negara Afrika.[4] Penentangan mereka bukan sekadar vokal di media cetak dan maya tetapi menetapkan akta khusus atas nama hak asasi wanita.

.

Mufti Wilayah perseketuan pernah menulis dalam lawam rasmi beliau berkaitan isu ini. Kata beliau;

“Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.

“Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[6]

“Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [7]

.

Akhir sekali beliau membuat penegasan:

“Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.

.

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

15.1.2018

Ketengah Jaya

.

Pautan:

[1] Female Genital Mutilation WHO. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs241/en/

[2] Hadis riwayat Al Khatib dalam Tarikh 5/327, dinilai shahih oleh Syaikh Al Albani dalam Ash Shahihah.

[3] Dr Bekir London. https://www.circumcision-london.co.uk/best-age-time-circumcision/

[4] Kajian khitan perempuan. https://mmabbasi.com/2014/03/14/fgm-female-genital-mutilation-by-country/

[5] Hukum berkhatan Kaum Wanita oleh Mufti Wilayah. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1100-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

[5] Fatwa MUI. http://www.hukor.depkes.go.id/?dokumen=global&type=4&th=2010

[6] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379

[7] http://www.umatia.org/ftawa12.html