,

Jawapan kepada Sedut Air dalam Hidung Bukan Rawat Strok

Saya terima teguran seorang ustaz yang membaca tulisan saya mengenai hikmah menyedut air dalam hidung semasa wudhuk. Tulisan saya menyanggah satu sebaran artikel yang menyatakan kaedah menyedut air dalam hidung itu adalah rawatan untuk pesakit angin ahmar. Artikel asal dari bahasa indonesia itu menyebut doktor Saudi angkat tangan (menyerah kalah dalam merawat) dan menyarankan kes dirujuk ke doktor Swiss. Tidak dinyatakan kejadian ini berlaku di Indonesia atau Saudi. Akhirnya Dr Swiss menempelak pesakit muslim tadi kerana tidak mengambil rawatan stroke yang sudah termaktub dalam kitab suci – Al Quran. Pesakit mendakwa bahawa beliau sembuh total dari stroke dengan hanya melakukan saranan dari doktor Swiss tadi iaitu dengan Istinsyaq-instinsyar.

“HIRUPLAH AIR DIHIDUNG SETIAP BERWUDHU’ SAMPAI TERASA DI UBUN-UBUN”, Kaedah ini adalah untuk merawat strok kononnya.

Perlu saya nyatakan di sini bahawa tulisan saya bukannya menyanggah perbuatan sunnah istinsyaq itu dan bukan menafikan hikmah tertentu dalam sunnah. Malah sama sekali ianya tidak menghina amalan sunnah yang dianjurkan oleh syariat Islam tersebut. Akan tetapi tulisan saya adalah menyanggah kaedah rawatan untuk strok. Menyedut air dalam hidung hingga terasa ke ubun-ubun bukannya rawatan strok. Jangan salah faham isi tulisan saya. Pembaca perlu membacanya baris demi baris.

Sedut air ke dalam hidung dan menghembus semula semasa wuduk adalah amalan sunnah dan baik untuk dilakukan. Saya pun berbuat sedemikian semasa angkat hadas. Kotoran dalam hidung akan dibersihkan. Saya tidak nafikan perbuatan itu mempunyai hikmahnya tersendiri samada kita ketahui atau sebaliknya.

Al fadhil ustaz berkenaan menambah melalui komen beliau bahawa terdapat saudara beliau yang semakin baik dari serangan angin ahmar setelah melazimi instinsyaq semasa berwudhuk. Katanya lagi waris beliau tersebut dari awalnya tidak dapat bercakap kerana strok, sekarang sudah boleh bercakap dan berjalan sekadar mampu. Beliau bandingkan pula dengan orang lain sekampung yang tidak melakukan intinsyaq semasa berwudhuk. Penyakit strok pesakit berkenaan tidak berubah. Kesimpulan yang beliau buat bahawa beliau yakin rongga hidung berhubung dengan rongga otak. Manakan tidak dua paparan kes testimoni itu boleh berlaku.

Saya setuju dengan beliau untuk terus memberi kuliah agar amalan sunnah itu harus dilakukan kepada semua pesakit strok. Tiada masalah besar jika pesakit yang lumpuh separuh badan mampu laksanakan istinsyaq. Tetapi janganlah memaksa.

Cuma perlu diingatkan bahawa struktur anatomi rongga hidung dan rongga otak tidak bersambung. Malah air sedutan dalam hidung tersebut tidak akan memasuki rongga otak. Jika ia boleh masuk, semakin teruk jadinya.

Pemulihan semula pesakit strok selepas terkena serangan boleh terjadi pelbagai kemungkinan. Satu pertiga pesakit akan meninggal dunia akibat strok dalam tempoh tertentu, sepetiga dari mereka pula statik keadaannya. Satu pertiga lagi akan pulih. Ianya bergantung kepada keparahan strok, kawasan otak yang terlibat dan rawatan rehabilitasi yang diikuti. Ianya juga bergantung kepada rawatan penyakit kronik lain jika ada seperti kawalan darah tinggi, kawalan kencing manis dan sebagainya.

Tidak pelik jika seseorang itu akan pulih dalam tempoh tertentu setelah serangan strok. Dan tidak pelik jika seseorang pesakit itu kekal statik lumpuh atau tidak bercakap, kerana keparahan strok berbeza-beza bagi setiap individu. Yang penting adalah ikhtiar untuk memulihkannya kepada keadaan normal sebaik mungkin.

Sekian dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

24.8.2018

Zamboanga City

, ,

Bergura Bewok

Bergurau keterlaluan mengundang banyak bahaya. Jika berada di tempat tinggi, tolak menolak sambil bergurau boleh menyebabkan jatuh. Risiko cedera dan maut adalah tinggi. Begitu juga main acah-acah pensil ke muka kawan, boleh tertusuk ke dalam mata atau hidung. Tarik kerusi kawan di depan juga salah satu bergurau yang melampau. Bahasa paling mudah orang pantai timur sebut bergura bewok. Sememangnya bergura bewok ini patut diawasi oleh pihak guru, samada membuat teguran kepada anak-anak murid atau mengenakan amaran denda. Implikasi bergurau cara ini boleh mendatangkan kecederaan.

Pagi tadi saya menerima satu mesej wasap yang menyatakan peristiwa bergura bewok ini berlaku di salah satu sekolah sekitar Kuala Lumpur. Kononnya pelajar berkenaan jatuh akibat kerusinya ditarik oleh rakan. Akhirnya beliau jatuh atas tulang ekor sehingga mengakibatkan beliau lumpuh, tidak bercakap serta merana hidup. Setelah saya selidiki, mesej berkenaan telah tular beberapa tahun lalu. Malah kejadian seumpamanya itu tidak berlaku pun disekolah berkenaan. Walaupun benar bergura bewok tarik kerusi ini boleh membahayakan tetapi tidak sampai teruk kecederaan itu sehingga lumpuh dan tidak boleh bercakap.

Mungkin orang ramai percaya berita sedemikian, tetapi bagi saya dibidang perubatan ini, merasakan berita itu cuba direka-reka. Beberapa pernyataan dalam mesej wasap itu tidak kena dengan ilmu perubatan:

1) Tulang ekor tiada saraf yang keluar melaluinya. Jika ianya patah, badan tidak akan lumpuh. Mangsa hanya akan rasa sakit.

2) Pun begitu terlalu amat jarang kes berlaku jatuh atas punggung atau kena tulang ekor menyebabkan lumpuh. Malah tak pernah dijumpai ke sedemikian, kecuali tulang ekor itu lari dari tapak asal dan tekan saraf yang berhampiran keluar. Ataupun mangsa patah tulang belakang, patah tulang belakang lumbar atau sacral boleh menyebabkan lumpuh separuh badan jika tidak dirawat dengan segera. Itupun jika mangsa jatuh dari tempat yang tinggi. Jika 50 cm tinggi, sukar juga berlaku patah atas kanak-kanak.

3) Jika tulang belakang patah, percakapan tidak sepatutnya terlibat. Sebab percakapan melibatkan saraf otak. Saraf bahagian pinggul tidak ada kena mengena dengan saraf percakapan.

4) Jika tulang belakang patah, lumpuhnya adalah separuh badan. Dari pusat ke bawah. Bukannya seluruh badan lumpuh.

.

Walaupun begitu, bergurau terlampau tarik kerusi boleh mendatangkan bahaya. Amaran perlu diberikan kepada anak murid sekolah. Jangan buat begitu. Jika jatuh boleh menyebabkan sakit atau terhantuk kepala ke bucu meja.

Sekian coretan petang dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

18.1.2018

Kuala Berang

, ,

Telur Kurangkan Strok? 


Tersebar tulisan yang popular dan menjanjikan harapan tinggi kepada penggemar telur.

“Sebiji telur sehari boleh mengurangkan kematian akibat stroke sebanyak 12% – Bukti kajian ke atas 300,000 orang.” ~Epidstat Institute, Washington (2015)

.

Laporan kajian berkenaan adalah hasil dari analisa Meta yang mengumpulkan beberapa kajian yang tertentu berkaitan telur dan risiko strok / sakit jantung. Ianya salah satu teknik penulisan yang baik kerana membuat kesimpulan secara kolektif atas beberapa kajian yang telah dijalankan. Cuma kaedah pengambilan kajian kohort dalam analisa meta ini, agak terkongkong dengan penemuan satu jalur, tanpa melihat sisi jalur yang lain. Bagi pengkaji yang mahir statistik faham apa yang saya maksudkan ini.

.

Mari kita lihat kajian tersebut secara ulasan statistik. Pengumpulan data responden kajian yang mencecah kepada 300 ribu ini, mencari hubung kait antara pesakit yang mengalami samada strok atau serangan jantung. Dari sejumlah kedua-dua lorong penyakit tersebut, mereka melihat berapa ramai yang memakan telur sebiji sehari dan dua biji seminggu. Hanya dua lorong cerapan sahaja. Mereka dapati pengambilan telur 1 biji/sehari berbanding 2 biji/seminggu boleh mengurangkan kematian strok (fatal stroke) sebanyak 12%. Manakala kajian yang dipetik itu tidak menunjukkan hubungkait antara pengambilan telur dengan kejadian sakit jantung, samada 1 biji/sehari atau 2 biji/seminggu.[1]

.

Kesimpulan pengkaji yang dibuat dalam kajian meta analisa tersebut adalah:

1) Pengkaji bersetuju dan menyokong bahawa telur adalah satu makanan yang berzat dan sihat. Walaubagaimana pun para pengkaji tidak melihat kepada keseluruhan menu makanan lain yang di ambil oleh subjek kajian. Begitu juga kaedah sajian telur tidak disebutkan, goreng ke, rebus ke, masak lemak ke atau sebagainya. Mereka hanya mengkaji samada sebiji telur sehari atau 2 biji seminggu sahaja. Justeru tidak diketahui status responden yang memakan 2 biji sehari, atau lapan biji sehari, masak separuh atau masak penuh atau jumlah-jumlah yang lain. Samada mengurangkan risiko strok juga atau tidak.

2) Para pengkaji juga tidak dapat menemui bukti berapa jumlah yang sepatutnya telur dimakan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko kematian atau penyakit. Ini kerana kajian yang dijalankan itu tidak boleh membuktikan hubungkait sebenar berdasarkan faktor-faktor lain yang boleh menjadi risiko sampingan (confounding factors), seperti merokok, gemuk, jantina, umur dan aktiviti sukan setiap responden.

3) Telur adalah sumber yang bagus untuk protin, vitamin, garam galian. mengambilnya dalam menu seharian anda boleh memberi kesan positif dalam kehidupan.

.

Jika diteliti lanjut, kajian yang dijalankan itu telah mendapat tajaan besar dari Pusat Nutrisi Telur Amerika. Berlaku konflik kepentingan antara kaedah kajian dan keputusan kajian yang ditulis. Sudah tentu ianya akan menyokong Pusat berkenaan bagi melariskan jualan.

.

Akhirnya kajian tersebut seolah-olah tidak signifikan.

.

Untuk pengetahuan bersama, kaitan telur dengan kandungan kolesterol menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama. Ini kerana tekstur kuningnya memberi persepsi bahawa ianya adalah kolesterol atau lemak. Pemikiran kita selama ini telur adalah makanan yang banyak kolesterol, sebenarnya tidak. Sedangkan kajian terkini mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak memberikan kesan negatif kepada tubuh kerana kebanyakan kolesterol terbentuk di hati (liver). Boleh baca tulisan lanjut oleh laman Root of Science.[2]

.

Boleh simpulkan disini, jumlah telur semata-mata tidak menjamin anda berisko dihinggapi penyakit. Faktor-faktor lain boleh mempengaruhi. Makanlah dengan sederhana, jangan berlebihan. Kekalkan gaya hidup sihat senantiasa. Katakan tidak kepada rokok. Nyatakan kebencian anda kepada perangai peminum arak atau golongan yang menganjurkan arak berleluasa. Kerana ianya merosakkan diri anda sebagai aset berguna negara.

.

Sekian Semoga Bermanfaat

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

15.10.2017

Kuala Berang

.

Pautan
[1] Alexander DD, Miller PE, Vargas AJ, et al. Meta-analysis of Egg Consumption and Risk of Coronary Heart Disease and Stroke. Journal of the American College of Nutrition. Published online October 6 2016.
[2] Root of Science. Kolesterol dalam makanan tidak akan meningkatkan kolesterol dalam badan http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/perubatan/kolesterol-dalam-makanan-tidak-akan-meningkatkan-kolesterol-dalam-badan-korang-tahu-tak/
[2] Review from NHS UK. https://www.nhs.uk/news/food-and-diet/eating-one-egg-a-day-may-lower-risk-of-stroke/

, , ,

Sedut Air dalam Hidung Rawat Stroke?

wudhuHari ini banyak dikongsi dalam media maya perbualan seorang pesakit dengan doktor. Tulisan bahasa indonesia itu menyebut doktor Saudi angkat tangan (menyerah kalah dalam merawat) dan menyarankan kes dirujuk ke doktor Swiss. Tidak dinaytakan kejadian ini berlaku di Indonesia atau Saudi. Akhirnya Dr Swiss menempelak pesakit muslim tadi kerana tidak mengambil rawatan stroke yang sudah termaktub dalam kitab suci – Al Quran. Pesakit mendakwa bahawa beliau sembuh total dari stroke dengan hanya melakukan saranan dari doktor Swiss tadi.
Berikut mesej tular yang disebarkan:
⛔ *STOP STROKE*
(dengan wudhu)
Hampir setiap RT di Indonesia ada yg sakit STROKE. Seseorang yg semula gagah dihormati, gara2 stroke runtuh sdh wibawanya, plus merepotkan banyak orang. Dan lain sebagainya.
KISAH NYATA
Ada seorang MILYADER SAUDI-ARABIA turunan Yaman sakit gejala stroke, pusing terus menerus tak berkesudahan. Dokter Saudi angkat tangan. Disarankan pergi berobat ke dokter Swiss.
Setelah diperiksa, dokter Swiss berkata sambil tertawa kecil: “Anda kan orang Arab tentu beragama Islam, obatnya ada didalam Kitab Suci Anda.”
Sang Pasien bengong seribu bahasa, dgn memandang Sang Dokter penuh keheranan. Rasanya ingin cepat2 tahu apa yg akan diucapkan  Professor Doktor barusan.
*”HIRUPLAH AIR DIHIDUNG SETIAP BERWUDHU’ SAMPAI TERASA DI UBUN-UBUN”*.
Masyaa Allooh ini tuntunan Wudlu’ dalam Hadits Bab Bersuci.
Pasien tersebut terdiam malu. Benar2 malu.
Sang Pasien yg orang Arab Muslim itu membenarkan dlm hati omongan Dokter Swiss.
Singkat cerita, tanpa obat alhamdu lillaah sembuh total.
Kemudian disebarkanlah kejadian yg telah dialaminya.
Dia berkata: “Jangan tinggalkan menghirup air 3x ketika berwudlu’. Dimana masih banyak Ummat Muslim menyepelakan sunnah Rosulullooh saw.
*STOP ⛔⛔⛔ STROKE SEKARANG*
Sebarkan sbg amal ibadah berantai. Aamiiin
◾◾◾◾◾◾◾
*Ulasan Saya*
Sedut air dalam hidung semasa wudhuk (Istinsyaq) adalah satu perbuatan yang amat disarankan oleh Rasulullah. Istinsyaq ialah memasukkan atau menyedut air ke dalam hidung dan selepas itu istinsyar mengeluarkannya semula. Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أبى هريرة رَضىَ اللَه عَنْهُ: أنَّ رَسُولَ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلمَ قَالَ: إذَا تَوَضَّأ أحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ فِي أنْفِهِ مَاءً ثم لِيَسْتَنْثِرْ وَمَنِ اسْتَجْمَرَ فَلْيُوتِرْ. وَإذَا اسْتَيْقَظَ أحدكم مِنْ نَوْمِهِ فَلْيَغْسِل يَدَيْهِ قبْلَ أنْ يُدْخِلَهُمَا فَي الإنَاءِ ثَلاثاً ، فَإنَّ أحَدَكُمْ لا يَدْرِي أيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ
وفي لفظٍ لمسلم: “فَلْيَسْتَنْشقْ بِمِنْخَرَيْهِ مِنَ المَاءِ
وفي لفظٍ: “مَنْ تَوَضَّأ فَلْيَسْتَنْشِقْ
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Jika salah seorang kalian berwudhu maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian mengeluarkannya. Barang siapa melakukan istijmar (iaitu beristinjak dengan batu) maka hendaklah dia lakukan dengan bilangan ganjil. Dan jika salah seorang kalian bangun dari tidur maka hendaklah dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum memasukkan keduanya ke dalam bekas air, kerana sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya bermalam.”
Di dalam lafaz Muslim: “Hendaklah dia memasukkan air ke dalam dua rongga hidungnya.”
Di dalam lafaz yang lain: “Barang siapa yang berwudhu hendaklah dia istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dengan nafasnya).”[1]
Sabda Rasulullah sollahu ‘alaihi wasallam:
إذا استيقظ أحدكم من منامه فليستنثر ثلاث مرات ، فإن الشيطان يبيت على خياشيمه
Maksudnya : “Apabila kamu bangun dari tidur hendaklah kamu menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya semula sebanyak 3 kali kerana syaitan tidur dalam lubang hidung”. (HR Muslim).[2]
*Rawatan Stroke bukan dengan sedut air dalam Hidung*
Tidak disebut secara spesifik dalam hadis atau al Quran supaya menghirup air ke dalam hidung ketika wudhu sehingga terasa di ubun-ubun. Cuma tafsiran para ulama menyebut supaya kaedah kita menyedut air dalam hidung itu dengan bersungguh-sungguh sehingga seolah-olah terasa di ubun-ubun. Ia boleh dilakukan setiap kali berwudhu dan tidak bersangatan/bersungguh ketika berpuasa.
ubun-ubunSecara perubatan, rongga hidung atas terhenti sehingga tulang tengkorak. Ia tidak bersambung dengan ubun-ubun. Mungkin dalam perubatan, kebersihan hidung perlu bagi menghalang kemasukan kuman ke dalam badan. Dengan cara menyedut dan menghembus air semasa wudhu memberi ruang kepada kebersihan itu. Namun, ianya tiada kaitan dalam perawatan stroke (angin ahmar) sekalipun.
Stroke adalah sejenis penyakit yang menyerang otak samada salur darah tersumbat atau pecah. Terdapat dua jenis stroke, iaitu stroke perdarahan (pembuluh darah bocor) dan stroke iskemia (pembuluh tersumbat). Pada peringkat awal serangan stroke, sukar dibezakan antara kedua-duanya kecuali doktor yang sudah berpengalaman. Pengesahan untuk membezakan kedua-dua jenis ini adalah melalui CT Scan. Stroke akan mengakibatkan pengaliran darah ke otak akan terbantut. Akhirnya pesakit akan lumpuh separuh badan kerana saraf otak yang mengawal anggota badan sudah tiada bekalan darah. Ianya boleh membawa maut jika paras stroke yang serius.[3]
Jika ingin dibandingkan jumlah pesakit stroke antara negara Arab dan Switzerland, terdapat perbezaan nyata. Kadar kejadian stroke di Swiss adalah 150 orang dalam 100 ribu populasi setahun (tahun 2000).[4] Manakala semenanjung Tanah Arab pula kadar kejadian stroke adalah 29.8 orang dalam 100 ribu populasi setahun (tahun 1998).[5]
Berbeza pula dengan statistik berikut ini. Dengan anggapan setiap Muslim melakukan istinshaq dan istinshar semasa wudhu, jumlah kematian akibat stroke ssepatutnya telah berkurangan. Di Indonesia, peratus kematian akibat stroke adalah 21%, manakala Mesir 14%, Eropah 14% dan Amerika 6.8%. Data ini tidak menunjukkan kaitan secara tepat samada akibat dari berwudhu atau tidak dinegara-negara berkenaan. Sepatutnya negara-negara muslim paling sedikit jumlah kematian akibat stroke. -Jika benar dakwaan doktor Swiss tersebut.
Saya kira perbualan pesakit Yamen dengan doktor Swiss itu tidak wujud, kerana ianya berbentuk andaian semata-mata tanpa diasaskan kepada satu kesahihan kajian atau mana-mana penulisan berobjektif. Jikalah benar kisah ini berlaku, ketemukan saya dengan pesakit berkenaan untuk dibuat satu laporan secara objektif.
Sembuh dari stroke setelah terkena serangan amat sukar. Tetapi dengan kaedah perawatan terkini, jumlah kejadian, peratus kematian semakin berkurangan. Paling menggembirakan bahawa 80% stroke boleh dicegah dari awal.[7] Ia bermula dengan menguruskan faktor-faktor risiko sebaiknya. Antara faktor risiko berkenaan adalah penjagaan tekanan darah, kawalan gula dalam badan, tidak merokok, penjagaan makanan seimbang, bersenam serta imbang berat badan.
Jika anda diserang stroke, ambillah nasihat dari doktor yang berwibawa. Makanlah ubat yang dibekalkan. Elakkan tekanan darah meninggi. Kawal paras gula dengan cara hidup sihat dan ubatan. Bagi pesakit stroke, biasanya akan dibekalkan dengan ubat cair darah (anticoagulant/antiplatelet) bagi mengelakkan stroke anda semakin merebak atau risiko akan berlaku stroke kedua.
Tidak bermakna ulasan saya ini menghalang anda untuk menyedut air ke dalam hidung semasa wudhu. Istinshaq dan istinshar adalah sunat wudhu yang menjadi sunnah. Teruskan, tiada halangan. Sudah tentu sesuatu sunnah itu mempunyai hikmah yang tertentu samada mempunyai bukti secara saintifik atau sebaliknya. Tidak dinafikan. Cuma jangan menjadikan alasan istinshaq dan istinshar itu sebagai satu-satunya rawatan untuk stroke tanpa mendapatkan rawatan dari ahli dalam bidang kedoktoran.
Semoga Allah mengampuni kita semua dari dosa-dosa.
Rujukan:
[1] Riwayat Al-Bukhari di dalam Al-Wudhu (154), Muslim dalam Al-Taharah (21), Al-Nasai dalam Al-Taharah (85).
[2] Hadis Riwayat Muslim. https://islamqa.info/ar/228261
[4] Incidence of Stroke in Switzerland. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3808045/
[5] Incidence of Stroke in Saudi Arabia. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4048673/
[6] 10 leading cause of Death – global. https://www.cdc.gov/globalhealth/countries/
Dr Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com
9.1.2017
Ketengah Jaya
, ,

Pengsan di Bilik Mandi

Mesej yang disebarkan:

 

*“`kita selalu dengar orang jatuh dibilik mandi dan kena stroke dan sebagainya. Kenapa kita jarang dengar jatuh ditempat tempat lain? Semasa saya hadir kursus gaya hidup sehat , seorang penceramah professor uitm yang juga terlibat dengan majlis sukan negara menasihatkan supaya semasa mandi jangan basahkan kepala dulu, basahkan bahagian badan. Ini kerana apabila kepala basah dan sejuk, darah semua akan mengalir ke kepala untuk memanaskan kepala , logik ‘warm blooded human’ dan jika ada saluran darah sempit, mungkin boleh menyebabkan saluran darah pecah. Ini kerapkali berlaku di bilik mandi. Sila sebarkan agar lebih ramai sedar dan mungkin dapat membantu mengelakkan kejadian ini.“`*

 

1. Bermula dari segayung siramkan di telapak kaki.

2. Segayung di betis.

3. Segayung di paha.

4. Segayung di perut.

5. Segayung di bahu.

6. Berhentilah sejenak 5-10 saat.

 

?“`Kita akan merasakan seperti wap/angin yang keluar dari ubun-ubun bahkan meremang, setelah itu lanjutkan dengan mandi seperti biasa.“`

 

✅“`Hikmahnya: Seperti pada gelas yang diisi air panas kemudian kita isi dengan air sejuk. Apa yang terjadi?

Gelas akan retak ⚡!!!

 

?Jika tubuh kita …. apa yang retak?

Suhu tubuh kita“` “`cenderung panas dan air itu sejuk, maka yang terjadi jika kita mandi langsung menyiram pada badan atau kepala, angin yang harusnya keluar jadi terperangkap atau boleh membawa maut kerana pecahnya pembuluh darah.“`

 

?“`Maka sebab itu kita sering menjumpai orang jatuh di bilik mandi tiba-tiba kena ‘stroke’. Boleh jadi kita sering masuk angin kerana cara mandi kita yang salah. Boleh jadi kita sering migrain kerana cara mandi yang salah.“`

 

?“`Cara mandi ini baik bagi semua peringkat umur terutama yang mempunyai sakit diabetes, darah tinggi, kolesterol dan migrain/sakit kepala

sebelah.In shaa Allah..“`

 

?“`Jangan kedekut ilmu. Sila kongsi

untuk manfaat bersama….“`

 

?????????

 

*JAWAPAN*

 

fb_img_1459495878145.jpgPengkaji dari Iwate Medical Universiti Jepun, mendapati serangan penyakit stroke (angin ahmar) kerap berlaku di awal pagi dan lewat petang. Antara dapatan dalam kajian mereka mendapati bahawa tekanan darah diawal pagi adalah rendah. Ia dikaitkan dengan stroke jenis iskemik (ischemic stroke – tidak cukup darah ke bahagian otak). Manakala tekanan darah di lewat petang pula tinggi. Ia dikaitkan pula dengan stroke jenis perdarahan (hemorrhagic stroke).[1]

 

Tekanan darah yang sebegini juga bertepatan dengan kejadian serangan jantung diwaktu pagi.[2] Kajian dari Dr Mukaish Jane mendapati kebanyakan dari orang mati di awal pagi berpunca dari ketidaktentuan rentak biologi badan (circadian rhytm) berlaku. Bagi sesetengah individu, ketidaktentuan melampau (erratic) boleh berlaku mengakibatkan fibrilasi otot jantung (ventricular fibrillation), akhirnya merencat perjalanan darah ke seluruh badan dan otak.[3] Amat menakutkan juga beliau mendapati 3 dari 4 kematian akibat serangan jantung di Amerika berumur antara 35 hingga 44 tahun. Waktu puncak bagi ketidaktentuan rentak jantung (KRJ) ini adalah antara jam 6.00 hingga 10.00 pagi.

 

Justeru, teknik mandi atau membasahkan tubuh tidak dapat dikaitkan secara tepat penyebab kepada kematian di awal pagi. Teori logik ‘warm blooded human’ tidak boleh digunakan kerana sistem aliran darah manusia tidak berkait rapat dengan suhu badan luaran. Malah tiada pembuktian dari segi kajian pun. Menyamakan diri manusia dengan gelas senang retak akibat masuk air panas pun tidak bertepatan. Badan manusia senantiasa mempunyai sistem regulasi bagi keseimbangan, bukannya bersuhu tinggi sepanjang masa atau sebaliknya. Malah manusia dijadikan sedemikian rupa bagi memberikan keselesaan kepada kita sepanjang hayat kecuali dalam keadaan tertentu seperti demam atau berpenyakit.

 

Jika kita percaya kepada kaedah mandi seperti yang disarankan oleh Prof UITM tersebut, apa pula ulasan yang perlu kita sampaikan dalam kaedah mandi yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW? Lihat bagaimana sabda Rasulullah berkaitan mandi janabah:

Dari ‘Aisyah Radhiyallahu anhuma, ia berkata, “Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), beliau memulainya dengan membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwudhu sebagaimana berwudhu untuk shalat. Lalau beliau mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga jika beliau menganggap telah cukup, beliau tuangkan ke atas kepalanya sebanyak tiga kali tuangan. Setelah itu beliau mandi seluruh badannya. Kemudian beliau basuh kedua kakinya.” [4]

 

Bermaksud, kaedah mandi tidak dapat dikaitkan dengan kejadian stroke mahupun serangan jantung. Tetapi cara hidup tidak sihat seperti merokok, minum arak, tidak bersenam dan pemakanan yang tidak seimbang lebih mempengaruhi risiko penyakit yang membawa maut itu.

 

Rujukan

[1] Kajian stroke IMU Jepun. http://www.news-medical.net/news/2006/08/20/19537.aspx

[2] Cardiac Death in early morning. http://circ.ahajournals.org/content/75/1/131.short

[3] Circadian Rhytm. https://www.acs.org/content/acs/en/pressroom/newsreleases/2013/september/explaining-why-so-many-cases-of-cardiac-arrest-strike-in-the-morning.html

[4] Hadis shahih: [Irwaa’ al-Ghaliil (no. 136)], Shahiih Muslim (I/259 no. 330), Sunan Abi Dawud (‘Aunul Ma’buud) (I/426 no. 248), Sunan an-Nasa-i (I/131), Sunan at-Tirmidzi (I/71 no. 105), dan Sunan Ibni Majah (I/198 no. 603). Sumber: https://almanhaj.or.id/679-mandi.html

 

Dr Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

 

#MedTweetMT

#MedicalMythBustersMalaysia

 

13.11.2016

Kuala Abang

,

Cucuk Jarum Rawat Stroke

Mesej yang disebarkan: 

Jika ada di antara keluarga kita yang terkena stroke, jangan panik. Itu kuncinya. Sebab, jika anda panik, justru akan memburukkan lagi stroke yang dialaminya.

 

Ada 1st aid (langkah pertama) dijamin sangat berkesan. Cara ini sudah diperkenalkan secara meluas, agar menjadi pertimbangan masyarakat sebagai alternatif pertolongan pertama bagi orang yang terkena stroke.

 

Cara ini merupakan kaedah penyembuhan melalui “Pelepasan Darah”. Tujuannya untuk menolong si pesakit agar stroke itu tidak ‘fatal’. Bahkan dipastikan hampir tidak ada kesan sampingan.

 

Perlu diketahui, orang yang terkena stroke, pembuluh darah di bahagian otak lambat laun akan menuju ke proses perpecahan. Bila menghadapi keadaan demikian, jangan panik … jangan sekali panik.

 

Dimana pun pesakit berada (bilik mandi, bilik tidur, atau ruang tamu), jangan dipindahkan terburu-buru. Kerana bila dipindahkan, akan mempercepatkan proses pecahnya pembuluh darah itu.

 

Di tempat kejadian itu, alihkan si pesakit supaya dalam posisi duduk, agar dia tidak terjatuh lagi.

 

Setelah berada dalam posisi duduk, kini tiba masanya untuk melepaskan darah.

 

Jika di rumah ada jarum suntik, itu lah paling baik. Kalau tidak ada, pakailah jarum jahit atau jarum pentol. Sebelum itu, jarum sepatutnya disterilkan dengan dibakar api sejenak.

 

Kemudian tusuklah kesepuluh hujung jari kedua tangan agar berdarah. Bila darah tidak keluar, boleh dipicit atau diurut, hingga kesepuluh jari itu menitiskan darah (setiap jari setitis).

 

Beberapa minit kemudian, si pesakit dengan sendirinya akan sedar kembali.

 

Bila mulutnya sumbing atau condong, tariklah telinganya sampai merah. Di bahagian daun telinganya juga harus ditikam dua tusukan jarum, sehingga masing-masing telinga menitis dua titisan darah.

 

Beberapa minit kemudian mulutnya akan kembali normal.

 

Setelah semuanya dirasakan normal, tanpa gejala lain, barulah si pesakit dihantar ke tempat rawatan. Insya Allah masa krisis sudah boleh ditangani.

 

Jika anda terburu-buru mengangkut mangsa dengan ambulans, maka sepanjang jalan akan terjadi goncangan/gegaran. Sesampainya ke rumah sakit, hampir semua saluran darahnya akan pecah, dan akan berlaku pendarahan yang teruk di dalam otaknya.

 

Jika itu berlaku, mangsa sukar untuk diselamatkan oleh rawatan perubatan, ada mujizat pun sukar untuk mempertahankan nyawanya.

 

Umumnya, reaksi daripada ahli keluarga atau masyarakat ialah akan terburu-buru membawa pesakit stroke ke rumah sakit untuk rawatan. Padahal, kejutan sepanjang jalan akan mempercepatkan pecahnya pembuluh darah. Banyak pesakit yang mengalami kerosakan fatal di bahagian pembuluh darahnya.

 

Maka, pendarahan otak menduduki tempat kedua dalam ranking punca kematian. Mungkin ada yang bernasib baik kerana tidak fatal. Tetapi yang lumpuh seumur hidup merupakan suatu kerugian besar bagi si mangsa, keluarga, dan masyarakat.

 

Sememangnya pendarahan otak sungguh mengerikan.

 

Andai kita dapat mengingati cara pelepasan darah ini, maka itu dapat memberi pertolongan pertama. Oleh itu, dengan pantas dapat menolong si pesakit, supaya tidak berlaku kematian.

 

*Saiful*

*MEDIC JPAM*

 

Sharing is caring…

Untuk perkongsian bersama.

 

◼◼◼◼◼◼◼◼◼◼◼

 

*Ulasan Saya*

 

imagesMengambil jarum dan cucuk jari kepada sesiapa sahaja boleh membahayakan. Nasihat yang diberikan untuk rawatan awal (first aid) kepada pesakit strok (angin ahmar) ini tidak sepatutnya diamalkan.

 

Pengkaji dari China pernah menemui kaedah “blood letting” (perlepasan darah) boleh membantu tahap sedar, tingkatkan tekanan darah dan tingkatkan kadar degupan jantung pesakit.[1] Tetapi kajian mereka dibuat dalam suasana pengawasan yang ketat dan dihospital. Bukannya dibiarkan mengalami komplikasi teruk yang berkemungkinan akan berlaku.

 

Terdapat dua jenis stroke, iaitu stroke perdarahan pembuluh dan stroke iskemia (pembuluh tersumbat). Pada peringkat awal serangan stroke, sukar dibezakan antara kedua-duanya kecuali doktor yang sudah berpengalaman. Pengesahan untuk membezakan kedua-dua jenis ini adalah melalui CT Scan.

 

Apabila seseorang diserang stroke, jangan panik. Letakkan beliau disisi mengiring lambung kiri dan dapatkan bantuan hospital dengan segera. Kaedah menyucuk jarum ke jari akan membahayakan. Darah boleh mengalir tanpa henti dan berlaku perdarahan yang banyak. Keadaan ini lebih menyukarkan rawatan lanjut di hospital nanti.

 

Jarum yang digunakan juga tidak bersih, boleh menyebabkan jangkitan kuman terutama kuman klostridoum tetani (penyebab penyakit kancing gigi).

 

Rujukan

[1] Blood letting in patients. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16136931?ordinalpos=2&itool=EntrezSystem2.PEntrez.Pubmed.Pubmed_ResultsPanel.Pubmed_RVDocSum

 

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

 

Fb.com/drsuhazeli

#drsuhazeli

, ,

Aksi 3½ minit untuk elak kematian mengejut?

 

surgical-team-900x600.jpgMitos yang disebarkan:

Sila ambil perhatian ini sebagai sangat penting untuk semua, yang dikongsi oleh doktor. – Bagi mereka yang bangun pada waktu malam dari tidur untuk membuang air kecil atau awal pagi: Setiap individu perlu mengambil kira 3 x 1/2 minit. Mengapa ia penting? 3 x 1/2 minit akan mengurangkan jumlah kematian secara tiba-tiba. Sering kali ini berlaku, seseorang yang masih kelihatan sihat, telah meninggal dunia pada waktu malam. Sering kali kita mendengar cerita-cerita orang, semalam saya telah berbual dengan dia, kenapa dia tiba-tiba mati? Sebabnya ialah bahawa apabila anda bangun pada waktu malam untuk pergi ke bilik air sering dilakukan tergesa-gesa. Segera kita berdiri, otak tidak mempunyai aliran darah. Mengapa “3 x 1/2 minit” yang sangat penting? Di tengah-tengah malam apabila anda dikejutkan oleh keinginan untuk membuang air kecil sebagai contoh, ECG corak boleh berubah. Kerana bangun tiba-tiba, otak akan menjadi lemah dan menyebabkan kegagalan jantung kerana kekurangan darah. Dinasihatkan untuk mengamalkan “3 1/2 minit,” iaitu:

1. Apabila bangun dari tidur, berbaring di atas katil selama 1/2 minit ke-1;

 2. Duduk di atas katil selama 1/2 minit yang akan datang;

3. Turunkan kaki, duduk di tepi katil itu selama setengah saat-saat akhir. Selepas 3 x 1/2 minit, anda tidak akan mempunyai otak kekurangan darah dan hati tidak akan gagal, mengurangkan kemungkinan jatuh dan mati mengejut.

 Berkongsi dengan keluarga, rakan-rakan & orang tersayang. Ia boleh berlaku tanpa mengira usia; muda atau tua.

Perkongsian bermakna. Jika anda sudah tahu, menganggap ini sebagai ulang kaji.

Jawapan:

3½ minit tidak mempunyai apa nilai yang ajaib, samada semasa bangun tidur atau sebagainya.[1] Kebanyakan kematian diwaktu awal pagi akibat dari penyakit yang sediaada seseorang. Bukannya posisi badan sebaik sahaja bangun dari tidur.

Kajian dari Dr Mukaish Jane mendapati kebanyakan dari orang mati di awal pagi berpunca dari ketidaktentuan rentak biologi badan (circadian rhytm) berlaku. Bagi sesetengah individu, ketidaktentuan melampau (erratic) boleh berlaku mengakibatkan fibrilasi otot jantung (ventricular fibrillation), akhirnya merencat perjalanan darah ke seluruh badan dan otak.[2] Amat menakutkan juga beliau mendapati 3 dari 4 kematian akibat serangan jantung di Amerika berumur antara 35 hingga 44 tahun. Waktu puncak bagi ketidaktentuan rentak jantung (KRJ) ini adalah antara jam 6.00 hingga 10.00 pagi.

Jika terdapat nasihat supaya mengamalkan kaedah 3½ minit aktiviti penjuru katil, boleh diamalkan kerana tidak mendatangkan kerugian pun. Cumanya amalan tersebut tidak dibuktikan secara kajian boleh menghalang berlakunya kematian diawal pagi. Perubahan ECG yang menunjukkan berlakunya KRJ tidak tertakluk kepada posisi badan sesorang itu. Badan kita mempunyai sistem regulasi yang seimbang kecualilah bagi pesakit kencing manis yang berrisiko berlaku tekanan darah turun (postural drop) semasa bingkas bangun secara cepat.

Rujuk:
[1] sebaran viral penting 3½ minit. http://www.justanswer.com/cardiology/9k4tn-received-following-forwarded-message.html
[2] Circadian Rhytm. https://www.acs.org/content/acs/en/pressroom/newsreleases/2013/september/explaining-why-so-many-cases-of-cardiac-arrest-strike-in-the-morning.html

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli

2.11.2016
Manchester