, ,

Telur Kurangkan Strok? 


Tersebar tulisan yang popular dan menjanjikan harapan tinggi kepada penggemar telur.

“Sebiji telur sehari boleh mengurangkan kematian akibat stroke sebanyak 12% – Bukti kajian ke atas 300,000 orang.” ~Epidstat Institute, Washington (2015)

.

Laporan kajian berkenaan adalah hasil dari analisa Meta yang mengumpulkan beberapa kajian yang tertentu berkaitan telur dan risiko strok / sakit jantung. Ianya salah satu teknik penulisan yang baik kerana membuat kesimpulan secara kolektif atas beberapa kajian yang telah dijalankan. Cuma kaedah pengambilan kajian kohort dalam analisa meta ini, agak terkongkong dengan penemuan satu jalur, tanpa melihat sisi jalur yang lain. Bagi pengkaji yang mahir statistik faham apa yang saya maksudkan ini.

.

Mari kita lihat kajian tersebut secara ulasan statistik. Pengumpulan data responden kajian yang mencecah kepada 300 ribu ini, mencari hubung kait antara pesakit yang mengalami samada strok atau serangan jantung. Dari sejumlah kedua-dua lorong penyakit tersebut, mereka melihat berapa ramai yang memakan telur sebiji sehari dan dua biji seminggu. Hanya dua lorong cerapan sahaja. Mereka dapati pengambilan telur 1 biji/sehari berbanding 2 biji/seminggu boleh mengurangkan kematian strok (fatal stroke) sebanyak 12%. Manakala kajian yang dipetik itu tidak menunjukkan hubungkait antara pengambilan telur dengan kejadian sakit jantung, samada 1 biji/sehari atau 2 biji/seminggu.[1]

.

Kesimpulan pengkaji yang dibuat dalam kajian meta analisa tersebut adalah:

1) Pengkaji bersetuju dan menyokong bahawa telur adalah satu makanan yang berzat dan sihat. Walaubagaimana pun para pengkaji tidak melihat kepada keseluruhan menu makanan lain yang di ambil oleh subjek kajian. Begitu juga kaedah sajian telur tidak disebutkan, goreng ke, rebus ke, masak lemak ke atau sebagainya. Mereka hanya mengkaji samada sebiji telur sehari atau 2 biji seminggu sahaja. Justeru tidak diketahui status responden yang memakan 2 biji sehari, atau lapan biji sehari, masak separuh atau masak penuh atau jumlah-jumlah yang lain. Samada mengurangkan risiko strok juga atau tidak.

2) Para pengkaji juga tidak dapat menemui bukti berapa jumlah yang sepatutnya telur dimakan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko kematian atau penyakit. Ini kerana kajian yang dijalankan itu tidak boleh membuktikan hubungkait sebenar berdasarkan faktor-faktor lain yang boleh menjadi risiko sampingan (confounding factors), seperti merokok, gemuk, jantina, umur dan aktiviti sukan setiap responden.

3) Telur adalah sumber yang bagus untuk protin, vitamin, garam galian. mengambilnya dalam menu seharian anda boleh memberi kesan positif dalam kehidupan.

.

Jika diteliti lanjut, kajian yang dijalankan itu telah mendapat tajaan besar dari Pusat Nutrisi Telur Amerika. Berlaku konflik kepentingan antara kaedah kajian dan keputusan kajian yang ditulis. Sudah tentu ianya akan menyokong Pusat berkenaan bagi melariskan jualan.

.

Akhirnya kajian tersebut seolah-olah tidak signifikan.

.

Untuk pengetahuan bersama, kaitan telur dengan kandungan kolesterol menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama. Ini kerana tekstur kuningnya memberi persepsi bahawa ianya adalah kolesterol atau lemak. Pemikiran kita selama ini telur adalah makanan yang banyak kolesterol, sebenarnya tidak. Sedangkan kajian terkini mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak memberikan kesan negatif kepada tubuh kerana kebanyakan kolesterol terbentuk di hati (liver). Boleh baca tulisan lanjut oleh laman Root of Science.[2]

.

Boleh simpulkan disini, jumlah telur semata-mata tidak menjamin anda berisko dihinggapi penyakit. Faktor-faktor lain boleh mempengaruhi. Makanlah dengan sederhana, jangan berlebihan. Kekalkan gaya hidup sihat senantiasa. Katakan tidak kepada rokok. Nyatakan kebencian anda kepada perangai peminum arak atau golongan yang menganjurkan arak berleluasa. Kerana ianya merosakkan diri anda sebagai aset berguna negara.

.

Sekian Semoga Bermanfaat

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

15.10.2017

Kuala Berang

.

Pautan
[1] Alexander DD, Miller PE, Vargas AJ, et al. Meta-analysis of Egg Consumption and Risk of Coronary Heart Disease and Stroke. Journal of the American College of Nutrition. Published online October 6 2016.
[2] Root of Science. Kolesterol dalam makanan tidak akan meningkatkan kolesterol dalam badan http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/perubatan/kolesterol-dalam-makanan-tidak-akan-meningkatkan-kolesterol-dalam-badan-korang-tahu-tak/
[2] Review from NHS UK. https://www.nhs.uk/news/food-and-diet/eating-one-egg-a-day-may-lower-risk-of-stroke/

,

Pati Lemon, Halia, Bawang Putih, Cuka Epal Ubat Jantung Tersumbat?

*#Ramuan_Jantung_Tersumbat*

Sekali lagi ruang maya diterjah dengan petua pati jus bagi mengubati penyakit-penyakit kritikal seperti sakit jantung, kanser, kencing manis, bauh pinggang dan sebagainya. Terbaharu adalah mesej tular yang menceritakan seorang pendakwah dari Malaysia yang katanya mengalami sakit jantung ketika menjalankan aktiviti dakwah beliau di Sahiwaal Pakistan.

Tulisan beliau agak kurang jelas bentuk rawatan dari awal setelah bertemu doktor, tetapi menceritakan bahawa penyakit jantung tersumbat (3 vessel disease) pulih sepenuhnya setelah mengamalkan ramuan herba yang disarankan oleh rakan sejemaah.

Sebaran tulisan yang hampir sama dengan cerita di atas bermula dengan tulisan blog serta email sekitar tahun 2011 lagi. Terdapat pautan yang mendakwa Prof Dr S. Vikineswary yang menyebarkan khasiat ramuan herba rebusan pati Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal dan di campurkan dengan madu (LHBPCE+M). Sesiapa yang beramal meminum sesudu-meja (tablespoon) ramuan tersebut, pembuluh darah (vena) akan terbuka. Namun beliau telah menafikan kenyataan tersebut berasal dari beliau.[1] Malah beliau menafikan sekeras-kerasnya apa-apa kajian yang berkaitan dengan ramuan tersebut.

Kemudian tahun 2013 pula tersebar lagi cerita yang hampir sama. Iaitu seperti cerita seorang pendakwah tabligh yang mengalami sakit jantung di Pakistan seperti seperti tulisan di atas. Terdapat dua versi penceritaan, iaitu bahasa inggeris, kemudian diterjemah ke bahasa melayu. Cuma sukatan ramuannya sedikit berbeza, dari 1 sudu meja ke 3 sudu teh (walaupun jumlah sama).

Ayat ‘clue’ yang biasanya menjadi garis-pendesak kepada sesiapa yang membaca artikel itu akan tertarik adalah “Doktor pun TERKEJUT, duit dikembalikan dan pesakit diminta pulang”. Beliau telah sembuh sepenuhnya.

Saya mungkin tidak mahu mengulas siapa watak yang terlibat dalam penceritaan sedemikian. Mungkin kisahnya benar, dan mungkin ianya ditokok tambah. Saya tidak menafikan kuasa penyembuh adalah dari Allah, kita sebagai manusia wajib berikhtiar. Benar kemungkinan pesakit tersebut sembuh sepenuhnya dari jantung tersumbat hasil dari ikhtiar berkenaan. Setiap orang diberi kelebihan, dan beliau telah diberi karomah atas ikhtiar serta doa sebagai seorang pendakwah. Akan tetapi, kes seperti ini tidak boleh disamaratakan (generalization) kepada masyarakat terbanyak. Keistimewaan tersebut tidak mungkin kena pada semua orang, sebagai orang awam.

Adakah saya menolak ikhtiar sedemikian? Tidak. Manusia diberi ruang untuk berikhtiar mengubati penyakit, lakukanlah tanpa segan. Selagi ianya tidak menjatuhkan kita ke lembah mudarat, tidak melanggari syariat (bukan kerana terdesak) atau tidak melanggari akidah. Maka teruskanlah. Pati rebusan Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu ini mungkin enak rasanya.

Pun begitu, ikhtiar manusia itu wajib mengikuti kaedah yang ditentukan oleh agama itu sendiri. Sumber berikhitar perlu ada asas yang ampuh bagi menyatakan ia telah berkesan kepada banyak orang. Di sinilah letaknya kajian secara objektif. Berapa peratus yang telah benar-benar berjaya sembuh melalui sesuatu kaedah tersebut. Bukan pula testimoni kerana kaedah testimoni adalah subjektif, bias, condong dan tiada asas kukuh.[2]

Berkaitan isu pati rebusan Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu ini, hasil dari carian jurnal perubatan saya menemui satu tulisan terbaharu (2016) oleh Naseem E dan rakan-rakan.[3] Kajian beliau ke atas 24 ekor arnab putih ( 8- kontrol; 8 – beri diet berlemak; 8- beri diet berlemak dan pati jus LHBPCE+M). Beliau mendapati 8 ekor arnab putih yang diberi pati jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu turun paras lemak dalam badan dalam tempoh 24 hari. Lantas membuat kesimpulan kasar bahawa Pati Jus LHBPCE+M boleh mengawal jantung (cardio-protective) dari terkena serangan. Setakat ini Pati Jus berkenaan tiada lagi dibuat kajian fasa I hingga IV ke atas manusia.[4] Kenapa tidak dilakukan kajian atas manusia? Mungkin ianya tidak berbaloi dengan kecanggihan dunia kini. Paling tidak sekurang-kurangnya setiap negeri dalam negara kita sudah mempunyai Unit Perawatan Jantung dan Pakar yang bertahun praktis lamanya. Serahkan kepada ahli untuk merawat, kemudian bertawakkallah.

Kesimpulan: Tiada kajian penuh yang mengsahihkan Pati Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu boleh membuang jantung tersumbat. Malah kaedah angio juga akhirnya boleh membantu kesakitan pengidap sakit jantung. Minum boleh pati jus tersebut, tapi jangan percaya boleh mengubat jantung tersumbat.

Pautan:
[1] Penafian Prof Dr S. Vikineswary. http://ujale-ki-aur.blogspot.my/2011/11/fw-fw-no-need-for-angiography-or-bypass.html
[2] Testimoni bukan Kajian Saintifik. http://suhazeli.com/wp/?p=141
[3] NASEEM E, SHAMIM M, KHAN N. CARDIOPROTECTIVE EFFECTS OF HERBAL MIXTURE (GINGER, GARLIC, LEMON, APPLE CIDER VINEGAR & HONEY) IN EXPERIMENTAL ANIMAL MODELS OF HYPERLIPIDEMIA. Int. J. Biol. Res. 2016;4(1):28-33. http://www.brc.edu.pk/wp-content/uploads/2016/11/6-Cardio-protective-effects-of-herbal-mixture-ginger-garlic-lemon-apple-cider-vinegar-honey-in-experimental-animal-models-of-hyperlipidemia.pdf
[4] Kaedah kajian Saintifik. http://suhazeli.com/wp/?p=2224

Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com

14.2.2017
Kuala Abang

, ,

Pengsan di Bilik Mandi

Mesej yang disebarkan:

 

*“`kita selalu dengar orang jatuh dibilik mandi dan kena stroke dan sebagainya. Kenapa kita jarang dengar jatuh ditempat tempat lain? Semasa saya hadir kursus gaya hidup sehat , seorang penceramah professor uitm yang juga terlibat dengan majlis sukan negara menasihatkan supaya semasa mandi jangan basahkan kepala dulu, basahkan bahagian badan. Ini kerana apabila kepala basah dan sejuk, darah semua akan mengalir ke kepala untuk memanaskan kepala , logik ‘warm blooded human’ dan jika ada saluran darah sempit, mungkin boleh menyebabkan saluran darah pecah. Ini kerapkali berlaku di bilik mandi. Sila sebarkan agar lebih ramai sedar dan mungkin dapat membantu mengelakkan kejadian ini.“`*

 

1. Bermula dari segayung siramkan di telapak kaki.

2. Segayung di betis.

3. Segayung di paha.

4. Segayung di perut.

5. Segayung di bahu.

6. Berhentilah sejenak 5-10 saat.

 

?“`Kita akan merasakan seperti wap/angin yang keluar dari ubun-ubun bahkan meremang, setelah itu lanjutkan dengan mandi seperti biasa.“`

 

✅“`Hikmahnya: Seperti pada gelas yang diisi air panas kemudian kita isi dengan air sejuk. Apa yang terjadi?

Gelas akan retak ⚡!!!

 

?Jika tubuh kita …. apa yang retak?

Suhu tubuh kita“` “`cenderung panas dan air itu sejuk, maka yang terjadi jika kita mandi langsung menyiram pada badan atau kepala, angin yang harusnya keluar jadi terperangkap atau boleh membawa maut kerana pecahnya pembuluh darah.“`

 

?“`Maka sebab itu kita sering menjumpai orang jatuh di bilik mandi tiba-tiba kena ‘stroke’. Boleh jadi kita sering masuk angin kerana cara mandi kita yang salah. Boleh jadi kita sering migrain kerana cara mandi yang salah.“`

 

?“`Cara mandi ini baik bagi semua peringkat umur terutama yang mempunyai sakit diabetes, darah tinggi, kolesterol dan migrain/sakit kepala

sebelah.In shaa Allah..“`

 

?“`Jangan kedekut ilmu. Sila kongsi

untuk manfaat bersama….“`

 

?????????

 

*JAWAPAN*

 

fb_img_1459495878145.jpgPengkaji dari Iwate Medical Universiti Jepun, mendapati serangan penyakit stroke (angin ahmar) kerap berlaku di awal pagi dan lewat petang. Antara dapatan dalam kajian mereka mendapati bahawa tekanan darah diawal pagi adalah rendah. Ia dikaitkan dengan stroke jenis iskemik (ischemic stroke – tidak cukup darah ke bahagian otak). Manakala tekanan darah di lewat petang pula tinggi. Ia dikaitkan pula dengan stroke jenis perdarahan (hemorrhagic stroke).[1]

 

Tekanan darah yang sebegini juga bertepatan dengan kejadian serangan jantung diwaktu pagi.[2] Kajian dari Dr Mukaish Jane mendapati kebanyakan dari orang mati di awal pagi berpunca dari ketidaktentuan rentak biologi badan (circadian rhytm) berlaku. Bagi sesetengah individu, ketidaktentuan melampau (erratic) boleh berlaku mengakibatkan fibrilasi otot jantung (ventricular fibrillation), akhirnya merencat perjalanan darah ke seluruh badan dan otak.[3] Amat menakutkan juga beliau mendapati 3 dari 4 kematian akibat serangan jantung di Amerika berumur antara 35 hingga 44 tahun. Waktu puncak bagi ketidaktentuan rentak jantung (KRJ) ini adalah antara jam 6.00 hingga 10.00 pagi.

 

Justeru, teknik mandi atau membasahkan tubuh tidak dapat dikaitkan secara tepat penyebab kepada kematian di awal pagi. Teori logik ‘warm blooded human’ tidak boleh digunakan kerana sistem aliran darah manusia tidak berkait rapat dengan suhu badan luaran. Malah tiada pembuktian dari segi kajian pun. Menyamakan diri manusia dengan gelas senang retak akibat masuk air panas pun tidak bertepatan. Badan manusia senantiasa mempunyai sistem regulasi bagi keseimbangan, bukannya bersuhu tinggi sepanjang masa atau sebaliknya. Malah manusia dijadikan sedemikian rupa bagi memberikan keselesaan kepada kita sepanjang hayat kecuali dalam keadaan tertentu seperti demam atau berpenyakit.

 

Jika kita percaya kepada kaedah mandi seperti yang disarankan oleh Prof UITM tersebut, apa pula ulasan yang perlu kita sampaikan dalam kaedah mandi yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW? Lihat bagaimana sabda Rasulullah berkaitan mandi janabah:

Dari ‘Aisyah Radhiyallahu anhuma, ia berkata, “Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), beliau memulainya dengan membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwudhu sebagaimana berwudhu untuk shalat. Lalau beliau mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga jika beliau menganggap telah cukup, beliau tuangkan ke atas kepalanya sebanyak tiga kali tuangan. Setelah itu beliau mandi seluruh badannya. Kemudian beliau basuh kedua kakinya.” [4]

 

Bermaksud, kaedah mandi tidak dapat dikaitkan dengan kejadian stroke mahupun serangan jantung. Tetapi cara hidup tidak sihat seperti merokok, minum arak, tidak bersenam dan pemakanan yang tidak seimbang lebih mempengaruhi risiko penyakit yang membawa maut itu.

 

Rujukan

[1] Kajian stroke IMU Jepun. http://www.news-medical.net/news/2006/08/20/19537.aspx

[2] Cardiac Death in early morning. http://circ.ahajournals.org/content/75/1/131.short

[3] Circadian Rhytm. https://www.acs.org/content/acs/en/pressroom/newsreleases/2013/september/explaining-why-so-many-cases-of-cardiac-arrest-strike-in-the-morning.html

[4] Hadis shahih: [Irwaa’ al-Ghaliil (no. 136)], Shahiih Muslim (I/259 no. 330), Sunan Abi Dawud (‘Aunul Ma’buud) (I/426 no. 248), Sunan an-Nasa-i (I/131), Sunan at-Tirmidzi (I/71 no. 105), dan Sunan Ibni Majah (I/198 no. 603). Sumber: https://almanhaj.or.id/679-mandi.html

 

Dr Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

 

#MedTweetMT

#MedicalMythBustersMalaysia

 

13.11.2016

Kuala Abang

, ,

Aksi 3½ minit untuk elak kematian mengejut?

 

surgical-team-900x600.jpgMitos yang disebarkan:

Sila ambil perhatian ini sebagai sangat penting untuk semua, yang dikongsi oleh doktor. – Bagi mereka yang bangun pada waktu malam dari tidur untuk membuang air kecil atau awal pagi: Setiap individu perlu mengambil kira 3 x 1/2 minit. Mengapa ia penting? 3 x 1/2 minit akan mengurangkan jumlah kematian secara tiba-tiba. Sering kali ini berlaku, seseorang yang masih kelihatan sihat, telah meninggal dunia pada waktu malam. Sering kali kita mendengar cerita-cerita orang, semalam saya telah berbual dengan dia, kenapa dia tiba-tiba mati? Sebabnya ialah bahawa apabila anda bangun pada waktu malam untuk pergi ke bilik air sering dilakukan tergesa-gesa. Segera kita berdiri, otak tidak mempunyai aliran darah. Mengapa “3 x 1/2 minit” yang sangat penting? Di tengah-tengah malam apabila anda dikejutkan oleh keinginan untuk membuang air kecil sebagai contoh, ECG corak boleh berubah. Kerana bangun tiba-tiba, otak akan menjadi lemah dan menyebabkan kegagalan jantung kerana kekurangan darah. Dinasihatkan untuk mengamalkan “3 1/2 minit,” iaitu:

1. Apabila bangun dari tidur, berbaring di atas katil selama 1/2 minit ke-1;

 2. Duduk di atas katil selama 1/2 minit yang akan datang;

3. Turunkan kaki, duduk di tepi katil itu selama setengah saat-saat akhir. Selepas 3 x 1/2 minit, anda tidak akan mempunyai otak kekurangan darah dan hati tidak akan gagal, mengurangkan kemungkinan jatuh dan mati mengejut.

 Berkongsi dengan keluarga, rakan-rakan & orang tersayang. Ia boleh berlaku tanpa mengira usia; muda atau tua.

Perkongsian bermakna. Jika anda sudah tahu, menganggap ini sebagai ulang kaji.

Jawapan:

3½ minit tidak mempunyai apa nilai yang ajaib, samada semasa bangun tidur atau sebagainya.[1] Kebanyakan kematian diwaktu awal pagi akibat dari penyakit yang sediaada seseorang. Bukannya posisi badan sebaik sahaja bangun dari tidur.

Kajian dari Dr Mukaish Jane mendapati kebanyakan dari orang mati di awal pagi berpunca dari ketidaktentuan rentak biologi badan (circadian rhytm) berlaku. Bagi sesetengah individu, ketidaktentuan melampau (erratic) boleh berlaku mengakibatkan fibrilasi otot jantung (ventricular fibrillation), akhirnya merencat perjalanan darah ke seluruh badan dan otak.[2] Amat menakutkan juga beliau mendapati 3 dari 4 kematian akibat serangan jantung di Amerika berumur antara 35 hingga 44 tahun. Waktu puncak bagi ketidaktentuan rentak jantung (KRJ) ini adalah antara jam 6.00 hingga 10.00 pagi.

Jika terdapat nasihat supaya mengamalkan kaedah 3½ minit aktiviti penjuru katil, boleh diamalkan kerana tidak mendatangkan kerugian pun. Cumanya amalan tersebut tidak dibuktikan secara kajian boleh menghalang berlakunya kematian diawal pagi. Perubahan ECG yang menunjukkan berlakunya KRJ tidak tertakluk kepada posisi badan sesorang itu. Badan kita mempunyai sistem regulasi yang seimbang kecualilah bagi pesakit kencing manis yang berrisiko berlaku tekanan darah turun (postural drop) semasa bingkas bangun secara cepat.

Rujuk:
[1] sebaran viral penting 3½ minit. http://www.justanswer.com/cardiology/9k4tn-received-following-forwarded-message.html
[2] Circadian Rhytm. https://www.acs.org/content/acs/en/pressroom/newsreleases/2013/september/explaining-why-so-many-cases-of-cardiac-arrest-strike-in-the-morning.html

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli

2.11.2016
Manchester